Sembilan tahun saya tunggu Jason Bourne kembali. Trilogi anti-heronya – Bourne Identity (2002), Supremacy (2004) dan Utimatum (2007) – entah berapa kali saya ulang dan hadam.

Selepas filem terakhir itu, saya menunggu penuh sabar kemunculannya walaupun di celah-celah itu, Bourne Legacy hadir lima tahun kemudian, namun demi Paul Greengrass, saya tunggu ‘Jason Bourne’.

Saya peminat setianya sejak filem Bloody Sunday (2002) lagi. Namun selepas saya menonton filem terbarunya itu pada 28 Julai lalu, keterujaan saya berubah. Maaf Paul, kali ini, saya rasa Jason Bourne ‘serabut dan mengganggu’.

Selepas meneliti filem trilogi (tidak termasuk ‘Legacy’) dan saya cuba membuat beberapa perbandingan terhadap gaya dan persembahan yang ditonjolkan dalam filem ‘Jason Bourne’ khususnya melibatkan ‘pacing‘ jalan cerita, sinematografi, suntingan dan lakonan. Saya kecewa selepas sekian lama menunggu.

Pertemuan Nicky-Jason berlatarkan rusuhan di Greece mendorong pencarian punca kematian ayah Bourne yang membangunkan program Threadstone sekaligus mendedahkan ‘program haram’ terbaru CIA – Iron Hand. Program ‘menjinakkan’ Bourne pun turut dinyatakan oleh Nicky sewaktu rusuhan itu.

Filem Jason Bourne hadir dalam perubahan sosio-politik masyarakat berdepan teknologi maklumat tanpa sempadan dan hubungannya dengan keselamatan rahsia negara. Pertemuan pengasas media sosial Deep Dream ala-Facebook, Aaron Kalloor (Riz Ahmad) dan Pengarah CIA, Robert Dewey (Tommy Lee Jones) di tengah-tengah keseriusan CIA memburu Bourne.

Isu rahsia privasi pengguna dan keselamatan negara (dunia) juga menjadi latar filem ini dan menjadi subjek program Iron Hand yang digagaskan Dewey. Namum ia tenggelam dengan aksi tembak menembak, kemusnahan dan letupan harta benda.

Dalam tempoh satu jam pertama, penonton dihidangkan dengan aksi kejar-mengejar antara Bourne dan Nicky dengan ‘The Asset’ (Vincent Casssel) di tengah rusuhan untuk menghidupkan suasana hingar-bingar dan aksi real namun membuatkan kepala saya berserabut.

Dengan gaya suntingan kinetik (rapid fire cut), beserta dengan shot ‘shaky’ hand held kali ini amat mengganggu tumpuan saya khususnya sewaktu menikmati plot cerita bekas pembunuhan upahan CIA itu dalam tempoh tersebut.

Memang benar aliran itu cuba dibawa oleh Greengrass dalam filem-filemnya sebelum ini, tetapi gaya pengarah sinematografi Barry Ackroyd dilihat gagal menjiwai pendahulunya, Oliver Wood – yang menjadi jurukamera bagi ketiga-tiga filem franchais spy thriller ini.

Dalam kata lain, jika Oliver Wood menjadi pengarah sinematografi bagi Jason Bourne, saya yakin filem ini akan lebih menarik memandangkan pengalaman dan gambaran yang beliau ada kerana terlibat dalam trilogi sebelum ini, walau tidak menafikan setiap orang ada gaya masing-masing.

Ackroyd, tidak pernah sekalipun menjadi jurukamera bagi sequel filem Bourne ini. Anda boleh membanding gayanya dalam filem Greengrass yang lain antaranya United 93, Greenzone dan Captain Philips sekalipun kedua-dua mereka menggemari gaya astetik itu.

Mengapa trilogi sebelum ini, saya tidak berasa serabut tetapi kali ini cukup terganggu. Mungkin gaya suntingan kinetik filem Jason Bourne dilihat dibuat semacam tergesa-gesa. Shot ‘shaky’ hand held ditambah dengan suntingan gaya itu, boleh mengganggu tumpuan mata saya.

Terdapat perbandingan yang boleh dibuat dari aspek kelancaran antara aksi kejar-mengejar di atas bumbung Bourne-Desh Boukali di Tangier, Maghribi pada waktu siang dalam Bourne Ultimatum dengan aksi kejar mengejar Bourne dan Nicky dengan ‘The Asset’ di tengah-tengah rusuhan rakyat Greece (penggambaran di Tenerife) yang dibuat pada waktu malam.

Anda akan merasai perbezaan gaya “shot hand held” Oliver dan Ackroyd di samping kelancaran suntingan Christopher Rouse. Anda boleh berbeza pandangan dengan saya, tapi selepas sembilan tahun, apakah itu setimpal dengan apa yang dirancang dan yang diimpikan dalam Jason Bourne. Itu maksud saya.

Pemburuan Bourne pula meleret ke Las Vegas pada satu jam yang kedua dengan helah, tembakan, penyamaran, pengkhianatan dan kejar mengejar antara Bourne dan The Asset yang cukup mendebarkan sehingga mengundang kerosakan harta benda mencecah jutaan dolar di tengah pengunjung berjudi dan berlibur di kota itu.

Saya tidak mahu menghurai panjang memandangkan ia bukan perkara baru yang dihidangkan oleh Paul Greengrass kepada penonton. Kejar mengejar dengan kereta yang berlawanan arus di Rusia dan New York dalam sequel filem sebelum ini, sudah cukup membuktikan perkara itu.

Penggantian pelakon di agensi perisik CIA pula dilihat tidak berbaloi. Tommmy Lee Jones a.k.a Dewey selaku pengarah CIA yang baru dan Alicia Vikander sebagai Heather Lee, ketua baru bahagian operasi siber di agensi perisik berpengkalan di Virginia, Amerika Syarikat itu.

Dalam tempoh sembilan tahun, pengganti Noah Vosen (David Starthairn) pula ‘terlalu tua, nampak tidak garang dan ketinggalan zaman’ manakala Heather pula terlalu muda, naif, nampak terkial-kial walau lebih diplomasi berurusan dengan Bourne.

Heather gagal menyaingi ‘ketegasan dalam kelembutan’ Pamela Landy (Joan Allen). Dewey dan Heather kelihatan ‘terlalu’ baru menyebabkan ketegasan memberi arahan dirasakan ‘hilang’ atau ‘kosong’ dalam mengendali ‘kelicikan Bourne’. Tidak seperti Vosen dan Pamela dalam Supremacy dan Ultimatum.

Malah suasana bilik operasi CIA sewaktu memburu Jason Bourne pula tidak dilihat kelam kabut. Kurang suara tegas dengan taktik-taktik tertentu berbanding Vosen dan Pamela yang saling dan sering bertikam lidah terhadap suatu tindakan yang diambil, menjadikan jalan cerita ‘Supremacy dan Ultimatum’ penuh warna warni.

Kita juga tidak merasa geram terhadap Dewey, sepertimana kita geram kepada Vosen mempertahankan program Blackbriar dan kita tidak merasa ingin menyokong Heather sebagaimana sokongan Pamela kepada Bourne untuk mendedahkan identiti sebenarnya.

Saya juga tertanya-tanya bagaimana Matt Damon terus menjadi ‘Bourne’ kalau ada sequel Jason Bourne selepas ini. Kini beliau berusia 45 tahun berbanding sembilan tahun lalu yang dilihat lebih bertenaga dan reaksi yang pantas.Jika ada watak dan aksi perlu sesuai dengan umur dan kudratnya.

Tanggapan pertama saya sewaktu Bourne bertanding tinju di sempadan Macedonia-Greece kelihatan dia agak berumur untuk melakukan aksi lasak dan bertarung. Mengapa beliau bertinju pun tidak diberikan penjelasan. Vicent Cassel juga nampak tua.

Peminat filem franchais ini mengharapkan jalan cerita ‘Bourne’ lebih gempak dalam suasana perubahan dunia menjadi lebih kecil kerana kecanggihan teknologi. Untuk itu skrip yang benar-benar tidak longgar dan mantap perlu dihasilkan sesuai dengan perkembangan tersebut.

Bagi saya, filem Bourne Ultimatum adalah pengakhiran kisah Bourne sesuai dengan umur dan motif yang ingin dicapainya. Membuka kisahnya semula memerlukan momentum yang lebih daripada itu dengan plot yang lebih menarik perhatian dan visi yang lebih menggemparkan.

Rahim Sabri, writer-director filem pendek Sedetik Sebelum Nubuwwah. Bekas wartawan Malaysiakini.com