“Hangpa tengah buat apa sebenarnya?” soal seorang jantan yang entah macam mana boleh ada di Kathmandu, untuk bersama Kembara Memburu Hikmah (KMH).

Soalan ini dituju kepada Amirul Ariff, Pengurus Projek KMH – projek dokumentari mengenai sepasang laki bini berbasikal dari Kuala Lumpur ke Masjidil Haram.

“Kita cuma nak ikut cara orang dulu-dulu buat ja…” jawabnya sambil mengikat backpack.

“Macam yang orang dulu-dulu rasa, macam tu kami nak rasa,” tambah Mohammed Shafiq atau Apet, kru Aulia Films, produksi di belakang KMH.

“Cuma kita ikut cara zaman sekarang lah,” Muhd Nur Aiman, juga kru menghambur logik dalam perbualan petang itu.

“Matlamat kami dah ada (yakni ke Masjidil Haram). Sekarang ni, perjalanan ni saja yang kami kutip, yang kami nak rasa,” Amirul ikat mudah sebelum menuding-nuding jarinya ke lantai.

Sambil bertinggung saya merenung kelibat mereka bertiga dari pintu bilik di Hostel Puskar, di tengah-tengah kosmospolis Kathmandu.

KMH memulakan pengembaraan secara rasmi pada 8 April lepas di Masjid Negara. Dari situ mereka ke sempadan Thai, dan mula ‘melompat’ dari surau, masjid dan pelbagai jenis madrasah sehingga Myanmar, sebelum masuk ke India dan naik ke utara untuk dijodohkan pertemuan kami di Nepal.

Jam tujuh malam nanti mereka kena gerak keluar dari kawasan tanah tinggi Kathmandu ke kawasan landai bernama Terai, selatan Nepal. Dari situ mereka akan melangkah sempadan Nepal-India untuk ambil keretapi di Raxaul. Ketika rencana ini ditulis, mereka sudah sampai di Darul Uloom Nadhwatul Ulama di Lucknow, India.

Cuba juga untuk bayangkan perjalanan mereka ni. Tapi, bukan senang nak bayangkan. Jauh lagilah nak merasa apa yang mereka rasa. Apa lagi nak cerita pengalaman orang?

Tak mungkin orang yang sama boleh pijak air sama di sungai yang sama.

ANNAPURNA ATAU ANA PUNAH?

Tiga malam sebelum, seelok sampai di Kathmandu, Amirul menjemput saya di penghujung Thamel Rd, kawasan tumpuan pelancong dan utama Nepal. Setelah kali pertama dan terakhir kami berkenalan dua tahun lepas, malam itu kami berkenalan semula.

Keesokan hari, dia datang mengetuk kuat pintu bilik. Menjawab salamnya, saya nampak… Laaah! Ada lagi dua Melayu kat sini rupanya! Itu kali pertama saya kenal Apet dan Aiman.

“Saja-saja ja singgah guesthouse kau… Nak kenalkan diorang dengan kau.” Mereka baru selesai salah satu dari empat siri naik-turun ke kedutaan India untuk memohon visa.

Aiman dan Apet ketika itu sedang melayan pemandangan luas yang terpampang di mata mereka.

Ditemani petang yang redup, bersama angin sepoi sempoi dalam udara berhabuk, kami terdiam sekejap untuk melayan pemandangan banjaran Himalaya.

“Kathmandu paling lama kami singgah,” tiba-tiba suara Aiman melompat.

“Sebab apa jadi macam tu?”

“Aaarrr…” serentak empat kami ternganga dan entah bagaimana kami mertukar pandang ke sebuah ‘kepulauan hutan’ di celah-celah bandar Kathmandu ni.

“Annapurna ke Ana Punah tu?” Apet bertanya, merujuk pada Annapurna, salah satu massif dari banjaran Himalaya dan ‘Ana Punah’ merujuk pada ‘kepulauan hutan’ yang lebih sinonim dengan pot berdadah.

Di celah-celah ketawa kami, Amirul menunjukkan saya proposal KMH yang mengandungi objektif utama, selain misi-misi sampingan KMH.

Selain fokus pada dokumentari berbasikal pasangan suami isteri tu, antara objektif mereka adalah mengumpul ‘sebanyak mungkin’ maklumat mengenai masyarakat Islam di setiap persinggahan mereka.

“Setakat ni, Alhamdulillah,” jawab Amirul mudah, bila ditanya pasal perjalanan mereka.

“Tapi, yang nak lari balik pun ada lah!” Apet menambah, diikuti ketawa terkekek-kekeknya. Entah kepada siapa atau apa yang dia tengah merujuk.

DALAM MARKAS SEMENTARA KMH

Di malam hari, bila suasana sedikit santai di bilik mereka, Amirul menjelas lanjut jawapannya.

“Alhamdulillah, tak menyimpang lagi lah… Kami masih on trek. Dari buat pasal perjalanan kami, terbuat dokumentari pasal Nagarkot atau ada intercut kami tengah parti dekat kelab malam contohnya, No no no…” tenang dan sinis. Sambil membuka lipatan komputer dia sambung, “Jap ar, aku tunjuk kau.”

Semua rakamannya berbekal sebuah Sony a6300 dengan dua 64GB kad storan dan tiga bateri serta 8TB cakera keras untuk disimpan.

“Ha… Ini waktu kami dekat madrasah kat area Myanmar. Hehehe…” terang Amirul.

“Seronok budak-budak ni ada orang tangkap video diorang,” sampuk Apet.

“Eh ada bindi kat dahi budak tu?” jari saya tertuding automatik pada dahi salah seorang budak itu.

“Inih tadikaaaaaa…” Aiman tarik panjang. Kemudian dia sambung memproses daun teh. Malam itu, saya dijamu dengan teh dari Himalaya, atau mungkin tak. Saya pun tak pasti. Segan pula nak whatsapp tanya.

Amirul bangkit dan tingal kami dengan lagu dari Bombay Royale. Dia nak ke masjid. “Ada hal nak kena tolong,” dia cakap.

LALUAN SUTERA JALANNYA KERAS

Dari perbualan dengan penduduk tempatan, rata-rata reaksi mengenai ‘Islam’ taklah setebal sentimen anti-India. Islamofobia secara kasarnya di sini tak seriuh media massa antarabangsa. Islam bukan agama majoriti. Kathmandu cuma ada tiga masjid saja.

Kota ni sibuk sesibuk cicipan burung dan hon-hon yang nyaring. Lorong-lorongnya banyak, dan bila cuaca kering, udara akan dipenuhi debu tanah merah. Sungai Vishnumathi, sungai keramat untuk menyucikan diri ini mengingatkan saya pada teh susu kambing pekat yang tidak jauh pun untuk dinikmati dari mana-mana tebing sungai ni.

Pencemaran minda juga muncul dengan pencemaran udara dan sungai yang bukan calang-calang punya tahap. Berlawanan sama sekali dengan lokasi geografinya yang dikepung oleh banjaran Himalaya yang lawa permai macam kat Instagram tu.

Di celah-celah pencemaran inilah kita dapat tengok aktiviti bisnes sehari-hari warga kota. Penjual sayur bersila menunggu pelanggan, sekejap-sekejap dibeleknya telefon bimbit, menyekrol timeline dan sebagainya. Melihat dia sibuk dengan telefon, penggunting rambut jalanan di sebelahnya meludah air liur ke sebelah kiri sebelum sambung gunting rambut orang.

Berjalan di Thamel Rd, orang muda mungkin akan didekati dengan beberapa penjual yang menawarkan pelbagai jenis dadah, kombo bersama janji yang belum tentu ditepati. Ini kota yang popular dengan Shiva, dewa terkenal rebel dan stoner tegar tu, selain Kali, dewi utama yang selalu digambar memijak dan menenangkan Shiva.

Boleh jadi juga ini adalah kota khayalan/kayangan dari kayangan/khayalan.

Tapi senang saja kita abaikan penjual dadah itu. Contohnya dengan buat-buat pekak masuk bertanya dalam kedai-kedai tepi jalan yang menawarkan macam-macam jenis batu, lukisan, kain pashmina, karpet atau t-shirt ‘I Love Nepal’. Atau beritahu saja kamu tak berminat, dan kemudian satu lorong tak akan kacau hang lagi.

Macam Laluan Sutera yang membawa pelbagai jenis bisnes dan ragam, macam tu juga kota singgahnya. Berhati-hati kalau tersinggah di sini sebab alamat untuk tersangkut lama di sini juga meninggi.

DUDUK LETAK SYURGA DI KAKI IBU

“Apa plan kau lepas ni?” Apet tanya elok lepas Amirul keluar ke masjid.

“Tunggu jap, perenggan last nanti aku tulis,” saya terangkan, atau mungkin saya rasa macam saya ada jawab dekat dia.

Namun perbualan kami tetap berjalan sihat. Masing-masing menghampar kisah kehidupan masing-masing yang secara kasarnya macam rangkuman stereotaip generasi kami. Naik turun kehidupan yang lebih kurang sama, secara luar atau pun dalam, realiti atau fantasi, metafora atau nyata.

Coming Back to Life secara langsung dari youtube mengiring perbualan bersama Apet dan Aiman. Konsert tour Pink Floyd 2007 itu menyantau perbualan kami dengan visual yang berwarna.

“Apa kata kita try playlist kau plak Zhafir?” Aiman tanya sambil bertinggung menghadap komputer.

Waktu menulis ini saya dah tak ingat sama ada Champagne Supernova atau Bonda yang diputarkan malam itu atau mungkin dalam malam yang lain. Tapi, itulah…

Dalam karya-karya dongeng bersifat pengembaraan, ibu, atau wanita atau dewi sering disimbolkan sebagai ‘tempat’ letaknya hati. Itu yang membawa kepada pengertian hikmah atau syurga mahupun rumah. Jadi, tak silap untuk cakap bahawa dalam setiap pengembaraan kita ini, matlamatnya sama – nak merasa ‘syurga’.

Kan ’syurga terletak di telapak kaki ibu’ dah menjadi antara kata hikmah buat yang pernah tersesat dari rumah?

MENGUTIP PENGALAMAN, MEMBURU HIKMAH

Macam pengembara lain, apa yang dikutip Kembara Memburu Hikmah adalah pengalaman. Hikmah wujud dengan sendiri bersama-sama pengalaman.

Secara maya, KMH memegang semangat sejagat pengembara, ‘keluar untuk pulang untuk keluar’. Secara nyatanya, matlamat mereka ialah Masjidil Haram – rumah utama umat Islam – sebelum pulang ke tanah air.

Dijangka sampai di Masjidil Haram pada 8 April 2017, mereka akan melalui lagi sembilan buah negara untuk keseluruhan 13,000 kilometer perjalanan darat. Apa sahaja asalkan darat dan halal, atau sayurrrr…

SEMESTA

Selepas teksi kecil dinaiki mereka memecah malam dan orang ramai, saya pun turut angkat kaki berjalan balik ke guesthouse di Freak Street; nak baring di rooftop, nak buang penat ke langit.

Dalam gelap dan sedikit simbahan bulan sabit antara dua gunung di barat, timbul satu bebayang berupa lelaki tua kurus sedang duduk di kerusi. Dreadlocknya beryang halus seolah menarikan tarian angin.

Dari rambutnya mata saya memanjat sehingga tersilau dengan sebutir bintang biru dari kelopak mata Nordiknya. Bintang biru itu mengembang dan kemudian terbang keluar menyertai gugusan bintang-bintang lain di langit.

Tersedar kan semesta, kami berdehem dan pulang ke padang sendiri, di angkasa.


Amaluddin Zhafir, sekarang mengembara sendiri di Nepal.