Diktator belum mati. Tapi pemerintahannya sudah berakhir. Sambil aku berkira kira, siapa diktatornya? Terlalu keliru aku. Apa dia Shah atau Batista. Mungkin juga Saddam atau Gaddafi. Aku terus berfikir di bumi mana pula terjadinya revolusi ini walaupun bingkai pembukanya sudah jelas menyebut di negara yang tidak dikenali – di negara yang sengaja tidak dinamakan. Apa ia benar-benar revolusi?

Aku masih merasakan bahawa adanya rampasan kuasa tentera di sebalik huru-hara kota. Walaupun pihak sekutu pembangkang sudah mengambil alih istana, yang sah di sini tiada lagi pemerintahan. Dalam aku masih tertanya-tanya apa bentuk sistem politiknya, apa kerajaan beraja atau republik? Aku teringat satu kata. Ya, filem tidak harus bercerita secara terus. Ia harus masuk secara perlahan menurut Wichanon Somumjarn, sutradara dari Thailand yang filemnya In April The Following Year dan There Was A Fire mendapat Anugerah Tiger di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam.

The President adalah filem arahan Mohsen Makhmalbaf kedua puluh sembilan. Beberapa buah filemnya seperti Time of Love, A Moment of Innocence, The Silence dan termasuklah The Garderner pernah diharamkan di Iran dalam tahun-tahun tertentu. Selaku pembikin filem yang radikal, Makhmalbaf dianggap merbahaya. Dia sudah ditangkap berkali-kali, hampir diracun malah ada cubaan untuk dibom. Akhirnya dia masih bebas meskipun sebagai seorang pelarian. Makhmalbaf dipetik berkata, aku mungkin datang dari Iran, tapi seperti jutaan orang yang menjadi pelarian, aku juga seorang pelarian–pelarian sinema.

Banyak pengamat menganggap The President adalah lanjutan dari filem terdahulunya, sebuah dokumentari bertajuk The Garderner yang aku masih gagal menontonnya kerana terlalu berat. Menonton filem seperti itu memerlukan masa dan ketika mencubanya buat pertama kali aku gagal. The President dibikin ketika Makhmalbaf masih dilarang dari berkarya di negara asalnya, Iran.

Maka sedikit sebanyak The President mungkin bercerita tentang dirinya. Makhmalbaf percaya dalam diri setiap orang wujud apa yang disebut sebagai Shah kecil. Memang semua rakyat yang ditindas akan lekas membenci diktator, namun terkadang rakyat juga lupa bahawa dalam diri mereka juga masih dibelenggu sifat kediktatoran yang sama. Setiap pejuang pembebasan akan melaungkan demokrasi. Tapi apa demokrasinya jika kita masih belum membebaskan diri dari kejahatan yang serupa.

Ia jelas nampak setelah diktator itu jatuh, apatah lagi setelah ditemukan, semua orang mahu membunuhnya. Lihatlah apa yang terjadi di Libya. Menerusi The President nasib sang diktator sangat mengingatkan kita pada Gaddafi. Begitu juga di Iraq kerana di penghujung naratifnya yang berubah-ubah, dia nyaris digantung persisnya Saddam.

Ironinya seseorang pemimpin boleh juga menjadi jahat walaupun rakyat terlalu memujanya, gambarnya digantung dalam rumah setiap orang. Ia tidak ubah seperti satu kenyataan yang mengingatkan kita bahawa sejarah kediktaroran itu juga ialah sejarah tentang kebisuan rakyat. Kenyataan itulah yang sering dilupakan setiap kali manusia diuji untuk tahu bagaimana sebenarnya menguruskan kejatuhan lara seorang diktator.

Filem dibuka dengan cahaya yang bergemerlapan sambil radio nasional asyik bermadah tentang keharmonian dan kemajuan negara yang direstui Tuhan di langit dan kebijaksanaan Presiden di bumi. Kenderaan bergerak laju di sepanjang jalan bagaikan hari siang, makmurnya hidup dalam indahnya bermandi cahaya kota sampai tidak percaya hakikatnya malam tetap merbahaya.

Ironinya lagi, Presiden sedang bermain dengan cucunya ketika revolusi tercetus. Malangnya dia tidak menyedari hal itu kerana Presiden baru saja mengesahkan hukuman mati kepada beberapa orang rakyatnya yang dituduh terlibat dalam aktiviti keganasan yang disifatkan sebagai mengancam keselamatan negara yang akan dilaksanakan oleh tribunal tentera esok harinya.

Malangnya belum sampai esok Presiden lengser dari takhta. Semuanya bermula dari keangkuhannya yang menganggap negara itu miliknya, jadi permainannya saja, kepunyaan bersama dia dan keluarganya juga. Sang Presiden mahu menunjukkan pada cucunya tentang nilai kedudukannya yang kelak bakal diwariskan terus kepada cucunya itu. Ini kerana anak lelaki dan menantunya sudah mati di penjara akibat diseksa oleh sekumpulan tahanan politik lain. Mereka dimasukkan penjara kerana terbongkarnya kes pelarian wang ke Bank Swiss.

Apa yang dibuatnya dalam pejabatnya bersama cucu kesayangannya malam itu memang jelas tempang. Sang Presiden menunjukkan pada cucunya bagaimana dengan hanya satu arahan saja, seluruh lampu yang menyinari ibu kota segera malap. Keasyikan atau sebenarnya keangkuhan itu membuatkan cucunya juga ingin mencuba. Tapi kerana pelat yang tidak sempurna, cucunya tidak memberi arahan yang sama. Seluruh kota jadi gelita termasuklah di pejabatnya. Ketika arahan agar lampu kembali dibuka, ia tidak menjelma, sebaliknya dalam kegelapan itu yang terdengar hanyalah kegetaran dan kegusaran di sebalik letupan dan tembakan.

Negara sudah tidak punya harapan walaupun untuk satu jam. Anehnya, Presiden enggan lari, terbang bersama isteri dan keluarganya, agar segera jauh dari negaranya yang dilanda kuchalana. Dia percaya revolusi dapat dipatahkan lalu bergerak balik ke istana setelah menghantarkan keluarganya di lapangan terbang. Cucunya juga enggan terbang bersama, dia tinggal bersama datuknya kerana ingin segera kembali ke istana bermain dengan permainannya dan juga kerana penarinya, anak kecil wanita bernama Maria.

Tapi apakah ia semata-mata revolusi yang mengakibatkan kuasanya hilang, apakah tenteranya masih setia? Pasti kebimbangan itu tidak timbul pada mulanya sehinggalah seorang demi seorang polis pengiringnya lari dan pegawainya mati dan berpaling tadah. Sekarang dia saksikan kejahatan tenteranya yang menjadi baran lagi gila dari barannya. Yang memukul dan mencuri semua harta rakyat lebih iblis dari keiblisannya. Yang merogol wanita lebih serakah dari nafsunya, yang tidak kisah dara atau pelacur. Dia menyaksikan semua itu di hadapan matanya. Hari-hari kejatuhan itulah yang membuat dia kembali melihat bagaimana hakikat rakyatnya, apa benar muluk seperti suara dari radionya yang tiba-tiba saja berubah nada. Setelah pihak sekutu mengambil alih istana, Presiden adalah sang pengkhianat yang diburu sehingga ke lubang apa atau sekecil mana sekalipun ia.

Hiba, bukan kerana aku bersimpati dengan seorang diktator. Tapi kerana The President ditangani secara manusiawi. Apatah lagi Presiden yang lari menyelamatkan dirinya itu bergelandangan bersama cucunya yang langsung tidak berdosa. Presiden akhirnya menjadi rakyat jelata yang sama-sama terumbang-ambing menjadi pelarian. Dia sedang berusaha menyeberangi sempadan negaranya dengan menyamar dirinya sebagai pemuzik jalanan bersama cucunya. Dia bermain muzik dari gitar yang dicurinya di sebuah kampung yang terpinggir dan cucunya menari.

Namun setelah menyaksikan bagaimana tenteranya melakukan kejahatan demi kejahatan yang di hadapan matanya, barulah Presiden yang bukan lagi Presiden, Tuanku yang bukan juga Tuanku, mengingati kembali dosa silamnya. Lama sebelum dia terkenal, jauh sebelum menjadi Presiden atau Tuanku dia juga pernah meniduri pelacur. Akhirnya dia membawa cucunya ke rumah Maria, tapi bukan Maria cucunya. Maria adalah seorang pelacur yang pernah ditiduri dan dicintainya ketika dia masih muda, sebelum terkenal dan menjadi Presiden.

Rupanya ada kisah lain antara dia dan Maria menerusi surat-surat yang dihantar Maria kepadanya sewaktu dia masih menjadi Presiden agar membebaskan adiknya di penjara. Namun surat-surat itu tidak pernah mendapat perhatian kerana hanya pada hari itu barulah dia tahu akan cerita surat-surat itu yang berakhir dengan kematian adik Maria di penjara. Maka Presiden pun mendedahkan dirinya yang hakiki bahawa dialah Dachi yang pernah mencintai Maria dan berjanji akan membalas semula semua surat-suratnya jika kembali menjadi Presiden. Barulah rasa kesal dan kecewa itu tampak, betapa kuasalah yang selama ini yang telah menggelapkannya dan membelakangkan cintanya pada Maria.

Kata Makhmalbaf idea tentang lakon layar The President datang sejak sembilan tahun dahulu, seusai dia menziarahi Istana Darul Aman yang terletak di luar kota Kabul. Istana tersebut merupakan satu daripada rumah mantan presiden Afghanistan, Mohammed Najibullah. Kemudian lakonlayar tersebut ditulis berulang ulang kali terutamanya sehabis terjadinya Arab Springs.

Pada Makhmalbaf masih banyak perkara yang perlu diinsafi dari keadaan politik yang kacau di Timur Tengah khususnya di negara-negara Arab dan seluruh wilayah yang masih bergolak. Krisis politik Timur Tengah masih ditandai oleh revolusi yang kurang matang. Tidak seperti di Barat, kebangkitan di Timur Tengah sangat muda dan masih mentah. Malah di sini belum ada renaisans seperti di Eropah, Makhmalbaf dipetik berkata.

Maka The President antara lain adalah renungannya tentang erti hakikat yang berlaku di sepanjang sejarah kebangkitan itu. Di Iran sendiri revolusi yang hakiki masih belum dijelmakan dalam erti kata yang sebenar selepas kejatuhan Shah, dengan perlahan masuk menyatakan bahawa adanya di sana juga ada little Shah. Di sinilah filem The President berperanan dan mengajak pembacanya berfikir apakah di dalam diri kita juga sama, maksudnya apakah kita juga sebahagian dari Shah kecil yang dimaksudkan? Dalam perjalanan sebelum menuju babak terakhir dalam filem The President, Dachi dan cucunya menumpang sebuah lori yang membawa tahanan politik yang dibebaskan setelah terjadinya revolusi. Mereka adalah tahanan tahanan politik yang pernah diseksanya dengan kejam. Beberapa orang di kalangan mereka mengalami kecederaan yang parah di bahagian kaki akibat dari seksaan ngeri tersebut.

Ketika Dachi menggendong salah seorang dari tahanan politik yang tidak boleh berjalan kerana kecederaan yang parah di kakinya menceritakan bahawa dia mungkin sudah mati jika Presiden mengetahui yang dia juga terlibat dengan keganasan semasa di dalam penjara, Dachi belum menyangka cerita tersebut berkaitan tentang anak dan menantunya. Semasa anak dan menantu Presiden diseksa sehingga mati semua yang terlibat menyeksanya juga dihukum mati, katanya, jika dia juga diketahui terlibat maka tentu nasibnya juga sama. Saat itu baru Dachi sedar bahawa orang yang digendongnya itu adalah pembunuh anaknya.

Ikut barannya mahu dibunuhnya lelaki itu di situ dan masa itu jugak. Tapi Dachi juga sedar bahawa nasibnya juga akan sama seperti anaknya jika saat itu dia mendedahkan siapa dirinya yang hakiki. Apa yang dia buat dulu itulah yang dia dapat sekarang, terlalu bobrok dirinya ketika berkuasa sehingga dia lupa berapa ramai ibu yang merindui anaknya yang diseksanya semasa di penjara. Kini dialah yang harus merawat luka itu semula.

Abror Rivai, dilahirkan pada 10 Mei 1976 di Institut Harapan Taiping. Menurut hitungan fictional pada tarikh tersebut Travis Bickle menulis diari sunyinya dalam Taxi Driver – sebuah filem cult yang menerima Palme D’Or tahun 1976. Pernah menemuramah Pierre Rissient – lelaki Perancis yang terawal menonton filem-filem agung dari Asia dan merupakan wakil Festival Filem Cannes bagi Asia Pasifik – pada tahun 2004 di Carcosa Seri Negara. Lagi satu, dia sangat terpengaruh untuk mencuba sesuatu yang baru seperti menghasilkan naratif yang berkaitan noir, new cinema dan artsy fartsy menerusi lakonlayar yang sedang digarap: Cinta, Islamique & Filem Digital. Dia juga adalah sutradara kepada filem Le Diable.