Dulu di Johor, setiap Jumaat kami akan pakai baju kurung.

“Baju kurung” itu maksudnya baju Melayu; tak semestinya “baju kurung” adalah baju kurung perempuan. Yang lelaki pun dipanggil baju kurung juga.

Terutamanya hari Jumaat. Wajib pakai baju Melayu. Di sekolah dan di pejabat-pejabat kerajaan. Siap bersampin.

Kepada orang tua-tua, di poket atas akan dibubuh sapu tangan. Dikeluarkan sedikit seperti mana cara sapu tangan yang dipakai ketika mengenakan suits atau jaket bangsa Inggeris. Cuma namanya lain. Bagi suits atau jaket, taklah dipanggil sapu tangan, tapi dipanggil “pocket square”.

Harga “pocket square” itu sahaja sekitar RM150 paling murah. Harga sapu tangan baru RM10 untuk tiga helai.

Hari ini budak-budak hipster sudah rosakkan tradisi baju kurung. Mereka fikir mereka pandai merekacipta. Rekaan mereka tidak ada asas pengetahuan tentang persalinan Melayu. Mereka lebih banyak merosakkan. Bukan mengembangkan.

Di KL–atau lebih tepat, di luar Johor–orang Melayu pun dah jarang pakai baju Melayu. Mereka hanya sibuk cari baju Melayu apabila nak raya. Paling tinggi pun apabila nak nikah.

Hari Jumaat, mereka lebih senang pakai baju kemeja. Dan, kemeja yang dipakai itu pun kelas rendah. Bukan kemeja dengan tradisi kemeja dengan kelas tinggi seperti mana yang dipakai oleh raja-raja Inggeris.

Lebih jijik apabila tiba bulan Ramadan. Melayu yang tak hafal ayat lazim pun nak pakai jubah. Jubah mereka dipanggil “jubah hipster”. Dibubuh warna-warni. Disendatkan potongannya. Sedangkan, jubah berbeza dengan suits–waima dengan baju kurung–di mana saiznya tidaklah boleh disendatkan sangat. Ia harus agak longgar, walaupun tidaklah gedobos sangat.

Ada dua sultan yang sangat menyanjungi baju Melayu, iaitu Sultan Selangor dan Sultan Perak.

Sultan Selangor misalnya, Baginda sangat menjaga tradisi baju kurung Melayu dengan sangat cermat. Baginda ada gaya songkok tersendiri–walaupun songkok gaya Baginda itu tidaklah popular di kalangan rakyat.

Potongan songkok itu juga berbeza dengan songkok yang ada di masjid India. Paling istimewa songkoknya berlilit hiasan.

Sultan Pahang dan Sultan Kedah pula ada gaya ikat sampinnya yang istimewa. Namun, memang agak menonjol sekiranya rakyat biasa hendak mengikat sampin seperti Sultan Pahang dan Kedah.

Bagi ku, memadai diikat sampin seperti Sultan Selangor dan Perak. Kedua baginda beberapa tahun ini mengenakan samping tenun yang tidak punya corak berlebih-lebih seperti yang selalu dipakai oleh menteri atau PM Najib Razak.

Songket yang dipakai PM itu kini lebih dikenali sebagai “songket Datuk Seri”. Harganya tidak murah. Mungkin sekitar belasan ribu. Mungkin boleh mencecah sehingga RM50 ribu sehelai.

Harga yang begitu adalah lebih sesuai untuk dipakai oleh raja-raja Melayu. Sementara, raja-raja Melayu seperti Sultan Selangor dan Perak pun sudah jarang sekali mengenakan samping bercorak lebih-lebih.

Sungguh memualkan apabila “samping Datuk Seri” kini banyaknya buatan India dan Pakistan. Sekarang dah melambak di pasaran termasuk di Bazar Ramadan Jalan TAR dan Masjid India. Dijual tak pula murah. Sampai RM1,800 sehelai.

Aku dikasi tahu, modalnya bawah RM500 sahaja dari kilang di India–siap dengan kos kapal. Itu pun berebut-rebut orang nak membeli–untuk memakai benda yang palsu. Betapa dangkalnya kita.

Sultan Selangor corak sampinnya kosong dan melintang sahaja. Tak ada bunga-bunga. Tak ada corak permata atau bunga apa pun seperti yang dipakai pak-pak menteri. Sultan Perak pula coraknya menegak. Itulah perbezaan corak–melintang dan menegak–oleh kedua Sultan itu. Bagi aku, baginda berdua adalah contoh terbaik busana tradisi baju kurung Melayu.

Sementara untuk songkok, songkok yang dipakai Tunku Abdul Rahman adalah songkok terbaik bangsa Melayu. Songkok Tunku itu berbeza dengan songkok Seokarno. Songkok Seokarno dinding songkoknya lebih tinggi daripada bumbung. Songkok Tunku bumbungnya tertonjol keluar sedikit berbanding dinding.

Dan, songkok Sultan Johor pula adalah songkok paling rendah. Tidak setinggi songkok Seokarno (Indonesia) mahupun songkok Tunku.

Songkok Seokarno hampir kesemua buatannya, hari ini, boleh dilipat. Oleh kerana ia boleh dilipat, maka di Malaysia disebut sebagai “songkok lipat”. Waktu aku kecil-kecil, aku juga ada songkok lipat. Senang untuk dibawa ke sekolah agama petang-petang.

Selain boleh dilipat-lipat untuk mudahkan aku memasukkan ke dalam beg sekolah sebelum berteromba atau main bola, songkok itu juga lebih ringan. Maka, songkok lipat memang sangat sesuai untuk anak-anak sekolah.

Beza songkok Tunku adalah ia agak tirus di bahagian atas. P Ramlee, Usman Awang dan ramai lagi budayawan Melayu juga tidak dapat songkok begitu.

Semuanya seperti pak-pak menteri sekarang di mana songkok mereka agak berbentuk bulat di bahagian bucu atas. Ada sesetengahnya memang sangat bulat sehingga kelihatan dah macam tarbus.

Songkok bukan tarbus. Songkok adalah songkok.

Ia harus berbeza dengan tarbus. Sebab itu juga, songkok tidak boleh terlalu tinggi seperti yang dipakai segelintir penari zapin. Aku sungguh tak faham, sejak bila penari zapin pakai songkok yang sangat tinggi.

Penari zapin dahulu kala pun tidaklah bersongkok terlalu tinggi. Lagi yang pakai songkok tinggi adalah geng-geng Umno. Atas sebab itu, songkok tinggi selalu dikaitkan dengan Umno, atau dipanggil sebagai sebagai “songkok Umno”.

Majoriti orang Melayu bukan orang Umno. Mereka memerlukan panduan berpakaian Melayu. Maka, kedua Raja Melayu tadi, yakni Sultan Perak dan Sultan Selangor adalah contoh terbaik yang ada hari ini untuk melihat bagaimana seharusnya orang Melayu berpakaian persalinan Melayu mereka.

Dari sana kita bisa mengukur ketinggian tamadun Melayu. Oleh bangsa yang sedar bahawa mereka juga punya kaedah pemakaian tradisi mereka. Seperti juga bangsa-bangsa besar lainnya di dunia.

Kita duduk sama tinggi. Kita berdiri sama rendah.

Melainkan kita sanggup jadi seperti orang mabuk gonjeng berpakaian; yang hari ini kita kenal sebagai “hipster”. Sehebat mana pun mereka, takkan terlawan tradisi yang sudah sedia kala ada.