Dan akhirnya, peninju terbaik sepanjang zaman kita menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital di Phoenix, 4 Jun 2016. Selama bertahun-tahun beliau bergelut dengan penyakit Parkinsons–yang dihidapinya semasa dalam kerjaya peninju–dia meninggalkan dunia ini setelah mendiami selama 74 tahun. Tapi siapa dia sebenarnya? Siapa Muhammad Ali dan mengapa sosoknya begitu menonjol berbanding gergasi-gergasi tinju yang sedia ada?

Aku tidak pernah hidup sezaman dengan arwah. Malahan aku pasti banyak orang dari generasiku tidak begitu mengenali Muhammad Ali–selain daripada hakikat bahawa dia seorang peninju. Tapi itu bukan salah mereka pun. Kegemilangannya bermula 1964, apabila dia menewaskan Sonny Liston, juara heavyweight pada zaman itu. Sebelum itu, Muhammad Ali hanya seorang budak kulit hitam yang bermulut murai dari Louisville, Kentucky. Tiada siapa benar-benar mempedulikannya dan tiada siapa sedar potensi apa yang bakal dibawanya malam itu.

Sonny Liston ialah peninju yang digeruni dan dia bernaung di bawah kongsi-kongsi gelap New York. Sebelumnya, juara heavyweight tersandar pada Floyd Patterson, yang juga dikenali sebagai The Gentleman of Boxing. Mereka dua ini ialah contoh lelaki negro ketika itu: sama ada kau dipergunakan untuk kerja-kerja jenayah seperti Liston, atau kau taat menunduk seperti Patterson. Tidak lebih. Tiada siapa yang berani untuk menjadi selain daripada itu.

Tapi Ali memungkiri konvensi-konvensi zaman itu. Bukan sahaja dia cemerlang di atas gelanggang, mulutnya yang tidak putus-putus “thrashtalking” itu (sebelum pertarungan: Liston is a tramp! I’m the champ. I want that big ugly bear!) juga dimanfaatkan untuk hal-hal di luar gelanggang. Tapi itu nanti. Kita selusuri semula jejak-jejak gelanggangnya.

Di gelanggang tinju, Ali telah bertarung dengan gaya-gaya yang tidak terfikirkan pada zamannya. Itu sendiri diakui oleh Angelo Dundee, jurulatih peribadinya. Itu juga yang diperhatikan oleh Cus D Amato, yang seterusnya akan mengajarkan seorang lagi gergasi tinju iaitu Mike Tyson pada generasi seterusnya. Ali menggabungkan kepantasan dan kekuatan sebagai senjatanya semasa bertarung.

Dia bergerak terapung-apung seperti rerama dengan kakinya yang laju dan tangan kirinya pantas menghinggap tubuh musuh seperti sengatan lebah. Pada waktu itu, heavyweight hanyalah peninju-peninju besar yang berbadan raksasa. Mereka tidak pantas dan mereka bergantung banyak kepada tenaga tumbukan, berbanding pergerakan lincah di atas gelanggang. Sebab itu apabila kita teliti semula video-video lama beliau, dia lebih kelihatan seperti menari berbanding bertinju. Pertinjuan Ali ialah sebuah tarian!

Banyak orang yang bertanya soal kelancangan Muhammad Ali. Tentang mulutnya yang celupar dan biadap dan tidak henti-henti memuntahkan kata-kata yang mendidihkan darah seteru-seterunya. Malahan, kadang-kadang ia dilontarkan dalam gaya yang begitu puitis dan beritma. Di sini, David Remnick di dalam The King of the World merakam semula kata-kata Floyd Patterson:

Thats why I always knew that all of Clay’s bragging was a way to convince himself that he could do what he said he’d do. I never liked his bragging. It took me a long time to understand who Clay was talking to. Clay was talking to Clay.

Di luar gelanggang, Muhammad Ali aktif sebagai pejuang hak asasi dan penentang tegas Peperangan Vietnam. Dia dilihat sebagai simbol kekuatan orang-orang Afro-Amerika yang ditindas oleh kezaliman sistem. Dia berbangga dengan kulit hitamnya dan dia berkali-kali menekan itu. Sukar untuk kita bayangkan masyarakat Afro-Amerika di sana tanpa sumbangan Ali.

Semasa dia disenaraikan untuk dikirim ke Vietnam demi membanteras Vietcong, Ali menolak. Langkah itu tentunya kontroversi. Pihak kerajaan telah mengugut supaya kejuaraannya ditarik atas kedegilan beliau, dan Ali tetap dengan pendiriannya sendiri. Dari kejadian ini kita boleh mengutip semula kata-kata beliau yang terkenal itu:

“Why should they ask me to put on a uniform and go 10,000 miles from home and drop bombs and bullets on Brown people in Vietnam while so-called Negro people in Louisville are treated like dogs and denied simple human rights? No I’m not going 10,000 miles from home to help murder and burn another poor nation simply to continue the domination of white slave masters of the darker people the world over. This is the day when such evils must come to an end. I have been warned that to take such a stand would cost me millions of dollars. But I have said it once and I will say it again. The real enemy of my people is here. I will not disgrace my religion, my people or myself by becoming a tool to enslave those who are fighting for their own justice, freedom and equality. If I thought the war was going to bring freedom and equality to 22 million of my people they wouldn’t have to draft me, I’d join tomorrow. I have nothing to lose by standing up for my beliefs. So I’ll go to jail, so what? We’ve been in jail for 400 years.”

Ini seterusnya menyemarakkan beberapa siri demonstrasi anti peperangan yang terbesar di jalan-jalan Amerika Syarikat. Disebabkan ini, Ali tidak dapat bertinju selama empat tahun. Kes ini berleretan; dibawa sehingga ke Mahkamah Persekutuan, yang akhirnya dimenanginya. Sesudah mendapat lesen bertinju, Ali menyasarkan semula gelaran kejuaraan. Kali ini, juara heavyweight ialah George Foreman, yang baru menumbangkan Joe Frazier.

Ali menewaskan Frazier dan mencabar Foreman di Zaire untuk merebut semula gelarannya. Perlawanan itu, yang seterusnya dipanggil perlawanan yang terbesar pada zaman itu, dipanggil Rumble in the Jungle. Itu tahun 1974, sepuluh tahun selepas Ali memenangi kejuaraan dunianya yang pertama dengan Liston. Dengan teknik rope a dope, Ali menendang keluar Foreman sebelum berakhirnya pusingan kelapan.

Banyak hal yang kita boleh kutip daripada Ali. Dia bukan insan biasa seperti peninju tipikal yang kau boleh tontoni di HBO yang banyak berlagak dan hanya hidup dikelilingi wanita cantik, kereta besar, dan banglo mewah. Dia terlibat ke dalam masyarakat dan mengilhamkan watak-watak di sekitarnya.

Dia ialah hero antarabangsa yang meyakinkan kita bahawa manusia biasa juga dapat mengatasi keterbatasan yang dihenyakkan kepadanya–meskipun ia datang dalam pukulan-pukulan yang menggugat. Muhammad Ali ialah bintang yang membakar terang di angkasa abad kedua puluh. Dan cahayanya telah menerangi setiap penjuru kosmos yang digelap-gelitakan oleh kebencian, peperangan, ketidakadilan, dan sentimen-sentimen hanyir. Wartawan Amerika Hunter S. Thompson menyusun:

That was always the difference between Muhammad Ali and the rest of us. He came, he saw, and if he didn’t entirely conquer-he came as close as anybody we are likely to see in the lifetime of this doomed generation.

Aku teringat sebuah petang, seusai aku habis berlatih dengan jurulatihku Rosli Razak–wakil peninju Malaysia untuk kejuaraan Asia 1977–dia membuka cerita, sambil menanggalkan sarung tinju hitamnya. “Dulu pakcik pernah sparring dengan Muhammad Ali semasa dia datang KL. Pada waktu itu, dia sedang bersiaga untuk melawan Joe Bugner di Stadium Merdeka.”
Aku menjegilkan mata. Aku tidak pernah dengar dia menyebutkan hal itu. “Bagaimana dia, pakcik?”

“Oh, dia lucu,” kata Rosli Razak sambil tersengih memandang tangan berkedutnya. “Kami kering gusi mendengarnya berkata-kata. Walaupun kadang-kadang kami tak faham pun. Dia memanggil pakcik dari tepi dan mengajak pakcik light sparring. Pakcik pun turutkanlah. Siapa tak nak berlawan Muhammad Ali, kan?”

Kami ketawa. Dua gelas cawan teh yang tersedia di atas meja mengepulkan aroma hangat dan wangi. “Ya, Muhammad Ali. Dapat jumpa pun dah tentu rasa bangga,” balasku.

Rosli Razak mencicip teh panasnya. Dia kelihatan teragak seketika. Kemudian dia menyambung, “dia peninju yang paling cantik pakcik pernah lihat di atas gelanggang. Dia tidak bertinju pun. Dia hanya menari. Dan lawan-lawannya tumbang semasa mereka asyik melihat Muhammad Ali menari; menghantar tumbukan kiri.”

Aku tidak pernah lihat jurulatihku tersenyum begitu. Barangkali ia kenangan termanisnya sebelum saraf-sarafnya juga dimakan Parkinsons dan akhirnya bersara–seperti hero tinjunya itu. Dalam diam, kecemburuan melingkar. Sudah pasti itu satu penghormatan besar buat guru tinjuku untuk bertemu dengan peninju paling penting abad itu.

“Dia memang champion,” sambung jurulatihku lagi, memandangku. “Dia memang champion. Tiada siapa boleh mencapai keagungan dalam sukan tinju seperti dia lagi.”

Aku mengangguk. Dalam diam, aku setuju.


Johan Radzi, mahasiswa undang-undang UiTM dan peminat tinju.