Sebuah kugiran rock dari Sungai Buloh yang dianggotai oleh Syafi’e, Amin, Omar, Nadz, Que. Ramayan mahu menjadi kugiran rock yang “pure and raw” macam batu, kata Syafi’e dalam satu wawancara dengan The Wknd. Ramayan juga mengambil The Beatles dan kugiran-kugiran 50an-70an sebagai inspirasi untuk mereka kembali mencari rasa yang kasar sebagai kugiran rock. Rasa inilah yang diterjemahkan ke dalam lagu-lagu mereka.

Ramayan mencari kelainan dari banyak kugiran sekarang ini supaya tidak terlarut dalam trend digitalisasi musik yang berlebihan. Profail yang dikirimkan kepada media menuliskan bahawa genre musik yang mereka bawa adalah nusantara psychedelia yang menggabungkan balada pop, hard rock, blues dan irama Melayu. Penulisan liriknya juga agak berbeza dan menggunakan laras bahasa yang baik. Mungkin pengaruh daripada sastera Melayu seperti yang dinyatakan dalam profail mereka.

EP yang mengandungi lima lagu ini dijangka akan terbit pada bulan Julai dan diluncurkan pada Ogos tahun ini. Sudah tentu lagu seperti Oh Dewiku akan menjadi kegemaran ramai tidak lama lagi. Boleh dikatakan, selepas Pitahati ini adalah taruhan terbaru Luncai Emas.