Wajarkah orang awam mengulas dan membincangkan sesuatu hal yang bukan bidang kepakaran mereka?

Soalan yang sering memberikan jawapan yang falasi daripada pakar/cedekiawan dalam sesuatu bidang atau orang awam tertentu dengan menidakkan hak orang awam untuk mengulas tentang bidang tertentu.

Hal ini terjadi apabila golongan yang bukan berlatar belakang agama mengulas isu atau bidang agama tertentu dengan ego, sekadar akal, hadis palsu/dhaif, emosi dan berbagai lagi hal yang bercanggah dengan fundamental agama tersebut.

Malah, golongan ustaz dan ustazah juga kadang kala mengulas hal sains yang tidak selari dengan fakta sains, memfitnah fahaman dan ideologi yang mereka sendiri tidak fahami. Malah, pegawai pemasaran yang menjual agama dan mengulas sains palsu demi melariskan jualan mereka.

Lanjutan daripada polemik tersebut, terdapat beberapa cendekiawan/pakar dan orang awam mencemuh dan melarang individu untuk mengulas hal yang bukan bidang mereka.

Namun, adakah itu penyelesaiannya?

Seharusnya, sesiapapun berhak untuk mengulas apa-apa isu walaupun bukan bidang kepakaran mereka. Seperti perempuan yang tidak bertudung boleh mengulas tentang hadis, Ustaz dan Ustazah boleh mengulas tentang DNA, pegawai pemasaran mengulas tentang agama dan sains, dan orang awam mengulas sesuatu ilmu yang mereka tidak pernah belajar secara formal sekalipun.

Namun, tidaklah sewenang-wenangnya sesiapapun untuk mengulas akan hal yang bukan bidang kepakaran masing-masing secara semborono. Setiap ilmu dan bidang mempunyai disiplin ilmu dan garis panduan masing-masing. Seperti, sains dengan bukti empirikal atau pembuktian matematik, hadis dengan sanad dan perawi yang sahih, ideologi dengan teks asal dan praktikalitinya.

Jadi, sesiapapun sama ada orang awam atau cendekiawan/pakar bidang tertentu, haruslah mengulas, membincangkan, dan berkata tentang sesuatu ilmu dengan disiplin ilmu di dalam bidang tersebut.

Tetapi, bagaimana sekiranya golongan tersebut tidak mahu mengikut garis panduan ilmu yang ditetapkan oleh ilmuan bidang tersebut dengan alasan ianya tidak lagi relevan, kuno, bersifat autoriti, dan tidak sesuai untuk zaman mutakhir ini.

Analogi ini suka saya simpulkan berkenaan kisah perdebatan antara Isssac Newton dan Christiaan Huygens. Newton sebenarnya mendakwa cahaya adalah zarah manakala Huygen mendakwa cahaya adalah gelombang. Masing-masing membawa hujah, bukti, dan analisis mereka sendiri. Namun, orang ramai lebih menerima pandangan Newton kerana bukti yang dikemukakan adalah sangat meyakinkan dan mampu menjelaskan teori pelangi daripada cahaya putih pada ketika itu.

Teori cahaya adalah zarah diterima daripada kurun ke-16 sehinggalah kurun ke-19 apabila Young, Fresnel, dan Maxwell menggoncang dunia sains dengan pembuktian baru yang mengkelaskan bahawa cahaya adalah gelombang apabila alatan untuk mengukur semakin canggih. Ramai saintis mula mengakui yang Huygen adalah benar dan Newton adalah silap. Buku teks sekolah, jurnal, buku dan berbagai lagi mula ditukar dan mengatakan bahawa cahaya adalah gelombang. Namun, masih terdapat saintis yang masih lagi bermazhab Newtonion dengan mengatakan cahaya adalah zarah dalam menjelaskan beberapa fenomena dalam hal alam semula jadi.

Hertz dan Einstein sekali lagi menggoncang dunia sains dengan fenomena fotoelektrik yang membuktikan cahaya bersifat korpuskel ataupun zarah. Maka perbalahan antara mazhab Newtonion dan Huygen semakin rancak dalam dunia sains. Namun, penyelesaian bagi perbezaan pendapat mengenai mazhab sama ada cahaya adalah gelombang atau sebenarnya zarah diselesaikan oleh de Broglie yang menyatakan bahawa cahaya bersifat zarah dan gelombang, dan zarah juga bersifat zarah dan gelombang. Yakni, Huygen dan Newton adalah sama-sama benar. Cahaya bersifat zarah dan cahaya juga bersifat gelombang. Pembuktian yang dilakukan oleh alatan sains yang makin canggih membuktikan bahawa kenyataan de Broglie adalah benar.

Kisah perdebatan epik yang berlanjutan selama beratus-ratus tahun tidak disulami dengan pembuktian semborono atau bukti yang tidak jelas dan nyata. Mereka mengikut disiplin ilmu sains dengan membawa bukti yang kukuh dan nyata.
Kisah ini seharusnya diambil iktibar oleh setiap lapisan masyarakat. Bukanlah menuduh sesuatu bidang agama adalah tidak relevan dan kuno tanpa membawa hujah yang kukuh, bukanlah melabelkan liberal, komunis, sekular dan sesat tanpa memahami apakah itu liberal, komunis, dan sekular. Bukanlah mencampur aduk sains palsu dan menjual agama untuk melariskan jualan.

Hal ini juga terpakai dengan segala bidang ilmu yang ada. Sesiapa sahaja yang bukan bidang tersebut boleh mengulas, mempertikaikan, atau membuka mazhab baru dalam bidang tersebut tetapi haruslah berlandaskan disiplin ilmu. Seperti Mazhab Syafie yang diasaskan Imam Syafie walaupun berguru dengan Imam Malik yang mengasaskan Mazhab Maliki. Seperti de-Broglie, Shcrodinger, Einstein, dan lain-lain yang membuka bidang Quantum Mechanics apabila Classical Physics tidak lagi releven untuk menjelaskan semua perkara dalam dunia mikroskopik.

Konklusiya, agamawan berhak untuk berkata mengenai sains, ideologi liberal sekular komunis. Atau atheis ingin mengulas mengenai hadis, al-Quran, bible, dan kitab agama yang lain. Serta pegawai pemasaran boleh membincang mengenai sains dan agama, dan pelbagai lagi. Selagi mana apa yang dikatakan itu tidak melanggar disiplin ilmu dalam bidang tertentu itu.

Muhammad Musoddiq Jaafar, salah seorang editor di majalahsains.com.