Namanya Mustafa dan budak itu kata dia jual marijuana dan pelbagai jenis dadah lain lagi untuk sara ibunya dan adik-beradiknya di perkampungan Yala. Aku tidak berapa dengar pun. Aku dan John sedang sibuk ketawa dengan segulung ganja di tangan kami dan angin malam itu mengelus rambut kami cukup lembut. Mustafa cakap sesuatu mengenai rusuhan dan kami terlalu larut dalam khayal untuk mendengarnya.

Selepas itu, budak itu pun menghisap sekali dan kami bersandar di dinding batu kampung itu dan mendongak ke langit dan bintang-bintang yang bertaburan dan tersenyum lebar.

“Barang ini baik,” kata John.

Aku ketawa. Kemudian aku angguk. Lidahku sudah berasa kebas.

“Budak,” kata John kepada budak Siam itu. “Bagi aku sikit lagi. Esok aku pulang ke Australia. Aku nak tinggalkan bandar ini dengan memori yang baik.”

Mustafa hulurkan John segulung lagi. John nyalakan mancis lalu bakarnya.

Malam itu kami pun tidur dengan kelenaan yang luar biasa. Esok pagi, John mendakapku seraya berkata, “selamat tinggal kawan.”

“Selamat jalan John,” kataku.

Budak Siam itu pun mengekoriku sampai kami tiba di hujung pekan Krabi. Di situ ada beberapa buah kedai yang menjanjikan hidangan nasi goreng dan tom yam dan aku pun mengajaknya duduk sekali.

Mustafa tidak banyak cakap. Kulitnya gelap dan usianya sekitar belasan tahun. Barangkali dalam 17 tahun, jika tekaanku tidak silap. Kami memesan dua pinggan nasi dan empat biji telur dadar dan semangkuk Tom Yam berisikan sotong dan udang. Selepas pinggan habis licin, aku nyalakan sebatang rokok dan hulurkan kotakku kepadanya.

Dia menolak.

“Ini rokok Malaysia,” pujukku. “Rokok kami lebih sedap. Cubalah.”

Akhirnya dia ambil sebatang dan hisap. Nampaknya dia suka.

“Kau jual ‘barang’ untuk sara keluarga kau?” Aku bertanya akhirnya.

Mustafa mengunci mulut. Dia melihat ke luar jendela. Sebuah lori menjual motorsikal dengan alat pembesar suara berhenti di tepi jalan. Di sini, lori-lori menjual motorsikal memang satu kebiasaan. Orang jual buah-buahan, alat-alat elektronik, tiket-tiket pertunjukkan, dan sebagainya. Baru malam tadi John membelikan tiket Kabaret Mak Nyah untukku tonton di Pekan Ao Nang. Kerana orang belanjakan, aku pergi saja.

“Kami tiada wang. Adik kecil aku perlukan duit untuk bayarkan buku-buku sekolahnya.” Akhirnya budak itu meluahkan, dalam bahasa inggeris yang telor.

“Mana pergi ayah?”

“Ayah dah tak ada. Dia ditembak askar beberapa bulan lepas.” Jawabnya tanpa perasaan.

Aku mengangguk. Timbul sedikit rasa kesal kerana bertanyakan soalan itu kepada budak ini. Aku membayar makanan dan menghantarnya balik ke Pekan Ao Nang dengan sebuah van. Sebenarnya itu adalah idea John untuk mengheret budak itu sama-sama menghisap ganja bersamanya sekali di Pekan Krabi. Siap dibelanja makan malam sekali. Dia anggap itu tugasnya sebagai orang kulit putih untuk warga-warga negara dunia ketiga. Orang dari negara kaya harus membelanjakan wang untuk masyarakat negara-negara miskin. Lagi-lagi yang dilanda rusuhan. Aku langsung malas untuk mempersoalkan pandangan sosio-politiknya yang aneh itu. Aku datang ke sini untuk mencuba makanan eksotik dan tangkap foto untuk dimuatkan ke dalam instagram.

Kami duduk di tepi jeti Pekan Krabi sementara menunggu van mengumpul penumpang. Di depan kami bot-bot nelayan singgah dan belayar. Tong-tong sarat ikan dan lelaki-lelaki tua dengan tubuh yang gelap dan sasa menyapa kami apabila mereka lalu. Kulit mereka hangus dibakari matahari. Aku dan budak itu menghisap rokok sekali lagi dan memerhatikan suasana yang terdampar di depan kami. Kapal-kapal berkarat beroleng lembut di atas laut. Angin monsun bertiup lembut memberus rambut kami, baju kami, daun-daun yang merimbun di dahan pokok sena tidak jauh daripada tempat kami duduk. Bau laut yang menerpa hidung; masin dan keras. Sekawanan camar datang menghinggap tepi jeti. Beberapa lagi datang menyusul apabila seorang perempuan tua bertudung lusuh menaburkan secupak bijiran di lantai. Kami memerhatikan semua ini dengan diam. Segala-galanya begitu tenang dan sunyi. Hanya deruman enjin motor dan cicipan burung sahaja yang sesekali timbul.

Seorang nelayan mengangkat tangan menyapaku. Aku membalasnya dengan senyuman. Di sini kebanyakan warga masyarakatnya datang dari Selatan Thai. Lebih kurang 40% penduduknya menganut agama islam. Sebahagian daripada mereka mangsa pelarian perang dari Pattani, Songkhla, dan Narathiwat. Budak itu memandang terus. Keras dan kaku seperti patung.
Hari masih awal.

Aku hulurkan lima ratus baht kepada Mustafa sebelum van berlepas. “Ambil ini. Untuk adik kamu.”

“Kapungkrap,” dia ucapkan dengan mata yang berkaca. Dia menoleh supaya aku tidak nampak wajahnya yang hendak menangis itu.

Roda vannya berputar dan itulah kali akhir aku nampak budak itu. Aku ada lagi satu malam di sini sebelum penerbanganku pulang ke Kuala Lumpur dan aku memutuskan untuk meneroka pekan ini dengan lebih rajin, dengan harapan aku boleh temui beberapa toko buku yang menarik dan memborongnya untuk tunjuk kepada kawan-kawanku di tanah air.
Pada hari terakhir – Ahad, aku pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki Tuk-Tuk untuk ke lapangan terbang. Pemandu Tuk-Tuk, Ibrahim, berceloteh panjang tentang nasib orang-orang islam yang dibantai di perkampungan.

“Semasa kamu solat pun, mereka akan menembakmu dari belakang dengan mesingan. Mereka ketuk pintu pada waktu malam dan merampas anak-anak perempuanmu.”

Sampai di lapangan terbang, dia menyalamiku dan menghadiahkanku sebuah kitab Al-Quran kecil. “Jangan lupakan kami, Ridhwan. Titipkan doa buat kami supaya kami aman.”

Semester baru bermula dan aku tidak dengar langsung tentang Mustafa, sampailah enam bulan kemudian. Aku sedang berada di dewan kuliah menanti syarahan Undang-Undang Antarabangsa apabila aku terbaca di laman akhbar mengenai sindiket pengedaran dadah di Thailand. Beberapa orang telah mati terbunuh dalam operasi tergempar polis di sekitar bandar Bangkok dalam memerangi sindiket narkotik di negara siam itu. Dan wajah budak yang kujumpai di Krabi itu terselit sekali di celah wajah-wajah yang turut terkorban. Menurut akhbar, dua das tembakan telah menamatkan riwayatnya.

Johan Radzi, mahasiswa undang-undang UiTM