Bapanya seorang guru. Punya sekolah sendiri. Di daerah yang baginya “syurga”: itulah Lembah Swat.

Pada 2004, ketika umurnya empat tahun, Taliban mulai masuk ke lembah berkenaan. Waktu itu, Taliban tidak masuk dengan senjata. Mereka datang dengan salam, dan antara yang pertama khidmat yang ditawarkan adalah untuk mendirikan mahkamah. Di Pakistan, banyak kes yang tertangguh sehingga banyak juga orang yang mati dengan kes masih belum selesai. Di celah-celah gunung dan bukit batu, di Utara Pakistan, semakin ramai orang yang mulai terpengaruh dengan khidmat dan usaha Taliban menyelesaikan masalah masyarakat.

Wajah sebenar Taliban terpapar tiga tahun selepas itu. Mereka mula menghunus senjata. Satu demi satu penculikan berlaku. Sekolah juga mula dipaksa tutup. Empat ratus jumlah keseluruhannya. Termasuk sekolah milik bapanya. Anak-anak perempuan diperintah bukan sahaja tidak boleh ke pasar, bahkan tidak boleh lagi ke luar rumah. Apatah lagi ke sekolah. Hujahnya, membiarkan anak ke sekolah adalah sebahagian daripada “sekularisme”. Oleh kerana ia sebahagian daripada “sekularisme”, maka ia ‘bertentangan dengan Islam’. Apa sahaja yang bertentangan dengan Islam, harus dihapuskan.

Di Lembah Swat, yang ada kesemuanya sekolah rendah. Tidak ada sekolah menengah. Tidak ada bekalan air yang konsisten. Elektrik juga hanya beberapa jam sehari. Apabila elektrik putus, maka air juga terputus. Ketika Taliban sampai, mereka jugalah yang banyak membantu untuk mesyarakat mendapatkan bekalan elektrik daripada generator. Sebelum semuanya berubah pada 2007, seperti yang diceritakan oleh Malala.

Dia pun tidak dapat menerima bahawa dia tidak boleh lagi ke sekolah. Pada umurnya 10 tahun, dia mulai melancarkan kempen di kalangan kawan-kawan sekolah untuk menentang idea melarang anak perempuan daripada ke sekolah. Sejak itu, hidupnya sudah tidak sama lagi.

Di tahun 2013, seluruh Lembah Swat hampir dikuasai puak Taliban. Undang-undang syariah mahu dipaksakan. Sesiapa yang menentang, peluru akan menembusi kepala. Dalam keadaan yang semakin tegang, Malala terpaksa meninggalkan Swat—yang bagi Malala, lembah itulah syurga kedua selepas syurga di akhirat nanti. Perang antara puak Taliban dan pasukan tentera Pakistan mula tercetus. Swat jadi kosong. Termasuk Malala, dua adiknya, ibunya, bapanya melarikan diri.

Malala anak yang petah. Tak cuma pandai bercakap, dia juga mempunyai pandangan yang tidak sewajarnya untuk seorang anak yang berusia sebelas tahun. Ketika perang pecah, ketika “syurga” itu sudah menjadi medan pertempuran antara tentera Pakistan dan puak Taliban, melalui bapanya, wartawan antarabangsa pun melaporkan keadaan di Swat. Dengan wajah yang masih terlalu muda dan kemerah-merahan, nama Malala mulai jadi perhatian. Begitu sekali, ketika wartawan The New York Times menemubual bapanya, Malala sempat mencelah berkata dia hendak ke sekolah. Dia telah ada cita-cita. Menjadi seorang doktor. Sehabis kata-kata itu, Malala teresak-esak.

Dia menangis mungkin segera membayangkan bagaimana cita-cita menjadi doktor sudah hancur. Di atas undang-undang syariah Taliban, dia sudah tidak boleh lagi ke sekolah. Apabila perang reda mesti belum ada jaminan keselamatan apa-apa, dia dan keluarganya memberanikan diri untuk pulang ke Lembah Swat. Mereka pun sampai ke rumah mereka. Melihat ayam belaan mati kelaparan. Kemudian, terus ke sekolah bapanya. Di sana, Malala temukan bilik-bilik kelas ada kesan diduduki sebagai kubu tentera Kerajaan Pakistan. Maka timbul juga rasa untuk berbangga.

Turut ditemukan beberapa catatan. Di dinding. Pada buku-buku tulis milik murid sekolah. Tercatat puisi-puisi kepada tanahair yang ditulis tentera kerajaan. Tentang perasaan mereka. Mempertahankan tanahair daripada musuh yang menjadikan agama sebagai alasan perjuangan. Mereka pula seagama.

Meski keadaan sudah reda, tetapi puak Taliban masih berlegar di kawasan-kawasan rahsia. Ada di kalangan mereka yang duduk bersama penduduk tempatan yang sudah terpengaruh dengan pemikiran agama yang keras dan pro kemilitanan. Sekolah pun dicuba dibuka semula. Iaitu sekolah bapa Malala. Malala memanggil mana-mana kawannya yang dapat dia temukan, yang hilang untuk tempoh enam bulan kerana perang. Diajak kembali ke sekolah. Bagi Malala, adalah sebuah kegembiraan dengan seragam sekolah, membaca bersama di dalam bilik darjah, menulis, membaca dan bermain sebagaimana wajarnya murid sekolah.

Tak semua mahu kembali. Ada yang takut. Lebih-lebih lagi diancam bunuh. Bakal ditembak mati.

Dengan bas sekolah yang di Malaysia hanya persis lori sayur, Malala ke sekolah seperti biasa. Memberanikan diri. Walaupun sejak tahun 2012, namanya sangat dikehendaki puak Taliban apabila dia begitu lantang mempertahankan bahawa bersekolah dan mendapat pendidikan adalah hak semua kanak-kanak. Termasuk dirinya. Termasuk kepada kawan-kawannya. Malala kala itu sudah menggunakan apa juga media untuk menyampaikan keyakinannya tentang perihal pendidikan.

Di suatu siang, ketika bersama kawan-kawan di dalam bas sekolah, dua lelaki mendekati. Keduanya bersenjata. Seorang menahan pemandu bas. Seorang lagi ke bahagian tempat duduk di belakang. Bertanyakan, “Siapa Malala?”

Malala belum sempat menjawab. Dia hanya mengganggam tangan. Senapang dihalakan ke arah kepalanya. Tembakan terdengar. Malala merunduk. Dadah cucur dari bahagian kiri kepala. Sebelum dia rebah. Kesan darah juga memuncat terkena bahagian tempat duduk bas sekolah.

Sejak hari itu, dunia memandang ke arah Malala. Soalan “Siapa Malala”? bukan hanya ditanyakan sang Talib yang menembak tadi. Ditanyakan juga oleh dunia. Oleh Barat, oleh pejuang hak asasi, dan sudah tentu oleh Pakistan itu sendiri.

Seperti sebuah keajaiban. Pemandu bas sekolah bergegas membawa Malala untuk dihantar ke hospital di Pensawar. Dia dirawat seorang doktor perempuan British yang baru sampai ke Pakistan. Usaha antarabangsa digerakkan. Malala yang menjalani pembedahan lima jam pun pantas diterbangkan dengan pesawat khas milik Kerajaan UAE melalui Dubai sebelum ke Hospital Ratu Elizabeth di Birmingham, UK untuk segera dirawat. Ada peluru yang perlu dikeluarkan dari dalam kepala Malala. Peluru dari senapang Taliban.

Tak siapa percaya Malala boleh hidup. Termasuk oleh doktor yang membuat pembedahan dan merawat Malala sejak mulanya. Mereka tidak percaya akankah anak kecil itu bisa diselamatkan. Beberapa bulan Malala dirawat, dia mampu kembali bisa bangun. Bisa bercakap.

Dalam satu temubual sejurus Malala stabil, dia berkata bahawa peluru Taliban tidak akan mampu untuk memberhentikan dia daripada terus berjuang mendapatkan hak persekolahan. Kepadanya, dan kepada kawan-kawannya. Serta kepada seluruh anak perempuan yang bukan hanya di Lembah Swat atau Pakistan, bahkan di seluruh dunia. Perjuangan Malala rupa-rupanya semakin besar. Dia semakin berani.

“Ini,” kata Malala dalam ucapan penerimaan Anugerah Nobel dua tahun lalu, “bukan waktunya untuk kita memberitahu kepada politikus dan pemimpin dunia betapa pentingnya pendidikan. Mereka sediakala sudah tahu hal itu. Anak-anak mereka juga dihantar ke sekolah yang bagus.”

Mungkin ada kritikan di sana. Di dalam ucapan itu sebagai penerima termuda yang memenangi Anugrah Nobel bagi keamanan, Malala menyeru untuk generasi hari ini menjadi generasi yang mengakhiri perjuangan hak sekolah untuk kanak-kanak. Di hadapannya, diterbangkan bersama kawan-kawan yang sewaktu Malala ditembak di dalam bas sekolah, ada bersama. Juga kawan-kawan baru yang memerlukan perhatian daripada yang datang dari Afrika dan Syria. Malala, seperti kata Malala, bukan hanya namanya “Malala”—yang bererti kebahagiaan sepertimana yang diberikan oleh atuknya—tetapi adalah suara lebih 65 juta anak-anak seluruh dunia yang tidak mendapat hak pendidikan.

Di dalam beberapa temubual dan syarahannya termasuk di Universiti Oxford, dia menekankan betapa pentingnya pendidikan sebagai senjata melawan keganasan, terorisme, bahkan perang. Sebagai anak kecil, dia seperti tidak mengerti bagaimana negara-negara yang kuat lagi gagah di dunia begitu mudah untuk mengantar senjata ke medan perang, tetapi tidak mampu mengirim pen ke sekolah. Di era moden ini juga, begitu manusia mampu untuk membina kapal perisai, tetapi tidak mampu untuk mendirikan sekolah. Kuasa pemerintahan dengan mudah mengirim tentera, tetapi cukup rumit dan sulit mengirim cikgu ke sekolah.

Hari ini, Malala telah mengubah cita-citanya. Ketika umurnya 6-7 tahun, dia mahu menjadi doktor. Kini dia mahu menjadi seorang ahli politik. Dia tahu, sekiranya dia menjadi doktor, dia hanya dapat merawat manusia dalam keadaan yang sangat kecil dan terhad, tetapi sekiranya dia menjadi ahli politik, menjadi pemimpin kepada bangsanya, dia boleh membantu sekurang-kurangnya ke seluruh bangsa dan tanahairnya sendiri.

“Saya membela termasuk anak-anak Taliban itu untuk mendapatkan hak pendidikan.” Bagi orang dewasa, mungkin kata-kata begitu terdengar naif sekali. Malala sesungguhnya bukan sahaja bercakap tentang pendidikan, jauh daripada itu dia sesungguhnya menampilkan arti kemanusiaan.

Ibu, bapa dan adik-adiknya tentu berbangga meski Malala sudah kehilangan senyuman sepertimana senyuman sebelum dia ditembak. Justeru di dalam setiap kali ucapannya, pasti dia mulakan, di atas nama Tuhan; Tuhan yang Maha Pemurah, Maha Pengasih” sebagai sebuah keyakinan asas agama sepertimana yang diajarkan oleh ibunya.

Hasmi Hashim, atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai JalanTelawi.