“Kasar sangat”, kata seorang kawan, menjegil mata membaca tajuk.

Bagi yang pernah membaca karya Animal Farm, ‘si babi’ pada tajuk tidaklah secara langsung merujuk kepada ahli politik kita hari ini. Tetapi ia merujuk kepada watak Napoleon (seekor babi) serta konconya yang lain dalam dongeng satira politik ini.

Adapun untuk berpandangan bahawa watak puak babi tersebut menggambarkan wajah sebenar ahli politik kita hari ini, ia terserah kepada pembaca.

Membaca karya yang ditulis pada 1944 ini di tengah kacau bilau politik Malaysia masani, seakan-akan bacaan yang tepat.

Ia mengisahkan hari-hari berlalu sekawanan haiwan di sebuah kandang milik Mr Jones, selepas dengan tekad segala macam spesis haiwan yang mendiami kandang tersebut melakukan revolusi dengan menggulingkan ketuanan Mr Jones serta mengusir manusia dari ladang itu.

Dengan latar masyarakat serta sistem pemerintahan England, tanah tersebut hanya satu-satunya ladang yang diperintah sendiri oleh haiwan. Manusia diisytihar sebagai musuh haiwan.

“Empat kaki baik, dua kaki jahat”, laungan keramat Binatangisme yang diulang-ulang dalam menanam sentimen permusuhan terhadap manusia.

Itu sebahagian daripada Rukun 7 yang ditulis seawal pasca revolusi menggulingkan tuan ladang mereka sendiri. Antara rukun lain, ‘Binatang tidak boleh membunuh binatang yang lain’ dan ‘Semua binatang adalah setara’. Tetapi, apa yang berlaku saban hari kemudiannya, menyaksikan idealisme itu sendiri diratah rakus.

Dengan segala macam fakta yang ditokok-tambah, maklumat yang diputarbelit, terus menerus si babi dan konco-konconya membunuh idealisme yang mereka sendiri bina sebelum revolusi mengguling manusia. Kononnya atas tujuan dan alasan-alasan yang direka, disokong oleh statistik-statistik yang direka agar dilihat saintifik tetapi sukar difahami puak haiwan yang lain.

Dek kerana kemahiran mengeja membaca yang sangat terhad, puak babi dengan mudah mengadakan siri-siri pembohongan, penipuan dan tohmah mudah sekali dipercayai. Ia sekurang-kurangnya membawa diri kita dalam menginsafi kepentingan ilmu dan kefahaman.

Barangkali, ia sesuai dengan slogan pencerahan yang dibawa kuat Kant, ‘Sapare Aude!’ Beranilah berfikir. Sedang, keberanian tidak datang dari ruang vakum, sepertimana kemahiran berfikir tidak berdiri hanya dengan angan kosong.

Sebaliknya, keberanian dalam berfikir sangat kuat berasas kepada ilmu dan pengetahuan – sesuai dengan wahyu pertama Tuhan kepada Nabi Muhammad, bacalah!

Manakala sikap ‘pak turut’ Boxer si kuda tiada dapat disangkal berakar kepada kegagalan untuk berfikir, justeru mudah dikelirukan. Doktrin dan sentimen ditanam menggantikan rasional dan akal fikir.

‘Politics of fear’ juga dijayakan kaum elit si babi, dengan beberapa ekor anjing yang diasuhnya sendiri sejak kecil. Pantas anjing-anjing menyalak liar dan menunjukkan set gigi tajam mereka apabila ada haiwan lain cuba mula mempersoal atau membantah keputusan Napoleon.

Soalan-soalan yang lahir melalui gerak fikir rasional, dibantutkan dengan soalan-soalan berbaur ugutan, seolah-olah bala bencana bakal menimpa dengan ketidakpatuhan kepada elit sang babi.

“Mahukah kalian penindasan haiwan dan penghambaan kepada manusia sewaktu era Mr Jones berulang kembali?”

Secara tidak langsung ia terkait dengan budaya menakut-nakutkan rakyat awam di dunia realiti. Pihak berkuasa dengan segala macam akta pencegahan tidak sepenuhnya berfungsi dalam menjaga kemananan sejagat, sebaliknya menjaga survival politik manusia berkepentingan.

Ah, apa sajalah yang difikirkan ahli-ahli politik itu kalau bukan kemenangan mereka bersama kroni setiap pilihanraya umum. Meminjam kata-kata Dr Siddiq Fadzil, gejala ‘short-termism’ kotak fikir ahli politik ini, habis dibajaknya segala perancangan mapan yang jauh kehadapan, kearah pembangunan masyarakat negara yang sejahtera hanya demi menjaga kepentingan puak mereka.

Mungkin, ini termasuk dalam apa yang disebut oleh Prof Al-Attas sebagai ‘pemimpin palsu’. Tiada memiliki taraf moral mahupun tahap intelektual dan spiritual yang tinggi sebagai sebuah syarat kepemimpinan, akan menjadikan mereka kehilangan adab. Seperti blok-blok domino, ia punya akibat dan kesannya. Semakin jauhnya dari adab pula akan mengabsahkan kezaliman, yang pada gilirannya menampakkan kekeliruan dalam memandang ilmu, hak dan kebenaran.

Menutup karya dongeng politiknya, G. Orwell mengakhiri dengan perenggan akhir, detik manusia dan kaum elit babi duduk semeja di dalam rumah dengan diperhatikan oleh haiwan lain melalui sipi tingkap dapur;

“Dua suara berteriak-teriak marah dan semuanya mirip. Tiada persoalan lagi kini apa yang telah terjadi pada wajah-wajah babi. Makhluk-makhluk di luar beralih melihat daripada babi kepada manusia, kemudian daripada manusia kepada babi, dan kemudian sekali lagi daripada babi kepada manusia, namun mustahil kini untuk membezakan antara kedua-duanya.”

Kamil Yazid, mahasiswa Sarjana Muda Syariah & Undang-Undang, USIM.