Mevlana Jalaluddin Rumi (men. 17 Dis 1273), merupakan seorang ilmuwan Muslim, cendekiawan dan penyair, hidup pada masa kekacauan dan huru-hara. Beliau menulis karya abadinya berkenaan iman, cinta, kesetiaan dan toleransi apabila gerombolan Mongol melakukan kekacauan di tanah air Muslim. Menentang barbarisme askar penceroboh, beliau mengajar kesabaran, kesederhanaan dan komitmen yang tidak berkompromi pada kebenaran dan keindahan. Melihat pada keekstriman dan kehodohan dunia yang kita diami sekarang ini, beliau sangat relevan pada hari ini seperti mana dahulu.

Jawapan terbaik kepada kegilaan dunia moden adalah dengan menggali semula pesanan Rumi. Daripada tembakan di sekolah dan dadah kepada perang, terorisme DAESH (ISIS) kepada tetaksuban perkauman, banyak kejahatan pada pemerintahan dunia sekarang boleh diselesaikan jika kita ingat siapakah kita dan mengapa kita sebahagian daripada alam semesta ini. Rumi telah memberikan beberapa jawapan yang paling mendalam terhadap persoalan-persoalan yang besar ini.

Rumi dikenali sebagai seorang mistik, tetapi memandangkan salah faham tentang istilah ini, ia agak mengelirukan. Rumi adalah seorang sarjana kelas pertama dalam pengajian Islam dan mengajar di sebuah madrasah di Konya Turki di mana dia dikebumikan. Beliau adalah seorang yang taat beriman, seorang pemikir yang mendalam dan seniman. Karyanya menggabungkan kecerdasan manusia yang terbaik, kebijaksanaan yang berterusan dan keindahan kerohanian. Rumi mentakrif dirinya sebagai hamba yang merendah diri kepada Tuhan dan pengikut yang taat kepada Nabi Muhammad. Kesejagatan bahasa beliau diperkuatkan oleh asas pembelajaran Islam. Beliau bukan seorang guru zaman baru mahupun spiritualis yang berdolak dalih. Beliau adalah seorang Muslim yang berfikiran tajam dan berjiwa besar.

Rumi adalah seorang ahli falsafah dalam erti asal istilah sebagai pecinta kebijaksanaan (philo-sophia) dan dengan itu telah memecahkan kategori palsu seperti akal lwn iman, logik lwn transenden dan fakta lwn nilai. Beliau kritikal kepada ahli-ahli falsafah rasionalis, mempersenda keraguan kosong mereka dan menyuruh mereka untuk “menghentak kepala mereka di dinding”. Ini disebabkan bukan beliau menolak akal, tetapi disebabkan beliau percaya rasionalisme mentah melanggar sifat asas semulajadi akal. Tidak seperti Immanuel Kant yang mencuba menghadkan akal menggunakan prinsipnya sendiri, Rumi melakukan juga dengan mengikat semuanya kepada arahan perkara yang tertinggi. Beliau berdasarkan pemikirannya mengenai “falsafah sebagai latihan kerohanian” dan menggesa “akal yang terbatas” untuk memperoleh keadaan “akal yang sejagat.”

Rumi membentangkan pandangan holistik tentang kewujudan dengan segala yang lain saling berkaitan. Tiada apa yang masuk akal apabila dicabut dari tempat asalnya dalam rantai besar kejadian. Sama seperti apa sahaja di alam semesta, termasuk matahari, bintang-bintang, haiwan-haiwan dan manusia-manusia yang membentuk satu unit besar, fakulti manusia berfungsi dengan baik apabila mereka semua menyahut seruan Ilahi bersama-sama. Sebab dan kebijaksanaan, jiwa, deria yang lima, imaginasi, kesedaran dan emosi semuanya sekali membolehkan kita memahami realiti (kenyataan) yang sebenar. Rumi melihat tiada percanggahan antara sebab dan cinta atau antara logik dan sifat baik kerana percanggahan itu adalah hasil daripada salah guna akal manusia dan nafsu. Apabila mereka berfungsi dengan baik dan bertindak balas kepada seruan akan makna dan tujuan, mereka akan mendedahkan keterkaitan yang penting tentang segala apa dalam alam semesta.

Kita hidup dalam zaman kepuasan yang segera. Budaya hiburan merebak ke semua dalam hidup kita. Menentang sensasi sementara dan obsesi diri, Rumi mengajak kita ke jalan berkekalan dan memuaskan. Kasihnya yang tak terhingga untuk semua yang indah dan mulia datang dari cintanya kepada “Kawan Yang Teragung” iaitu Tuhan. Dalam kata-kata tokoh besar penyair sufi Turki, Yunus Emre, beliau “mencintai setiap makhluk demi mencintai pencipta yang menciptanya” di tempat pertama. Falsafah cinta Rumi kadang-kadang dianggap sebagai satu bentuk proto-humanisme (tugas manusia untuk menggalakkan kebajikan manusia). Ini adalah kesalahan lain dan tidak menjelaskan ajaran beliau yang sebenar. Rumi tidak berakar humanis sekular. Cintanya untuk kemanusiaan dan tidak mempunyai had toleransi adalah berdasarkan keyakinan yang mendalam dan cinta untuk Ilahi. Ungkapan yang terkenal: “Marilah, marilah, sesiapa sahaja anda,” ia adalah panggilan bukan untuk ke kelab keseronokan, tetapi untuk jalan kesempurnaan rohani dan integriti moral.

Akhir sekali, Rumi berminat dengan kepentingan makna dan tujuan berbanding bentuk dan fungsi. Sebagai seorang tokoh pencerita, beliau menerangkan seseorang boleh melihat maksud di sebalik bentuk dan mendedahkan maksud yang mendalam tentang sesuatu perkara tanpa mencampuradukkan kategori metafizik di dunia ini dan di akhirat. Sebagai seorang seniman, beliau memulakan tradisi Mawlawi Sufi yang telah memelihara beberapa contoh terbaik seni, muzik dan puisi tradisional Islam.

Mengingati Rumi pada hari ini boleh membantu banyak penyembuhan luka kerohanian yang telah menimpa ke atas diri kita. Pengajarannya boleh membebaskan kita daripada belenggu dunia yang semakin mengelirukan dan beliau mampu menerangi jalan kita di masa kegelapan. Beliau telah memandu ramai orang ke jalan yang benar, kecerdasan, keamanan, belas kasihan dan keindahan sejak beliau meninggalkan dunia ini 742 tahun yang lalu. Apa yang kita perlu lakukan adalah mendengar seruannya.

Diterjemah Tarmizi Anuwar daripada artikel berbahasa Inggeris yang terbit di DailySabah.com.

Immanuel Kant Rumi Turki Yunus Emre

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan