Batang tubuh Anwar Ibrahim adalah isu politik buat sesetengah orang.

Hari Anwar dijatuh hukum dan dihantar ke penjara, orang pun berhimpun di pintu masuk penjara Sungai Buloh. Ada yang sudah berkumpul sejak pagi di mahkamah, dengan sembahyang hajat, doa, dan slogan-slogan.

Ada bisik-bisik yang tidak boleh disembunyikan, iaitu “mengapa tidak seramai 1998?”

Siapakah yang mengingati peristiwa pertama kali Anwar difitnah, ditangkap dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun kalau bukan orang-orang yang menjadi saksi mata kepada peristiwa itu? Tuduhan jelek juga tertimpa kepada orang kiri-kanan Anwar, termasuk Azmin Ali. Dia tak kurang dihina.

Salah seorang anak Azmin-Shamsida dituduh anak Anwar. Azmin ketika itu terpaksa membuat ujian DNA berkali-kali ke atas anaknya demi membuktikan dia dan isterinya adalah ibu-bapa biologi yang sah kepada si anak. Semua ini tertulis kemudiannya selepas Anwar bebas pada 2004 di dalam buku bertajuk “Ada Konspirasi”. Buku itu adalah daripada petikan keputusan hakim yang menyebutkan bahawa memang wujud konspirasi politik untuk menjatuhkan Anwar.

Semuanya berlaku di era Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ke-4. Demikian pula menjadi aneh apabila ada pimpinan lain Parti Keadilan yang lebih sudu dari kuah menyebutkan Azmin si anak angkat Dr Mahathir sudah lupa dosa-dosa Dr Mahathir. Apakah mereka lupa, atau mamai kesasauan bahawa tuduhan berat menerjah ke dalam keluarga Azmin. Tidak lebih berat pun kepada mereka yang tiba-tiba mahu menjadi hero pembebasan Anwar kali ini. Sehingga ditiupkan persepsi konon wujud rencana menghalang Anwar jadi PM dari dalam Keadilan sendiri.

Betapa hitamnya hati manusia. Betapa keruhnya fikiran mereka. Politik adalah politik. Memang.

Hanya bezanya ada politik berakal, ada politik nafsu dan asal marah. Marah lebih-lebih lagi apabila Azmin yang dijadikan seteru dalam parti, hari ini adalah Menteri Besar Selangor. Maka kehadiran Dr Mahathir ke majlis kahwin anak sulong Azmin digarap jadi isu politik untuk melepaskan amarah. Sementara bagi Umno, kehadiran Dr Mahathir cukup membimbangkan mereka kerana ia jadi isyarat bahawa mereka dalam bahaya. Ini semakin jelas apabila Umno terpaksa mengganti MB Kedah, Mukhriz Mahathir.

Itu semua masih tidak pula menjawab soalan pokok, mengapa tak ramai orang yang turun bersimpati kepada Anwar tempohari, berbanding gelombang 1998 dahulu? Ini soalan pokok, terutama Anwar jualah yang menjadi nakhoda utama dalam dua kali PRU, 2008 dan 2013. Atau segelintir pemimpin oposisikah yang tak sedar kalender sudah dikoyak. Masa sudah beralih.

Ya! Zaman berubah menyebabkan karektornya juga berubah. Hari ini bukan 1998 lagi. Perbezaan ketara apabila parti oposisi sudah mempunyai sekurang-kurangnya tiga buah kerajaan negeri, sedangkan dahulu hanya satu iaitu Kelantan. Bentuk dan corak perjuangan Reformasi sebenarnya sudah bertukar arah mulai pasca 2008 lagi.

Mengapa saya katakan pasca 2008? Jawapannya, apabila kemenangan luar biasa dicapai dengan menawan lima negeri dan menafikan dua-pertiga majoriti BN di dalam Dewan Rakyat. Oposisi meminta kuasa, dan rakyat memberikan kuasa itu — meskipun sampai ke puncak Putrajaya.

Kuasa itu pada awalnya diberikan kepada orang yang menyertai parti pada saat-saat menjelang PRU-12. Contoh maha nyata di Selangor bila mana Tan Sri Khalid Ibrahim pun jadi Menteri Besarnya. Dia telah cuba menjiwai semangat Reformasi sebolehnya, tapi memang tidak ada jalan singkat untuk itu. Perubahan yang dibawa Tan Sri Khalid dilihat tidak cukup kuat untuk membantu kemenangan Pakatan Rakyat sehingga ke Putrajaya. Sedangkan PRU-13 lalu adalah kesempatan terbaik ketika Anwar masih bebas berkempen ke sana ke mari.

Tan Sri Khalid hanya satu contoh gagalnya orang baru dan junior dalam parti untuk membantu parti meskipun kesempatan yang dia miliki tidak dimiliki waima kepada tokoh parti yang lebih senior. Begitu juga tokoh-tokoh payung terjun lainnya atau yang berpatah balik sejurus Keadilan-Pakatan Rakyat mencapai kemenangan hebat pada tahun tersebut. Manusia-manusia itu tiba-tiba muncul di pentas perdana parti, memegang dan diberi jawatan penting yang sebahagiannya menjadi antara strategi Anwar itu sendiri.

Demikian politik pendedahan ala Ezam Mohd Nor juga ada batasnya. Menempuh PRU lalu, nampaknya strategi itu pun tak ke mana. Nah! Apakah yang rakyat mahu? Keadilan sendiri tidak menambah kerusi. Politik pong-pang pong-pang memang ada batasnya.

Keadilan–bahkan seluruh parti oposisi–tidak akan menambah kerusi walaupun dalam PRU akan datang sekiranya mereka tak sedar bahawa bentuk perjuangan yang dituntut rakyat sudah berubah. Tidak lagi dengan cara ‘garang’ ala 1998. Bahkan, tidak lagi dengan jalan demonstrasi atau perhimpunan, walaupun demontrasi dan perhimpunan tetap selamanya hak rakyat yang ada waktunya mustahak untuk dianjurkan untuk membangkit kesedaran. Bukan mencapai matlamat perjuangan.

Perjuangan selepas memiliki pemerintahan adalah dengan cara membuktikan bahawa kita lebih bijak dan cekap mentadbir. Kita lebih “trendy” dengan tangan kita sendiri sebagai manusia biasa. Bukan gerila, bukan askar tambahan. Oposisi, termasuk Keadilan harus benar-benar dapat berjasa kepada rakyat. Dapat pula memberikan keadilan kepada semua.

Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan adalah kesempatan untuk itu. Sekiranya seluruh tumpuan dapat diberikan, maka kerajaan-kerajaan yang ditunjangi Pakatan Keadilan-DAP-Pas-Amanah akan mampu menjadi contoh kepada sebuah masa depan Malaysia yang diharapkan.

Namun, sekiranya politik keanak-anakan melampaui matlamat ini, maka kita bukan sahaja akan gagal ke Putrajaya, malah itulah juga punca mengapa Anwar bakal terus merengkok dalam penjara.

Maka, lalakan kononnya demi pembebasan Anwar takkan lebih jadi tempekan politik dan lakonan di mock-up penjara semata-mata. Apakah hati nurani rakyat Malaysia sudah keras dibekukan oleh politik yang garang dan menengkeng-nengkengan?

Sekuat manapun Anwar bijak berpolitik, isu Anwar lebih daripada sekadar isu politik kekuasaan. Dia seorang atuk yang menjelang umur 70. Ia adalah isu kemanusiaan, keinsanan.

Kepada anggota parti yang berfikir, akan tahu, Anwar hanya bisa bebas dengan jalan menang pilihanraya dan mencapai Putrajaya. Dan, bukankah begitu yang telah dia tunjukan sejak awal… betapa dia yang kita kenal adalah Anwar yang mahu mengambil-alih Putrajaya dengan cara demokrasi. Bukannya rampasan kuasa ala-revolusi seperti yang sering dituduh oleh sang pemfitnah dan penguasa yang mendusta.

Api bukan dilawan api. Lebih penting, masa berlalu.