Hari yang panas dan menyesakkan. Tiada kelihatan awan di dada langit; rumput yang dihangusi mentari kelihatan suram dan menyedihkan: hujan mungkin turun, tetapi kehijaunnya tidak akan lagi berbekas. Hutan itu berdiri kaku, bisu seolah-olah silara pepohonnya sedang meninjau ke suatu arah atau sedang menanti sesuatu.

Seorang lelaki berusia 40-an, tinggi dan berbahu kecil, berbaju merah dengan seluar bertampal, dan berkasut but, berjalan malas di pinggir kawasan lapang hutan. Dia melangkah tenang di sepanjang jalan. Di kanannya berbaris pepohon hijau; di kirinya, jauh di ufuk, terhampar lautan gandum yang masak keemasan. Wajahnya merah dan berpeluh. Sebuah topi putih bermuncung rata, hadiah dari seorang kaya yang pemurah, terpasang rapi di kepalanya. Di atas bahunya tersangkut sebuah beg berisi burung belibis yang baru diburunya. Lelaki itu membahu sebuah senapang patah berlaras-dua, dan dia mengenyit mata pada anjingnya yang tua dan kurus, yang sedang berlarian jauh ke hadapan, menghidu-hidu di sekitar belukar. Sekeliling sunyi sepi, tiada kedengaran sebarang bunyi. Segala yang hidup bagaikan sedang bersembunyi dari terik mentari.

“Yegor Vlasych!” si pemburu itu tiba-tiba mendengar satu suara lembut.

Dia terkejut dan berpaling, sambil berkerut dahi. Di sisinya, bagaikan baru tertonjol keluar dari tanah, berdiri seorang perempuan 30-an berwajah pucat dengan sebilah sabit di dalam genggamannya. Perempuan itu cuba menatap wajahnya dan tersenyum malu.

“Ah, kau rupanya, Pelageya!” kata si pemburu, menghentikan langkahnya dan perlahan-lahan menyahpicukan senapangnya. “Hm! … Macam mana kau boleh ada di sini?”

“Ramai perempuan dari kampung kita bekerja di sini, jadi aku ikutlah mereka… sebagai pekerja, Yegor Vlasych.”

“Oh…” dengus Yegor Vlasych dan perlahan-lahan berlalu.

Pelageya mengekorinya. Mereka melangkah lebih kurang 20 tapak di dalam diam.

“Dah lama aku tak nampak kau, Yegor Vlasych…” kata Pelageya, menatap lembut pada bahu dan tulang belikat si pemburu itu yang bergerak-gerak. “Kau singgah di pondok kita pada hari Easter lalu, dan selepas itu aku tak pernah jumpa kau lagi… kau singgah sekejap pada hari itu, dan kemudian hanya Tuhan yang tahu… dalam mabuk… kau menengkingku, memukulku, dan terus pergi… Aku menunggu dan menunggu… Aku bersengkang mata menunggumu… Ah, Yegor Vlasych, Yegor Vlasych! Kalaulah kau singgah sekejap!”

“Apa yang aku boleh buat di rumah kau?”

“Tak ada apa yang boleh kau buat, tapi… walau macam mana pun ini rumahtangga kita… Ada benda yang perlu dijaga… Kau kepala rumah… Tengoklah diri kau, memburu burung, Yegor Vlasych! Apa kata kau duduk dan rehat sekejap…”

Sambil berkata semua itu, Pelageya ketawa bagaikan orang gila dan menatap wajah Yegor. Wajahnya sendiri berseri-seri bahagia.

“Duduk? Apa salahnya…” kata Yegor dalam nada acuh tak acuh dan dia memilih untuk duduk di antara dua pohon cemara rendang. “Kenapa kau berdiri? Duduklah sekali!”

Pelageya duduk sedikit jauh di bawah terik mentari dan, kerana malu, melindungi mulutnya yang tersengih-sengih dengan tangannya. Dua minit berlalu di dalam bisu.

“Kalaulah kau singgah biarpun sekejap,” Pelageya berkata lembut.

“Untuk apa?” keluh Yegor, melepaskan topi dan mengesat dahi merahnya dengan lengan baju. “Tak ada gunanya. Singgah sekejap untuk sejam dua – buang masa dan buat kau jadi tidak tentu arah – dan jiwa aku tak boleh tahan tinggal begitu lama di kampung itu… Kau tahu aku ini lelaki yang cerewet… Aku perlukan katil untuk tidur, minum teh yang sedap, dan perbualan yang bagus… Aku mahukan keselesaan, dan di kampung itu yang ada hanyalah kemiskinan dan kekotoran… Sehari pun aku tak boleh tinggal di situ. Andai kata ada peraturan yang mewajibkan aku tinggal dengan kau, aku pasti akan bakar rumah itu atau menjahanamkan diriku sendiri. Sejak dulu lagi aku banyak kerenah begini; tak ada satu benda pun yang dapat mengubatinya.”

“Kau tinggal di mana sekarang?”

“Di rumah orang kaya Dmitri Ivanych, sebagai pemburu. Aku bekalkan binatang buruan untuk dia, tapi kelihatannya… dia menanggungku demi kesenangannya.”

“Itu tak patut, Yegor Vlasych … Bagi orang lain ia mungkin sekadar permainan, tapi bagi kau ia satu perniagaan… sumber rezeki…”

“Kau tak faham, bodoh,’ kata Yegor, mendongak muram ke langit. “Sejak kau lahir lagi kau tak faham dan tak akan pernah faham aku ini lelaki yang bagaimana… Bagi kau, aku ni seorang lelaki yang gila dan tak ada hala tuju, tapi bagi yang faham, aku adalah yang terbaik di seluruh daerah. Orang kaya itu tahu dan bahkan dia telah menulis tentang aku di dalam sebuah majalah. Tiada siapa yang mampu menandingiku di dalam hal-hal yang melibatkan pemburuan… Dan kalaupun aku menghina pekerjaan orang kampung kau, itu bukan kerana aku ni sombong atau banyak kerenah. Sejak lahir lagi, kau tahu, aku hanya berminat dengan kerja-kerja yang melibatkan senapang dan anjing buruan. Rampas senapangku, aku akan guna batang kail; rampas batang kail itu, aku akan memburu dengan tangan kosong. Dan, aku juga menjual kuda; berseronok di tapak-tapak pesta jika aku ada duit lebih, dan kau sendiri tahu, jika ada orang kampung melibatkan diri dengan pemburu atau penjual kuda, itu bermakna dia akan melupakan bajaknya. Sekali semangat bebas menguasai seseorang, selamanya dia akan kekal begitu. Samalah seperti seorang bangsawan yang menjadi pelakon atau menceburkan diri ke dalam seni, dia tak akan lagi menjadi seorang pegawai atau seorang tuan tanah. Kau perempuan, kau tak akan faham, dan benda ini perlukan pemahaman.”

“Aku faham, Yegor Vlasych.”

“Itu bermakna kau tak faham, memandangkan kau hampir menangis sekarang…”

“Aku… aku tak menangis…” kata Pelageya, memalingkan tubuhnya. “Ia satu dosa, Yegor Vlasych! Apa salahnya kau luangkan masa sekurang-kurangnya sehari dengan aku, perempuan malang ini. “Sudah 12 tahun aku bernikah dengan kau, dan… tak pernah sekali pun ada cinta antara kita! Aku… Aku tak menangis…”

“Cinta… “ desis Yegor, menggaru-garu tangannya. “Mana mungkin ada cinta. Secara rasminya kita suami isteri, tapi adakah hakikatnya begitu? Bagi kau, aku adalah lelaki liar, dan bagi aku, kau adalah perempuan biasa, yang tak pernah faham. Adakah kita cocok? Aku ini sukakan kebebasan,cerewet, boros, dan kau pula seorang pekerja ladang yang selalu berkaki ayam, kau tinggal dalam lumpur, kau tak pernah mencantikkan diri kau. Aku berfikir begini tentang diriku, bahawa aku ini selamanya akan memburu, tetapi kau merasa kasihan terhadapku… Suami isteri jenis apa kita ini?”

“Tapi kita berkahwin di dalam gereja, Yegor Vlasych!” Pelageya teresak-esak.

“Bukan atas kemahuan kita… Kau dah lupa? Kau patut berterima kasih pada Tuan Sergei Pavlych… dan diri kau sendiri. Disebabkan hasad dengki, kerana aku menembak lebih bagus daripadnya, dia asyik buat aku mabuk sepanjang bulan, dan orang mabuk ni kau bukan saja boleh buat dia berkahwin tetapi juga kau boleh buat dia tukar agamanya. Untuk balas dendam dia kahwinkan aku dengan kau… Seorang pemburu dengan seorang kampung. Kau tahu aku mabuk ketika itu, kenapa kau tetap kahwin dengan aku? Kau bukan budak lagi; kau boleh menolaknya! Sudah tentu, beruntung bagi seorang kampung dapat mengahwini seorang pemburu, tapi kau sepatutnya boleh fikir. Jadi sekarang, menangis dan menderitalah semahumu. Bagi si kaya itu ia satu jenaka, tetapi bagi kau ia satu yang perlu ditangisi… Nasi sudah jadi bubur…”

Diam menyelimuti suasana. Tiga ekor itik liar terbang merentasi sempadan hutan itu. Yengor memerhatikan mereka dan mengikuti mereka dengan matanya sehinggalah mereka mengecil menjadi bintik-bintik halus dan hilang dari jangkauan hutan.

“Macam mana hidup kau sekarang?” tanya dia, mengalihkan pandangannya dari kawanan itik itu ke Pelageya.

“Aku sekarang bekerja di luar, dan pada musim sejuk aku mengambil bayi dari rumah anak yatim dan menjaganya. Mereka memberikanku satu rubel setengah setiap bulan.”

“Oh…”

Diam kembali menyelimuti suasana. Dari batas-batas tuaian kedengaran dendangan lagu mendayu-dayu, yang kemudiannya terus senyap walaupun belum sampai setengah. Hari terlampau panas untuk menyanyikan lagu…

“Mereka cakap kau dah bina pondok baru untuk Akulina,” kata Pelageya.

Yegor membisu.

“Itu bermakna kau cintakan dia…”

“Dah memang begitu nasib kau, takdir kau!” kata si pemburu, meregangkan tubuhnya. “Terima sajalah, si malang. Apa pun, selamat tinggal, kita dah berbual terlalu lama… Aku perlu sampai ke Beltovo sebelum petang…”

Yegor berdiri, meregangkan tubuhnya dan membahu senapangnya. Pelageya juga berdiri.

“Dan bila kau akan balik ke kampung?” tanya Pelageya lembut.

“Tak ada gunanya. Aku takkan balik dalam keadaan siuman, dan bila aku mabuk pula, kau juga yang rugi. Aku akan naik angin bila aku mabuk… Selamat tinggal!”

“Selamat tinggal, Yegor Vlasych …”

Yegor mengenakan topi ke atas kepalanya, terlebih dahulu menyeru anjingnya, dan mula melangkah. Pelageya kekal di tempatnya berdiri dan menatap belakang lelaki itu. Dia melihat tulang belikatnya yang bergerak-gerak, kepalanya yang tersergam, langkahnya yang lambat-lambat dan malas; dan kelopak matanya digenangi kesedihan dan kesayuan… Tatapannya beralih ke sosok badan suaminya itu yang kurus dan tinggi, dan dia mahu memeluk dan membelainya. Yegor, bagaikan dapat merasa tatapan itu, berhenti dan berpaling. Dia membisu, namun Pelageya dapat membaca dari riak wajahnya, dari bahunya yang terangkat, bahawa dia mahu menyatakan sesuatu kepadanya dirinya. Dia menghampirinya dengan malu-malu dan memandangnya dengan mata yang merayu-rayu.

“Untuk kau!” kata Yegor, berpaling tubuh.

Dia hulurkan kepada Pelageya segumpal wang lusuh dan cepat-cepat beredar.

“Selamat tinggal, Yegor Vlasych!” kata Pelageya, mengambil wang itu tanpa perasaan.

Yegor melangkah menuruni jalan panjang itu, terus bagaikan getah yang diregangkan. Pelageya berdiri pucat dan kaku bagaikan patung batu, dan terus menangkap setiap langkah Yegor dengan kedua belah matanya. Tetapi lama-kelamaan, warna merah baju lelaki itu mula bersatu dengan warna gelap seluarnya, langkahnya tidak lagi kelihatan, anjingnya langsung lenyap dari kasut butnya. Hanya topinya yang masih kelihatan, namun… tiba-tiba Yegor membuat belokan kanan menuju ke hutan dan topi itu hilang di celah-celah kehijauan.

“Selamat tinggal, Yegor Vlasych!” bisik Pelageya, dan terus kaku berdiri untuk melihat topi putih itu buat kali terakhir.


Terjemahan Syafiq Ghazali daripada bahasa Inggeris cerpen The Huntsman (1885) oleh Anton Chekhov