Ramai terlupa bahawa menulis adalah senjata paling sakti.

Inilah yang saya rasakan ketika mengedit tulisan seorang teman OKU penglihatan mengenai kisah hidupnya.

Hampir 10 tahun lalu, ia pernah meminta beberapa penerbit untuk mencetaknya tapi langsung tidak dilayan.

Tidak dilayan cuma kerana penulis seorang OKU sekali pun graduan universiti. Lalu saya menghasut supaya tulisannya diterbitkan sebagai zine.

Hujahnya mudah. Menulis adalah senjata tersembunyi kaum marginal.

ii.

Tak sangka rumah yang saya singgah pada 1994 di Naga Lilit adalah rumah penulis popular. Ketika itu saya menemani rakan sekerja berjumpa kawan-kawannya.

Teman saya tadi, Edy memanggil “paman” kepada tuan rumah. Saya tak tahu nama orang yang dipanggil “paman”. Edy memberitahu bahawa ia mempunyai hubungan kekeluargaan dengan tuan rumah.

Saya terima fakta itu kerana Edy dilahirkan di Indonesia tapi bersekolah sehingga tingkatan 3 di Johor walau pun bukan warganegara.

Saya masih ingat dengan baik keadaan rumah tersebut. Nama salah seorang ahli rumah yang melekat dalam ingatan saya adalah Juwita. Kalau tak silap umur Juwita ketika itu 11 ke 13 tahun.

dan Juwita mempunyi adik bernama Benz Ali.

Takdir Tuhan memang kelakar kan!

iii.

Saya mengenali Salafi ketika menjadi karkun Jemaah Tabligh tahun 1988. Seorang karkun yang bekerja sebagai guru menceritakan tentang sistem pengajian Ustaz Hashim Ghani di Kuala Pilah. Dalam diskusi kami, untuk pertama kalinya saya mengenali Ibnu Taimiyyah dan beberapa aspek pemikirannya. Kami juga berbincang tentang isu-isu dalam tafsir Ibnu Abbas.

Setelah itu saya mulai menekuni perdebatan Nahmar Jamil dengan Hashim Ghani mengenai isu mazhab. Saya turut mentelaah karya-karya Hassan Bandung yang diterbitkan oleh Victory Agency. Buku Kembali Kepada al-Quran dan al-Sunnah saya membelinya dari Pustaka Indonesia, Wisma Yakin.

Saya pernah melalui masa-masa terpesona dengan Salafi terutama kritikan-kritikan terhadap tasawuf. Dulunya, saya sudah mengkafirkan Ibnu ‘Arabi setelah membaca buku Ajaran Sesat tulisan Abdulfatah Haron. Ketika itu polemik yaqazah Darul Arqam memuncak. Ia seolah-olah menjadi wacana dominan.

Karya-karya Hamka adalah inspirasi. Buku-buku seperti Lembaga Budi dan Tasawuf Moden sangat memberikan bekas. Begitu juga buku Hasbi Siddiqi dalam bidang hadith. Tak lupa tulisan Dr. Hayyei Abdul Shukor dalam sisipan Berita Harian sekitar 1990an. Semua bahan-bahan bacaan ini masih saya simpan sebagai kenangan terindah dalam rehlah intelektual.

Dekad 2000 memberikan dimensi lain pengamatan saya tentang aliran Salafi. Saya berkesempatan mengikuti kelas-kelas Hafiz Firdaus di IIS. Bila mulai mahir komputer saya mulai mengikuti perkembangan forum-forum maya aliran Salafi. Dr. Maza menjadi semakin popular kerana keberanian berdebat dengan Astora Jabat. Buku-buku Salafi semakin berlambak di pasaran berkat kerajinan mereka sendiri.

Tempoh 15 tahun terakhir, Salafi telah berkembang dalam persekitaran yang semakin kompleks. Di satu sisi, kerencaman dalaman dan kepelbagaian variasi – jika dikelola dengan baik – mampu menumbuhkan kekuatan tersendiri. Semua hal ini perlu ditampung oleh pembudayaan wacana yang lebih sihat lagi.

Salafi muncul sebagai “unrepresented community” dalam era globalisasi. Dengan keberanian menghadapi risiko dan kerajinan menulis pemikiran-pemikiran; mereka hampir mengimbangi wacana dominan. Walau pun dalam beberapa isu saya tidaklah bersetuju namun penghormatan atas kesungguhan perlu diberikan.

Pencernaan kefahaman bukan lagi semata-mata kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah tapi merangkul tradisi persuratan sendiri dengan lebih cermat. Penerokaan ini dilakukan secara kosmopolitan; dengan memperkembangankan segenap dimensi pengetahuan yang selama ini diabaikan dan terpecah-pecah.

Mutaakhir ini, pengolahan persetujuan awam bukan cuma dalam pemetaan elit politik tapi percaturan sub-sub kecil masyarakat seperti pertikaian alur pemikiran arus bawah semakin timbul ke permukaan. Inilah pencirian umum kepada fenomena post-modenisme. Ini adalah proses alami kedinamikan sesebuah masyarakat menuju kematangan.

Namun hal yang selalu menggusarkan ialah bagaimana elit politik memanipulasi pertikaian arus bawah tadi ke dalam skala yang lebih kompleks. Semua kalangan – elit politik dan juru bicara mazhab – akan saling berkongsi kepentingan. Sebagai pemain “congkak di serambi kekuasaan” tentunya mereka sangat berhajatkan kekuatan untuk menjadi lebih dominan.

ii.

Elit politik semasa sangat berminat dengan pertikaian-pertikaian alur pemikiran arus bawah. Ia memberikan kesempatan kepada mereka mengalihkan tumpuan khalayak awam daripada persoalan yang lebih utama. Segala jaringan media digunakan bagi mengeruhkan lagi keadaan. Di sinilah “colective ego” semua kalangan dapat dipertaruhkan demi keberlangsungan.

Keberpihakan elit politik kepada mana-mana jalur pemikiran bukanlah berlangsung secara jujur tanpa meminta saka korban. Papan catur pertempuran sudah lama dirangka sebaik mungkin. Secara tersembunyi, mana-mana aliran tidak akan melepasi kawalan. Pembenihan wacana bukan lagi muncul dari habitat kedinamikan tapi sudah di-“takdir”-kan oleh tuan punya belaan.

Hal ini tidak muncul secara sepihak. Setiap juak-juak mazhab memiliki psikologi yang hampir sama iaitu menganuti slogan “Di tangan kanan memegang kitab tapi di tangan kiri menghunus pedang. Apa-apa yang tidak dapat diluruskan dengan kitab maka hunuskanlah pedang” Secara tidak disedarai mereka bergeser ke arah kekuasaan sebagai kubu perlindungan dan pertahanan dari aliran pertentangan.

Inilah huraian mudah bagaimana berlakunya hubungan kompleks pengetahuan dengan kekuasaan. Beginilah nantinya mobiliti “kekasih gelap” sebahagian Salafi terutama orientasi Saudi berfungi. Satu sisi mereka anti monarki/institusi tapi sisi lain pula masih berebut-rebut laba dari institusi dalam keadaan bertaqiyah. Mungkin itulah kepintaran rakan strategi hasil “persetubuhan haram” elit agamawan dengan kekuasaan.

iii.

Rasa mahu pitam sekejap bila diberitahu akan ada demontrasi di kalangan OKU penglihatan. Setelah disemak, rupanya pihak penganjur adalah cokong-cokong yang sudah lama kenyang kemudian lapar kembali.

Walau pun tidak berminat dengan aspirasi sempit cokong-cokong ini namun saya akan menghadirinya dengan membawa kamera merakam detik sejarah yang menakjubkan ini.

Biarlah komuniti OKU penglihatan semakin menyedari bahawa intitusi yang selama ini disakralkan hanyalah lambang mati yang tidak memberikan manafaat. Ini satu permulaan yang positif.

~5 Mac 2015

Rasanya sudah 7 atau 8 tahun saya tidak sembahyang Jumaat. Masa bekerja di Zaid Ibrahim & co susah betul mendapatkan pertolongan kawan-kawan sepejabat mahu menumpang ke masjid. Kalau jalan kaki pula perlu melintas jalan yang penuh bahaya.

Kadang-kadang saya ambil cuti untuk ‘membaharui iman’. Ketika bekerja di Pantai Medical Centre pula lagi payah sembahyang Jumaat. Waktu sembahyang Jumaat, masih tetap bekerja. Julung kali untuk dapat cuti dan pergi ke masjid.

Saya pernah berseloroh dengan seorang teman yang bertanya mengapa saya tidak pergi sembahyang Jumaat. Sebelum memberikan mungkin juga hanya ‘alasan’ dan sambil tersengih sumbing;

“Hmmm, entahlah! aku tak pasti berapa kali agaknya telah menjadi ‘kafir’?”

Di Malaysia, sesetengah masjid, khutbah Jumaatnya macam ‘sial’ dan membosankan. Kalau khatib yang agak berumur lebih baik melelapkan mata. Kandungan khutbah tak lebih propaganda murahan.

Sesekali begitu membingungkan kehidupan beragama di Malaysia. Islam yang dihadirkan kering kehilangan makna. Fungsi jabatan agama hanyalah menangkap orang-orang “tak bertauliah”.

~6 Mac 2015