Segelintir berpendapat; perang dingin tamat sebaik runtuhnya Tembok Berlin yang turut meruntuhkan blok sosialis. Sebahagian pula melihat; ia sekadar simbolik yang bukan hakiki. Perang dingin bagi mereka, masih berlangsung namun tidak setegang pasca perang dunia kedua dulu.

‘Pengakhiran’ perang dingin juga turut menyaksikan peralihan kiblat para kuasa dunia; dari Barat ke Timur, dari Eropah ke Asia seiring dengan bangkitnya kuasa baharu yang maha besar dan membimbangkan; India dan China. Ekonomi merupakan asas utama bangkitnya Asia di mata dunia pada hari ini.

Pun begitu, diakui bahwa Asia tidaklah stabil keadaannya sebagaimana Eropah. Kemelut politik masih membelenggu yang turut mengancam keselamatan serantau serta mungkin sekali menjejas periuk nasi benua ini. Kepelbagaian dan keluasan membataskan proses integrasi negara Asia sebagaimana yang dimiliki Eropah melalui Kesatuan Eropah (EU). Usaha kerjasama dan integrasi ini sekadar bergerak di peringkat sub-benua. Bagi tujuan tersebut, ASEAN mengungguli yang lain malah pernah diangkat sebagai yang berjaya bagi pertubuhan negara dunia ketiga.

Proses yang Panjang

Tak dinafi, meskipun tampak segan mati tak mahu, ASEAN tetap gagah berdiri hampir menjangkau usia setengah abad lamanya. Mengapa? Ia terus gagah berdiri kerana kekal mendokong norma dan karakter asasinya. Mungkin ramai akan menemplak ASEAN kerana tidak bertindak di kala krisis sedang meruncing, ramai juga nampak ASEAN tidak berfungsi. Tidak. ASEAN bergerak dan berfungsi, bak kata pegawai Sekretariat Nasional ASEAN-Malaysia, “jangan lihat ASEAN itu sebagai suatu produk, tapi sebagai suatu proses.”

Satu kesilapan besar adalah persepsi umum tentang ASEAN; tidak efektif seperti EU. Persepsi ini jelas sekali tersasar dan ia ditegaskan oleh Prof Emeritus Dr Ranjit Singh dalam satu wacana; “bila berbincang pasal ASEAN, jangan sesekali kaitkannya dengan EU. EU adalah ‘union’, ASEAN adalah ‘intergovernmental organization’ dan tidak akan ke arah ‘union’.”

Karakter masyarakat Asia dan Nusantara seperti musyawarah dan muafakat jelas sekali diterapkan. Selain itu, nilai tidak jaga tepi kain orang melalui norma tidak campur tangan (non-interference) juga dipegang erat dalam mengurus tadbir rantau ini. Kesemua ini digunapakai dengan menyusur kembali kepada pensejarahan rantau ini yang telah menyaksikan jatuh, bangun, kegemilangan dan penjajahan.

Pun begitu, karakter dan norma inilah yang membataskan ASEAN menjadi reaktif dan responsif dengan efektif. Karakter muafakat dan musyawarah misalnya; melumpuhkan ASEAN dalam soal-soal tertentu untuk bergerak efektif. Malahan, pada peringkat membuat keputusan, ia mampu membentuk sekatan dalam terma hegemoni minoriti. Satu pihak tak bersetuju, makanya, isu itu akan dikambus kembali dan diletak tepi.

Tetapi, Ghazali Shafie pernah berkata, karakter ini tidak bikin masalah sepi dari perundingan kerana penyelesaian akan cuba dicapai melalui pintu belakang. Atau mungkin tepat bagi beliau, secara konstruktif. Ya, ASEAN berjaya menjinakkan negara Indo-China secara konstruktif. Ia menjadi alat utama ASEAN dalam mendepani krisis dan menyusuri solusi.

Pembawa masalah utama kepada ASEAN adalah non-intereference. Meskipun ia norma dan prinsip asas politik antarabangsa dan asas kenegaraan moden, namun, dalam hal-hal tertentu ia wajar diangkat sebagai punca penyelesaian. Tujuannya jelas dan murni; mempertahan kedaulatan negara daripada campur tangan kuasa asing. Namun, dengan visi menuju sebuah komuniti serantau, norma ini wajar dikaji semula pemaknaannya dengan lebih terperinci dan dalam konteks ASEAN itu sendiri. Seperti Kesatuan Afrika (AU), ia pegang erat norma tidak campur tangan namun ia ditimbal balik dengan langkah intervensi di kala permasalahan meruncing.

Ya, ASEAN suatu proses yang berpanjangan. Dari sebuah organisasi antara kerajaan yang sekadar cuma deklarasi, kini sudah lebih teratur berstruktur dengan memiliki piagamnya sendiri. Sedikit masa lagi, karakter dan norma yang diterap kini bakal berubah demi kelangsungannya mengurus tadbir rantau tumpuan kuasa dunia ini.

Penyelamat Sistem Dunia?

Seorang kenalan kepada seorang sahabat dari United Kingdom yang mengkaji tentang ASEAN merumuskan bahwa pertubuhan ini mungkin sekali mampu menyelamatkan sistem dunia. Rumusan ini barangkali digarap dengan merujuk peranan yang lemah dimainkan badan dunia; Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam mentadbir urus sistem dunia selepas genap 70 tahun ia ditubuhkan.

Ya, bukan Asia Tenggara, bukan Asia, tapi dunia. Sang optimistik bakal berhujah dengan merujuk kembali pencapaian ASEAN pada perang dingin terutama sekali krisis kemanusiaan Kemboja dan bebas daripada tangan kuasa asing. Manakala, sang pesimistik akan menemplak rumusan ini kerana karakter ASEAN itu sendiri menafikannya menjadi penyelamat sistem dunia malah mungkin sekali membogelkan ASEAN dengan merujuk rekod pencapaiannya pasca perang dingin; krisis kewangan, krisis kemanusiaan Timor-Timor, pertikaian geo-politik dan terkini malah yang berlarutan lamanya, krisis kemanusiaan Rohingya. Bagaimana mahu selamatkan sistem dunia kalau gajah di depan mata pun tak mampu diuruskan?

Seperti yang dinyatakan, ia suatu proses berpanjangan yang berevolusi mengikut peredaran masa dan zaman. Daripada ditambat pada deklarasi, kini ASEAN berpegang pada piagam. Prosesnya perlahan bergerak tapi memberi impak.

Merujuk kembali kepada ASEAN sebagai penyelamat sistem dunia; tumpuan kuasa dunia kini tertumpu kepada Asia kerana keadaannya. Tidak stabil semenjak perang dunia kedua membawa kepada perang dingin; konflik masih berlegar meskipun masih belum meletus secara kritikal. Semenanjung Korea masih berkonflik antara satu sama lain malahan Perang Korea juga masih belum tamat secara hakiki. Pertikaian di Laut China Selatan juga tampak kritikal dengan kelakuan agresif China. Isu-isu keselamatan komprehensif (non-traditional) juga sedang hangat menghantui rantau ini.

Dalam konteks kerjasama serantau yang meluas, ASEAN mengepalai anjuran tersebut. Dari sebuah entiti kerjasama kerajaan sub-benua, ASEAN meluaskan kerangkanya dengan melibatkan negara di luar Asia Tenggara; China, India, Jepun, Korea, Pakistan malah turut membawa pemain kuasa dunia seperti Amerika Syarikat, Australia, EU dan Rusia bersama. Perundingan dan perbincangan juga tidak terhad kepada soal ekonomi, malah ia turut mencakupi hal-hal keselamatan, pertahanan dan geo-politik. Ia menjadi wadah kerjasama dan penyatuan negara-negara Asia. Sememangnya, mungkin inilah yang cuba dikaitkan pengkaji tersebut tentang Asia sebagai penyelamat sistem dunia.

Karakter dan norma yang digunapakai, meskipun bergerak perlahan tapi masih berimpak. Kedaulatan negara anggota dan rakan kerjasama paling utama menjadi pegangan ASEAN. Dimensi baharu bakal menjengah dengan pembentukan Komuniti ASEAN menjelang hujung tahun ini; pun begitu, seperti yang ditekankan oleh pegawai Sekretariat Nasional Malaysia-ASEAN di atas malah turut dikatakan oleh Ketua Setiausaha MITI, Dr Rebecca Fatima Sta Maria; “ASEAN bukan suatu produk, ia suatu proses.”

Dengan terbentuknya sebuah komuniti, hampir pasti pengaruhnya semakin mencanak tinggi, lebih-lebih lagi persaingan antara AS dan China semakin ketara; dalam usaha mendekati ASEAN secara komprehensif. Ya, ASEAN kiblat baharu kuasa dunia. Tiap daripada mereka sedang menanam pasak di rantau ini.


Muhammad Ariff bin Mohamad Nizam, mahasiswa Program Kajian Antarabangsa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan