Ratu Tua tidaklah terlalu renta atau uzur. Tetapi ia sudah tidak dapat menjalankan pentadbirannya dengan baik. Ia lebih kerap tidur daripada bertelur. Perkara ini selalu menimbulkan kesulitan kepada kerumunan yang hampir mencecah ratusan ribu jumlahnya itu.

“Untuk menjamin kelangsungan hidup seluruh kerumunan, saya cadangkan agar diasuh calon ratu,” aju penasihat ratu berhati-hati. Kepaknya langsung tidak bergerak sebagai tanda hormat kepada sang ratu.

“Baiklah… Kalau begitu, pilihlah beberapa butir telur yang elok rupanya.” Ratu Tua menyatakan persetujuannya. Beberapa ketika kemudian, ia pun terus terlelap.

Penasihat ratu terus melaksanakan apa yang diperintahkan.

Tetapi entah di mana silapnya, telur-telur yang dipilih, kebanyakannya tidak menjadi. Hanya sebutir sahaja yang menetas.

“Aku namakan ia Mawar Mah,” ciak Ratu Tua sebaik sahaja melihat calon ratu buat kali pertama. “Biarlah hanya seekor, itu lebih baik dari langsung tiada.” Ratu Tua enggan memanjangkan perkara itu. Tidak mahu membebankan fikirannya. “Pastikan ia diasuh sempurna,” dengungnya lagi.

Sebagai calon ratu, Mawar Mah disuap sari madu terus menerus.

Genap enam belas hari, ia pun berkembang menjadi imago yang sempurna. Tiga minggu kemudian, ia mula dijentik keinginan untuk mengawan. Dua hari sesudah itu, ia terus mendatangi kawanan pejantan.

Walaupun kemahuannya sendiri semakin memuncak, tidaklah pula ia mahu menyerah dengan mudah. Setelah perhatian sekelompok pejantan ditakluki, ia terus melonjak ke udara. Beberapa pejantan galak mengekori, bersaing untuk menjadi pasangan calon ratu.

Ia terus bersatu dengan pejantan yang menjadi pemenang. Cuma beberapa detik. Sesudah itu keduanya menjunam jatuh ke tanah.

Pejantan menggelupur kesakitan sebelum terkedang kaku. Kejantannya telah tercabut. Tertancap terus di daerah kebetinaan calon ratu. Itulah kenikmatan pertama dan terakhir dikecapinya.

Mawar Mah bingkas mengepak semula. Mengulangi ‘perkahwinannya’itu. Setelah yakin kantung telurnya sudah dilimpahi benih pejantan, barulah ia kembali ke sarang.

Di atas tanah, bergelimpangan berpuluh pejantan yang tewas.

Kendatipun Ratu Tua sendiri yang mengarahkan supaya ditetaskan calon ratu, namun perebutan tetap berlaku.

Lalu, tercetuslah pertarungan yang membawa kepada kematian Ratu Tua.

Mawar Mah boleh sahaja membiarkan Ratu Tua berundur, diikuti sekelompok kecil pekerja bagi membina kerumunan baru. Tetapi ini tidak berlaku. Ratu Tua sengaja disengat berkali-kali. Ia tidak mahu kerumunan yang bakal menjadi takluknya menguncup sedikitpun.

“Apa gunanya si tua ini dibiarkan hidup,” ceriut Mawar Mah seraya mengibas laju sayapnya. Getarnya menggentarkan hampir seluruh kerumunan.

Maka, sempurnalah syarat untuk ia diangkat menjadi ratu. Ia kemudian memasyurkan gelarannya sebagai Betina Yang Pertama, Ratu Seri Mawar Mah. Seekor pengasuh yang taat, kemudian diangkat menjadi penasihat.

“Untuk melancarkan pentadbiran, setiap arahan dari ratu haruslah dilaksanakan tanpa sebarang soal,” Ratu Seri Mawar Mah memanggungkan kepala. Langsung tidak melihat kepada penasihatnya. “Aku ratu! Aku berhak mengeluarkan perintah. Sebagai penasihat, kau bertanggungjawab untuk memastikan setiap ketetapan dan arahan dilaksanakan!” tegasnya lagi. “Pertama sekali, aku mahu seketumbukan pengawal dibentuk untuk menjaga keselamatanku.”

Setelah arahan itu disempurnakan, barulah ia mula bertelur. Setiap pagi, ia akan berkeliling mencari kom kosong yang telah dibersihkan dengan diiringi para pengawal. Kerana masih muda, ia begitu subur. Hampir dua ribu butir dibuahkannya setiap hari.

Sebelum matahari meninggi, ia akan kembali ke petak ratu. Di situ, beribu pengasuh mengembik-ngembik, menunggu untuk menyerahkan tengkuk. Sari madu akan dihisap terus dari kelenjar leher pengasuh. Ratu Seri Mawar Mah sangat menggemari cecair likat yang tercerna dari pollen dan misan itu. Sari madu hanya dapat dihasilkan oleh pengasuh yang berusia satu hingga tiga hari.

Walaupun seleranya sangat besar, tetapi bahagian yang diperuntukkan untuknya belum suku pun luak. Lebihannya akan diperah untuk simpanan ratu.

Pada suatu petang, sesudah menghisap sari madu, ia memerintahkan penasihat supaya menemuinya. “Apa yang kau tahu tentang ketetapan pembahagian susu ratu?” Ia terus bertanya sebaik sahaja penasihat tercegat di hadapannya.

“Mengikut aturan kerumunan, seperempat dari susu ratu yang dihasilkan, khas untuk santapan ratu. Seperempat lagi akan disimpan dalam perbendaharaan. Selebihnya untuk makanan larva,” jawab penasihat lancar dengan kepala tertunduk.

“Aku mahu mengubah aturan kolot itu!” tingkah Ratu Seri Mawar Mah gesit. Penasihatnya langsung tidak berani mendongak. “Simpanan kita sudah melimpah! Selepas ini, seperempat itu tidak perlu lagi disimpan. Ianya akan menjadi bahagian ratu!”

Ketetapan itu langsung dilaksanakan.

Pada mulanya, arahan itu tidaklah berapa ‘mencekik’ dirasakan. Pasukan penjejak dan pengangkut sangat besar jumlahnya. Setiap pagi, pasukan itu akan bolak-balik mengesan dan merebut nektar atau tepung sari dari bunga-bunga hutan serta buah-buahan yang tumbuh meliar. Di dalam haif pula, berpuluh ribu lagi kapuk mengapuk sesama sendiri. Begitu sibuk mengasuh atau merawat larva, mencerna sari madu, menghasilkan misan, propolis, lilin dan pollen.

Sebenarnya, diam-diam, Ratu Seri Mawar Mah selalu mencuri sari madu dari kom larva. Perkara ini disedari oleh sekelompok kecil pengasuh dan pengawal. Malah, gerombolan pengekor inilah yang melindungi kegiatan itu. Sel-sel yang sudah dicuri sari madunya, sengaja dibiarkan terlopong tidak dilitupi lilin. Bangkai larva pula akan menjadi habuan gerombolan kanibal. Kerana itu, sari madu kepunyaan Ratu Seri Mawar Mah semakin banyak terhimpun.

Dengan subahat gerombolan pengekor, sari madu yang terkumpul itu diangkut ke satu belahan rahsia. Hanya gerombolan yang benar-benar taat kepada ratu yang bekerja di situ. Pintu masuknya sentiasa dikawal ketat. Di dalamnya, setiap titis sari madu dilindungi malam supaya tidak tercemar atau rosak.

Sebagai imbalan, selain dari bahagian makanan yang lebih besar dari pekerja biasa, sesekali gerombolan pengekor juga diberi sari madu. Hasilnya, gerombolan ini mempunyai sifat yang hampir sama dengan ratu. Tubuhnya lebih besar. Hayatnya juga lebih panjang. Gerombolan pengekor ini juga tidak akan keluar dari sarang.

Bagi Ratu Seri Mawar Mah, gerombolan pengekor harus dibiarkan hidup lebih lama dan memang perlu dilebihkan dari pekerja biasa. Ini kerana tabiat gerombolan pengekor yang sangat suka memperagakan kesetiaan secara berlebihan. Jika diarahkan, gerombolan ini sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan pemerintahannya kekal.

Gerombolan pengekor juga amat menggemari sari madu dan selalu mencurinya untuk habuan sendiri. Malah, ada kelompok yang lebih berani mencuri milik ratu. Pergerakan ini pastinya berlaku secara terancang lagi sulit.

Waktu bergulir. Penasihat yang lama sudah mati. Diganti dengan penasihat baru.

Perlahan-lahan, pasukan penjejak dan pengangkut beransur menguncup. Nektar dan tepung sari yang dapat dikumpulkan juga merosot hasilnya. Akibatnya, simpanan misan dan sari madu dalam perbendaharaan bertambah surut. Makanan semakin kurang. Ceriut-ceriut keresahan mula bercempera dalam kalangan pekerja.

Tetapi, Ratu Seri Mawar Mah dan gerombolannya sudahpun merencana.

Awalnya, makanan dicatu. Sesudah itu, gerombolan pengekor diarahkan berkeliling mendengungkan cerita.
“Pejantan culas. Sudahlah begitu, pelahap pula!” Seekor pengekor memanjangkan muncungnya kepada beberapa kelompok pekerja.

“Pejantan hidup hanya untuk memenuhkan tembolok sendiri, mengawan kemudian mati,” bisik pengekor setia yang lain. “Sebaiknya kawanan bedebah ini dinyahkan. Merekalah punca segala masalah!”

Makar yang diatur berjalan licin. Beberapa kelompok yang mendengar, kemudian menyebarkan cerita itu pada yang lain.

Kurang dari sepekan, hampir seluruh kerumunan mula membenci kawanan pejantan. Selalu perkelahian terjadi. Yang menyengat atau disengat, pasti maut.

Persengketaan pun merebak. Memanjang.

Ratu Seri Mawar Mah seterusnya mengarahkan supaya kawanan pejantan dihapuskan seluruhnya. Untuk itu, ia mengarahkan penasihatnya supaya mengetuai ketumbukan pengawal.

“Sekiranya kawanan pejantan dihapuskan, seluruh kerumunan akan terancam,” penasihat menyatakan pendapatnya. Kepaknya menguit beberapa kali.

“Aku tak minta pandangan kau!” dengung Ratu Seri Mawar Mah nyaring. “Perkara ini sudahpun aku putuskan! Kau, ikut sahaja arahan!”

“Bagaimana dengan kerumunan? Tidakkah Ratu Seri menimbangkan soal itu?”

“Aku masih boleh bertelur!”
Mata Ratu Seri Mawar Mah yang hitam semakin mencerlang.
“Aku tidak perlukan seekor pejantan pun untuk terus menjadi ratu!”
Sengatnya mendadak diacungkan ke arah penasihat. Tanpa diarah, beberapa ekor gerombolan kanibal mara. Bersedia untuk menyerang.

Penasihat tetap tidak berganjak. Hanya sesungutnya yang bergetar. Sebelum kawanan pejantan dilupuskan, ia dulu yang menemui ajal dibaham pengawal.

Pembantaian ke atas seluruh kawanan pejantan diteruskan juga. Ianya dapat diterima hampir seluruh kerumunan. Secara tidak langsung, perkara ini menenggelamkan kisah kematian penasihat ratu.

Sesudah itu, tiada lagi penasihat yang dilantik. Sang ratu hanya memerintahkan ketumbukan pengawalnya diperbesarkan. Pengawal yang menjaga pintu masuk sarang juga sering diarah meninggalkan resmi. Sejak pengkhianatan penasihatnya, ia sentiasa bimbang. Hatta, ketaatan segelintir gerombolan pengekor juga dicurigai.

Untuk meredakan keadaan, ia kembali galak bertelur. Kegiatan mencuri susu ratu pula diarah dihentikan sementara.

Tetapi,kecurian tetap terjadi. Ini dilakukan oleh gerombolan pengekor yang tamak. Dalam kalangan pekerja, kecurian terjadi juga. Ada pekerja yang kelaparan terpaksa mencuri sesama sendiri. Akhirnya, kegiatan mencuri diteruskan semula. Kali ini lebih leluasa.

Sekali lagi kebuluran melata. Untuk mengatasinya, kali ini, pasukan penjejak dan pengangkut pula yang dikerahkan supaya bekerja lebih panjang.

Biasanya, pasukan itu terbang dari terbit fajar dan usai sebelum matahari sepenggalahan naik. Tetapi atas arahan, ia harus mengepak hampir seharian. Perlu menjelajah lebih jauh untuk memenuhkan perut madunya. Banyak juga yang mati kelelahan ketika memikul beban.

Gerbang masuk pula sudah lama tidak berapa dikawal. Pengawal hanya sibuk menjaga dan melindungi ratu dan simpanannya. Natijahnya, semut mayat sewenangnya bolos mencuri propolis. Burung Berek-Berek pula tambah berani menunggu berdekatan pintu sarang untuk memagut pengangkut.

Di dalam petaknya, sang ratu pula semakin rungsing. Telur yang dibuahkan makin sedikit. Tubuh dan sayapnya beransur lemah dirasakan. Ia tahu ia semakin dijerut usia.

“Aku mahu lebih lagi sari madu. Aku mesti terus subur dan panjang umur!” Ratu Seri Mawar Mah merenung tajam beberapa pengekor setianya. Walaupun simpanannya sudah melimpah, sang ratu tidak pula mahu sari madu miliknya luak.

“Untuk menghasilkan lebih sari madu, kita arahkan saja pengasuh supaya makan sebanyak-banyaknya,” cadang seekor pengekor.

“Kita sendiri sedang kekurangan makanan!” sanggah Ratu Seri Mawar Mah.

“Kita kecilkan lagi catuan makanan pekerja yang lain.”

Mata Ratu Seri Mawar Mah bersinar mendengar cadangan itu.

Rancangan itu segera dilaksanakan. Tetapi, malangnya banyak pula pengasuh yang mati kekenyangan.

“Bagaimana jika kita berpakat dengan lelabah pemangsa?” usul pengekor lain pula.

“Buatlah apa sahaja. Asalkan aku terus berkuasa!” ceriut Ratu Seri Mawar Mah dengan nada pongah.

Selang beberapa hari, muncul beberapa ekor lelabah pemangsa. Tiga ekor pekerja disedut isinya hingga mati. Dua ekor lagi dibawa lari. Seluruh kerumunan semakin ketakutan.

“Kita sekarang sedang diancam musuh luar! Maka, hendaklah kita bersatu di bawah takluk Ratu Seri Mawar Mah!” pengekor yang diarahkan untuk menjalankan tugas itu berdengung panjang. Muncungnya dihala merata.

“Tetapi, ada juga musibah lain. Kami kebulur! Makanan kami makin sedikit!” ceriut seekor pekerja. Getar kibasan sayap tanda setuju perlahan mengembang.

“Diam!” gerombolan pengawal mengipaskan kepak lebih laju. Lebih nyaring bunyinya.

Kebanyakan pekerja mendadak kecut.

“Kerumunan kita sedang digugah musuh luar. Mereka masih mementingkan perut sendiri. Mungkin mereka ini tali barut lelabah pemangsa!” tuduh pengekor yang berdengung tadi.

“Pengawal, hapuskan mereka!” decitnya tajam.

Berpuluh ekor pekerja menjadi mangsa. Dituduh telah berpakat untuk mencetuskan huru-hara.

Semenjak itu, tuduh menuduh sering berlaku. Yang berani bersuara, akan dituduh cuba mengancam kelangsungan seluruh kerumunan. Sengketa sesama pekerja pula yang semakin menajam.

Di tengah kemelut yang semakin meruncing, tiba-tiba muncul seekor calon ratu yang mahu mencabar Ratu Seri Mawar Mah.

Sang ratu terkesima. Tiada sekelumit pun ia menduga akan ditetaskan calon ratu lain yang bakal mendobrak kekuasaannya.

Mustahil boleh ada calon ratu. Kawanan pejantan sudah lama pupus. Begitu pertimbangannya. Tetapi, betina keparat ini sudahpun sempurna didatangi pejantan. Jika tidak, masakan ia berani mencabarku, fikirnya lagi.

Kali ini, ia tidak dapat mengharapkan pengawalnya. Ia tahu, sebesar mana pun ketumbukannya, gerombolan itu tidak mungkin akan menyerang, apatah lagi membenamkan sengat pada mana-mana ratu atau calon ratu sekalipun. Tidak dapat tidak, calon ratu itu harus ditentangnya sendiri.

Pergelutan panjang pun terjadi. Kerana semakin tua, Ratu Seri Mawar Mah akhirnya tumpas “Mawar Mah, engkau harus meninggalkan kerumunan,” dengung ratu baru itu. “Ratu yang tewas tak mungkin akan ditaati lagi!”

Mawar Mah melihat sekeliling dalam keadaan tidak berdaya. Ia tahu sekiranya ia menentang ratu baru itu, seluruh kerumunan akan menyerangnya.

Ia tertunduk. Mengepak lemah menuju ke pintu sarang, diekori gerombolan pengekor yang tetap mahu bersetia. Seekor dua yang kebingungan menyusul juga.

Sebenarnya, penasihat yang dibunuh itu sempat juga menyusun rencana. Dengan kerjasama pengasuh, beberapa larva dipilih dan disaring. Yang paling sempurna, diasuh untuk menjadi calon ratu.

Sekelompok kecil pengasuh pula sanggup bertelur. Pengasuh tidak perlu mengawan. Tetapi, telur yang tidak disenyawakan hanya akan menghasilkan pejantan. Kawanan pejantan inilah yang telah disatukan dengan ratu baru.

Semua perancangan rapi ini dituntaskan dalam sisir yang rahsia juga. Mujur, calon ratu dan kawanan pejantan hanya berdiam di dalam sarang. Memudahkan ia disembunyikan.

Sebaik sahaja mantan ratu dan gerombolannya pergi, perkara pertama yang dilakukan oleh ratu baru ialah memugar seluruh sari madu yang telah dicuri Mawar Mah. Ratu baru seterusnya berikrar akan segera menyeimbangkan agihan makanan dan simpanan.

“Semua yang tinggal haruslah bersama-sama menggembeling tenaga,” dengung ratu baru mengakhiri ucapannya. Ratu baru sangat insaf peranannya. Ia dicipta demi kelangsungan hidup seisi marcapada. Seperti yang telah diwahyukan Maha Pencipta pada seluruh turunannya.