Mahathir turun demontrasi Bersih. Siapa sangka?

Dia turun selepas beberapa hari mantan bos NST, Dato’ A Kadir Jasin mengaku melakukan ‘dosa’. Pengakuan itu dibuatnya dalam sebuah forum di kantor Malaysiakini, dekat Petaling Jaya. Kadir berharap dosa-dosanya itu dapat diampunkan—apabila politik dan ekonomi Malaysia mutakhirnya ini berada keadaan begini gawat.

Kadir seorang yang serdahana. Seorang yang pernah mengemudi media propaganda pemerintah seperti yang dia sendiri akui. “Kita semua yang bersalah”, katanya, “kerana memilih pemimpin hari ini”. Dia merujuk, termasuk menjadikan BN menang dalam PRU, dan Najib Razak terpilih menjadi Pedana Menteri.

Dalam forum itu, saya bangun. Ada yang membekas pada kata-kata Kadir. Maka saya, seperti disaruk kuasa luar biasa, pun mendekati pembesar suara ketika sudah beberapa orang lain sebelum saya bertanyakan soalan.

“Tadi datuk kata kita ‘bersalah’. Saya rasa bukan ‘kita’ tapi hanya datuk yang memilih BN dan Najib sebagai PM. Bukan ‘kita’.” Memang saya bukan mahu bertanya. Saya mahu mencurahkan perasaan kerana sejak 17 tahun ini, saya tidak pernah lagi menyokong BN mahupun UMNO. Sejak 1998. Sejak Anwar Ibrahim dipecat. Sejak era Reformasi.

Begitu, saya pernah bertemu Kadir di sebuah restoran di Bangsar Utama pada tahun 2000, kalau tak silap. Mungkin tahun 2001, atau mungkin juga dalam tahun 2002. Lebih kurang tengahari waktu makan.

Restoran itu hanya di bawah bilik sewa saya. Kadir, saya tegur. Dan kami duduk semeja. Orangnya lembut. Bahasanya baik. Walaupun saya tak dia kenal, tapi masih mahu Ketua Pengarang NST itu menerima saya. Lebih-lebih lagi, saya yang dulu bukanlah yang sekarang…

Waktu itu rambut saya panjang. Tak terurus. Yang tak terurus bukan cuma rambut, juga penampilan diri. Lusuh dengan jaket jeans. Juga seluar denim yang koyak-mabak.

Dalam kesempatan sekelip mata itu, saya cuba mengajak Kadir bercakap tentang politik. Tentang Anwar Ibrahim yang ditangkap, dipukul dan dipenjara. Mustahil dia tak tahu, demontrasi di tengah ibu kota hampir tiap minggu. Seingat-ingat saya, saya juga cuba mengajaknya bercakap tentang garis-garis politik, termasuk faham “sosialisme” dan “komunisme”. Apakah ideologi berbarang mungkin dapat mengeluarkan warga kecil kota besar seperti saya, terlepas daripada “sumpah sial kotaraya ini”… sumpah yang terlekat kuat kepada anak-anak muda yang menjejaki harapan hidupnya di sini.

Separuh jalan, nampak Kadir sudah tak berminat lagi untuk bercakap dengan saya. Mungkin topik yang saya cuba bawa tak penting baginya. Atau sememangnya dia telah berkeputusan, bahawa dia tak menyokong demonstrasi yang selalu kami atur, dan tak menyokong pula Reformasi yang dianjur Anwar Ibrahim.

Kadir pun berlalu. Dengan kereta Jaguar-nya, kalau saya tak silap. Bagaimana selepas sedekad peristiwa itu, dengan mata telinga saya sendiri, saya mendengar Kadir insaf. Juga mengajak kita insaf. Mendengar pula dia mengaku dia bersalah dan berdosa. Dalam hati saya, ada sesuatu yang beruap-uap. Barangkali saya marah, mungkin saya separuh gembira separuh de javu. Ibarat berngingau di tengahari.

Itu cerita tentang Kadir, bos sebuah media propaganda besar ketika Tun Mahathir menjadi PM. Lain pula ceritanya dengan Mahathir sendiri. Orang tua 90 tahun itu dua hari berturut-turut turun demontrasi Bersih 4. Media melaporkan begitu, walaupun Mahathir tak betul-betul masuk ke tengah-tengah pusat gempa demonstrasi. Dia hanya di pingir-pingir sahaja. Bukan betul-betul di titik pusat kerumunan para pendemonstran. Bukan cuma saya, ramai yang lain akan terfikir juga, apakah yang akan terjadi seandainya Mahathir masuk ke dalam ribuan manusia dengan warna kuning?

Saya bayangkan, Mahathir juga akan dicemuh. Atau diludah atas dosa-dosa yang dia sendiri lakukan ketika di pundak kuasa. Saya masih ingat sangat, dan pastinya saya takkan lupa bagaimana para pendemonstran di era Mahathir dipukul, ditembak gas pemedih mata, disimbah air asid, ditangkap, didera fizikal dan mental. Sebahagian mereka menyimpan dendam atas kehidupan dan masa depan yang hancur.

Tapi salut, saya. Salut kepada seorang tua 90 tahun itu yang begitu berani cuba hadir dan membayangkan dirinya mahu bersama sebahagian daripada rakyat. Bertambah-tambah berani kerana dalam pada itu, dia juga menyatakan dia hadir ke demonstrasi Bersih, namun “tak menyokong tuntutan bersih.” Mahathir ada agendanya sendiri.

Di saat ini, seolah-olah tak lebih Mahathir mahu buktikan bahawa dia selalu bersama rakyat. Di mata saya pada Sabtu dan Ahad lepas, Mahathirlah yang lebih memerlukan rakyat. Bukan sebaliknya. Untuk sesetengah orang, Mahathir perlu menerima pembalasan yang setimpal.

Mengikuti ucapan Mahathir sejak dia berlaga angin dengan Najib, Mahathir hari ini bukan seorang warganegara yang sepenuhnya mahu berubah. Dia masih mahu UMNO-BN kekal berkuasa dan kekal dalam sistem sedia ada. Dia hanya mahu menumbangkan Najib. Sepertimana pernah dia lakukan ke atas Abdullah Badawi.

Demi untuk menyingkir Najib, apa sahaja akan dilakukan. Apa sahaja akan ditunggangi Mahathir. Termasuk media. Termasuk demonstrasi. Termasuk Bersih 4. Apalah sangat sebuah demontrasi Bersih kepadanya? Apakah sangat 30 minit atau satu jam untuk dia turun di depan Central Market, kalau apa yang dia lakukan itu dapat menakut-nakutkan Najib?

Seperti yang diucap Ghandi, sang tokoh kemerdekaan India, “kita boleh memaafkan, tapi tidak untuk melupakan.” Kata-kata yang sama diungkap Gus Dur ketika bercakap tentang dosa-dosa Soeharto yang mengekang suara rakyat dan mengatur Indonesia persis kuasa luar yang menjajah Indonesia.

Maka sebenar-benarnya, Mahathir akan lakukan apa sahaja untuk mencapai maksud hatinya—yang dia saluti dengan slogan demi “agama, bangsa dan negara.” Di situlah apa yang saya maksudkan sejak pertama kali bercakap tentang “Mahathirisme” lebih sepuluh tahun lalu.

Memaafkan batang tubuh dan jasad Mahathir, bukan berarti melupakan “Mahathirisme” yang mungkin sahaja berada di dalam benak ramai orang lain selain Mahathir. Di saat ini, maka kita akan melihat pengakuan ‘dosa’ seperti yang dibuat oleh Kadir adalah sesuatu yang sangat hening dan mulia. Di situlah garis pemisah antara Mahathirisme-dengan-Mahathir itu sendiri.

Hasmi Hashim, juga dikenali sebagai Buddhi Hekayat, penulis, penulis lirik dan politisi. Boleh juga ikuti di Twitter: @HasmiHashim.