Wujudnya keinginan untuk berdebat tentang liberalisme di Malaysia sekarang ini menunjukkan tanda perkembangan intelektual dan kematangan budaya serta keyakinan dan dinamisme, sama ada untuk menyokong atau pun menentangnya.

Apabila liberalisme secara serius dicabar atau bahkan diserang atau disalahertikan, saya kira kita telah sampai kepada satu tahap di mana kita perlukan perbincangan yang serius dan sedar tentang apa yang membentuk liberalisme.

Pada hemat saya, lebih daripada 50 peratus rakyat Malaysia merupakan individu yang liberal sama ada mereka sedar mahupun tidak. Dalam banyak hal kita adalah liberal. Individu yang berjambang mahupun yang berserban yang menolak liberalisme melalui sesi ceramah mereka juga tidak kurang sifat liberalnya jika dibandingkan dengan mereka yang mengaku sekular.

Pengarah eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan, walaupun seorang ahli PAS namun beliau juga merupakan seorang liberal, atau lebih tepat lagi, libertarian. Dr Dzulkefly Ahmad yang terkenal dengan watak Islamisnya, serta pemimpin beliau yang tidak lagi disayanginya, Abdul Hadi Awang, turut tidak terlepas daripada ideologi liberalisme, selagi kita tidak membicarakan tentang sokongan untuk LGBT atau perkahwinan sama jantina sebagai syarat yang menjadikan seseorang itu liberal.

Beberapa bulan lalu, saya terlibat dalam satu sesi diskusi bersama presiden ISMA, Abdullah Zaik Abdul Rahman. ISMA ialah sebuah badan yang lantang menentang liberalisme. Saya menguji beliau dengan beberapa soal cepumas, antaranya: “Adakah kamu menyokong atau menentang sistem penghambaan?” – “Sudah pasti saya menolak sistem penghambaan,” jawab Abdullah Zaik.

Sengaja saya utarakan soalan itu kerana salah satu kejayaan terawal pergerakan liberal ialah kejayaan mereka melenyapkan sistem penghambaan, iaitu institusi sosial yang menafikan hak-hak asasi dan kebebasan manusia di mana sistem itu telah diamalkan sejak zaman berzaman.

Residen British yang pertama dibunuh kerana beliau mahu menghentikan sistem penghambaan, penghambaan-atas-dasar-hutang serta penghambaan dengan menculik orang asli dan menjual mereka sebagai hamba. Jadi, sekiranya ada yang terbunuh kerana memperjuangkan liberal di negara ini maka JWW Birch adalah syahid yang pertama.

Kemudian saya soal beliau lagi, “Kamu memilih monarki sepenuhnya atau monarki berperlembagaan?” Beliau memilih monarki berperlembagaan yang merupakan kejayaan bersejarah The Glorious Revolution, yang menjadi batu tanda penting dalam gerakan liberal.

Saya percaya beliau akan bersetuju mengenai kandungan Oxford Manifesto 947, dokumen mengenai penubuhan Liberal International.

Namun, semakan semula manifesto berusia lebih 50 tahun itu tidak mengambil kira komitmen masyarakat Asia, juga mereka yang mempunyai kecenderungan liberal, sudut pandang agama, serta kesucian keluarga tradisional sebagai penyambung nilai dan ketamadunan Asia.

Dalam masa seratus tahun, saiz warga kelas pertengahan di negara-negara Asia akan menjadi lebih besar jumlahnya berbanding Barat yang liberal dan moden. Saya tidak menafikan hakikat bahawa kemasyhuran liberal Barat moden masih hebat namun ia tidak dapat menandingi peradaban di negara-negara Asia yang terawal.

Saya percaya masyarakat Asia termasuk Malaysia akan menerima prinsip-prinsip liberal dari masa ke masa: kebebasan hak-hak asasi dan kemuliaan insan, tanggungjawab kemanusiaan, kebebasan berpolitik dan ekonomi, undang-undang, pilihanraya yang adil serta kerajaan berperwakilan.

Atas apa pun sebabnya, warga Asia akan terus bangkit dan memberi perhatian kepada aspek intelektual dan moral selari dengan kitab agung mereka : al-Quran, teks Konfucious dan Taoist, kitab-kitab Dhammapada, Mahayana Sutra, dan kitab-kitab Veda. Malah, trajektori liberalisme di Asia dalam dekad akan datang bukan sekadar adaptasi dari idea-idea John Locke, Adam Smith, Immanuel Kant, John Stuart Mill, Alexis de Tocqueville, Keynes, Hayek dan Rawls.

Meneroka Produktiviti Liberalisme di Asia

Idea-idea tersebut akan diuji, dan akan wujud sintesis dengan sudut pandang dan nilai Asia yang dipegang mereka. Amalan-amalan dan polisi politik liberal dalam sudut ekonomi dan sosial akan dipersoal dan sebarang kejayaan atau kegagalan yang dialami akan dinilai.

Akhir sekali, warga liberal Asia perlu memutuskan apakah langkah yang bermanfaat dan produktif bagi masyarakat. berbeza dengan kenyataan Francis Fukuyama selepas Perang Dingin, sejarah belum berakhir. Evolusi ideologi, falsafah sosial dan politik akan terus berkembang.

Otto von Bismarck kini berusia 200 tahun jika hayatnya masih ada. Ulangtahun kelahiran beliau disambut oleh warga Jerman awal tahun ini, dan dalam satu sesi temuramah ada yang menyebut: Die Politik ist die Lehre vom Möglichen : atau terjemahannya : Politik ialah seni tentang kemungkinan.

Para liberal yang mahu membentuk sebuah parti politik perlu belajar kenyataan pahit itu dari Iron Chancellor. Setiap orang mempunyai keyakinannya, namun setiap orang perlu menempuh jalan panjang untuk memenuhi harapan, aspirasi dan keutamaan rakyatnya.

Apa yang ideal akan bertembung dengan realiti yang kasar dan kompromi perlu dilakukan. Banyak contoh yang boleh didapati bahawa masyarakat memang kurang gemar pada ahli politik dan parti politik bersifat dogmatik.

Kepentingan Keadilan Sosial

Bagi saya, parti yang saya sertai boleh dikatakan sudah cukup liberal. Sudah tentu bukan libertarian. Ia adalah seliberal yang mungkin untuk sebuah parti politik dalam konteks Malaysia. Parti saya menyokong kebebasan politik dan ekonomi, persaingan dan menyerang monopoli. Kami berpegang pada hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.

Kami menzahirkan keperluan bagi keadilan sosial dan kepentingan dalam mengurangkan perbezaan jurang pendapatan. Hal ini turut dikongsi bersama rakan kami, parti DAP dan PAS,yang malangnya banyak difitnah sekarang ini. Saya berharap parti kami akan menjadi lebih liberal, tetapi saya tidak mahu memperjudikan nasib Dzulkefly dan kumpulannya.

Saya lihat warga liberal Malaysia perlu bangkit dalam menyuarakan serta menjelaskan falsafah liberal mereka agar ia selari dengan sintesis nilai-nilai dari sudut pandang Asia untuk menawarkannya kepada masyarakat dengan mengambil kira polisi ekonomi dan sosial. Kuasa liberal perlu diketengahkan untuk keselamatan dan kestabilan domestik dan secara menyeluruh. Para liberal perlu sedar mengenai konflik ketenteraan di Laut China Selatan dan persaingan ketenteraan mungkin bakal terjadi antara China dan Amerika Syarikat di Asia Pasifik.

Sebagai seorang yang liberal, kami membantah keras sikap pemimpin rejim yang memecahkan rekod baru menerusi skandal dan korupsi, sementara di negara-negara lain yang dahulunya berada di belakang kita dari segi pencapaian ekonomi, sosial dan pendidikan, kini lebih maju dan meninggalkan kita jauh ketinggalan di belakang.

Akhir sekali, saya akan menjadi seorang liberal yang gagal jika saya tidak menyebut tentang perkara ini. Individu yang telah banyak berbakti memperjuangkan kebebasan berpolitik dan ekonomi, ke depan dalam menolak DEB, kini sedang meringkuk di dalam penjara. Seperti yang semua sedia maklum, peraturan undang-undang dan integriti institusi kehakiman merupakan salah satu prinsip suci liberalisme. Anwar Ibrahim berada di balik jeriji besi kerana kepincangan sistem kehakiman.

Salah satu mutiara kata kegemaran Anwar datang dari Edmund Burke, yang tulisannya turut memberi inspirasi buat FA Hayek, ahli falsafah dan ekonomi yang memberi sumbangan besar menghidupkan semula liberalisme dalam abad ini dan sebelumnya.

Sengaja saya petik kata-kata Edmund Burke supaya kita tidak melupakan Anwar Ibrahim: “All that is necessary for evil to triumph is that good men do nothing.” (Kejahatan bermaharajalela apabila orang baik tidak berbuat apa-apa.)

Khalid Jaafar merupakan pengarah eksekutif Institut Penyelidikan Polisi dan salah seorang ahli PKR. Beliau menyampaikan hujah berikut semasa menjadi panel perbincangan ‘Is Malaysia Ready for a Liberal Party’ pada 4 Julai 2015.

Tulisan ini diterjemah oleh Maisarah Akbal