dari titik ke titik
ku tarik satu garis
satu garis hitam
dari kembara malam

~15 Mac, 2015

Secara popular pemaknaan falsafah telah difahami secara tidak cermat. Misalnya falsafah dianggap hanya membicarakan soal-soal metafizik. Perkara seperti ini lazimnya boleh ditemui dalam persepsi kalangan Salafi.

Sebahagian kalangan Asya’ariyah pula mencampur adukkan pemaknaan istilah falsafah dan ilmu kalam. Kenyataannya, topik perbahasan falsafah lebih luas berbanding ilmu kalam. Ilmu Kalam berfungsi sebagai benteng kebal teologi.

Walau pun beberapa aspek perbahasan ilmu kalam dipengaruhi oleh falsafah namun keduanya mempunyai arah epistemologi, metodologi dan tujuan yang saling bertentangan. Mereka saling mencemburui dan bermusuhan.

Kesan dinamik pertindihan zaman klasik ini akhirnya memunculkan konsep falsafah kalam. Namun pengetahuan ini bukan lagi menjadikan Tuhan sebagai titik permasalahan tapi meletakkan persoalan manusia sebagai isu yang lebih penting.

Perdebatan penuh kerumitan misalnya apakah fungsi agama untuk Tuhan atau manafaatnya kepada Manusia? Adakah syariah cuma mengandungi sifat ta’abudiyyah atau menampung sifat profetik sosial?

Persoalan yang masih menghadirkan ribut dalam cawan pula seperti apakah perlaksanaan syariah – atas nama ta’abuddiyyah – tidak perlu mempertimbangkan perspektif analisa sosial kemasyarakatan?

Pertanyaannya lagi, apakah agama hanya mengandungi sisi metafisik sakral dan manusia tidak perlu mempertimbangkan sisi profetik sosialnya? Bagaimanakah meletakkan sisi-sisi tadi ke posisisi yang sepatutnya?

Wajarkah persoalan-persoalan sosial manusia diberikan jawapan-jawapan abstrak metafizik? Mungkinkah jawapan abstrak metafizik mampu dimanupulasi sebagai keabsahan sesuatu ketidakadilan?

Terakhirnya, bagaimanakah nanti kesakralan agama bukan cuma lagi berdimensi individu tapi mempertautkan peranan sosial kemasyarakatan. Kerana Tuhan tidak terhenti sebagai “perbendaharaan tersembunyi” kemudian membiarkan manusia merasa kehampaan tanpa realiti.

~Mac 15, 2015

Petang tadi ada kawan bertanyakan tulisan saya dalam JalanTelawi. Saya menyatakan bahawa mereka yang menjemput saya menulis. Saya tidak pernah menawarkan diri walau pun sudah hampir 15 tahun akrab dengan mereka. Inilah sikap saya kepada mana-mana pihak. Biarlah pengiktirafan datang dari kejujuran paling dalam.

Alasannya cukup mudah. Kalau mereka menilai tulisan saya “power” dan layak diiktiraf sebagai karya yang baik kemudian menawarkan ruang untuk menulis. Saya menerimanya dengan senang hati. Saya tidak biasa menebalkan muka. Ya, mungkin dianggap sombong tapi sebenarnya ada harga diri yang masih perlu dipertimbangkan.

Pada saya JalanTelawi yang dinilai kapitalis lebih jujur watak hati budinya berbanding yang mendakwa kiri sosialis tapi penuh muslihat tersembunyi. Mereka mampu menindas dan mencincang kawan sendiri hidup-hidup tanpa peri kemanusian. Kesimpulannya, berhati-hatilah dengan label yang akan menjadi jerangkap samar.

~Mac 17, 2015

kalau kau menunggu sampai selesai
membaca semua buku atas dunia ini
kemudian baru menjadi pandai
kemudian layak untuk menulis
alamat memang tak ada
kau mati dan hidup 100 kali pun
ia hanyalah mimpi-mimpi

~17 Mac, 2015

Saya sudah lama menulis tentang hubungan sulit NGO OKU dengan elit politik. Bagaimana proses perselingkuhan ini berlaku? Ramai menuduh saya membuat fitnah. Akhirnya perkara ini menjadi barah dalam daging.

Tak mengapa. Kadang-kadang kefahaman seseorang bertahap-tahap. Namun tidak jarang juga yang tersangkut menjadi kebebalan. Kemudian kebebalan ini berbaur dengan kesombongan. Ini tak mudah diubati.

Esok jangan lupa turun demontrasi!

~18 Mac, 2015

ORANG-ORANG BERHURUF

orang-orang berhuruf rumi
tak tahu jawi
apa makna alif
bagaimana bunyi ba
di mana pula titik ta

orang-orang berhuruf jawi
tak pedulikan rumi
apa hakikat agama
santunkah bila berbahasa
di mana pula puncak segala cinta

orang-orang berhuruf
tak melebihi bentuk
bertelingkah soal maksud
sedangkan ia sekadar tawasul
agar semakin menunduk

tentunya Tuhanmu tidak berhuruf
renungilah dengan fikir hati
apa pun di luar definisi
nanti kau mengerti
ketika lantera itu menyalakan api

~18 Mac 2015

Hari ini 18 Mac 2015 adalah detik terpenting dalam sejarah. Hampir 150 OKU penglihatan berdemontrasi di perkarangan kompleks MAB. Demontrasi ini bertujuan bagi mendesak satu siasatan terperinci terhadap pengurusan tertinggi Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) bagi mengelak salah laku dan penyelewengan aset-aset MAB.

* Memorandum akan disebarkan kepada khalayak awam.
Para demonstran yang terdiri daripada OKU penglihatan telah berkumpul sekitar 8.30 pagi di sebuah restoran yang terletak di Brickfields. Lebih kurang jam 9.15 para demonstran OKU yang dikepalai oleh saudara Shahmar Saad (imam jalanraya) bergerak perlahan-lahan menyusur jalan menuju ke MAB. Mereka turut membawa sepanduk-sepanduk sebagai lambang bantahan.

Di sepanjang perjalanan terdengar suara Shahmar melaungkan kata-kata semangat. Kemudian diikuti oleh para demonstran yang lain. Saya berjalan bersama mereka sambil mengambil beberapa gambar menarik untuk tatapan khalayak sejarah mendatang.

“Hidup! Hidup! Hidup rakyat!”
“Hidup! Hidup! Hidup orang buta!”
“kami sayang MAB”

Setelah sampai masing-masing mengambil tempat sambil memegang sepanduk. Demontrasi dimulakan dengan menyanyikan lagu negaraku dengan penuh semangat. Saya lihat ada kawan-kawan yang mengalirkan air mata.

Kemudian demontrasi diteruskan lagi dengan ucapan-ucapan beberapa orang yang turut membakar semangat kawwan-kawan. Terdengar suara sorak dan laungan slogan semakin menghangatkan suasana. Saya memang tak mampu lagi menahan sebak dan air mata gurur lagi untuk entah ke berapa kalinya.

Bila tiba giliran saya memberikan sedikit kata-kata. Saya sudah terlalu sebak dan kelu untuk berkata-kata. Dari pagi saya sudah berfikir apa yang mahu dicakapkan. Tapi hilang di tengah gelora dan kecekalan kawan-kawan yang sanggup berdiri di tengah panas memegang sepanduk. Ya, mereka semuanya hebat! Mereka demonstran yang hebat!

OKU penglihatan sudah bangkit menuntut haknya. Saya teramat bangga mempunyai kawan-kawan seperti mereka. Sekali pun tak pernah masuk universiti tapi merekalah pejuang hak OKU yang sejati. Memang ada kalangan OKU yang belajar sampai universiti tapi takut menyuarakan pandangan. Lalu merekalah yang menyebar cerita bahawa OKU diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu. Bila diajak turun padang bergelumang dengan masyarakat sendiri dan memahami lebih dekat lagi mereka angkat tangan.

Ada antara demonstran yang sangat bersemangat meluap-luap. Namun suasana tetap terkawal. Masing-masing para demonstran diingatkan agar tidak melakukan apa-apa perbuatan yang menyalahi undang-undang. Polis juga turut memberikan kerjasama yang sangat baik. “Kita mahu berdemontrasi bukan mahu buat kacau” Cetus seorang teman saya. Benarlah katanya, apa masalahnya OKU penglihatan berdemontrasi menyatakan sikap mereka.

Tahnaiah kawan! Kalian adalah demonstran yang hebat! Semoga detik sejarah ini memberikan semangat kepada komuniti OKU lain untuk bangkit menyuarakan hak-hak mereka. Ini satu permulaan yang baik. Kita bergerak ke hadapan dalam menuju ke arah Malaysia yang mesra OKU.

Untuk masyarakat awam, ingatlah bahawa sesiapa pun akan bangkit jika hak mereka dicabuli. Marilah bersama kami OKU membangunkan Malaysia yang inklusif untuk semua orang termasuk OKU dan bukan OKU. Menegakkan keadilan adalah asas terpenting kemanusian itu sendiri.

Terima kasih kepada semua teman-teman saya yang menghadirkan diri ke demonstrasi OKU penglihatan pagi tadi. Saya harap demontrasi ini akan membuka mata masyarakat seluasnya tentang isu sebenar yang dihadapi oleh komuniti OKU. Semua wartawan tadi diminta melaporkan berita ini dengan jujur dan telus sesuai dengan etika kewartawanan.

~Mac 20, 2015


Rosli Ibrahim, penulis buku
OKU Bangkit yang sedang dalam proses menyiapkan buku terbaru beliau Gelap Mata.