Kita tidak terdaya selamanya hidup dalam sejarah. Apatah lagi asap kemenyan romantisme yang menjadikan kita asyik-mahsyuk tentang kejayaan bangsa di masa lalu.

Adapun sejarah sekedar peringatan. Sejarah adalah cermin. Dalam bercermin-cermin itu, ramai pula yang membaca sejarah dengan keliru, sampaikan bangsa kita seakan tidak mampu mengorak langkah baru. Terlalu-lalu terikat kakinya kepada rantai atau lubuk hitam sejarah.

Orang Melayu selalu berbangga dengan Dato’ Onn, tokoh yang menubuhkan Umno: sebuah parti Melayu. Ababalan, ketika rasa bangga itu dititipkan dari generasi ke generasi, selalu juga disembunyikan sepenggal sejarah Dato’ Onn yang menubuhkan parti berbilang kaum—selepas Dato’ Onn disingkir oleh kaum bangsawan istana dalam Umno. Hari semakin hari, semakin cerah dan jelaslah kepada generasi baru bahawa inti pati kejayaan perjuangan Dato’ Onn bukan menubuhkan Umno, tetapi meniup semangat kebangsaan dan nasionalisme ke dalam dada-dada anak bangsa. Beliau akhirnya tidak dapat sehari pun menjadi perdana menteri.

Ada soalan lain. Mengapakah selepas Dato’ Onn terbuang dari Umno, dia tidak menyertai Pas (?)—sedangkan Pas antaranya ditubuhkan oleh orang kuat Dato’ Onn sendiri, yakni Ahmad Fuad. Dan, Ahmad juga akhirnya meninggalkan Pas bagi mengikuti bosnya kembali menubuhkan sebuah parti baru.

Parti baru itu bukan parti yang berasaskan kaum. Bukan parti yang berasaskan agama. Bukan juga parti yang berasaskan ideologi kekiri-kirian sepertimana parti mendakwa dirinya sebagai parti berbilang kaum. Kebetulan sahaja di masa-masa itu, pertembungan ideologi masih sangat relevan dalam lanskap politik dunia; ketika banyak negara-negara baru muncul dan bebas daripada era penjajahan Barat. Sepertimana biasanya Dato’ Onn, faham kiri dan kanan tidak mustahak bagi Dato’ Onn. Bagi saya, Dato’ Onn seorang idealis-pragmatis. Dia seorang nasionalis.

Di celah-celah kebanggaan kita terhadap Dato’ Onn, kita juga jarang sekali, atau hampir tidak pernah menceritakan bagaimana Dato’ Onn beberapa kali dibuang ke Singapura. Detik pekat ini terjadi apabila Dato’ Onn berlaga angin dengan Baginda Sultan Johor. Ababalan betapa besarnya jiwa Dato’ Onn, beliau jualah yang kemudiannya meletakkan raja-raja Melayu kembali ke tempatnya sepertimana hari ini, meski, dalam jejak perjuangannya, Dato’ Onn jualah yang paling banyak tidak berkenan di mata istana, disingkir dalam mainan politik bangsawan, mahupun dipencilkan ke Singapura.

Sejarah tidak boleh dilihat secara retak-retak, pecah-pecah. Jejak Dato’ Onn secara menyeluruh akan membuktikan apa yang dilakukan olehnya bukan untuk nafsu politik hatinya. Tidak lain adalah untuk bangsa dan tanahairlah apa-apa sahaja. Dan, sekian lama, sejak merdeka, orang-orang Melayu telah memakai “jalan pertama” yang ditunjukkan Dato’ Onn, iaitu bersatu di dalam sebuah parti yang berteraskan kaum. Di dalam Umno: sebuah Parti Melayu.

Sudah menjadi hukum alam, tak ada yang kekal abadi selain Illahi. Peringatan pun tiba.

Sekurang-kurangnya hikmah di sebalik Reformasi 1998, yakni kira-kira tujuh belas tahun lalu apabila bergoyangnya loceng peringatan kepada bangsa Melayu untuk melihat kembali apakah selamanya mereka boleh bertahan di dalam sebuah parti atas nama bangsa? Apakah parti Melayu itu masih boleh bertahan dengan cabaran semasa? Ringkasnya, apakah Umno itu memang boleh selamanya bertahan? Mustahil! Dan, kalau Umno tak akan mampu bertahan dek hukum alam yang memastikan ia akan mati, apakah orang-orang Melayu mahu turut sama mati bersama tenggelamnya kapal Umno itu?

Tentu orang Melayu sendiri menjawab dengan jawapan “tidak!”. Survival bangsa Melayu selepas ini sebenarnya sudah pun ditunjukan oleh Dato’ Onn, melalui “jalan kedua” selepas beliau meninggalkan Umno. Semasa hayatnya, jalan kedua itu mungkin gagal. Namun, selepas sekian lama, nampaknya jalan kedua itu mulai sangat berpadanan dengan cabaran semasa kepada orang Melayu, khasnya dan kepada Malaysia amnya.

Kalau diibaratkan sebagai sebuah kereta, Umno adalah kereta dengan kuasa kuda 1.5. Dahulunya, kereta berkuasa 1.5 sudah cukup baik dan boleh dipandu laju lagi bergaya—berbanding basikal atau motorsikal. Apabila zaman berubah, kereta 1.5 itu sudah ketinggalan. Teknologinya pun sudah tua. Silap-silap, cermin tingkapnya pun masih guna tangan, yakni manual.

Sekiranya kita berharap kereta 1.5 itu boleh dipandu selaju 2.0, ia bukan salah kereta. Sikap menaruh harapan kepada sesuatu yang sudah ketinggalan zaman dan tua untuk terus bersaing adalah kesalahan bangsa itu sendiri. Menukar enjin sekalipun tidak cukup untuk menjamin kereta itu boleh bersaing dengan kereta keluaran baru. Ahai! Tinggalkan sahaja kereta lama itu. Orang Melayu tidak ada pilihan selain menciptakan kereta dengan kelajuan 2.5, supaya boleh dipandu sekurang-kurangnya selaju 2.0, dan teknologinya barangkali terkehadapan sehingga lima dekad lagi.

Itulah ibaratnya. Itulah jalan kedua yang pernah ditunjukan oleh Dato’ Onn—sebuah parti berbilang kaum, sementara orang Melayu harus menjadi tulang belakang kepada parti berbilang kaum itu. Sekiranya parti berbilang kaum itu—misalnya Keadilan—tidak mendapat sokongan majoriti orang-orang Melayu, maka ia akan payah berkembang. Masa juga sudah menyaksikan bagaimana parti yang mendakwa dirinya berbilang kaum, tetap sahaja lemah kerana tidak mendapat sokongan majoriti Melayu. Ababalan, parti itu pun kekallah sebagai parti cauvinistik. Hanya suhu cauvinistiknya sahajalah berubah-ubah. Naik-turun mengikut keperluan semasa.

Sesebuah parti menjadi cauvinistik bukan kerana ada segelintir anggota partinya cauvinis. Wujudnya anggota parti yang bersifat cauvinis tidak boleh dielak di dalam mana parti sekalipun. Namun, yang menjadikan sesebuah parti itu kental perkaumannya apabila parti itu tidak dapat mewakiliti realiti geo-politik masyarakat Malaysia keseluruhan. Apa erti mendakwa diri sebagai parti berbilang kaum, tapi keanggotaanya 95 peratus hanya terdiri daripada satu kaum sahaja? Di ketika inilah, tokoh daripada kaum yang barangkali berkomposisi enam puluh peratus, tapi dilihat hanya sebagai bunga di pentas, penghias kain rentang atau “token” sahaja.

Melayu tidak akan memilih parti yang menjadikan bangsanya sebagai majoriti menjadi penempek poster di FB atau twiter, ataupun sebagai token. Kebijaksanaan Dato’ Onn melalui “jalan kedua” yang ditunjukannya lebih lima puluh tahun lalu bukan untuk merelakan diri bangsanya yang menjadi majoriti, menjadi minoriti. Keadilan ke kaum-kaum akan hanya dapat dilaksanakan sekiranya dua hal pokok dapat diselesaikan.

Pertama, kesedaran berakhirnya era politik perkauman. Kedua, kesedaran kaum-kaum meninggakan parti perkauman untuk bergerak ke “jalan kedua” sepertimana yang ditunjukan oleh allahyarham Dato’ Onn bin Jaafar. Tokoh kebangsaan semua bangsa.