i.
Hal yang paling menarik semalam ialah fakta-fakta baru yang dilontarkan oleh Wan Ji mengenai dua mazhab dalam pengajian tafsir di Pakistan iaitu Panipati dan Panshpiri. Menariknya, arwah Nik Aziz bermazhab Panshpiri. Selama ini saya cuma tahu kewujudan Hamid al-Din al-Farahi yang terkenal dengan teori pengumpulan dan kemunasabahan al-Quran…dan saya semakin faham bagaimana pengajian tafsir di Kelantan dipengaruhi oleh aliran India.~24 Februari 2015

ii.
Kalid Mathnawi iaitu sebuah syarah kepada Mathnawi Maulana Jalaluddin Rum oleh Maulana Ashraf Ali Thanawi. Kalid Mathnawi dicetak di Pakistan. Jumlahnya sebanyak 24 jilid tetapi disusun di dalam 10 buah buku. Selepas kali pertama dicetak Kalid Mathnawi terus hilang daripada pandangan pencintanya. Kebanyakan yang ditemui kesemuanya tidak lengkap.

Melihat kepada kepentingannya beberapa individu yang ternama di Pakistan telah berusaha mengumpulkan semula jilid-jilid Mathnawi yang telah hilang di seluruh Pakistan dan India. Dalam pencarian itu hanya jilid ke-5 tidak ditemui. Akhirnya ia ditemui di India milik Qadi Sajjad Husain. Beliaulah orang yang menterjemahkan Mathnawi ke dalam bahasa Urdu berserta hasyiah ringkas.

Mathnawi dibahagikan kepada enam jilid. Maulana Rumi telah menulis pengantar untuk setiap jilid. Manuskrip terawal Mathnawi adalah manuskrip Konya telah disiapkan pada 1278 iaitu lima tahun selepas Maulana Rumi meninggal dunia. Dalam naskah terbitan Dr. Tôfîq Sobhani, manuskrip Konya juga turut dicetak bersama.

Tanpa mahu mengabaikan sumbangan kajian orientalis seperti Nicholson, Arberry, Chittick atau Schimmel, Mathnawi perlulah diterokai lagi dalam syarah-syarah di kalangan umat Islam sendiri. Rata-ratanya telah mengabaikan syarah-syarah Mathnawi yang ada di Turki dan Pakistan.~25 Februari 2015

iii.
Saya rasa seronok melihat lampiran gambar-gambar manuskrip Mathnawi di merata dunia. Maulana Rumi dan Ibnu ‘Arabi sangat mendapat tempat dalam kajian-kajian akademik di Barat. Malahan ada web-web Jepun dan Scandinavia berkaitan Rumi.

Ibrahim Gamard, orang Turki yang telah melakukan penterjemahan Mathnawi dari manuskrip Konya. Beliau menulis berpuluh-puluh makalah berkaitan dan kajian perbandingan kepada penterjemahan orientalis. Webnya penuh dengan info menarik termasuk rakaman Mathnawi berbahasa Parsi format MP3.

KEMBALI PADA TUHAN

jika engkau belum mempunyai ilmu
hanyalah prasangka
maka milikilah prasangka yang baik tentang Tuhan

begitulah caranya!
jika engkau hanya mampu merangkak
maka merangkaklah kepada-Nya!

jika engkau belum mampu berdoa dengan khusyuk
maka tetaplah persembahkan doamu
yang kering, munafik dan tanpa keyakinan;
kerana Tuhan dengan rahmat-Nya
akan tetap menerima mata wang palsumu!

jika engkau masih mempunyai seratus keraguan mengenai Tuhan
maka kurangilah menjadi sembilan puluh sembilan saja

begitulah caranya!
wahai pejalan!
biar pun telah seratus kali engkau ingkar janji
ayuhlah datang dan datanglah lagi!

Kerana Tuhan telah berfirman:
“ketika engkau melambung ke angkasa
atau pun terpuruk ke dalam jurang
ingatlah kepada-Ku,
kerana Akulah jalan itu.”

Maulana Jalaluddin Rumi

iv.
Karya teragung Maulana Jalaluddin Rumi, Mathnawi telah diterjemahkan dalam belbagai bahasa. Naskah pertama diterjemahkan dalam bahasa Jerman pada tahun 1849. Namun ia hanya 1/3 bahagian dari keseluruhan Mathnawi. Hasil terjemahan ini diterbitkan di Leipzig dan dicetak semula pada 1913.

Terjemahan dalam Inggeris pula oleh Sir James Redhouse diterbitkan pada 1881. Sebanyak 3.500 baris puisi pilihan dari Mathnawi diterjemahkan lagi oleh Whinfield. Terjemahan pilihan ini diterbitkan di London tahun 1887 mendapat perhatian besar masyarakat sehingga tahun itu juga ianya dicetak semula.

Jilid kedua diterjemahkan oleh Wilson dan diterbitkan di London pada 1910. Pada 1925 sehingga 1950, proses penerjemahan Mathnawi dilakukan secara menyeluruh oleh Reynold Nicholson. Selain menterjemahkannya, Nicholson menambahkan huraian serta komentarnya bagi melengkapi terjemahannya. Langkah Nicholson diikuti oleh muridnya, A.J. Arberry yang menterjemahkan sejumlah kisah pilihan yang diterbitkan di London pada 1961.~27 Februari 2015

v.
Ada kawan-kawan bertanya tentang prestasi gerakan Islam dalam isu-isu OKU. Secara mudahnya saya memberitahu bahawa mereka terlampau jauh. Jauh dari hati dan fikiran. Jauh dari kehendak dan kemampuan. Isu OKU berada di luar orbit garisan perjuangan gerakan Islam.

Bila menyebut gerakan Islam, saya memaknainya secara menyeluruh; baik ‘political Islam’ seperti PAS mahu pun ‘non political Islam’ semisal IKRAM atau ISMA atau ABIM. Ia juga melibatkan akar umbi dan pucuk pimpinan, kalangan profesional atau agamawan.

Ketika anggota pecahan Ikhwan Muslimin mengalami tribulasi oleh rejim Anwar Sadat, mereka dipenjara dalam sel-sel bawah tanah. Dalam penjara berlaku pertikaian mengenai status kepimpinan Syeikh Umar Abdul Rahman, seorang ulama yang dianggap tidak sah menurut syarak kerana sifat fiziknya yang buta.

Risalah-risalah diedarkan di dalam penjara dan sebahagiannya telah diseludup untuk para anggota lain. Pertikaian ini menyebabkan tahanan dalam sel bawah tanah tersebut semakin berpecah-belah. Ini memudahkan lagi rejim Anwar Sadat menyusupkan ‘batu api’ dalam pertikaian ini.

Apa perbezaannya di Malaysia? Mungkinkah Tuhan sedang menarik seluruh kekuatan gerakan Islam kemudian menggantikannya dengan perasaan permusuhan sesama sendiri? Adakah mereka sedang merasakan perbalahan yang sedang bertimpa-timpa?~
4 Mac 2015

Rosli Ibrahim, aktivis OKU Bangkit.