Mukhlis duduk bersandar. Terasa kedinginan lantai yang lembap menjalar ke punggung dan kakinya. Pandangannya merayap ke seluruh ruang sel. Jejalur cahaya bulan yang pudar menembusi ruang udara. Sedikit membantu penglihatannya.

Liew, Arshad, dan Fahim sedang berbual. Beberapa orang tahanan duduk sendiri-sendiri. Mukhlis tahu antara sosok yang menyendiri itu Prakash – teman baiknya.

Hawa membahang. Tengik keringat dan bermacam bau dari tandas sel yang tidak berpintu mengapung. Mampat dan tepu.

Sewaktu mula-mula dikurung tengah hari tadi, bau-bau itu sedikit menekan perasaan Mukhlis. Ketika solat Asar, agak sulit untuknya menumpukan perhatian.

Mukhlis menekan perutnya. Angin terasa menendang usus yang lompong. Kali terakhir ia diisi pagi tadi.

“Huh, sup ni sudahlah kosong, masin bukan main. Dah lah tu, nasi sejuk,” rungut Arshad. Suapan diteruskan juga.

Mukhlis menguis-nguis. Mencubit sedikit ikan Pelaling sebesar dua jari lalu dikepal dengan sejemput nasi. Dikunyahnya lambat-lambat.

“Kalau sayur, hari-hari kangkung. Itupun dah lunyai.” Mulut Fahim penuh nasi. Laju ditelan suapan terakhirnya.

“Chad, minta air.” Arshad mencapai dan menyuguhkannya.

Mukhlis perhatikan kole itu. Dia pasti kole itu yang dilihatnya ketika berwuduk tadi. Mukhlis yakin ia juga digunakan semua tahanan untuk mandi dan buang air. Seleranya terus padam.

“Hari tu, mula-mula saya pun tak lalu nak makan. Tak apa, lu punya nasi bagi saya,” pinta Liew yang fasih berbahasa Melayu. Mereka kemudian sempat berbual pendek.

“Lu kena tangkap sebab bantah perobohan rumah di Kampung Chubadak?” Liew melongo.

Ketawa tiba-tiba meledak dari sel sebelah. Mukhlis tersentak.

Cuma seketika. Keriaan mereka segera terencat apabila dijerkah anggota yang bertugas.

Mukhlis bersandar semula. Cuba menarik nafas panjang. Segera diseka. Hidungnya terasa dicucuk. Nafas dilepaskan bersama keluhan kecil.

Tahun lepas dia juga pernah ditahan atas kesalahan yang sama. Ketika itu, kebanyakan sel sesak dengan penagih-penagih dadah yang diberkas dalam satu operasi. Keadaan benar-benar gamat. Penagih-penagih menggigil dan meracau menahan kesakitan. Ada yang membanting diri sendiri. Malah ada yang muntah dan terbuang air besar. Mujur juga dia ditempatkan di sel yang berasingan.

Malam ini sekali lagi dia bermalam di lokap. Turut ditahan Prakash, Penghulu Haji Deraman dan beberapa orang penduduk kampung. Tetapi hanya dia dan Prakash yang dibawa ke rumah pasung itu. Mukhlis ada juga bertanya.

“Kau tak payah tahu!” Hanya itu jawapan yang diterima.

“Eh! Kau belum tidur lagi?”

Mukhlis menoleh. Arshad tercegat memerhatikannya. Arshad baru beberapa bulan menginjak lapan belas tahun. Ditahan kerana mencuri di pasar raya.

Arshad mencangkung. Tersengih sambil memandang tepat wajah Mukhlis.

“Kenapa engkau mesti susahkan diri macam ni? Kenapa kau tak belajar je?”

Mukhlis hanya tersenyum nipis.

“Tidurlah.” Arshad terus berlalu. Beberapa minit kemudian, dengkurnya mula bersipongang. Mukhlis mengamati wajah Arshad yang tenang dalam tidur beralaskan lengan.

Prakash batuk dan berdehem beberapa kali. Mukhlis terus membatu. Terasa tidak mahu berbual.

Aliran fikir Mukhlis mengalur ke peristiwa siang tadi.

“Kami bukan setinggan!” Pekik Penghulu Haji Deraman.

Beberapa orang penguatkuasa cuba mendorong tembok manusia itu ke belakang. Mukhlis memperkemaskan pautan kedua belah tangannya. Selang beberapa minit, keadaan bertukar tegang. Desakan semakin ampuh. Kaki dan tangan mula melayang dari pelbagai arah.

Saat benteng bubar, mereka terus dikeroyok. Mukhlis juga dikerumun dan akhirnya ditahan.

“Abang Mukhlis.” Soleh mendekati. Mukhlis memberatkan langkahnya. Tetapi dorongan tiga orang anggota mengatasinya.

Pandangan sayu Cucu Tuk Saman itu menghantar pemergian Mukhlis.

Tuk Saman sangat peramah dan baik orangnya. Selalu juga Mukhlis menziarahi dua bercucu itu. Soleh juga agak rapat dengannya. Baru minggu lepas dia ke rumah mereka. Sekadar menjenguk.

“Tuk fikir mahu terima sahaja pampasan tu.” Perbualan mereka tiba-tiba dilencongkan ke arah itu.

“Err…pasal tu, kalau boleh Tuk janganlah cepat mengalah. Perkara ini masih berjalan di mahkamah.”

“Tuk fikir tak guna berdegil. Kami semua tak ada geran. Lagipun dalam pelan DBKL, kampung ni dah dicap setinggan. Sampai masa roboh, roboh juga,”

“Itulah yang kita pertikaikan Tuk. Bagaimana pemaju boleh ada geran? Kenapa orang kampung tak tahu?” Mukhlis menarik nafas. “Tapi, kalau betul-betul terpaksa pindah pun Tuk, sekurang-kurangnya biarlah setimpal pampasannya. Itu yang akan kita usahakan,” Mukhlis separuh memujuk.

“Tuk tak boleh nak kirakan sangat fasal tu. Apa yang penting, Tuk perlu fikirkan Soleh! Dia masih anak-anak. Kalau apa-apa jadi pada Tuk, nasibnya bagaimana?” Tuk Saman tertunduk.

Mukhlis bungkam. Sedikit sebanyak dia juga maklum perihal keluarga itu. Tuk Saman sendiri yang bercerita. Anak lelaki Tuk Saman – ayah Soleh – dipenjara sejak dia dalam kandungan. Selepas berpantang, ibu Soleh pula lari mengikut kekasihnya. Tuk Saman meneruskan tanggungjawab itu sendirian sejak kematian isterinya dua tahun lepas.

“Entahlah. Hati mana yang tak sedih. Tuk lahir di rumah ni. Anak Tuk lahir di sini. Soleh pun sama,” suara Tuk Saman mengendur.

“Bapak Tuk keturunan Minang Chubadak dari Sumatera. Lepas perang, orang tua Tuk pindah kemari untuk niaga sate. Mula-mula jualan dikandarnya saja. Lepas setahun, naik basikal pula.” Getar suara semakin jelas dihujung kalimatnya.

Sunyi seketika.

“Tapi sekarang Tuk guna motor.” Tuk Saman tiba-tiba terkernyih. Nada suaranya mendadak jernih.

Tuk Saman kemudian langsung tidak membangkitkan hal itu lagi. Perbualan mereka terus beralih ke soal lain.

“Jadi sudah tetap keputusan Tuk?” Mukhlis sempat juga bertanya sebelum pulang. Tuk Saman hanya mengeluh pendek.

Suara azan terdengar sayup. Mukhlis beristighfar dan bangun perlahan-lahan.

Setelah disoalsiasat dan diambil keterangan, dia dan Prakash dibebaskan dengan jaminan polis pada sebelah petangnya. Mereka disambut oleh Halim yang memang sudah menunggu.

Semasa sedang menapak ke kereta, Halim memberitahu : “Tuk Saman dah meninggal.”

Langkah mereka terhenti.

“Bila?” Mukhlis dan Prakash bertanya hampir serentak.

“Malam semalam. Mungkin dikebumikan petang ni.”

“Apa sebabnya?” Soal Mukhlis. Kebingungan.

“Kemalangan, semasa menjaja.”

“Inalillah…” suara Mukhlis lirih. Semakin lemah badan dan fikirannya.

“Cepatlah. Mungkin kita masih sempat,” gesa Halim.

Apabila mereka sampai, petang semakin merangkak ke hujungnya. Jenazah Tuk Saman sudahpun selamat disemadikan. Orang ramai mula beransur pulang.

Mukhlis menghampiri. Dari jauh dia nampak Soleh berdiri di sisi pusara Tuk Saman. Beberapa orang kampung juga masih di situ. Soleh sedang bermenung. Wajahnya durja. Tetapi tidak terlihat pula sebarang kesan tangis.

Mukhlis semakin mendekat. Soleh terdongak, menyedari kehadirannya.

Sebaik berdepan, pandangan bertaut seketika.

Mukhlis kemudian menekurkan kepala. Matanya terpejam sambil mulutnya terkumat-kamit.

Hening.

Sebaik sahaja Mukhlis memanggungkan kepala, tangisan Soleh terus pecah. Soleh kemudian meluru membenamkan muka seraya mengapuk erat pinggangnya.

Mukhlis gamam. Tertanya-tanya juga makna tangisan itu.

Angin berhembus lesu. Senja semakin direbut malam.