Pemetik api, ubat batuk, setem pos, rokok yang sedikit bengkok, pencungkil gigi, sapu tangan, pen, dua keping syiling lima sen. Itu semua cuma sebahagian daripada apa yang ada dalam poket aku. Jadi itukah punca mereka hairan poketku kembung? Ramai yang menyebutnya. Mereka kata, “Apakah celaka yang ada dalam poket engkau?” Biasanya aku tidak menjawab, aku cuma senyum, kadang-kadang aku gelak kecil. Seumpama orang memberitahu jenaka kepada aku. Jika mereka mendesak dan bertanya lagi, mungkin aku akan menunjukkan pada mereka segala yang aku ada, malah mungkin menerangkan kenapa aku perlukan semua barang itu bersamaku, sentiasa. Tetapi mereka tidak bertanya. Sialan, sebuah senyuman/ketawa kecil, diam yang canggung, dan kami beralih ke topik seterusnya.

Hakikatnya segala apa yang ada dalam poket aku ini telah dipilih secara rapi supaya aku akan sentiasa bersedia. Segalanya ada supaya aku sentiasa untung pada saat-saat genting. Sebenarnya, itu tidak tepat. Segalanya ada supaya aku tidak rugi pada saat-saat genting. Kerana apakah dia kebaikan pencungkil gigi kayu atau setem pos boleh tawarkan kepada kau? Namun, sebagai contoh, jika seorang gadis cantik- kau tahu itu, bukannya cantik, cuma manis, gadis berwajah biasa-biasa dengan senyuman mekar yang menyesakkan nafasmu- meminta setem darimu, atau langsung tidak meminta, sekadar berdiri di situ di jalan bersebelahan dengan peti surat merah pada malam hujan bersama sampul surat tanpa setem ditangannya dan berfikir kebarangkalian jika kau tahu di mana ada pejabat pos yang masih buka pada waktu itu, dan kemudian gadis itu batuk sedikit kerana sejuk, dalam masa yang sama terdesak, kerana jauh di lubuk hatinya, dia tahu tidak mungkin ada pejabat pos yang buka di kawasan itu, semestinya bukan pada waktu itu, dan pada saat itu, saat yang genting, dia tidak akan ucapkan “celaka apa yang ada di dalam poket kau”, tetapi dia akan bersyukur untuk setem itu, mungkin bukan hanya bersyukur, dia akan tersenyum mekar, mekar untuk setem pos-aku akan sanggup menghadapinya bila-bila masa, walaupun jika harga setem melambung dan harga senyuman merundum.

Selepas gadis itu senyum, dia akan mengucapkan terima kasih dan batuk sekali lagi, sebab sejuk dan juga kerana dia sedikit malu. Dan aku akan menawarkan ubat batuk. “Apakah lagi yang ada dalam poketmu?” gadis itu akan bertanya dengan lemah lembut, tanpa “celaka” dan tanpa buruk sangka, aku akan menjawab tanpa ragu: segalanya yang kau perlukan, sayangku. Segalanya yang kau perlukan.

Jadi kini kau mengerti. Itulah apa yang aku ada dalam poketku. Peluang untuk tidak gagal. Peluang tipis, tidak besar, mungkin langsung tiada peluang. Aku tahu itu dan aku tidaklah bodoh. Kebarangkalian kecil, katakanlah, apabila kegembiraan hadir, aku boleh ucapkan “ya” kepadanya, dan bukan “maaf, saya tiada rokok/pencungkil gigi/wang syiling untuk mesin soda.” Itulah semua yang aku ada, sarat dan kembung, sedikit peluang untuk mengatakan ya tanpa perlu rasa bersalah.

 

“Apa Yang Ada Dalam Poket-poket Kita” ialah dari “Suddenly, a Knock on the Door” untuk cetakan April oleh Farrar, Straus dan Giroux, LLC. Terjemahan daripada Hebrew oleh Sondra Silverston.

 

Terjemahan Maisarah Akbal dari Bahasa Inggeris.

Tambahan: