Masa sudah pun berlalu. Bukan sekadar kenangan. Sebaliknya menjadi peringatan. Sebagaimana yang tersurat dalam firman Allah dalam Surah Al Asr, ayat 1 hingga 3. Kerana itu masa-masa lagenda di Rajawali, bukan Rajawali dalam sajak WS Rendra. Tapi nama bagi sebuah asrama lelaki di Maktab Sains Nasional dalam telefilem Melur vs Rajawali, tulisan dan arahan Al Jafree Md Yusop. Sutradara yang pertama kali mengarah, kerana sebelumnya lebih terkenal selaku penulis skrip khususnya Paloh arahan Adman Salleh dan P.Ramlee The Musical arahan Adlin Aman Ramlie.

Meskipun Melur vs Rajawali merupakan telefilem pertama arahannya, Al Jafree telah mengejutkan aku bahawa sebuah karya baru telah lahir, padaku telah membangkitkan semula minat dan harapan bagi mewarnakan semula dunia drama dan filem Melayu dan Malaysia yang semakin lesu.

Aku baru menontonnya beberapa hari yang lalu di TVi. Malaysia ini pelik, selalunya telefilem sebaik ini dapat dilihat secara percuma di TVi. Manakala bagi filem-filem biasa dan sampah, harus pula membayar jika mahu menontonnya di pawagam dan Astro First. Pertama kali aku jumpa seorang pengarah yang berkongsi karyanya secara bebas di Facebook.

melur_major
Carta

Kebetulan pada satu malam, aku dan Sofia tidak boleh ke sinema lagi (buat masa ini) kerana menjaga bayi bernama Aysar Ayzat yang masih menyusu. Di rumah juga tidak ada Astro, televisyen hanya buat pasang DVD. Kesempatan inilah yang membikin malam mingguku sungguh bermakna sekali bersama keluarga. Kesunyian pun terubat kerana telefilem ini hadir di kala aku merasakan dunia filem itu sudah kian kelam dan tenggelam. Masa itulah saat yang paling teruk, jiwaku seperti dinding. Aku sudah tidak percaya pada perubahan. Apalagi dalam drama atau filem.

Tapi Melur vs Rajawali lantas menafikan. Menghalang aku dari terus percaya. Pada kekecewaan yang sewenang-wenangnya bersarang. Jiwaku yang kian tidak bertamu (diisi dengan karya-karya bernafas baru). Lalu aku senang menyatakan bahawa kehadirannya padaku adalah sejarah. Ia sepatutnya dapat mengubah paradigma semua orang, baik penggemar, penonton biasa, pemikir dan pembikin bahawa masa yang ditunggu itu sudah tiba.

Bila, jika bukan sekarang? Buatlah dunia ini menarik, jika tidak, masa akan pergi dan tidak boleh kembali. Yang datang dari segala yang pergi, hanya kenangan. Itu pun pada yang masih ingat. Pastilah tidak semua. Samalah seperti berlalunya alam remaja yang pernah bersama diharungi dengan penuh bangga. Bagai lagenda kehidupan asrama di zaman persekolahan persis yang kita lihat dalam Melur vs Rajawali.

Persis yang aku tuliskan sebelum ini, aku rasakan bahawa ingatan itu adalah perahan kenangan yang paling masak pada satu-satu waktu dalam kehidupan yang sudah kita layari. Jika benar Melur vs Rajawali ditulis berdasarkan kisah nyata sewaktu Al Jafree di MRSM, maka Shake, Malik, Todak dan Azlan bukanlah sekadar watak-watak yang pernah bergelut dengan alam keremajaan yang absah, tapi lebih kepada susuk-susuk penting yang boleh diangkat setahap dengan orang yang boleh dilabel sebagai tokoh, sekurangnya pada Al Jafree sendiri.

Ini kerana meskipun mereka merupakan serangkaian sahabat yang barangkali merupakan susuk paling ganas atau jahat di Rajawali, merekalah orang yang paling banyak memberikan warna kepada perjalanan sejarah persekolahan itu. Samalah seperti orang membaca naratif penguasaan Hitler terhadap seluruh Eropah dalam catatan sejarah tanpa meletakkan apa-apa ukuran moral jika dibaca dari sisi antropologi dan persejarahan itu sendiri. Banyak lagi mungkin watak-watak lain yang seangkatan dengan zaman Rajawali, kerana pada zaman itulah terjadinya sejarah pelajar-pelajar lelaki berjaya menceroboh masuk ke dalam asrama perempuan atau Melur di waktu malam. Namun Al Jafree menulisnya berdasarkan paradigma yang paling cocok, iaitu mengambil kira bilangan watak-watak utama yang paling ideal, antara satu hingga empat orang sahaja.

Semua watak yang dicipta di dalam karya seni merupakan imbasan kepada watak-watak sebenar yang wujud di alam kenyataan. Lalu terdapat juga di dalam telefilem ini, watak-watak yang ditimbulkan itu disinggung secara nakal, khusunya watak-watak pendidik atau guru. Aku kira di mana-mana asrama pun memang macam itu. Setiap dari mereka berkongsi ingatan tentang guru-guru yang paling mereka benci kerana tingkah laku yang jelek dan perbuatan guru itu sendiri yang tidak mencerminkan watak sebenar pendidik.

melur_major2
Azlan dan Hana

Pelajar sering menggambarkan guru-guru yang mereka benci itu dengan imej-imej yang relatif buruk seperti botak, badut, kayu dan banyak lagi sebagai contoh, maka hal itu lalu menjadi tanda ingat yang kekal sehingga tua. Anehnya, pelajar akan merasa mereka lebih betul dan hebat dari semua guru. Mereka (pelajar) lebih percaya dengan apa yang mereka sangka dari geng yang mereka zahirkan. Adatnya adalah beberapa geng seperi geng study, geng punk, geng surau dan geng rock. Kerana Al Jafree membesar di zaman kumpulan Search meletup dengan album pertama mereka yang bertajuk Cinta Buatan Malaysia, maka watak-watak atau tokoh-tokoh utamanya itu termasuk dalam geng rock yang dianggap paling cool dan trendy waktu itu.

Apa yang ingin Al Jafree sampaikan di sebalik kisah yang diinspirasikan dari kehidupan nyata zaman asramanya di MRSM, Al Jafree banyak mengingatkan tentang betapa dekatnya ilmu itu dengan buku. Ia dipaparkan sangat menarik dan lain dari yang lain. Mana ada dalam drama-drama tempatan, watak utamanya atau tokoh penting telefilemnya, berdampingan terus dengan buku. Dan buku yang dipegang oleh Azlan yang diperankan oleh pemain atau pelakon yang punya potensi dan bakat lakonan yang besar iaitu Shafie Naswip itu juga bukanlah calang-calang buku. Ia dari karya seorang sasterawan besar di Nusantara yang jika seseorang penulis itu mahu menjadi penulis yang baik dan besar sepertinya, wajiblah membaca karya-karya romannya termasuklah buku itu, Panggil Aku Kartini Saja. Kawan Azlan iaitu Malik pula mempunyai tabiat yang pelik, iaitu suka mencium bau buku.

Aku mengangkat Melur vs Rajawali sebagai telefilem yang terbaik yang pernah ada. Ia sebuah karya yang jelas dengan persekitaran yang ada sekarang. Telefilem ini juga boleh menjadi contoh bagaimana sebuah karya layar perak harus dihasilkan. Telefilem bernafas baru seperti ini haruslah atau wajiblah ditonton oleh semua orang dan dipelajari oleh pelajar dan pembikin filem generasi baru.

Tidak dinafikan, telefilem ini juga boleh diangkat ke layar lebar. Jika itu terjadi, aku meletakkan tarafnya samalah dengan karya-karya bernafas baru yang bernuansa filem-filem cerdik setahap Hanung Bramantyo dalam Catatan Akhir Sekolah dan generasi ombak baru di Indonesia. Cuma gaya dan persembahan Al Jafree lebih arty, malah puitis aku rasa, yang sebenarnya lebih kusukai. Penulisan lakon layar yang baik dan sinematik untuk sebuah filem jika penulisnya juga faham akan pentingnya permainan teknik dalam sebuah sinema. Dan ini ada dalam telefilem Melur vs Rajawali yang menambahkan kesan spektakular sebuah filem. Ia terjadi dalam beberapa adegan khususnya pada babak Malik memperkenalkan kepada Azlan tentang pelajar perempuan paling cantik di maktab itu ketika mereka sedang bermain bola tampar.

Dalam senarai pelajar perempuan paling cantik, Shake meletakkan Hana yang diperankan oleh Sharifah Amani di tempat nombor satu. Benarlah sebuah skrip yang baik pastinya menghasilkan sebuah telefilem yang terbaik. Manakala Al Jafree sebagai pengarahnya juga sangat berjaya merealisasikan dirinya sebagai seorang sutradara yang sangat bijak, yang bukan sekadar nampak tapi dirasakan. Cerita yang baik ini dan ditambah pula dengan pengarahannya yang bijak telah menjadikan semua yang diharap akan dipercayakan itu akhirnya dipercayai.

Ceritanya mahu membuat penonton percaya bahawa Hana adalah pelajar perempuan yang paling cantik. Bagaimana? Diceritakan berkali-kali bahawa Hanalah paling cantik. Ditunjukkan contoh-contoh, beberapa orang lain yang berada di bawahnya, sama ada di nombor sepuluh sampailah dua. Dikhabarkan yang berada dia nombor empat pun sudah cantik yang tak ingat punya. Hana diapung-apungkan dalam imaginasi dan impian para lelaki yang mencari cinta sejatinya. Lalu akhirnya Hana memang benar-benar cantik. Sejujurnya aku tidak pernah merasakan Sharifah Amani itu cantik sehinggalah dia memegang peranan Hana. Dalam lakonannya sebelum ini, aku hanya nampak susuknya yang unik dan lain. Tapi dalam Melur vs Rajawali Amani sudah dilihat cantik dan semakin sempurna.

Aku akan sentiasa mengingati Melur vs Rajawali sebagai telefilem yang lekat dalam fikiranku. Beberapa tahun ke depan karya ini akan terus menjadi buah mulut pada mereka yang benar-benar mengerti keajaibannya bercerita. Gambaran tentang Maktab Sains Nasional yang sering diperlihatkan di sebalik pagar dan jeriji akan sentiasa dikenang sebagai simbol (tanda dan petanda) penuh dengan makna yang tersirat. Sudat-sudut pandangan yang diambil dari perletakan yang berlapis-lapis seperti pada babak Azlan menghantar surat Todak buat Mahani yang dikirim melalui Hana dari atas tangga dengan contengan kata-kata tentang kehidupan dan perjudian akan terus difikirkan.

melur_major1
Geng

Keindahan yang akan sentiasa dibayangkan semula dari cerita yang sempurna kerana lakon layarnya pantas menjawab pertanyaanku. Contohnya ketika aku tertanya-tanya bilakah Mahani akan membalas surat Todak pada babak televisyen di bilik TV asrama Rajawali yang rosak, lalu pada babak seterusnya pertanyaanku pun langsung dijawab Todak sewaktu dia dan pelajar lelaki yang lain menonton TV bersama pelajar perempuan di asrama Melur. Di samping mendapat jawapan kita lantas dibuai dengan perasaan yang berbunga-bunga juga, sewaktu darah remaja yang panas itu dingin, ditundukkan oleh bau dan rasa yang dekat. Anda mungkin lebih faham jika turut sama melihatnya.

Babak paling hebat adalah pertarungan di antara Shake dan Azlan di dalam hujan lebat pada waktu malam, ketika Shake dikhabarkan hendak lari dari sekolah setelah diputuskan hukuman buang sekolah terhadapnya. Mereka saling berkeras, Shake tetap mahu lari, manakala Azlan cuba menghalang, mencadangkan bahawa jalan perbincangan masih ada jika rayuan agar hukuman diringankan itu diambil. Satu pesan Azlan yang sangat jelas ialah bahawa tindakan Shake lari dari sekolah hanya menggambarkan kekalahannya dan perjuangan akan hanya menjadi tinggalan kosong seperti sembang politik. Walhal Shakelah yang paling mengambil berat tentang langkah politik itu.

Begitulah, masa pun berlalu. Cerita yang bermula itu akan berakhir seperti mana ia bermula selepas semua kenangan yang telah menjadi ingatan itu pun hilang. Mereka bukan lagi remaja yang penuh impian dan tanda tanya meskipun generasi selanjutnya meneruskan apa yang telah mereka rintis dan warnai bagi memberikan makna pada kegemilangan dalam kehidupan dan usia remaja itu, selamanya. Namun, hakikatnya segalanya sudah tidak sama lagi. Bahkan ada yang sudah tidak ada. Yang tinggal hanyalah nama dan bayangan. Termasuklah roh.