Beginilah sepotong catatan oleh Wassily Wassilyevich Kandinsky:

“Kau menyedari di dalam karyamu di mana aku… mencari begitu lama daripada musik. Swasembada mengikuti jalannya, suara pribadi yang hidupnya bebas di dalam komposisimu, adalah, persis apa yang aku lihat dalam mencari bentuk catanku.”

Menurut seorang penulis, Ibaiyi Briggs dalam catatan pendek dengan tajuk “Seeing Sounds: Kandinsky+Schoenberg”, Kandinsky konon ceritanya telah melihat bunyi. Bukan cuma mendengar, sepertimana yang difahami dan dialami orang lain. Termasuk kita, hari ini. Peranan pancaindera, seolah-oleh sudah tidak tetap. Sudah terbelah-bagi. Semua itu barangkali bermula pada malam 2 Januari, 1911.

Bersama lima kawan pelukis, Kandinsky, 45 tahun, telah ke konsert orkestra Arnold Schönberg —seorang komposer yang terlebih dahulu mashyur darinya; yang lapan tahun lebih muda dari Kandinsky sendiri. Di dalam konsert itu, paling mengejutkan—juga ketika dipersembahkan di Vienna tiga tahun kemudiannya—ialah komposisi lagu “Second String Quartet”.

Lagu itu tidak seperti kuartet bertali oleh Mozart kira-kira dua abad sebelumnya, yang mengikuti corak komposisi yang harmoni. Kita boleh mendengar komposisi Mozart, sama ada “Eine Kleine Nachtmusik”, “Piano Concerto No. 21 – Elvira Madigan”, “Le Nozze di Figaro” sehingga kepada antara yang paling disebut-sebut seperti simfoni akhirnya, “#41” atau dikenali sebagai “The Jupiter”; semuanya mempunyai apa yang dimaksudkan sebagai komposisi harmoni.

Schönberg, komposer 37 tahun itu mengubah komposisi dengan mengenepikan terus hukum era klasik, sama ada dengan gaya Mozart ataupun Beethoven. Tidak pasti betul atau salah bilamana Beethoven menggelar nota musik bagi B minor sebagai “key hitam” atau D major sebagai “key jingga”.

Apa pun, yang jelas pada key-key itu, ditandakan dengan warna: hitam dan jingga. Sehinggalah kepada Schönberg, dia dikatakan telah meletakkan tanda nada yang baru. Selepas konsert, ketika mabuk-mabuk, lima pelukis termasuk seorang pelukis perempuan dan Kandinsky sendiri, telah berbincang mengenai kesesuaian di antara angan-angan menghasilkan karya yang memecahkan kaedah melukis figura secara tradisi. Kalau disiplin komposisi musik boleh dipecahkan, mengapa tidak seni lukis? Lebih kurang begitulah yang dipertanyakan.

Wassily Kandinsky
Wassily Kandinsky

Sejak itu, pertama kali dalam sejarah, seni lukis dan seni musik pun berbentur. Jalan damai ditemukan. Begitu bunyi dan warna atau perkataan—dua di antaranya—dapat dirasakan serentak. Memang ada perubahan besar pada gaya lukisan Kandinsky selepas 1911, dengan, sebelum tahun itu.

Catan cat minyak “Munich-Schwabing with the church of St. Ursula” boleh dilihat sebagai lanskap yang masih jelas imejannya. Ia dihasilkan pada 1908. Gambar bangunan dalam empat-lima tingkat begitu, latarnya kilang yang keluar asap dari corong dan gereja, dan taman bunga dengan beberapa orang yang sedang seakan bercanda-candaan. Mereka tampak bahagia. Warna-warna yang cerah gemilang. Hari ini, pelukis menggelarkannya sebagai “warna-warna dari tube”.

Pasca konsert Schönberg, dalam catan berjudul “Panel for Edwin R. Campbell No. 4”, tahun 1914, sudah tiada imejan yang kita kenal betul. Tak ada figura, tak ada taman. Tak ada bangunan, tak ada apa selain warna yang beralun, bergerak, tajam serta tak pasti hujung-pangkalnya. Di situ, disebut tentang gabungan antara dunia musik dengan dunia seni lukis dalam satu-satu masa. Gejala ini bukan sahaja “keistimewaan”, tapi juga sejenis “penyakit”. Tapi, “penyakit yang istimewa” kalau boleh disebut begitu. Pakar menyebutnya sebagai “synaesthesia”.

Penyakit itu istimewa kerana ia tidak merbahaya. Ia hanya membuatkan seseorang merasakan bunyi, warna atau perkataan—mana-mana di antara keduanya—serentak. Istilah “synaesthesia” itu sendiri berasal daripada dua istilah Yunani tua yang digabungkan. Maksudnya “bersama” (“syn”) dengan “sensasi” yang merujuk kepada maksud estetika-keindahan.

Menurut kisahnya lagi, bukan Kandinsky sahaja yang merasai dwi-rasa bersama dalam hal keindahan, tapi juga pemikir dan filasuf besar seperti John Locke, tiga dekad sebelum Kandinsky. Penulis Undang-undang Dasar atau Perlembagaan Amerika Syarikat itu mendakwa dia dapat merasakan warna kirmizi apabila mendengar bunyi trompet. Locke bukan pelukis, dia tak tahu apa-apa tentang studio lukisan—tapi, bagaimana dia boleh mendakwa akan pengalaman anehnya? Dunia kenal Locke bukanlah seorang yang munafik.

Deru oleh M. Nasir
Deru oleh M. Nasir

Lebaran 2014, saya ke rumah Dato’ M Nasir.

Sepertinya setiap Lebaran saya ke sana. Hanya apa yang mustahak tentang Lebaran tahun lalu ialah dia sudah mempunyai studio sendiri. Di aras bawah tanah. Di rumahnya. Hampir kesemua lukisan yang saya lihat, tidak saya pasti, apakah subjeknya? Melainkan alun-alun warna, sapuan berus, kadang seperti sesiapa sahaja boleh melukis kalau setakat begitu-begitulah. Beberapa bulan sebelum itu, M—begitu sesetengah orang memanggil dia di belakangnya—baru sahaja mengadakan pameran solo pertamanya di Galeri Tapak. Dalam pameran solo dengan judul “Tanda” itu, dipamerkan lima belas buah catan. Kesemuanya masih dengan bahantara arkrilik.

Ini perlu saya catat, bagi buktikan bahawa karya M bukan sesuatu yang boleh diarah dari luar dirinya. Saya pernah mengajak dia ke studio seorang pelukis figura ternama dan yang saya anggap terbaik di Malaysia. Dia melihat bagaimana sukar dan jerih-payah untuk menghasilkan sekeping lukisan tubuh badan manusia. Begitu juga, beberapa hari sebelum M mengadakan Konsert Kembara di Istana Budaya, KL hujung tahun lalu, dia juga singgah ke pangsapuri kecil di mana saya tinggal. Sama! Dia lihat saya merangkak-rangkak melukis portrait—yang pada benak saya, pasti dia merasakan bagaimana segalanya jadi begitu derita kerana proses peniruan atau memesis sangat kuat terikat kepada realiti. Maka, semua itu bukan abstrak.

Tapi, apa artinya “abstrak”? Atau jauh daripada itu, apa perlunya dia?

Tidak ada ijma’ oleh para pengkritik yang dapat mengemukakan satu makna terhadap seni abstrak. Sekedar teori jualah yang memutuskan bahawa “seni abstrak adalah terlepas daripada realiti”. Maksudnya, ia sama sekali tidak punya ‘tanggungan’ terhadap realiti. Tidak bercermin kepada mata kasar. Ia bermula dengan tidak bernama. Tidak pula mempunyai kemestian diberi nama. Ia boleh sahaja tak punya nama. Sampai bila-bila. Ia sendiri. Ia terasing. Ia belum bersama yang sudah bernama. Tidak perlu untuk itu. Walaupun, secara praktisnya, pemisahan daripada yang bukan-abstrak juga bukanlah sesuatu yang enteng.

Jadi oleh M. Nasir
“Jadi” (2014, 126cm x 122cm) oleh M. Nasir

Semata-mata estetika atau keindahan sahajalah yang mengizinkan abstrak wujud di muka dunia ini. Dari keindahan abstrak datang, kepada keindahan dia kembali. Dan, sejak abad ke-lima Sebelum Masehi, abstrak sudah mempunyai lesen besar untuk lahir apabila Plato menyebutkan betapa “garis lurus dan lengkung… bukan hanya cantik, tetapi selamanya dan sesungguhnya cantik.”

Seperti Kandinsky yang menjadi antara pemula seni abstrak moden, lukisan M lebih daripada garisan semata. Ada warna. Ada rupa tak berbentuk. Seperti dalam sebuah lagu M sendiri; “Rupa tanpa wajah | Bermain di jiwa | Berjalan tanpa ikut haluan.”

M sebelum ini memang bukan dikenali sebagai pelukis. Kecuali ketika disergah kerana mengeluarkan kenyataan “siapa Mahathir?” awal 1990-an dulu, dia berkata seandai tak boleh menghasilkan lagu dan menyanyi lagi, dia akan kembali melukis. Semua itu, saya catat daripada ingatan saya sendiri. Hari ini, seakan itulah yang telah dia lakukan. Bukan kerana tidak boleh terus menghasilkan lagu atau menyanyi, tapi pada agakan saya, waktunya sudah tiba untuk dia melukis. Benar-benar beri tumpuan kepada seni lukis; bidang yang sebenarnya dia pelajari sewaktu di Akademi Seni Nanyang, Singapura.

Danau_M Nasir
“Danau” (2014, 149cm x 181cm) oleh M. Nasir

Kesungguhan M—sekaligus kegelisahannya sepertimana sesiapa pun yang mengalami “synaesthesia”—adalah ingin melihat melodi tampil di depan batang hidung. Bukan hanya terdengar di cuping telinga. Keinginan kuat untuk melihat irama dan bunyi menjalar di dada kanvas. Sehinggakan di dalam pameran solo keduanya, “Tanda (II)” ini, dia papar enam-belas karya kesemuanya. Bahantara: masih arkrilik. Hayat catan itu, dari tahun 2013 ke 2015.

Tidak saya tahu, bilakah tarikh paling awal catan abstrak ala-Kandinsky awal abad-18 itu tadi, atau boleh kita tandakan sebagai “ekpressionisme”, tiba di Malaysia? Kalau pun ada, pada 1991, seorang pelukis wanita, Mariam Abdullah menghasilkan karya “Sri Teja 3”. Pada catan itu—seperti kebanyakan catan M—tidak kita ketahui, apakah subject matter asalnya? Hanya rupa dan bentuk-bentuk geometrik, garis dan bujur-bajar yang tak jelas sosoknya.

“Yang tak jelas sosoknya” begitu banyak menguasai kebanyakan catan M. Sekeping contoh diangkat, yakni yang berjudul “Deru” (2015, 92cm x 92cm). Melihat dari tajuk dan membandingkan dengan imej visualnya, khalayak akan menjangkakan seperti ombak ia; seperti apabila misalnya kita melihat karya seni cetak “The Great Wave off Kanagawa” (1829-1832) oleh Hosukai yang termasyhur itu. Walaupun tajuk “Deru” seakan mahukan khalayak membayangkan ia adalah ombak, adalah laut; namun kata hati saya, itu hanya satu proses untuk meng-rasionalisasi-kan atau justifikasi kemudian. Lebih-lebih lagi, apabila tajuk yang diberikan… diberikan kemudian.

Banyak sekali tanda-tanda kepada perihal sedemikian. Misalkan, dalam catan “Jadi” (2014, 126cm x 122cm), atau “Degup” (2015, 121cm x 100cm) yang keduanya kelihatan seperti alam rahim atau dalam tubuh badan manusia, maka keduanya diberi judul sebegitu. Jujur saya tak fikir, lukisan M sesingkat dan seseringkas itu. Tempekan kemudian atau pukauan pada sebahagian judul-judul catan M, tak boleh menutup kenyataan bagaimana lebih tiga puluh tahun dia tetap seorang M Nasir yang tiap saat bergelumang dengan lagu dan irama, dengan lirik dan visual.

MimpiMerah_MNasir
Mimpi Merah” (2015, 122cm x 92cm) oleh M. Nasir

 

Kalaulah M konsisten untuk menggambarkan organ dalaman tubuh manusia, bagaimana sahaja dalam ketika sama, ada catan yang langsung tidak ada kena-mengena dengan topik itu. Didatangkan pula kisah seakan dari hutan, seperti dalam “Danau” (2014, 149cm x 181cm). Begitu juga, apakah munasabah alih-alih ditampilkan pula perihal “Dewi” (2014, 100cm x 120cm); melompat menjadi cerita “Buka” (2015, 100cm x 120cm), sebelum pergi pula ke alam tidur dalam catan dengan judul “Mimpi” (2015, 127cm x 96cm) atau “Mimpi Merah” (2015, 122cm x 92cm).

Dalam kata lain, ikhtiar untuk melihat dan memahami catan-catan M dalam pameran kali ini, nampak seakan tidak boleh dipandu oleh tajuk. Tajuk telah jadi hijab, atau akan hanya mengalih perhatian daripada menilai aspek formaliti dan makna, tanpa tajuk. Catan-catan M itu, kalau boleh difahami, memadailah dengan melihat “Tanda” yang ada padanya. Sekali lagi seperti lagu yang selalu dia nyanyikan: Terpesona pada keindahan, warna pelangi…

Saya ulang, saya ulang! Sesiapa pun tahu, M adalah seorang komposer yang telah mencipta ribuan lagu. Tapi, tidaklah menjadi maksud tulisan ini untuk bercakap tentang lagunya pula. Meskipun lagu itulah yang nampak berenang di alam visualnya.

 

Tulisan ini asalnya adalah tulisan kuratorial untuk pameran Dato’ M Nasir, “Tanda (II)” di Galeri Tapak, Shah Alam yang dirasmikan pada 18 April lalu.