“Seseorang yang bijaksana tetapi tidak memiliki kebodohan maka ia akan dibinasakan oleh kebijaksanaannya sendiri. Kebodohan dapat dihargai kerana ia adalah kelangsungan wujud. Kebijaksanaan dan kebodohan merupakan hikmah sebagaimana malam dan siang saling melengkapi”

Maulana Jalaluddin Rumi.~3 Februari 2015

Janganlah anda percaya bahawa zaman siber akan menjadikan manusia semakin berpengetahuan.~4 Februari 2015

 

Semalam saya menjadi cikgu memasak. Saya mengajar seorang pelajar UIA mengoreng telur sambil menutup mata. Dia mampu melakukannya dengan baik walau pun hampir-hampir jatuh ke lantai.

Nota kaki untuk status ini ialah jika seseorang mahu memahami isu OKU ia sepatutnya turun ke lapangan dan merasai sendiri bukannya duduk berangan-angan lalu menyiapkan tesis.~7 Februari 2015

 

Al-Ghazali dalam ‘pembacaan’ di Malaysia hanyalah al-Ghazali dalam bingkaian sufisme. Bangunan epistemologi Al-Ghazali yang lebih luas tidak dicerapi. Inilah antara isu yang menjadikan jurang ‘kefahaman’ dan ‘tafsiran’ antara pro dan kontra Al-Ghazali semakin melebar.

Kemudian bingkai ‘kefahaman’ sufisme al-Ghazali tadi terpencar-pencar lagi apabila ia bertaut dengan stuktur sosial masyarakat, mobiliti kekuasaan, ketakseimbangan teks dan konteks dan variasi pentafsiran dominan vs pinggiran dalam pencerapan epistemologinya.

Hemat saya hal ini adalah suatu kelaziman untuk mana-mana idea atau tokoh. Idea atau seorang tokoh tentunya mengalami keanjalan rehlah intelektual. Peneliti sedapatnya mahu mendekati kaedah-kaedah yang memberikan gambaran yang lebih mendekati kebenaran.~9 Februari 2015

 

Mari lihat hubungan intelektual tokoh-tokoh ini;
Ibnu Bajjah adalah guru Ibnu Tufail sementara Ibnu Rushd adalah murid Ibnu Tufail. Ibnu Arabi pula pernah bertemu dengan Ibnu Rushd *

Jalaluddin Rumi pernah bertemu dengan Ibnu ‘Arabi dan Suhrawardi *. Murid Ibnu ‘Arabi iaitu al-Qunawi pernah berkhidmat kepada Jalaluddin Rumi selepas Ibnu ‘Arabi meninggal dunia.

Satu hal yang menarik misalnya mengapakah Ibnu Rushd tidak pernah dikaitkan dengan sufisme. Adakah karya-karyanya telah hilang? Mengapakah Bidayah al-Mujtahid tidak dicurigai oleh Salafi dan menerimanya dengan baik?

* Saya tak pasti apakah ada hubungan guru-murid antara mereka. Kalau ada sesiapa dapat mengesahkannya adalah amat dialukan.~10 Februari 2015

 

Setahu saya tak ada orang menulis secara khusus buku biografi Maulana Jalaluddin Rumi dalam bahasa Melayu. Abdul Majid Khatib pernah menterjemahkan antologi puisi Rumi sekitar 1970an. Kemudian Matsnawi, edisi Institut Terjemahan Negara harganya pula beribu-ribu. Semalam, ketika mentelaah tesis The Ishraqi Philosophy Of Jalal al-Din Rumi oleh Dr. Iraj Bashiri, ada beberapa hal yang maklumat menarik mengenai biografi tokoh ini.~11 Februari 2015

 

Saya pun tak pasti mengapa saya tertarik kepada jalur berpendidikan India. Jawapan paling santai mungkin kerana sejak kecil lagi saya sudah menonton filem Hindustan. Kemudian saya mulai berkenalan dengan Jemaah Tabligh sejak tingkatan 2, berkelana sebagai karkun dan pernah menghadiri ijtimak Jemaah Tabligh tahun 1989 di Balik Pulau.~15 Februari 2015

Faktor lain misalnya, penulisan sejarah Gerakan Islam di Malaysia sangat pengabaikan sumbangan lepasan berpendidikan India contohnya Maulana Abdullah Noh. Rata-ratanya yang dominannya adalah jalur Mesir / Ikhwan. Pakar-pakarnya datang dari kalangan ABIM. Jalur India terlalu terpencil dan hilang ditelan zaman.

Namun sisi yang paling mempersona ialah watak sintesis dan anjalnya. Kurikulum pendidikan mereka telah berkembang selama berabad-abad. Reformasi dalaman selalu berlaku dari Farangi Mahal ke Madrasah al-Rahimiyyah sampai ke Darul ‘Ulum Deoband. Sukatannya pula menggabungkan ilmu-ilmu naqliyyah dan akliyyah secara seimbang.

Madrasah di India memang terkenal kerana sifat berdikari yang amat mengkagumkan. Sifat keberdikarian inilah yang menghindari percaturan politik kenegaraan yang berpotensi mengawal kurikulum pendidikan. Autonomi ini sangat penting bagi memastikan hala tuju pendidikan Islam dapat dicapai.

Perdebatan secara ilmiah pula sudah menjadi hal lazim. Misalnya Mawlana Zafar Ahmad Uthmani dan Mawlana Husayn Ahmad Madani pernah memperdebatkan isu Nasionalisme walau sama-sama dari kalangan ulama Deoband. Kepelbagaian inilah yang jika ditangani sebaiknya menjadi inti kepada keanjalan perubahan sosial.

i

Setiap orang bagaikan cermin kepada orang lain bagi melihat dirinya sendiri. Jika ada keburukan pada seseorang ia adalah pantulan keburukan dirinya yang tersembunyikan. Jika ada kebaikan pada seseorang ia nanti menjadikan kebaikan itu dorongan untuknya melakukan hal yang seharusnya lebih baik lagi.

ii

Menulis adalah latihan berfikir paling aneh. Bila menemukan huruf pertama terasa sukar memberikan titik kepada huruf terakhirnya. Inilah dilema saya sekarang yang sedang menyiapkan zine “Catatan Aku Ok You”. Ia sudah melebihi 100 halaman.~17 Februari 2015

 

Status ini secara santun mahu mengkritik mitos-mitos popular yang selalu dikaitkan dengan OKU penglihatan terutamanya mitos “hati terang. Saya akan menggunakan teori “imaginasi deria” yang belum lagi diberikan konsepnya secara tersusun oleh ahli sains tetapi telah diamalkan secara bid’ah oleh masyarakat awam.

Sekumpulan nelayan yang sudah berpuluh tahun menangkap ikan menggunakan kemahiran mata zahirnya bagi melihat corak-corak tertentu pada arus air. Pengetahuan terlatih ini digunakan bagi memastikan dayungan tidak mengakibatkan sampannya terbalik. Tentunya pengetahuan aneh ini tidak dimiliki oleh orang awam.

Untuk ‘kaki makan’ pula, mereka mempunyai deria rasa yang sangat menakjubkan. Lidah mereka mampu menenalpasti secara hampir tepat sukatan bahan-bahan rencah makanan. Ada sebahagian mereka mampu menirunya setelah pulang ke rumah. Ini jelas menunjukkan mereka mempunyai imaginasi ‘deria rasa’ yang hebat.

Pemuzik profesional pula mampu menganalisa jenis bunyi. Mereka akan mengklasifikasikannya secara sistematik. Pengetahuan ini membolehkan mereka memahami kualiti bunyi yang telah dihasilkan. Bagaimana ‘keindahan” yang abstrak tadi kenudiannya ditafsirkan. Ini memerlukan “imaginasi deria” pendengaran yang sukar dihuraikan.

Deria manusia bukan cuma alat-alat fiizik tapi mempertautkan sisi-sisi metafiziknya. Deria manusia yang telah melalui pelbagai latihan pengalaman akan memberikan manafaat. Proses “Imaginasi deria” itulah sisi-sisi metafiziknya. Penggabungan 5 deria umum pula sebagai jambatannya. Ini bukanlah soal “hati terang” tapi bagaimana manusia mahu menghargai kurniaan Tuhan.~21 Februari 2015