Saya fikir kebebasan akademik masih utopia. Macam-macam cerita gedung menara. Khabarnya pendita yang membaca cuma 14%. Anak buahnya malas ke perpustakaan. Persatuan bayangan politikus. Budaya wacana bermusim-musim. Betapa lemahnya jaringan pelbagai komuniti. Jauh jauh jauh lagi. Jauh lagi aktivisme gedung menara untuk menjadi denyut suara rakyat.~30 Oktober 2014

Masa Fahmi Reza (kawan sejak zaman reformasi lagi) bagi talk fasal Hartal tempoh hari saya bangun bertanya tentang penglibatan golongan agama dalam peristiwa tersebut. Saya nyatakan peranan Madrasah al-Balaghul Mubin dan Madrasah Padang Rengas sebagai pusat latihan Hartal. Hujahnya Hartal berlaku untuk seluruh Malaya.

Semalam ada rakan bertanya adakah Fahmi tidak tahu atau sengaja menutupi sejarah. Saya tegaskan kepadanya bahawa Fahmi mungkin tidak tahu dan belum menemukan fakta tersebut. Kalau Fahmi jumpa tentu dia sebutkan. Lagi pun dalam talk tersebut dia sebut juga peranan golongan agama.

Ini bukan masalah Fahmi sangat tapi masalah kalangan agamawan yang pemalas mengkaji sejarah. Akhirnya peristiwa Hartal dipersepsikan dengan golongan kiri. Tapi kiri itu apa maknanya dalam konteks sejarah; itu yang gagal difahami oleh ramai kalangan.~2 November 2014

Dulu saya ada blog; The Reading Group Malaysia dengan tema Arkib Budaya Persuratan. Masa itu tak banyak blog-blog buku. Blog yang ada pun khusus kepada buku-buku agama. Blog saya rencam dan multi displin pengetahuan. Kini zaman facebook tumbuh grup-grup buku alam maya.

Saya mengasaskan grup Bacaan Liar dengan impian mewujudkan komuniti. Komuniti yang lebih liar; membaca, menulis dan mencabar. Langkah ini bukan cuma alam maya. Komuniti yang mahu bersuara dan bersentuhan dengan dunia nyata dalam kuliah-kuliah jalanan.~12 November 2014

Saya seronok melihat anak-anak muda berwacana. Semangat KSjT semakin menguat. Saya yang tidak minat ekonomi datang mendengar polemik GST anjuran KuBu yang cuma di kedai mamak. Ini budaya baru anak muda; wacana santun, santai dan ilmiah. KuBu adalah sebahagian impian terpendam saya selama ini.

Semalam pula menghadiri forum kebebasan media dan ruang pendemokrasian. Inilah isu yang menjadi gelora besar dalam hidup saya semenjak mengenal makna persurakhbaran konvensional sampai media baru siber.

Tapi yang begitu berkesan apabila buku Patah Balek ditandatangan oleh penulisnya. Saya memang antara peminat tegarnya. Semasa pertemuan kali pertama, saya menunjukkan keratan asal artikel 1993 akhbar Utusan tulisannya.

Saya bangga kerana penulis pernah memberikan catatan peribadi tentang saya dalam blognya. Tidak sabar menunggu kemunculan buku terbarunya. Tanpa saya sedar, sebahagian besar idea-ideanya amat mempengaruhi pemikiran saya selama ini.~14 November 2014

Saya tak mimpi menjadi penulis. Tapi bila sudah menjadi penulis saya semakin seronok bermimpi. Bermimpi tentang Malaysia yang mesra OKU. Di saat usia 40an, saya sudah berniat untuk tidak dikenali. Tapi lain pula jadinya, semakin dikenali.~19 November 2014

 

I.

Semalam saya menghadiri forum. Saya teruja dengan pengakuan seorang ahli akademik PAS bahawa beliau adalah ahli falsafah. Biarlah, itu tidak penting rasanya. Tapi menariknya tentang teori yang dilontarkannya, bahawa ahli akademik hidup dalam komuniti yang tertutup. Tidak mudah untuk komuniti awam mendekati apa-apa yang terjadi dalam komuniti itu. Dalam stukturnya, masyarakat awam dikuasai oleh ahli politik. Jika perdebatan akademik keluar ke tengah khalayak ia akan mendatangkan ketegangan.

Jadi maksudnya intelektual bersifat autonomi jauh dari pengaruh ahli politik. Anehnya, di Malaysia terlalu berlambak intelektual belaan ahli politik. Saya tertanya-tanya tentang fungsi intelektual yang kononnya eksklusif dalam komunitinya tidak mungkin melibatkan diri dalam masyarakat. Bagaimanakah pengetahuan mampu dirasakan nikmatnya. Soalnya begini, ramai intelektual poyo megah dengan laras bahasa akademik sampai orang lain tak faham apa yang mahu disampaikan. Mungkin juga sengaja dilontarkan secara susah supaya orang lain menganggap dirinya hebat.

Kalaulah orang yang mengaku dirinya intelektual tadi menjadi eksklusif maka selamanya rakyat dibiarkan menjadi dungu termasuk olehnya yang juga merupakan ahli parti politik dan tentu ada fikiran naik ke puncak kekuasaan. Kalau beginilah apa perbezaannya dengan lawan tandingnya. Dalam diam saya tak yakin banyak perubahan dapat dilakukan jika manusia tidak diupayakan budaya fikirnya. Kejahilan mereka adalah kesan kesombongan para akademik yang eksklusif.

Ini belum masuk kisah ahli parlimen PAS tempat saya mengundi memberikan isyarat tangan kepada penonton mungkin untuk memberitahu bahawa saya yang sedang berdiri bertanyakan soalan adalah seorang OKU. Ini contoh mudah bias sosial ahli parlimen tersebut. Yang paling meninggalkan kesan dalam diri saya ialah bagaimana persepsi dangkal bahawa orang lain tidak mahir agama telah berderai bila salah seorang ahli forum cuma datang berkain pelikat dan membaca kitab arab dengan rujukan halaman. Semalam memang kenangan yang amat berkesan.

II

Guru, buku, wacana dan komuniti hanyalah ruang-ruang pengupayaan bagi mendapatkan pengetahuan. Di setiap ruang tadi akan ada penyakit-penyakit yang akan dialami oleh setiap orang. Menurut saya, semua itu sekadar wasilah dan bukan tujuan akhir dalam proses mendapatkan pengetahuan. Dengan bahasa elit intelektual disebut sebagai mendapatkan kebenaran eksklusif atau pun dalam bahasa paling poyo, tujuan akhirnya nanti dikembalikan kepada mencari keredhaan Tuhan.~20 November 2014

 

Sebelum melelap mata minum kopi Muar 434 secawan, saya berfikir sejenak. Dalam usia 40-an ramai orang memilih pergaulan hanya dalam lingkungan sebaya. Saya agak berlainan, rata-rata sekarang teman-teman adalah pertengahan 20-an. Bergaul dengan anak muda memang menyegarkan. Mereka akan memberikan kita semangat zaman berbanding rakan seusia yang telah kecenderungan baku. Selamat malam.~22 November 2014

 

Ada beberapa kawan pernah bertanya

“Kalau kau celik, kau rajin tak baca buku?”.

“Kalau kau celik kau perjuang tak isu OKU?”

“Kalau kau celik, kau minat tak majlis ilmu?”

Tidak. Saya tidak mungkin seperti yang kalian tahu. Entah jadi apa hanya Tuhan empunya tahu. Ini juga bukan bermakna semua OKU menjadi seperti saya. Itu pun tidak masuk akal. Ada beberapa hal yang menjadikan saya begitu. Ayah yang buta huruf mengutip buku dari tempat sampah, Kemudian mendorong anaknya ini membaca kerana ayah seperti tahu OKU akan susah hidupnya jika tiada ilmu. Ibu pula bertegas mahukan anaknya masuk sekolah sekali pun ahli keluarga lain menentang. Sepupu saya yang punyai rak buku kecil selalu membacakan novel cinta di tepi sawah hampir setiap petang.

Semasa kecil lagi, oleh kerana kerap dibuli diejek kawan-kawan sebaya, saya agak kera sumbang. Hal ini terjadi sekali pun sudah masuk sekolah pendidikan khas, Jadi teman rapat hanyalah buku. Tempat melepak adalah perpustakaan. Bila sekolah menengah saya rapat dengan senior. Mereka minta saya bacakan buku untuk di-braille-kan. Saya akan dapat upah sebungkus nasi goreng. Antara kawan-kawan rabun, saya paling mudah diminta pertolongan. Segala buku dibaca; novel cinta, majalah hiburan, sampai buku teks sejarah dan sastera tingkatan 6.

Jadi dari awalnya saya sudah berkenalan dengan banyak tokoh dan tema besar dalam sejarah dan sastera. Debat wujudiyah di Aceh atau LEKRA sudah diperkenalkan semenjak tingkatan 1 lagi. Kadang-kadang dua tiga orang kawan-kawan kumpul duit beli buku. Kami berkumpul setiap petang dan saya antara orang yang menjadi tukang bacanya. Ada masanya khalayak peminat sampai 10-15 orang kalau novel cinta atau majalah hiburan.

Apa yang saya mahu intikan dari cerita ini adalah kepentingan mengupayakan ruang-ruang menemukan pengetahuan. Dalam situasi rentan, ramai manusia hebat dapat ditumbuhsuburkan potensi mereka. Dengan penghakupayaan, tak kira sesiapa pun mampu menyumbang kepada masyarakatnya. Ramai orang menjuih sinis “dia budak hingusan” “dia budak baru nak up” tapi harusnya kita yang rasa konon lebih tua perlu meraikan yang muda dengan memberikan dorongan dan semangat untuk mereka mencari pengetahuan. Masyarakat yang inklusif tidak mampu tergarapkan jika tidak adanya pergaulan seharian yang rentas komuniti dan apa lagi sarat bias sosial.~24 November 2014

 

Salah satu cara mahu kuatkan gerakan Islam ialah beritahu orang ramai bahawa siapa saja kritik gerakan Islam maka ia juga mengkritik Islam. Siapa saja kritik pemikiran atau tokoh atau ijtihad gerakan Islam sama maksudnya kritik Islam. Jadi, apa saja dari gerakan Islam sama sucinya dengan Islam. Inilah sebenarnya ubat paling mujarab. Titik.~27 November 2014

 

Cuti sekolah selama sebulan memang bosan. Kalau tak main banjir tengkujuh rasa dah tak jadi orang Kelantan. Mengharung banjir dengan rakit buluh memang menyeronokkan untuk tiap anak kampung.

Saya bersungut pada ayah minta carikan buku untuk dibaca. Ayah buta huruf mana la dia tahu nak beli buku apa. Cina mualaf di Pasir Mas menghulurkan risalah hukum jima’ tanpa ayah tahu tajuknya.

Wakakaka… sempat jugak khatam sampai habis sebelum kakak merampasnya. Ayah dileteri oleh ibu berjam-jam. Aku terkedu dalam bilik sambil membelek-belek surat cinta dari awek yang sampai semalam.

Makan ubi kayu rebus dengan sambal ikan bilis memang meyelerakan. Meleleh air liur bila ingatkannya. Hujan di luar sudah sidang namun kenangan indah masa lalu seperti belum mahu berlabuh.~27 November 2014

 

Apa yang saya tulis ini cuma isu-isu biasa yang sudah ramai orang yang memahaminya.

1. Pandangan umum bahawa falsafah Islam cuma tiruan kepada falsafah Yunani adalah tidak tepat. Ini kerana pemindahan sesuatu pengetahuan ke dalam masyarakat berbeza akan menyebabkan proses pengolahan, penyesuaian dan kreativiti.

2. Antara situasi yang membentuk kemunculan istilah Islam liberal di Malaysia adalah polemik negara Islam, penerbitan terjemahan buku Ali Abdul Raziq, tema-tema keganasan antarabangsa, kemerosotan undi PAS dalam pilihanraya 2004, polemik kepimpinan ulama dll.

3. Rata-rata salah faham terhadap konsep wujudiah Hamzah Fansuri atau Ibnu Arabi ialah kegagalan pengkaji memahami istilah-istilah yang digunakan, terhadnya capaian kepada manuskrip dan mudah terjebak dalam pelambakan pemikiran (generalisasi) dan kotak-kotak pembakuan idea,

4. Umum mengatakan bidang hadith sangat dikuasai oleh Salafi, falsafah pula oleh Syiah sementara sufisme oleh khalaf adalah kurang tepat. Dalam sejarahnya, semua aliran telah melakukan wacana lintas dan saling mempengaruhi satu sama lain.~25 Disember 2015

 

Dunia digital telah membuka peluang berkembangnya fenomena “buku sebagai fesyen”. Maksudnya ramai orang sangat seronok menayangkan koleksi buku-buku yang mereka miliki. Satu sudut ia seakan mendorong orang lain untuk membaca buku tapi sisi lain ianya seakan terhenti di situ saja.

Cubalah amat-amati status facebook atau komen-komennya. Adakah buku-buku tayangan tadi menjadi cerminan pemikirannya? Buku yang diterbitkan akan mati jika tidak diwacanakan. Seolah-olahnya, buku hanya hidup apabila penulisnya telah meninggal dunia.~22 Januari 2015

 

Secara tidak disedari, media sosial akan membentuk budaya baru masyarakat awam secara perlahan-lahan. Namun kita tidak dapat mengenalpasti setepatnya rupa bentuk budaya yang bagaimanakah akan terhasil. Proses ini akan melalui beberapa fasa transisi dari medium yang bersifat konvensional kepada medium baru.

Persoalannya, adakah medium sahajakah yang mengalami peralihan tapi tidak disertai dengan paradigma lain dalam media sosial. Contohnya, apakah teknik analisa dalam media konvensional masih lagi diteruskan dalam media baru? Dengan bahasa lain, apakah “kebodohan” analisis akhbar bercetak tidak dikongsi dalam portal online?

Fenomena “fesyen” penguna facebook dan twitter perlu dianalisa bagi memahami “minda bawah sedar” masyarakat. Misalnya bagaimanakah kecendurangan status facebook ketika berlakunya krisis? Apakah psikologi “like” berasaskan figur atau isi kandungan status? Bagaimanakah “persetujuan maya” mampu membentuk persekitaran tertentu masyarakat?

Hal-hal ini sangat memberikan kesan dalam kajian-kajian strategik pemikiran. Ada kalangan yang memanipulasikannya menjadi “perang hegemoni”. Untuk ahli politik parti pula ini sangat berguna untuk memahami kecendurangan pengundi dan menemukan kaedah-kaedah bagi menyimbanginya jika situasi tidak memihak.~22 Januari 2015

 

Rosli Ibrahim, pembaca buku tegar dan liar. Baru-baru ini menerbitkan sebuah buku berjudul OKU Bangkit. Catatan ini adalah himpunan status Facebook yang acap kali muncul secara rambang.