anitaduniaajaib_major
Sekuens judul filem Anita Dunia Aiaib.

Bagi Amran, pengalaman itu seperti magis. Dia melabuhkan punggungnya kembali di dalam dewan yang kelam, tidak beriak dengan imej-imej yang muncul di belakangnya. Dia menyaksikan cahaya malap dipancarkan melepasi kepalanya menuju layar skrin, berterusan dengan bunyi hasilan projektor filem. Semuanya menambah keterujaan. Amran hanya beumur 7 tahun ketika bapanya membawa dia ke panggung wayang untuk menonton filem melayu berjudul Anita Dunia Ajaib pada awal tahun 80an.

Pada usianya, apa perkara yang tidak dapat dia fahami secara sendiri. Misalnya ketika menonton Anita, dia hairan mengapa ayahnya melepaskan nafas panjang (mengeluh) dan menggelenggelengkan kepala. Mungkin kerana lakonan kejam pendukung watak utama, atau mungkin kerana jalan cerita yang mengarut : Wanita melahirkan bayi yang dikandung selama sebulan?

Amran dan ayahnya duduk di tengah-tengah barisan kerusi. Sementara mata ayahnya terus melekap ke skrin, Amran berusaha menghabiskan sotong kering yang liat dengan meneguk baki minuman kolanya.

Sementara itu. Amran dapat menangkap bunyi kunyahan kuaci. Patutlah lantai panggung dipenuhi dengan selerakan kulit kuaci. Di belakangnya, terdapat dua gadis yang makan daripada awal tayangan dimulakan. Pada mulanya Amran menoleh dan berpaling ke belakang dan memandang sekilas, mendapati mereka sedang mengunyah keropok udang, disertai bunyi plastik hasil koyakan bungkusan keropok. Akhirnya, Amran meneka itu ialah asam jeruk, kerana bau masam yang menusuk dan menerawang ke seluruh panggung.

Di sudut kanan barisan hadapan, sepasang suami isteri sedang memujuk dan meredakan tangisan bayi mereka. Apabila rengekan bayi tidak reda, mereka bergilir-gilir membawa anak kecil itu keluar panggung. “Bodoh punya mak bapak” bisik dua gadis di belakang Amran sambil mengunyah keropok dengan bising.

Duduk di barisan yang sama dengan Amran dan bapanya, seorang lelaki berumur pertengahan 40an sedang tidur; kadangkala dia separuh sedar, dia kelihatan sangat mengantuk. Manakala di belakang dua gadis tadi, seorang lelaki berumur awal 30an sedang nyenyak tidur dan seisi panggung terpaksa mendengar bunyi dengkur.

Kerusi-kerusi di barisan belakang kelihatan penuh. Dipenuhi oleh pasangan bercinta, ruang belakang adalah lebih senyap, mungkin mereka ialah golongan yang serius mahu menonton.

Di hadapan Amran, terdapat sepasang kekasih di mana si lelaki mungkin selsema, dan dia berterusan menghembus hidung dan bersin. Amran berasa sebal sewaktu si lelaki itu hendak ke tandas, bayang-bayang tubuhnya menghalang pandangannya daripada skrin.

Sewaktu filem hendak mencapai klimaks, ayah Amran asyik tersengih-sengih dan ketawa dengan kerap. Amran gagal memahaminya; mungkin pada ayah babak cerita itu mengkagumkan atau menghiburkan. Dalam babak berkenaan, Ana yang merupakan pembantu rumah sedang cuba melarikan diri dengan bayi yang baru dilahirkan Anita.

Tidak semena-mena, skrin memaparkan satu cebisan kertas terdapat tulisan tangan dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil yang tertulis peringatan untuk para penonton supaya tidak meninggalkan barang-barang berharga sejurus tayangan tamat.

Amran tahu apabila tulisan itu ditayangkan bermakna tayangan filem sudah hampir selesai.

Seterusnya babak pada skrin berubah, menayangkan bahagian luar sebuah gua, dengan Ana sedang mengendong bayi dalam rangkulan. Dia diiringi oleh polis yang bersenjata yang masing-masing berdiri tidak berkutik. Majikan Ana iaitu Asmah, menangis teresak-esak,merayu dan menggesa kepada suaminya dan pasukan polis untuk mendapatkan Anita kembali. Kemudian tayangan super impose lenyap.

Latar belakang menunjukkan sebuah gua di atas bukit, tampil seorang lelaki dalam kostum futuristik seperti seorang superhero, bersama kain terbang dan aksesori kepala yang mengimbau kembali segala karektor yang pernah Amran tonton dalam filem seperti Flash Gordon, atau Galactica.

Kemudian, seorang lelaki lain menghidupkan laser hijau seakan kilat memancar melalui tubuh Ana. Dia bertukar daripada seorang yang berwajah hodoh, jelik dan menakutkan kepada figura seperti Wonder Woman. Lelaki itu pegang erat dan menyelimuti tubuhnya dengan kain terbang lantas lesap diudara; dengan sekelip mata, dia muncul semula berhampiran dengan Ana. Dengan suara lantang dia mengatakan bahawa Anita ialah anak mereka dan Ana ialah isterinya, selain turut mendakwa mereka bertiga datang dari ruang angkasa lepas yang digelar sebagai Dimensi Kelima.

Lelaki berkain terbang mendekati kamera dan secara tiba-tiba dia berjalan keluar dari skrin dan menghampiri para penonton. Menunding ke arah penonton yang tergamam, dia menyatakan supaya mereka fokus terhadap filem itu dengan berkata “wahai para penonton, sila beri perhatian sepenuhnya kepada filem ini kerana saya (kami) sudah hampir selesai!”.

Seluruh isi panggung menjadi senyap sunyi. Lelaki yang tidur berdengkur lantas terjaga daripada lena, bayi berhenti menangis, dan semua bunyi kunyahan kudapan terhenti.

Amran dan ayahnya saling berpandangan dalam tidak percaya. Mata Amran terbeliak, terkejut dan mulutnya ternganga.

 

 

Terjemahan Maisarah Akbal dari cerpen berbahasa Inggeris oleh Norman Yusoff yang pernah terbit di akhbar Selangor Times.