28 Jun 2014

Video atau mp3 diskusi buku dan wacana pemikiran (seperti Lepak Maqasid, UTAM, KuBu) perlu diperbanyakkan lagi. Memang proses lazim untuk dikutuk atau difitnah. Orang bebal ada di sepanjang zaman. Orang yang meminati ilmu tapi jumud hanyalah kemucut yang tidak melukakan.

16 Julai 2014

Buku sudah siap. Tinggal hal-hal percetakan dan penerbitan saja lagi. Mohon doa dipermudahkan oleh Allah.

25 Julai 2014

Orang bijak menyedari bahawa ada pengetahuan melebihi pengetahuannya yang membuatnya menjadi rendah hati. Sementara orang bodoh berfikir bahawa dirinya memiliki pengetahuan yang tidak terbatas.~al-Kindi

2 Ogos 2014

Buku “Mengapa OKU Bangkit!” dalam proses percetakan. Semingu dua ini insyaAllah akan berada di pasaran. Cetakan terhad, hanya 500 naskah sahaja. Sedang menyiapkan buku kedua “Bacaan Liar; Facebook, Esei dan Puisi”. Setakat ini belum ada mana-mana penerbit lagi.

 18 Ogos 2014

Peristiwa ini berlaku bulan Ramadhan lalu. Seperti biasa selepas lepak bersama kawan-kawan KuBu saya menunggu LRT Masjid Jamek untuk balik ke rumah. Tiba-tiba ada seorang lelaki menyapa;

“Encik hendak ke mana,” tanyanya sambil menyentuh bahu.

“Mahu naik LRT ke Wangsa Maju,” saya menjawab sambil menoleh ke arahnya.

“Baru balik minta sedekah ke?” tanya dia lagi sambil menepuk bahu.

Saya terdiam. Berfikir sejenak. Bagaimana mahu memberikan reaksi terhadap persepsinya.

“Encik dari mana,” saya bertanya seakan mahu mengalihkan perhatiannya daripada persoalan tadi.

“Dari iktikaf di masjid mahu ke Wangsa Maju”

“Oh! samalah saya pun nak ke sana. Nanti boleh kita bersembang.”

LRT sudah sampai. Kami bergerak ke arah pintu. Kebetulan ada kerusi kosong. Saya duduk dan lelaki itu berdiri di hadapan.

“Kalau encik seorang OKU adakah encik juga akan meminta sedekah?” saya bertanya memulakan perbualan.

Tiada jawapan. Dia mungkin tergamam. Mungkin dia tidak sangka soalan seperti ini dilontarkan kepadanya.

“Saya tak marah dengan pertanyaan tadi. Cuma saya mahu bertanya, mengapakah encik yang baru balik dari iktikaf di masjid telah mengotorkan hati yang sudah dibersihkan dengan sangkaan dan persepsi buruk terhadap OKU. Bukankah lebih terhormat jika encik bertanya tanpa memberikan apa-apa persepsi negatif?” saya seakan meleterinya.

“Encik kerja di mana?” saya cuba meredakan suasana tegang seketika.

“Saya pegawai IT di sebuah syarikat terkenal di KLCC” jelasnya.

“Encik tentu orang hebat. Tentu seorang yang berfikiran cerdas. Mengapa encik tidak mampu memahami sesuatu dengan hati terbuka. Encik juga orang beragama, baru balik dari masjid beriktikaf, tapi mengapa encik tidak memahami persoalan hidup mengikut al-Quran dan Sunnah? Jadi siapa yang ‘kurang upaya’ di sini, saya atau encik yang mempunyai mata?” Kali ini saya rasakan dia betul-betul terpukul.

Hampir 10 minit kami terdiam. Saya biarkan dia seketika. Mungkin dia sedang berfikir. Mungkin dia sedang menyesal. Mungkin dia sedang menyumpah-nyumpah dalam hati. Tapi biarlah. Biarlah dia tahu orang lain pun ada perasaan dan tidak mahu dituduh secara tidak adil.

“Saya sudah menulis hal-hal OKU. Encik boleh google OKU Bangkit 2012. Encik boleh baca memorandum SUHAKAM 17 Mac 2012 yang ada 11 tuntutan OKU. Saya juga sudah menulis buku dan masih dalam percetakan. Nanti kalau sudah terbit, kalau encik nak percuma pun saya boleh hadiahkan”. Saya memulakan perbualan lagi ketika melihat handphone di tangannya.

“Saya cuma harap encik ada kesedaran isu-isu OKU. Jangan cuma buat andaian tanpa disusuli kajian. Tak salah encik bertanya. Tapi bertanyalah secara hormat. Bukankah al-Quran menyuruh kita diam untuk benda yang kita tidak tahu?” Saya memberikan kata penutup untuknya berfikir.

Kami diam lagi. Saya melayan fikiran sendiri. Teringat perbualan dengan kawan-kawan KuBu tadi. Orang semakin memenuhi ruang LRT selepas stesyen KLCC. Hampir terlena sekejap. Tiba-tiba terdengar pengumuman stesyen Wangsa Maju.

Saya bergerak ke pintu. Lelaki itu masih berdiri di sebelah. Kami berjalan beriringan menuruni tangga.

“Saya minta maaf tentang tadi. Betul kata encik, kalau saya jadi OKU entah apa akan terjadi. Mungkin saya kehilangan kerja dan isteri. Mungkin masyarakat akan sisihkan. Terima kasih dan minta maaf sekali lagi”.

Saya diam. Membiarkannya menghabiskan penjelasan.

“Tak mengapa. Saya tak ambil hati sangat. Cuma saya harap encik ada kesedaran tentang OKU. Semua orang akan jadi OKU satu masa nanti. Jadi kita jangan sombong dan angkuh. Ini hidup, Tuhan maha mengetahui” Dengan nada perlahan sambil menghulurkan tanggan tanda perpisahan.

 3 September 2014

Ini cerita yang mengharukan; bagaimana OKU penglihatan dan OKU pendengaran bersembang. OKU pendengaran akan menulis satu demi satu huruf di tapak tangan OKU penglihatan. Ia memang agak lambat sedikit bagi mendapatkan satu-satu perkataan. Saya masih ingat lagi, mereka akan bersorak jika kami dapat meneka apa yang mereka hendak sampaikan. Saya sangat faham betapa sunyinya hidup tanpa suara dan bunyi. Ada sebahagian OKU pendengaran yang agak mahir membaca pergerakan bibir seseorang.

Di Malaysia ada gereja yang menyediakan juru bahasa isyarat dalam ceramah-ceramahnya. Di kalangan Jemaah Tabligh sudah ada komuniti khusus untuk dakwah kepada OKU pendengaran. Hemat saya, masyarakat awam perlu mempelajari pengetahuan asas bahasa isyarat bagi memudahkan interaksi sosial dengan komuniti OKU pendengaran. Kemudahan bahasa isyarat untuk berita TV1 perlu dipertingkatkan kualiti keberkesanannya.

Nota: sila tonton filem Indonesia “Ayah, Mengapa Aku Berbeda” untuk memahami kehidupan komuniti OKU pendengaran.

 6 September 2014

Masa sekolah, saya memang kaki tidur terutamanya dalam mata pelajaran sejarah. Suara lembut cikgunya yang pegang buku teks sayup dan makin hilang. Alih-alih bila tersentak meleleh air liur basi. Kalau geografi cool, cikgu India itu tak pakai buku lukis peta selamba je. Ustazah pula akan mengamuk kalau kita tanya soalan fekah yang spekulatif.

Bila dah besar, sejarah kian menarik, tak sama macam buku teks. Sampai sekarang saya mudah ingat peta sebab dah dibiasakan, katanya peta tu kacang je. Saya jadi tak minat fekah asyik kena marah bila buat soalan spekulatif. Rasa fekah tu dah jadi batu pejal tak boleh tanya itu… dan macam ni… apa yang takde dalam buku teks jangan dilayan katanya.

Bila larut menggauli macam-macam displin makin nampak sifat saling melengkapi dan merentasi. Kaedah-kaedah mustalah hadith sangat berguna untuk memahami bidang sejarah begitu juga jarh ta’dil untuk pensejarahan lisan. Teori-teori barat pula amat membantu bagi mempertajamkan analisa. Saya ni jenis tak suka sebut teori itu teori ini, saya dah baurkan menjadi padu.

8 September 2014

Petang tadi, sambil bersembang santai seorang rakan OKU penglihatan bercerita:

“Satu hari tu anak aku sebut bahawa dia tak suka orang buta, sudahlah buta buat kerja pun lembab dan dia paling benci benda macam ni.” ceritanya sambil ketawa.

Saya faham apa yang dirasakannya. Saya mengerti apa yang memendam hatinya. Sekali pun ceritanya disudahi dengan ketawa tapi jauh dalam hati ibunya sudah lama remuk. Ketabahan seakan menjadi bius menenangkan tapi saya tahu perasaannya bergolak kencang. Tanpa disedari air mata saya mengalir juga.

Janganlah kalian mengalirkan air mata bila membaca kisah ini kerana air mata OKU sudah lama kering menghadapinya. Ini kisah lazim untuk kami OKU penglihatan dalam membesarkan anak-anak. Ada kisah yang jauh lebih meronta jiwa yang takkan kalian sanggup membacanya.

Janganlah hairan jika dalam masyarakat di Malaysia ada anak yang menjadi sangat malu beribubapakan OKU. Mereka merasa menjadi begitu hina seperti mana ibu bapa mereka yang OKU dihinakan oleh masyarakat. Masyarakat sudah tidak dibentuk dengan sikap cakna dan kemanusian. Inilah kesannya yang dapat kalian saksikan.

Untuk kalian yang mempunyai ibu bapa OKU, mari sedikit untuk anda mempelajari makna kasih sayang dan kehormatan. Biar bagaimapun ibu bapa kalian, mereka tetap ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan kalian dengan sepenuh kasih sayangnya. Takkan terbalas seisi dunia ini jika dibanding segala pengorbanan mereka yang sentiasa bergelut sepenuh nyawa dalam hidupnya sebagai OKU.

13 September 2014

Kita membaca buku. Orang lain pun membaca buku. Tapi apa yang membezakannya? Apakah jumlah buku yang dibaca atau bagaimana? Ada orang membaca buku menjadikannya semakin kritis. Tapi ada juga orang membaca buku menjadikannya semakin taksub. Lalu, apa sebenarnya membaca itu?

Saya ulangi pertanyaan ini; untuk apa kita membaca kalau pembacaan itu tidak menjadikan maksud membenihi fikiran yang jernih? Mengapakah masih ketemukan orang-orang dungu sekali pun kita lihat ada buku tebal di atas mejanya. Jadi membaca itu hanya sekadar gaya untuk orang-orang cerdaskah atau bagaimana?

 3 Oktober 2014

Semalam ada murid youtube kuliah masjid (bukan murid talaqi kitab) Maulana Asri menghantar mesej peribadi kerana “merasa terganggu dengan video Hishamuddin Rais” tentang hudud. Faktor mengapa beliau menghantar mesej tersebut kerana saya diketahuinya pernah belajar dengan Hishamuddin Rais. Saya tak pasti adakah beliau sekadar mengadu kegelisahannya atau ada niat lain. Saya tidak berminat menaruh apa-apa prasangka terhadapnya. Setelah mendengar video tersebut, beliau tidak hairan kenapa Hishamuddin Rais menyokong Syiah.

Beginilah sengalnya masyarakat. Kalau anda membeli Utusan akan dituduh pro UMNO. Kalau anda membeli Harakah anda akan dituduh pro PAS. Kalau anda mendengar video Maulana Asri akan dituduh pro Wahabi. Kalau anda mendengar video Zamihan akan dituduh pro Ahbash. Budaya ini lebih celaka daripada sepak terajang orang politik. Anda tidak boleh apa-apa. Anda tak boleh mendengar, belajar, membaca apa-apa dan dari siapa pun. Seakannya anda tidak mempunyai fikiran sendiri. Seakan anda tidak mampu menilai dengan ilmu dan pertimbangan wajar.

Memang sudah diketahui ramai saya pernah belajar dengan Hishamuddin Rais. Adakah itu bermakna saya terima semua fikirannya? Kalau mahu menilainya jahil agama itu tidak ada masalah. Tapi mengapa hanya berani mengamuk si jahil dari jauh? Adalah lebih terhormat jika menemuinya dan berdakwah. Dakwah bukan cuma hujah yang mantap tapi akhlak yang mempersona. Hemat saya, si alim yang menyamar hebat lebih patut diamuk kerana telah membodohkan ramai orang.

Ketika fikiran-fikiran Maulana Asri diserang oleh kumpulan ektrimis Sunni (Ahbash) baru-baru (dalam page FB) saya cuma tergelak sinis. Saya sudah mengenali pemikiran Maulana Asri semenjak awal 1990an lagi. Saya sudah membaca tulisan dalam majalah dan mendengar kuliah mp3 dari web lama Darul Kautsar. Saya mengenali beberap orang murid talaqi kitab malahan pernah memberikan talk kepada beberapa orang muridnya. Saya menghormati Maulana Asri tapi kurang menghormati kalau bertemu murid-muridnya yang sengal kayu. Jagailah kehormatan guru sendiri dan zahirkan sikap yang hampir menyamai akhlaknya.

7 Oktober 2014

Ramai orang menuduh saya macam-macam. Ada yang kata saya ahli falsafah. Ada yang kata saya revolusioner. Tak kisahlah kalian mahu memberikan apa-apa pun. Yang pasti saya mengaku seorang SB. (saya ulang; seorang SB) Dalam istilah penzinaan bahasa “species blind” atau dalam bahasa halal melayunya spesis buta. Si buta yang tak ada apa-apa pun yang mahu dibanggakan.

 18 Oktober 2014

Saya tak seronok sangat kalau dapat like banyak-banyak. Orang yang like ni macam-macam simbol. Ada sebab setuju. Ada sebab jari gatal tekan like. Ada saja-saja bosan takde buat apa. Ada sebab dah baca. Macam-macam tabiat dan buang tabiat.

Paling seronok kalau ada komen berjela. Jangan la komen meraban. Jaga la wibawa diri sikit. Kalau komen dalam bahasa Inggeris memang hangat hati. Kalau begini bukan lagi bahasa jiwa bangsa. Kalau komen tak setuju tak apa tapi jangan hina peribadi atau kaitkan dengan sifat OKU.

Tak payah rasa kasihan kalau kita berbeza pendapat tapi komen dengan cara ilmiah. Tak payah fikir sangat sebab saya OKU jadi kena hormat melampau. Hormat tu hormat la tapi jangan sampai nak kritik segan-segan.

 

Rosli Ibrahim, pembaca buku tegar dan liar. Baru-baru ini menerbitkan sebuah buku berjudul OKU Bangkit. Catatan ini adalah himpunan status Facebook yang sentiasa muncul secara rambang.