Lee Kuan Yew muncul di pentas antarabangsa selaku pengasas negara Singapura, ketika itu sebuah bandar dengan penduduk sekitar sejuta orang. © Larry Burrows

Lee Kuan Yew adalah seorang lelaki hebat. Beliau juga adalah teman akrab saya, sesuatu yang saya kira merupakan satu rahmat besar dalam hidup saya. Dunia yang memerlukan pemulihan aturan dari kekacauan yang sedang berlaku bakal merindui kepimpinannya.

Lee muncul di pentas antarabangsa selaku pengasas negara Singapura, ketika itu sebuah bandar dengan penduduk sekitar sejuta orang. Beliau mendewasa menjadi negarawan antarabangsa, berperanan seumpama nurani kepada pemimpin-pemimpin seluruh dunia.

Takdir pada awalnya seakan-akan tidak menyediakan ruang kepadanya untuk mencapai lebih dari sekadar kejayaan dalam negeri. Dalam fasa awal dekolonisasi, Singapura muncul sebagai sebahagian dari Malaya. Ia disingkir lantaran ketegangan di antara populasi besar masyarakat Cina Singapura dengan majoriti orang Melayu dan, yang lebih utama adalah untuk mengajar bandar yang degil itu tentang makna kebergantungan. Tidak syak lagi Malaya menjangkakan keadaan akan mengubah Singapura daripada semangat kemerdekaannya.

Namun mereka yang hebat menjadi begitu melalui wawasan yang melampaui kira-kira kebendaan. Lee melanggar aturan konvensional dengan memilih pemerintahan sendiri. Keputusan tersebut mencerminkan keyakinan terhadap kebijaksanaan rakyatnya. Beliau percaya sebuah bandar yang terletak di beting pasir tanpa sebarang sumber ekonomi untuk bergantung dan di mana sumber industri utamanya ketika menjadi pangkalan ketenteraan laut telah musnah, namun mampu berkembang dan mengecap pengiktirafan antarabangsa menerusi pembangunan aset utamanya: kebijaksanaan, industri dan dedikasi rakyatnya.

Pemimpin yang hebat memimpin rakyatnya daripada di mana ia berada kepada tempat yang ia tidak pernah sampai – bahkan, ke suatu keadaan yang tidak mampu dibayangkan. Dengan menekankan kepada kualiti pendidikan, memerangi rasuah dan memusatkan tadbir urus berasaskan merit, Lee dan pasukannya telah meningkatkan pendapatan tahunan per kapita negaranya dari $500 pada masa kemerdekaan dalam tahun 1965 ke sekitar $55,000 pada masa kini. Dalam tempoh satu generasi, Singapura muncul sebagai pusat kewangan antarabangsa, metropolis intelektual paling maju di Asia Tenggara, lokasi kepada hospital-hospital utama di rantau ini dan negara kegemaran bagi penganjuran persidangan-persidangan berkaitan hubungan antarabangsa. Ia berjaya menerusi pendekatan pragmatisme luar biasa: dengan membuka kerjaya kepada bakat-bakat terbaik serta menggalakkan mereka berpegang kepada nilai-nilai praktikal terbaik dari seluruh dunia.

Prestasi terunggul adalah satu komponen kepada pencapaian tersebut. Kepimpinan terunggul adalah lebih utama. Merentasi beberapa dekad, ia sungguh mengujakan – dan memberikan inspirasi – untuk melihat Lee, seumpama seorang datuk bandar sebuah kota bersaiz sederhana, menguasai pentas antarabangsa selaku mentor tatanan strategik dunia. Kunjungan Lee ke Washington seperti sebuah acara kebangsaan. Perbincangan presidensial hampir-hampir terjadi secara otomatik; ahli-ahli Kabinet dan Kongres tersohor memohon untuk bertemu. Mereka melakukannya bukan untuk mendengar masalah dalaman Singapura; Lee jarang, jika pernah, melobi penggubal dasar untuk bantuan. Tema beliau adalah tentang sumbangan Amerika Syarikat yang amat diperlukan untuk pertahanan dan pertumbuhan dunia yang aman. Mereka yang hadir mendengar tidak dapat membantah tetapi belajar daripada salah seorang pemikir global yang hebat mutakhir ini.

Untuk saya, proses ini bermula ketika Lee melawat Harvard pada 1967 sejurus selepas menjadi Perdana Menteri Singapura yang merdeka. Lee memulakan pertemuan dengan penjawat kanan Sekolah Pentadbiran Awam (kini dikenali sebagai Sekolah Kennedy) dengan menanyakan komen berkaitan Perang Vietnam. Fakulti tersebut, di mana saya merupakan salah seorang ahli yang tidak bersetuju, berpecah lantaran persoalan sama ada Presiden Lyndon Johnson adalah seorang penjenayah perang atau seorang yang sakit jiwa. Lee menjawab, “Kamu semua buat saya sakit” – bukan kerana beliau bersetuju dengan peperangan atas sebab peribadi namun kerana kebebasan dan kemakmuran negaranya bergantung kepada ketabahan, perpaduan dan iltizam Amerika Syarikat. Singapura tidak meminta Amerika Syarikat untuk berbuat sesuatu yang mana Singapura tidak mampu berjanji untuk melaksanakan dengan upaya maksima. Namun kepimpinan Amerika Syarikat diperlukan untuk menambah dan mewujudkan rangka kerja bagi aturan dunia.

Lee menghuraikan tema-tema ini menerusi ratusan pertemuan kami di sidang-sidang antarabangsa, perkumpulan kajian, mesyuarat lembaga, perbincangan semuka dan lawatan-lawatan persendirian ke kediaman masing-masing sepanjang 45 tahun. Beliau tidak menekan; beliau tidak pernah emosional; beliau bukan panglima Perang Dingin; beliau adalah pengembara yang mencari aturan dunia dan kepimpinan yang bertanggungjawab. Beliau memahami kepentingan dan potensi tinggi China dan selalu menjelaskan pada dunia berkaitan subjek ini. Namun pada akhirnya, beliau menegaskan bahawa tanpa Amerika Syarikat, kestabilan tidak akan wujud.

Kaedah domestik Lee kurang selari dengan preskripsi semasa teori perlembagaan Amerika Syarikat. Namun begitu, untuk berlaku adil, ia turut terjadi dalam demokrasi di zaman Thomas Jefferson, dengan francais yang terhad, kelayakan harta untuk mengundi dan perhambaan. Ini bukan ruang untuk membahaskan apa pilihan lain yang ada. Seandainya Singapura memilih jalan yang ditunjukkan oleh para pengkritik, barangkali ia telah rebah di kalangan kepelbagaian kumpulan etnik, seumpama contoh yang dapat dilihat di Syria mutakhir ini. Sama ada perlu atau tidak dipanjangkan perbahasan tentang struktur-struktur yang penting untuk dekad-dekad awal kewujudan Singapura yang merdeka, ia boleh menjadi subjek dalam perbincangan yang lain.

Saya memulakan eulogi ini dengan mengungkapkan persahabatan saya bersama Lee. Beliau bukan lelaki yang banyak memiliki madah-madah sentimental. Dan beliau hampir sentiasa berbicara tentang hal-hal yang substantif. Namun seseorang boleh mengesan ikatan emosinya. Perbualan dengan Lee, yang mana kehidupannya ditumpukan sepenuhnya untuk berkhidmat dan yang menggunakan kebanyakan masa untuk pencarian bersama adalah undi kepercayaan yang mengekalkan naluri tujuan seseorang.

Tragedi besar dalam kehidupan Lee adalah ketika isteri kesayangannya diserang angin ahmar yang menjadikannya seperti tawanan yang dipenjarakan di dalam jasadnya sendiri, tidak berupaya untuk berkomunikasi atau menerima respon. Sepanjang tempoh tersebut, Lee duduk di samping isterinya pada setiap petang dan membaca untuknya. Beliau memiliki keyakinan bahawa isterinya memahami setiap yang dituturkan meski pun hakikat adalah sebaliknya.

Barangkali inilah peranan Lee Kuan Yew di  era kepimpinannya. Beliau memiliki harapan yang sama untuk dunia kita. Beliau berjuang untuk naluri yang lebih baik meski pun realitinya penuh kekaburan. Namun ramai di kalangan kita mendengar dan tidak akan melupakan beliau.

 

Henry A. Kissinger adalah Setiausaha Negara Amerika Syarikat dari tahun 1973 hingga 1977.

 

Diterjemahkan oleh Najwan Halimi dari rencana asal tulisan Henry Kissinger berjudul ‘The world will miss Lee Kuan Yew’ terbitan The Washington Post (terbit pada 23 Mac 2015).

 

Amerika Syarikat China Harvard University Lyndon Johnson Perang Vietnam Syria Thomas Jefferson

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan