Lee Kuan Yew dan Deng Xiaoping
Lee Kuan Yew dan Deng Xiaoping

Berbeza dengan Ronald Reagan dan Margaret Thatcher, tiada akhiran “-isme”  ditambah pada nama Lee Kuan Yew, pemimpin ulung Singapura yang meninggal dunia minggu lalu . Ada “Reaganism” dan “Thatcherism” tetapi tidak ada “Lee-isme”– sekiranya difikirkan kembali, ini merupakan jurang yang luas dalam Bahasa Inggeris. Kerana bentuk pemerintahan kapitalisme autoritarian dengan ciri tersendiri yang diterapkan oleh Lee dari tahun 1969 sehingga tahun 1990 ke atas Singapura bukan sahaja menjadikannya antara negara terkaya dan paling membangun di dunia. Bahkan Singapura juga menjadi model kepada China, negara paling besar di dunia dan berdasarkan beberapa analisa yang dibuat, China akan mendominasi abad ke-21 ini.

Mungkin hal ini kedengaran agak keterlaluan namun semasa hayatnya, Lee mempunyai pengaruh yang luas.  Sekitar akhir 70-an, selepas kejatuhan Mao Zedong dan penyingkiran Gang of Four; Deng Xiaoping dan beberapa pimpinan China mengikuti jejak langkah Singapura. Lee selama hampir dua dekad telah melakukan liberalisasi ekonomi di bawah cengkaman pimpinan Parti Tindakan Rakyat (People’s Action Party). Hubungan diplomasi antara China dan Singapura terbukti bertahan lama.

Semasa Deng memulakan reformasinya yang tersendiri, kerajaan China telah menghantar begitu ramai pegawainya untuk merungkai apakah yang sedang berlaku di  kepulauan itu. Komitmen beliau begitu tinggi dan Lee juga sering mengadakan lawatan ke Beijing. Maka tidak hairanlah sejurus selepas pengumuman kematiannya dibuat, pihak kementerian luar negeri China mencurahkan kenyataan dan menjunjung beliau sebagai “Seorang tokoh negarawan yang unik dan berpengaruh di Asia serta pemikir strategi yang mengekalkan nilai-nilai ketimuran dan merupakan individu yang bervisi luas.”

Soal nilai ketimuran kemungkinan merujuk kepada kenyataan Lee yang mendakwa keajaiban ekonomi Singapura adalah berdasarkan nilai-nilai Confucius seperti sikap kawal diri dan berdikari berbanding kebergantungan kepada negara. Ia adalah benar namun Kishore Mahbubani, seorang bekas diplomat Singapura menjelaskan di dalam bukunya, “The New Asian Hemisphere,” kebanyakan program pembangunan Lee meliputi tentang meniru apa yang dilihatnya sebagai amalan terbaik dari Barat:  persaingan pasaran, meritokrasi, pragmatisme, peraturan undang-undang, pendidikan awam secara menyeluruh dan memperkasa sains dan teknologi. Melalui pendekatan ini, Singapura membentuk gagasan yang kukuh dan efisyen lantas ia berjaya meningkatkan pendapatan perkapita G.D.P dari kurang 500 dolar pada tahun 1960 sehingga mencapai 50 000 dolar pada tahun 2013. Transformasi ini merupakan perkara yang sangat mengagumkan.

Apa yang tidak diambil oleh Lee adalah konsepsi Barat tentang demokrasi yang bersifat plural dan kebebasan bersuara. Singapura mengamalkan demokrasi dengan pilihanraya  namun Parti Tindakan Rakyat (PAP) Lee telah mendominasi kuasa secara berterusan sejak 1959 dan sewaktu zaman pimpinannya, pihak pembangkang regim berkenaan telah ditangkap dan dipenjarakan secara rutin. Selain itu, mana-mana media luar yang cuba untuk melaporkan isu domestik Singapura pula akan disaman atau dihalang  dan International Herald Tribune serta Far Eastern Economic Review ialah antara pihak yang pernah terlibat.

Baru-baru ini anak lelaki Lee, Lee Hsien Loong telah hadir di pejabat perdana menteri dan mengutarakan pendapat dan menentang beberapa isu. Peristiwa mengaibkan itu berlanjutan sehingga ke isu-isu remeh seperti larangan memakan gula-gula getah. Pada tahun 2010 sebuah laporan telah didokumentasikan mengenai amalan pentadbiran terbabit di mana seorang pegawai kanan dari Pemerhati Hak Asasi Manusia menggambarkan Singapura sebagai “satu contoh buku teks sebuah negara yang secara politiknya menindas.”

Lee menyatakan dengan tegas bahawa Singapura dan negara-negara Asia lain termasuk China masih belum bersedia untuk demokrasi berpandukan Barat, yang mana bukanlah semestinya kaedah terbaik dalam mentadbir dan mengurus sesebuah negara. Selepas kematian Lee, sudah pasti kita tertanya-tanya adakah model kepimpinan bersifat kuku besi akan diteruskan selepas kehilangannya atau adakah ia cuma satu fasa yang  bersifat sementara dalam perjalanan menuju kepada pentadbiran berdemokrasi penuh.

Sekarang terdapat banyak tanda-tanda di mana kita di Barat melihatnya sebagai proses politik. Melalui kepesatan teknologi dan internet, ramai warga Singapura mula menyedari hakikat bahawa mereka memerlukan sebuah sistem yang bersifat lebih terbuka. Pada pilihanraya umum yang berlangsung pada tahun 2011 yang lalu, Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah menerima undian sebanyak 60%, jumlah yang paling rendah diperolehi sejak Singapura mengecap kemerdekaan pada tahun 1956.

Sejak peristiwa itu, ada pihak yang membuat protes dan mempersoal nilai kejujuran dan intergriti pegawai terlibat dan hal ini merupakan sesuatu yang di luar jangkaan dan dilihat sebagai satu kebangkitan yang amat luar biasa berbanding semasa era pemerintahan Lee. Dalam perkembangan lain, sebuah parti politik baharu telah ditubuhkan, Parti Pertama Singapura yang memfokuskan isu-isu semasa seperti peningkatan harga rumah.

Pilihanraya akan dijalankan pada tahun 2017 dan sebahagian pemikir percaya bahawa parti pembangkang utama, Parti Pekerja (Workers Party) bakal mendominasi parlimen negara itu. Sekiranya jangkaan ini menjadi nyata, kemungkinan lain yang boleh berlaku ialah kerajaan Singapura  tidak lagi didominasi oleh Parti Tindakan Rakyat ( People’s Action Party) buat kali pertama sejak 60 tahun. “Saya dapat merasai keikhlasan dan keinginan yang tinggi bagi rakyat yang mahukan politik bersifat plural,” beritahu P. N. Balji, bekas penolong editor Straits Times kepada wakil CNBC, Nyshka Chandran. “Ia umpama jin yang terperangkap di dalam botol, dan kini jin sudah itu sudah bebas.”

Seperkara yang pasti : Kepimpinan di Beijing akan sentiasa memerhatikan sebarang perubahan yang bakal berlaku. Jika Singapura ialah model terbaik Asia, berpegang kepada originaliti, memiliki parti politik yang pelbagai, adakah China akan ketinggalan jauh di belakang? Lee semasa zaman kegemilangannya telah menjadi “Mentor Menteri” dan menjelajah ke serata dunia dan diingati sebagai oracle yang hebat. Beliau pasti akan menafikan soalan yang ditimbulkan. “Sistem kerajaan di China bakal berubah,” beliau memberitahu editor Foreign Affairs, Fareed Zakaria pada satu sesi temubual pada tahun 1994. “Ia akan berubah di Korea, Taiwan, Vietnam. Tidak ketinggalan di Singapura. Namun ia tidak akan berakhir seperti sistem Amerika, British, Perancis atau  German.”

Sudah pasti, Lee bersikap skeptikal mengenai gaya demokrasi Barat sekiranya sistem berkenaan mengambil alih akar umbi akan membawa sebarang kebaikan. Gusar akan ketidakstabilan dalam kalangan masyarakat untuk mempertahankan perbezaan bangsa dan sosial, Singapura pasti mampu bangkit dari dilemanya dan melangkah menuju ke arah keterbukaan. Seandainya hal ini menjadi nyata, ketenangannya tidak akan membataskan ahli Politburo China: Ia turut dirasai di Moscow kerana Vladimir Putin turut menganggap Lee sebagai seorang mentor. (Ben Judah megingatkan kami dalam satu tulisan di Politico, Putin pernah menganugerahkan Anugerah Darjah Kebesaran Rusia kepada Lee.)

Buat seketika, cuba bayangkan apa yang akan terjadi seandainya Singapura menerima perbincangan politik yang rancak dan pertukaran kerajaan yang kerap, dan bagaimana jika pembaharuan itu gagal? Bagaimanapun, dalam jangka masa sedekad dua dari sekarang, Lee tetap akan diingati sebagai seorang tokoh yang memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk sejarah Singapura dan Asia secara umumnya. Tetapi beliau juga dilihat sebagai tokoh peralihan selain dikenali sebagai bapa pemerintahan yang ulung dan muncul sebagai pesaing kepada pemerintahan demokrasi liberal Barat. Dan itu bukanlah teruk sangat.

 

Diterjemah oleh Maisarah Akbal dari tulisan John Cassidy yang terbit di newyorker.com.

 

Amerika British Confucius Deng Xiaoping Far Eastern Economic Review Fareed Zakaria Gang of Four German International Herald Tribune Kishore Mahbubani Korea Lee Hsien Loong Lee Kuan Yew Mao Zedong Margaret Thatcher Nyshka Chandran P. N. Balji Perancis Ronald Reagan Singapura Taiwan Vietnam Vladimir Putin

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan