Tiga benda kegemarannya di dunia:
Nyanyian senja, burung merak putih,
Peta-peta kuno Amerika.
Dia benci tangisan kanak-kanak,
Benci teh dengan selai raspberi
Dan amuk-amuk wanita.
– Akulah isterinya.

 

___

Bagaikan batu putih dalam lubuk telaga,
Terbaring dalam ku sebuah kenangan.
Aku tak mampu, tak mahu melawannya:
Ia – sukariaku dan ia – seksaan.

Ku kira, sesiapa sekilas pandang
Ke dalam mataku, pasti mengerti.
Dia akan menjadi sayu, termenung
Seolah terdengar kisah sedih.

Ku tahu: dewa-dewi pernah mengubah
Orang jadi benda, tanpa membunuh rasa.
Kau telah berubah menjadi kenanganku,
Mengabadikan dukaku yang luarbiasa.

 

___

Dadaku lemas bertambah dingin,

Tapi jejak langkahku ringan.
Aku tersilap pakai sarung kiri
Pada tangan sebelah kanan.

Rupanya tangga banyak sungguh,
Tiga saja yang ku tahu!
Antara pohon maple, musim luruh
Membisik: “Matilah bersamaku!

Aku ditipu nasib durjana,
Yang kusam dan berdalih.”
Ku jawab: “Aku juga, sayang!
Biar ku ikut mati sekali.”

Inilah lagu perjumpaan terakhir.
Ku pandang rumah gelap-sunyi.
Hanya lilin kamar tidur bernyala
Api kuningnya tidak peduli.

29 September 1911, Tsarskoe Selo

 

 

Anna Akhmatova dianggap sebagai salah seorang penyair modenis Rusia yang teragung dan terpenting di abad ke-20. Bersama Osip Mandelstam, Marina Tsvetaeva, Boris Pasternak, Alexander Blok dan penyair lain, Akhmatova menyumbang kepada ‘Zaman Perak Puisi Rusia’. Gaya pemuisian Akhmatova dicirikan oleh bahasa ringkas dan jernih di samping liris dan penuh daya emosi. Tema utama Akhmatova berkisar tentang cinta, ingatan dan penderitaan orang biasa di bawah pemerintahan Stalin. Kehidupan peribadi Akhmatova sarat dengan derita — suami pertamanya, penyair Nikolai Gumilev, ditahan dan dibunuh oleh Cheka (polis rahsia di bawah Lenin) pada tahun 1921; anak lelakinya, Lev Gumilev, dipenjarakan dan dihantar ke Gulag (kem buruh paksaan Soviet) dari tahun 1938 hingga 1956; dan puisi Akhmatova dilarang secara tidak rasmi dari 1925 hingga 1940. ‘Puisi Tanpa Wira’ dan ‘Requiem’ antara sajak-sajak Akhmatova yang paling terkenal.

Terjemahan dari bahasa Rusia oleh Pauline Fan