Benjamin Netanyahu ketika berucap di sidang PBB pada tahun 2012.  © Don Emmert
Benjamin Netanyahu ketika berucap di sidang PBB pada tahun 2012. © Don Emmert

Tiada siapa meragui bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu adalah seorang patriot Yahudi. Patriotisme Yahudi mengalir tubuhnya, begitu menyatu dalam dirinya sehingga dia tidak pernah lupa “apa ertinya menjadi Yahudi” (ungkapan beliau sendiri yang masyhur) namun dalam masa yang melupai apa ertinya menjadi seorang yang berbangsa Israel. Mungkin juga beliau tidak pernah percaya bahawa sesuatu yang dinamakan sebagai bangsa Israel itu wujud.

Sebagai ingatan: Perdana menteri Israel yang pertama yang cuba menjadi “bangsa Israel” tidak sempat menunaikan mmimpi itu. Dia dibunuh di sebuah dataran, di kota Ibrani yang pertama, oleh seorang pembunuh Yahudi berketayap yarmulke. Dia dibunuh kerana “mencemarkan maruah kabilah Yahudi.” Jangan lupa bahawa perdana menteri sekarang – seorang patriot kabilah Yahudi – adalah orang yang mengepalai gerombolan yang bersorak mengecam bekas perdana menteri itu di dataran bandar berkenaan hampir 20 tahun lalu.

Elok juga jika diingatkan mereka yang lupa, atau sedang cuba untuk melupakan, bahawa salah satu dakwaan utama terhadap Yitzhak Rabin ialah dasar-dasarnya tidak mendapat sokongan “majoriti Yahudi”. Para gerombolan yang menghasut di dataran itu marah kerana kerajaan Rabin bergantung, secara demokratik, pada blok politik yang merangkumi parti-parti Arab. Para penghasut itu kini mentadbir negara – dari Pejabat Perdana Menteri sehingga ke kementerian-kementerian, dari sektor awam sampai kepada para pemimpin agama yang terus mengajar murid-murid mereka Torat Hamelech (sebuah ‘kitab’ yang mengharuskan pembunuhan golongan bukan-Yahudi).

Gergasi yang muncul di bawah lambang “negara Yahudi” – kerana dosa gagal memisahkan antara negara dan agama – kini sedang berpatah balik untuk membaham tuan penciptanya. Kita sedang mendengar dan menyaksikan harga yang harus dibayar akibat kegagalan itu. Para pelaku serangan “price tag” yang telah bertahun-tahun mencemar serta menjahanamkan gereja dan masjid dengan mengecat slogan “Yahudi” dan Bintang Daud di tembok-tembok tidak lain hanyalah para seldadu yang bertindak bersesuaian dengan semangat arahan “Yahudi” yang mereka dengar dari setiap mimbar dalam Tanah Yang Dijanjikan.

Kini, slogan-slogan “price tag” (slogan-slogan perkauman dan permusuhan berlandaskan dendam – pent.) dihalalkan secara perundangan apabila ia dirumuskan menjadi satu rang undang-undang. Kata-kata kotor yang diungkapkan oleh gerombolan digubah menjadi ayat-ayat hukum negara. Begitulah ganasnya sifat rang undang-undang “negara-bangsa Yahudi” yang menolak seperlima penduduk Israel yang masih bergelar – sekurang-kurangnya pada nama – warga “dengan hak setara.”

Netanyahu terus menguatkan cengkamannya dalam soal negara dan agama. Dia bukan saja cuba untuk meluluskan “rang undang-undang negara-bangsa Yahudi”, malah juga menganggapnya sebagai unsur yang “bakal mempengaruhi rupa Israel pada masa depan.” Seperti yang pernah disebutnya sebelum ini, dia merancang untuk secara peribadi memastikan rang undang-undang itu mengandungi peruntukan “Negara Israel ditubuhkan atas asas Taurat dan tradisi Yahudi.” Dia juga akan berusaha menetapkan Gemara (sebahagian daripada kitab suci Talmud – pent.) sebagai “asas sistem perundangan Israel.”

Berdasarkan ucapan-ucapan perdana menteri dan para pengikutnya, tampak bahawa Israel sedang mengorak langkah untuk menyertai negara-negara lain di Timur Tengah yang diselubungi dalam messianisme dan perang kabilah keagamaan – seperti zaman silam. Baitul Maqdis semakin menjadi seperti Tehran, dan Netanyahu semakin kelihatan seperti kembar seiras Recep Tayyip Erdogan.

Siapa saja yang merasa keadaan ini takkan berlarutan pasti tersilap. Hujan lebat perkauman yang menimpa Israel kebelakangan ini hanyalah hujan awal dari musim dingin perkauman yang panjang yang akan membanjiri Israel dalam tahun-tahun mendatang. Pada masa depan, semua golongan yang tidak cuba sama sekali untuk mencegah banjir ini akan dianggap bersubahat melakukan jenayah keji yang belum terjadi.

Inilah masanya untuk menyatakan dengan jelas bahawa langkah perundangan yang diambil dan sedang kita saksikan ini akan menjadi barah perkauman yang lambat-laun akan memamah setiap inci darah-daging masyarakat Israel. Untuk meminjam ungkapan Henrich Heine: setiap bom api yang dilempar Yahudi untuk membakar rumah Arab dan tempat suci mereka akhirnya akan membakar sepupu mereka juga.

Salman Masalha adalah penyair Arab Israel dan sarjana Sastera Arab klasik. Dia menulis dalam bahasa Arab dan Ibrani serta dan telah penerima Hadiah Presiden untuk puisi Ibrani.

Rencana asal “Netanyahu is turning Jerusalem into new Tehran” terbit dalam Haaretz, 30 November 2014 diterjemah oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi