lovelyman1_major
Ipuy (Syaiful) dan Cahaya © Karuna Pictures

Masa lalu pergi. Cahaya membawa diri. Ada sejarah yang retak. Mungkin juga pecah. Dia tidak resah. Kerana hidup masih berjalan. Linglung atau apa. Intinya juga kan dua. Di landasan mana. Dan jangan pernah kabut.

Akhirnya Cahaya tidur. Merenung pasti letih. Meniti apatah lagi. Perjalanan di dalam hidup ini kadangnya goyah. Kejap tegar, ada jungkar jungkir. Terburu-buru, macam dikejar orang. Sampai di stesyen, Cahaya bangun.

Sekarang Cahaya di Jakarta. Ibukota lara para pencinta. Mencari bahagia dan derita. Bertemu bahu dan cerita. Dan tidak akan berakhir. Malamnya seperti siang. Untung bisa alienasi. Cahaya setia mencari.

Suara hati filem ini indah. Bagaikan puisi, kalau aku boleh samakan. Gaya filem yang belum ada dalam panggung Malaysia. Walaupun bukanlah baru. Kerana dunia sudah lama memberinya aprisiasi. Hanya kita yang masih meminggiri. Lantaran, fikrah dan arah tuju sinema Melayu itu, mati. Itulah yang dikatakan korang tak boleh bunuh orang yang dah mati. Itu hidup dengan caranya sajalah, maknanya.

Filem bukan persoalan zahir, semata-mata. Lahirnya kebudayaan bukanlah kerana urusan berfikir itu, satu-satu. Lebih-lebih lagi di alam Melayu, kita bukan sekadar memperhalusi tetapi meyakini adanya metafisik. Lingkungan yang mengitari zahir kehidupan. Aku tak bermaksud memberi kuliah tentang hal-hal yang bukan fisik. Aku bukan ahlinya. Belum faham aku sedalamnya bagaimana. Tapi aku hanya membangkitkan kesedaran.

Aku menyorot Lovely Man sebagai contoh kerana baru di tulisan yang lalu, aku memperbahaskan tentang kedudukan filem dan penontonan di Malaysia yang sehala. Terjadinya begitu kerana petukang dan pembikin filem tidak keluar dari kepompong. Masih beluncas. Bila disemak tentang filem-filem baru yang akan ke panggung pada tahun ini, iaitu dengan memeriksa trailer filem-filem tersebut yang dimuat naik ke YouTube, oh kita masih lemas, terlelah di dalam balang yang sama. Kalau bukan kerana tugasku sebagai pengamat filem, nescaya aku tidak akan menonton semuanya.

Lantaran orang marah-marah. Hanyut mahu ke seluruh bioskop di Indonesia dengan tajuk Gunung Emas Almayer lebih awal dari negara yang lebih asli menukangnya. Tapi tidakkah bermakna hilangnya kehormatan. Kalau kita sendiri membuatnya menunggu terlalu lama baru diberi wajib tayang?

Mari aku bawakan tentang Lovely Man. Agar semuanya berbalik kepada kasih sayang. Kerana yang akan lebih dimuliakan adalah kejujuran. Lebih dari kebijaksanaan. Lovely Man sangat ringkas atau simple. Ia sebuah filem tentang kesepian seorang banci (transgender) yang memilih tinggal di Jakarta, kota yang mengizinkannya menjadi Ipuy di malam hari dan Syaiful di siangan. Ceritanya cuma semalaman. Dan dalam konteks industri kreatif di Malaysia, Lovely Man mungkin hanya sebuah telemovie dalam slot cerekarama.

Tidak, salah. Jangan meremehkan orang. Ipuy yang diperan oleh Donny Damara menang Aktor Terbaik di Festival Filem Asia ke enam. Sutradaranya Teddy Soeriaatmadja dicalonkan selaku Sutradara Terbaik dalam festival yang sama. Tengoklah di poster filem itu, ada berapa pula pesta filem internasional yang ia ikut serta atau diundang.

Ipuy diburu oleh sekumpulan bajingan. Ia berikutan kes wang tiga puluh juta yang dilesapkannya dari para bajingan itu. Dengan wang sebanyak itu, Ipuy mahu membuat pembedahan jantina di Surabaya. Ia demi cintanya pada si Jantan yang memburunya di tapak funfair, sewaktu Ipuy menghabiskan masa-masa manis bersama anaknya, Cahaya.

Tahu tak, Cahaya diperan oleh Raihaanun. Cahaya menaiki keretapi siang ke Jakarta. Sebaik sampai, Cahaya mendapat panggilan telefon dari ibunya. Ternyata Cahaya tidak mendapat persetujuan yang penuh dari ibunya. Ibunya tidak mahu Cahaya kecewa atau tersisih apabila kelak bertemu bapanya. Memang itu saja tujuan Cahaya ke Jakarta. Cahaya mahu mencari bapa yang meninggalkannya sejak Cahaya berusia empat tahun lagi. Lima belas tahun Cahaya tidak pernah kenal siapa bapanya.

Yang dibawa cuma alamat. Yang jelas. Lalu, apa yang membuat Cahaya sering muntah-muntah. Sejak dalam keretapi lagi? Inilah persoalannya. Bukan ibunya yang menelefonnya semasa dalam tandas itu. Dan beberapa panggilan lain akan sering datang. Semua tak dijawabnya juga. Dalam Lovely Man persoalan adalah beban. Apa yang membebankan Cahaya. Hingga ke kota mencari bapanya.

Api. Menyuluh jalan. Cahaya sampai di rumah Ipuy. Di perumahan tempat Ipuy tinggal, orang mengenal Syaiful sebagai Ipuy. Di depan pintu rumah, Cahaya ditegur jiran Ipuy. Tahu yang Cahaya adalah anaknya, jiran Ipuy ketawa. Ipuy juga bisa punya anak. Cahaya tidak mengerti, meskipun sangsi.

Cahaya lalu ke jambatan di depan selokan. Jam segitu, Ipuy lagi kerja. Walaupun mula sangsi lagi, kerana katanya Ipuy kerjanya di situ, Cahaya pergi. Di kepala jambatan, Cahaya bertemu rakan Ipuy. Bila ditanya Syaiful, memangnya Syaiful tidak ada. Tapi kalau yang namanya Ipuy, memang itu orangnya. Cahaya nampak siapa Ipuy. Cahaya pergi jua. Langkahnya perlahan. Makin dekat Cahaya berhenti. Cahaya tidak percaya. Atau tidak sanggup percaya. Siapa bisa kuat, menerima kenyataan sepahit itu. Kerana itu ibunya lebih awal mengingatkan.

Cahaya minggir dari jambatan. Namun Ipuy mengejarnya. Bila Ipuy tahu dari rakannya tadi, Cahaya mulanya mencari Pak Syaiful. Ipuy menghambat Cahaya. Mereka bertemu di sebatang jalan. Di tepi kaki jalan.

Didesak, Cahaya lalu mengakui dia mencari bapanya. Ipuy belum mengakui. Ipuy hanya bergue lu gue lu dengan Cahaya. Hati Cahaya terhiris. Meski belum lagi tersisih. Anak kecil dibilangnya kuntilanak. Cahaya menangis, dalam dan luar. Teresak-esak dibilang namanya Cahaya. Tapi apakah Ipuy menjadi lunak (kerana tangisan Cahaya)? Oh ini filem sungguh luar biasa. Sungguh nyata (real) aku rasa. Kerana Ipuy tetap setia dengan pegangannya. Yang bengkok.

Sebuah filem akan jadi lebih tangkap, jika filem (fiksi) dan realiti itu saling bercampur. Imej imej real akan bikin filem lebih bernyawa.

Tapi ia tidak gampang (mudah), lalu selain imej-imej dan petikan syot-syot real yang dimuat di dalam pergerakan filem ini, method acting atau lakonan yang terhasil dari ilmu/teknik lakonan yang dipelajari dari teori, latihan, obserbasi dan penguasaan diri, gerak, pemikiran serta tenaga adalah bancuhan paling mahal menggerakkan keaslian atau kesemulajadian adegan yang hidup atau dihidupkan kembali. Filem adalah kerja orang seni. Sama seperti teater dan berpuisi.

Sedih sekali jika kita tidak punya bapa. Cahaya hanya mahu ketemu bapanya. Ipuy hanya tersinggung dari keangkuhan ibunya Cahaya, isterinya dia. Tapi ini bukan persoalan betul salah. Ini berkaitan dengan kepercayaan, pegangan dan perjuangan tiap insan. Diciptakan Tuhan. Api suluh kegelapan. Cahaya hanya mahu kasi itu. Jika setakat itu sajalah peluangnya (untuk bertemu bapa). Hakikat memang sakit. Dalam menanam kasih sayang.

Anda tidak akan mengerti bahawa inilah antara filem terbaik yang pernah aku tonton dalam beberapa tahun, kebelakangan ini. Ia bukan filem baru. Ini filem tahun dua ribu sebelas. Awal tahun ini, aku menemukan trailernya. Saat itu, menurut carianku, belum ada di muat naik full movie-nya lagi. Entah berapa hari lepas. Saat aku mencari-cari filem yang menarik untuk aku tonton, aku direkomen oleh YouTube agar menontonnya. Memang kalau tidak direkomen pun aku mahu, tapi YouTube juga tahu apa seleraku.

Lovely Man sempat mengingatkan aku sesuatu. Walaupun dalam banyak hal, ibu adalah tempat yang paling senang buat anak mengadu (sama ada yang baik atau tidak hal-hal tentang dirinya), tapi ada hal yang seseorang anak tidak dapat ceritakan pada ibu lebih dari bapanya seperti Cahaya. Selain kerana Cahaya sudah habis sekolah (meskipun belum ke universiti kerana belum mampu dan hanya mengambil kelas Bahasa Inggeris sebagai persediaannya sebelum ke pengajian lebih tinggi), atau kerana masa sudah sesuai (berkaitan dengan kekuatan dalaman dirinya juga) untuk mengenali siapa bapanya, Cahaya mencari Ipuy juga adalah kerana dirinya kini diserang loya, bersama misteri panggilan telefon yang masih tidak dijawab.

Lalu ada dua. Pertama azan. Kemudian solat. Di sebatang jalan, pada jam sebegini (larut pagi), pada waktu yang dikatakan jam paling enak di Jakarta, ketika sekejap lagi akan dengari azan subuh, Cahaya lalu bertanya, “apa bapa solat?” Ipuy menjawabnya jujur, katanya, “caranya juga (cara solat) bapa mungkin sudah lupa.” “Lalu, kamu?” balas Ipuy, bertanya. Jawab Cahaya, “aku kan anak pesantrean.” Yang maksudnya, pastilah. Sambung Cahaya lagi, “tadi aku kan lagi berjilbab.” Tapi, ada yang Cahaya tidak tahu tentang apa yang sudah Ipuy kesani. Sindir Ipuy, halus dan mengejutkan (Cahaya), “jilbab lagi dibuntingin.” Ipuy tahu Cahaya hamil. Yakni beban Cahaya yang paling besar. Lebih besar dari tujuannya sekadar mahu menemui/mengenali bapanya. Yang lebih Cahaya dambakan adalah untuk mengadukan nasibnya (pada bapanya).

Cahaya keliru dengan apa yang harus dibuatnya. Cahaya dihantui dengan sirah ibu dan bapanya. Apa jika dia menerima Loqman (lelaki yang membuntingkannya) dan memelihara kandungan itu, apa kelak nasib anaknya juga akan menjadi serupanya (yang ditinggalkan bapanya) dan nasibnya pula akan menyerupai nasib ibunya yang ditinggalkan suaminya. Sebuah filem yang ringkas dari aspek setting dan jumlah watak, tapi sangat sarat atau kompleks (tambah rumit) dengan aliran naratif dan konflik. Inilah sebuah filem yang besar, dan juga berjiwa besar.

lovelyman2_major
Cahaya mencari bapanya Cahaya © Karuna Pictures

Dan sebenar, letak sebuah filem itu bukan pada bintang, ekstravaganza, tapi pada naratif dan sejauh mana dalamnya konflik itu bertali arus. Macam filem Lovely Man ini dan juga Paris, Texas karya Wim Wenders sebagai satu lagi contoh dan rujukan lain yang boleh aku bagi. Entah mengapa, sewaktu menontonnya lagi, Lovely Man juga mengingatkan aku pada Paris, Texas. Kedua-dua filem ini sangat fokus pada dua perwatakan yang juga merupakan sumber utama ceritanya.

Pada aku, filem yang baik adalah filem yang membuat aku hanyut dengan betapa dalamnya watak watak dalam filem itu digali. Paris dalam Paris, Texas adalah sebuah pekan di Texas, dimana Travis Henderson (lakonan Harry Dean Stanton) ada melabur hartanah yang menurut cerita ibunya di disitulah ibunya mengandungkannya dulu. Ia bukan Paris ibukota Perancis.

Tapi aku rasakan tajuk Paris, Texas itu secara simbolik memiliki signifikan terhadap sejarah dan peradaban sinema. Ia bukan Perancis atau Amerika sebagai ibu kepada sejarah tumbuhnya sinema. Ianya Perancis dan Amerika.

Perlu waktu untuk aku membahaskan naratif Paris, Texas. Dan sekarang bukanlah waktu itu. Aku hanya memberikan sarana atau perbandingan lain tentang contoh-contoh lain cerita atau filem yang baik menurut sebenarnya, apa itu filem. Anda harus mengambil masa, paling tidak 76 minit untuk menonton Lovely Man agar anda juga dapat menikmati tentang bagaimana sebuah filem itu berkerja untuk memberikan penontonnya mempertanyakan dirinya.

Akhirannya apa? Adakah Ipuy teruskan rencananya menukar jantina di Surabaya? Bagaimana hubungan Cahaya dan Loqman terjawab. Tentang wang sebanyak tiga puluh juta rupiah itu? Selamatkah Ipuy dari buruan bajingan-bajingan itu yang tahu di mana rumah dan tempat kerjanya. Siapa ibu Cahaya, apa dia mahu terima Ipuy semula. Apa semudah itu Ipuy akan balik?

Sejarahnya ada dalam cerita Ipuy pada Cahaya. Siapa dia sebenarnya, ibunya. Bagaimana mereka mengenali. Apa benar ada cinta, apa cinta lelaki sama lekai itu juga benar? Mengapa Syaiful menjadi Ipuy, jantan bertukar jelita? Masa jelita tahu, kalau Ipuy juga masih bisa punya anak. Cahaya anak Ipuy. Jelita cinta cahaya.