Pertelingkahan rampasan Al Kitab pada awal tahun ini di Selangor berakhir dengan pemulangan semula kitab-kitab tersebut oleh Majlis Agama Islam Selangor kepada Archbishop Asia Tenggara, Datuk Bolly Lapok dan disaksikan oleh DYMM Sultan dan Menteri Besar Selangor. Inisiatif pentadbiran baru Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani isu ini sewajarnya dipuji dan merupakan satu keputusan yang sangat membanggakan, khususnya tatkala negara sedang dibebankan dengan pelbagai kemelut membabitkan hal agama dan budaya.

Insiden ini sebenarnya sedikit sebanyak memberikan kita gambaran sebenar toleransi agama di negara ini, atau cengkaman oleh pihak berkuasa ke atas ruang awam dengan menggunakan hujah dan tafsiran agama yang dieksklusifkan.

Kita sebenarnya tidak perlu melihat di luar kerangka masyarakat Islam sendiri untuk membuat penilaian. Contoh terdekat adalah pertembungan aliran Sunni dan Syiah, sesuatu yang bukan baru di rantau ini.

Polemik program ‘I Want To Touch A Dog’  juga telah membuka ruang perdebatan di antara mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Tidak kurang juga yang menggunakan hujah agama untuk terus bersikap perkauman dan jumud dengan faham assabiyah seperti ISMA dan Perkasa. Lebih menggerunkan adalah apabila mutakhir ini wujudnya simpatisan dan pengikut Islamic State (IS) di kalangan masyarakat negara ini (pernah penulis terpaksa duduk dan mendengar seorang khatib yang memuji Islamic State di dalam khutbah Jumaat).

Kedahagaan masyarakat Malaysia terutamanya untuk pengisian kerohanian ini tampak membuak-buak; kehadiran di majlis-majlis ilmu memberangsangkan, majlis-majlis zikir dan selawat yang telan belanja beratus-ratus ribu untuk pentas dan siar raya, dan meningkatknya minat terhadap produk dan diskusi agama yang meluas. Namun persoalan pokoknya, apakah sensasi ini menjurus kepada wujudnya masyarakat Islam yang benar-benar melihat agama itu sebagai sesuatu yang mendamaikan atau agama itu adalah hujah untuk menghukum manusia lain?

‘Agama ibarat biola’

Dalam filem Sang Pencerah (2010) karya sutradara Hanung Bramantyo yang membariskan  Lukman Sardi sebagai pemain watak Kyai Haji Ahmad Dahlan, pengasas Muhammadiyah di Yogyakarta, terdapat satu babak di mana Ahmad Dahlan ditanya oleh anak muridnya, “Apa itu agama?”.

Ahmad Dahlan mula menggesek biolanya dengan alunan yang merdu. Anak muridnya menikmati alunan biola sang guru, sehingga terpejam mata dek kemerduannya. Ahmad Dahlan bertanya kepada muridnya apa perasaan mereka, lantas mereka menjawab alunan biola itu indah, ibarat mimpi dan seolah segala permasalahan hilang. Ahmad Dahlan menjawab itulah agama – yang menenangkan, mendamaikan dan mencerahkan. Hakikat agama itu ibarat muzik yang memayungi dan menyelimuti manusia.

Ahmad Dahlan kemudiannya meminta salah seorang anak muridnya bermain biola itu. Kali pertama mencuba, sang murid langsung tidak tahu tentang biola dan bunyi yang terhasil sumbang. Ahmad Dahlan tersenyum dan berkata, “Itulah agama. Jikalau tidak dipelajari dengan benar, akan membikin resah di lingkungan kita dan bisa menjadi bahan tertawa”. Kisah Kyai Haji Ahmad Dahlan ini adalah bukti bahawa pandangan segar seperti ini bukanlah sesuatu yang asing kepada masyarakat Islam di Nusantara.

Islam dan ilmu

Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas di dalam karyanya berjudul Preliminary Statement on a General Theory of Islamization of the Malay-Indonesian Archipelago telah memberi beberapa hujah yang menyebutkan kedatangan Islam telah merubah watak, peribadi, pemikiran, akhlak serta pandangan alam orang Melayu daripada bersifat tahyul, kepada bersifat ilmiah dan fakta.

Namun begitu masalah ilmu pengetahuan yang dihadapi masyarakat Melayu terutamanya, menurut Prof Dr S.M.N al-Attas adalah disebabkan oleh; kekeliruan dan kesilapan dalam ilmu yang mewujudkan keadaan hilangnya adab dalam lingkungan masyarakat dan munculnya pemimpin-pemimpin yang tidak mempunyai kelayakan untuk mengisi kepimpinan yang sah bagi masyarakat Muslim – yang tiada akhlak mulia, yang tiada tahap intelektual dan kerohanian yang diperlukan untuk mengisi kepimpinan Islam.

Sudah tiba masanya kita melihat kepada permasalahan ini secara menyeluruh. Ilmu tidak harus dipisah dari kehidupan beragama. Ilmu juga tidak wajar dieksklusifkan. Keberanian berhujah perlu digalakkan. Sikap kita juga harus diubah daripada sekadar menerima bulat-bulat yang disajikan kepada seorang yang gemar menyoal dan bertanya. Pabila kita mula bertanya, barulah kita mula berfikir dan menaakul. Tiada guna kita menggelar diri beragama tetapi masih hidup dalam kegelapan. Agama itu mencerahkan dan untuk cerah memerlukan akal dan berfikir. Pesan Allah dalam Surah Al-’An`ām, di hujung ayat ke-50;

“…..Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?”