pasar_teroris
Antara harapan ekonomi dan tarikan pengganas

 

Amerika Syarikat membuka tirai untuk sebuah perang terhadap keganasan yang baru. Di tahap ini, ia akan terlepas peluang untuk mengalahkan Islamic State dan kumpulan-kumpulan radikal lain di Timur Tengah jika ia tidak menggunakan satu senjata yang penting tetapi jarang digunakan: agenda pemberdayaan ekonomi secara agresif. Sejauh ini, kita hanya mendengar tentang serangan udara dan percaturan ketenteraan – sesuatu yang boleh dijangka setiap kita berdepan dengan sekumpulan penjahat yang nekad membuat kacau dan melakukan kemusnahan.

Namun, jika matlamat kita bukan sekadar untuk memperlekeh kumpulan-kumpulan pengganas yang disebut Barack Obama sebagai “jaringan maut” Islamic State dan sebaliknya mahu menutup ruang untuk para pemimpin radikal merekrut para pengganas, maka Barat perlu belajar satu perkara mudah: Harapan ekonomi adalah satu-satunya cara untuk memenangi hati golongan yang menjadi sasaran puak pengganas.

Saya agak arif tentang hal ini. Segenerasi yang lalu, sebahagian besar benua Amerika Latin kacau-bilau. Menjelang tahun 1990, sebuah pertubuhan pengganas beraliran Marxis-Leninis bernama Sendero Luminoso (bermaksud ‘jalan yang bersinar’), telah berjaya mengawal sebahagian besar Peru, tanahair tempat saya berperanan sebagai penasihat utama presiden. Sebahagian orang berpendapat bahawa para pemberontak terdiri daripada buruh upahan Amerika Latin yang miskin dan kekurangan kerja, bahawa kapitalisme tidak mungkin berfungsi di luar Barat dan bahawa budaya Latin tidak begitu memahami ekonomi pasaran.

Bagaimanapun, pandangan umum itu terbukti salah. Pembaharuan di Peru membolehkan usahawan dan peladang pribumi mengawal sendiri aset mereka, manakala sebuah kerangka kerja perundangan yang boleh dimanfaatkan oleh setiap orang bagi menjalankan perniagaan mereka, membuat kontrak perniagaan, dan meminjam, telah melonjakkan tahap kehidupan ke tahap yang tidak pernah dicapai sebelum itu.

Di antara tahun 1980 dan 1993, Peru, buat kali pertama sejak kejatuhan komunisme, berjaya mengalahkan gerakan pengganas tanpa campurtangan tentera asing atau bantuan kewangan yang besar untuk tenteranya. Sepanjang dua dekad berikutnya, per kapita keluaran negara kasar Peru meningkat dua kali ganda lebih pantas berbanding negara Amerika Latin yang lain, manakala kelas menengahnya meningkat empat kali ganda lebih cepat.

Keraguan ekonomi dan kebudayaan yang kita dengar di Peru pada tahun 1980an kini kita dengar di dunia Arab. Tetapi pengalaman mengajar kita. Sepertimana Sendero Luminoso dikalahkan di Peru, maka begitu juga pengganas di Timur Tengah dan Afrika Utara boleh ditumpaskan untuk mewujudkan gelombang rakyat ke arah peningkatan taraf kehidupan di kedua-dua wilayah itu.

Untuk menjadikan agenda ini satu hakikat, kita memerlukan sedikit imaginasi, suntikan modal yang besar (disuntik dari bawah ke atas) dan kepimpinan kerajaan untuk membina, menyelaras, dan mengukuhkan undang-undang dan kerangka yang dapat menyuburkan kapitalisme. Seperti yang diketahui sesiapa saja di jalanan Lima, Tunis, dan Kaherah, modal bukan masalah – modal adalah penyelesaian.

Ringkasnya, sejarah Peru begini: Sendero Luminoso, diterajui bekas profesor bernama Abimael Guzmán, mencuba untuk menggulingkan kerajaan Peru pada tahun 1980an. Kumpulan itu pada awalnya mendapat sokongan sebahagian petani miskin di kawasan kampung yang turut tidak mempercayai para elit Peru. Guzmán menampilkan dirinya sebagai penyelamat kaum proletar yang telah lama melarat di bawah pemerintahan kaum pemodal Peru yang gemar menindas.

Wacana, dan seterusnya respons kerajaan, berubah apabila terbukti bahawa golongan miskin di Peru bukanlah para buruh atau petani yang menganggur atau kurang pekerjaan. Sebaliknya, sebahagian besar mereka adalah usahawan kecil yang bergerak secara ‘tidak rasmi’ dalam ruang ekonomi Peru. Mereka adalah 62% daripada penduduk Peru dan menjana 34% daripada keluaran dalam negara kasar – dan secara terkumpul mereka mempunyai aset hartanah bernilai sekitar AS$70 bilion.

Cara baru melihat hakikat ekonomi ini telah membawa kepada pembaharuan perlembagaan dan perundangan besar-besaran. Peru mengurangkan 75% karenah birokrasi yang menghalang orang daripada ikut serta dalam kegiatan ekonomi, menyediakan sistem pemantauan dan mekanisme untuk mengemukakan aduan terhadap agensi kerajaan, serta mengiktiraf hak pemilikan sebahagian besar rakyat Peru. Pernah ada satu pakej perundangan yang telah membawa kepada pengiktirafan rasmi terhadap 380,000 perniagaan tidak rasmi, sehingga mengapungkan sekitar 500,000 pekerjaan dan AS$8 bilion hasil cukai antara tahun 1990 hingga tahun 1994.

Langkah-langkah berkenaan menyebabkan pengganas di Peru hilang sokongan padu di bandar-bandar. Bagaimanapun, mereka bertahan di kawasan kampung: Menjelang tahun 1990, mereka telah membunuh 30,000 petani yang membantah apabila dipaksa bekerja secara berkelompok. Menurut laporan Rand Corp. Sendero Luminoso mengawal 60% wilayah Peru dan telah bersedia untuk mengambil alih negara itu dalam jangkamasa dua tahun.

Tentera Peru tahu bahawa para petani boleh membantu mereka mengenalpasti dan mengalahkan musuh. Tetapi kerajaan enggan bersekutu dengan badan-badan pertahanan tidak rasmi yang dibentuk oleh para petani untuk melawan kembali Sendero Luminoso. Bagaimanapun, ‘durian luruh’ pada tahun 1991 apabila Naib Presiden AS Dan Quayle yang sejauh itu hanya memerhati usaha kami telah mengatur pertemuan dengan Presiden George H.W. Bush di Rumah Putih. Kata presiden itu, “Jadi, menurut kamu para petani kecil itu sebenarnya berada di pihak kita.” Benar.

Pertemuan itu membawa kepada perjanjian dengan AS yang mendorong Peru melibatkan orang ramai mengangkat senjata menentang Sendero Luminoso dan pada masa yang sama menerima sokongan ekonomi daripada AS demi pembaharuan ekonomi sebagai alternatif kepada agenda kumpulan pengganas. Peru dengan pantas membentuk tentera sukarela yang besar, dengan anggota daripada pelbagai lapisan masyarakat – empat kali ganda lebih besar daripada ukuran tentera sebelum itu – dan dalam masa singkat berjaya menumpaskan Sendero Luminoso. Seperti ditulis Guzmán dalam suatu dokumen yang diterbitkan oleh Parti Komunis Peru, “Kita telah tersingkir oleh satu rancangan yang dicipta dan dilaksanakan oleh de Soto dan imperialisme Yankee.”

Jika dilihat kembali ke belakang, kunci kepada usaha kami pada waktu itu ialah kejayaan kami meyakinkan para pemimpin dan perumus dasar di AS, selain tokoh-tokoh penting di PBB, untuk melihat kawasan perkampungan Peru dengan cara yang berbeza: bukan sebagai ladang pembiak revolusi Marxis, tetapi sebagai sebuah ekonomi kapitalis yang baru dan moden. Tabiat berfikir yang baru ini telah membantu kami menumpaskan keganasan di Peru. Saya percaya, hal yang sama boleh dicapai di Timur Tengah dan Afrika Utara. Pertaruhannya tidak lebih tinggi. Ekonomi tidak rasmi dunia Arab meliputi sejumlah besar manusia yang berpotensi menjadi rekrut Islamic State – masa depan rantau itu di tangan mereka.

Dunia mengetahui bahawa Arab Spring tercetus apabila Mohamed Bouazizi, pedagang jalanan berusia 26 tahun berbangsa Tunisia, membakar dirinya pada tahun 2011. Namun hanya segelintir orang bertanya mengapa Bouazizi sampai sanggup membunuh dirinya – atau mengapa, dalam tempoh hanya 60 hari, sekurang-kurangnya 63 lelaki dan wanita di Tunisia, Algeria, Maghribim Yaman, Arab Saudi, dan Mesir telah turut membakar diri mereka, mendorong jutaan manusia keluar ke jalanan, menjatuhkan empat rejim dan menghasilkan kekacauan di dunia Arab hari ini.

Untuk memahami puncanya, institut saya menyertai Utica, pertubuhan niaga terbesar di Tunisia, telah membentuk pasukan penyelidik yang dianggotai oleh sekitar 30 orang Arab dan Peru yang dihantar ke seluruh Tunisia. Dalam tempoh dua tahun, kami telah mewawancara keluarga mangsa dan rakan-rakan mereka, selain sekitar dua belas orang pelaku bakar-diri yang dapat diselamatkan.

Menurut sebahagian yang telah diwawancara, tindakan bunuh diri yang dilakukan itu bukan untuk menuntut hak politik, keagamaan, atau subsidi upah lebih tinggi. Bouazizi dan puluhan orang yang lain itu sebenarnya adalah usahawan ‘extralegal’: jurubina, kontraktor, penyedia khidmat sajian makanan, peniaga kecil dan sebagainya yang terhalang daripada menyertai kegiatan ekonomi rasmi. Dalam kenyataan mereka, tiada seorang pun mengungkit sebab agama atau politik. Sebahagian besar mereka yang diselamatkan dan sembuh daripada luka kebakaran dan bersetuju diwawancara oleh kami berbicara tentang “peminggiran ekonomi.” Matlamat besar mereka adalah “ra’s al-mal” (istilah Arab untuk ‘modal’), dan mereka putus harap dan merasa terhina kerana serba-sedikit modal yang pernah mereka miliki telah dirampas secara sewenang-wenang.

Nasib Bouazizi sebagai usahawan kecil boleh dianggap mewakili kekecewaan yang masih ditanggung jutaan orang Arab. Pemuda Tunisia itu bukan buruh biasa. Dia berdagang sejak usia 12 tahun. Mencecah usia 19, dia menjaga akaun di pasar tempatan. Pada usia 26 tahun, dia menjaja buah-buahan dan sayur-sayuran di beberapa tempat.

Ibunya memberitahu kami bahawa dia sedang mengumpul wang untuk menubuhkan syarikatnya sendiri dan bercita-cita hendak membeli trak pikap bagi membawa barang dagangan ke kedai untuk mengembangkan perniagaannya. Namun, untuk mendapatkan pinjaman bagi membeli trak, dia memerlukan cagaran – memandangkan aset yang dipegangnya tidak tercatat secara sah atau tidak mempunyai tanda milik yang jelas, maka dia tidak layak menerima pinjaman.

Sementara itu, para pegawai penguatkuasa kerajaan menyengsarakan kehidupan Bouazizi. Mereka memeras duit kopi daripadanya setiap kali dia gagal mengemukakan lesen perniagaan yang (disengajakan) hampir mustahil untuk diperolehi. Dia lelah berdepan penindasan. Pada hari dia membunuh diri, para pegawai datang merampas semua barang dagangannya dan penimbang elektronik yang digunakannya untuk menimbang barang jualan. Pergelutan terjadi. Salah seorang pegawai penguatkuasa, seorang wanita, telah menampar muka Bouazizi. Penghinaan itu, serta rampasan ke atas barangan miliknya yang dikatakan bernilai hanya AS$225, dikatakan telah mendorong pemuda itu mencabut nyawanya sendiri.

Sistem kronisme Tunisia memaksa orang membayar duit kopi untuk mendapatkan perlindungan kerajaan. Sistem ini yang menekan Bouazizi dan memusnahkannya. Dia tidak lagi mampu menjana keuntungan atau membayar pinjaman yang dibuatnya untuk membeli barangan yang dirampas itu. Dia muflis, dan trak yang diimpikannya kini tidak lagi tergapai. Dia tidak boleh menjual atau memindahkan perniagaannya kerana tidak memiliki tanda milik perniagaan yang sah. Lalu matilah dia dalam marak api – sedang memakai kasut sukan gaya Barat, jeans, T-shirt, jaket berzip, menuntut hak untuk bekerja dalam ekonomi pasaran yang sah.

Saya bertanya kepada Salem, abang Bouazizi, sama ada Bouazizi telah meninggalkan sesuatu warisan. “Sudah tentu,” jawabnya. “Dia percaya orang miskin punya hak untuk membeli dan menjual.” Seperti disebut kepada kami oleh Mehdi Belli, graduan universiti dalam bidang teknologi maklumat yang kini bekerja sebagai pedagang di sebuah pasar di Tunis, “Kita semua Mohamed Bouazizi.”

Orang di “jalanan Arab” mahu mencari tempat dalam ekonomi kapitalis moden. Tetapi ratusan juta di kalangan mereka gagal mendapatkan tempat kerana kekangan perundangan yang gagal dilihat oleh pemimpin tempatan dan elit Barat. Mereka akhirnya menjadi pelarian ekonomi dalam negara sendiri.

Untuk meneruskan hidup, mereka merajut ratusan kaedah sulit dan lapuk yang sering disebut sebagai “ekonomi tidak rasmi.” Malangnya, sektor itu dipandang rendah oleh banyak pakar pembangunan Arab dan juga Barat kerana mereka lebih menggemari projek-projek kebajikan seperti menyediakan kelambu nyamuk dan makanan tambahan berkhasiat.

Namun para perumus dasar terlepas pandang suatu hal penting: Kalau orang biasa di Timur Tengah dan Afrika Utara tidak dapat bergerak secara sah – walaupun setelah mereka bertungkus-lumus – mereka akan menjadi semakin kurang mampu menghindari pengganas, dan kalangan yang paling merasa terdesak di antara mereka akan direkrut ke jalan pengganas.

Para pakar dari Barat gagal melihat hakikat ekonomi ini, tetapi ia semakin difahami di dunia Arab sendiri, seperti yang saya sedari setelah meluangkan masa di sana. Di beberapa persidangan di seluruh rantau itu sejak tahun lalu, saya telah membentangkan dapatan saya kepada para pemimpin perniagaan, kakitangan kerajaan dan wartawan. Saya telah menunjukkan kepada mereka bagaimana jutaan usahawan kecil dan ‘extralegal’ seperti Bouazizi boleh mengubah ekonomi negara.

Misalnya ketika presiden baru Mesir Abdel Fattah Al Sisi meminta kami membentangkan angka terkini untuk negaranya, kami mendapati golongan miskin di Mesir menjana pendapatan daripada modal yang mereka laburkan sama banyak dengan gaji. Pada tahun 2013, Mesir mempunyai sekitar 24 juta warga bergaji yang dikategorikan sebagai “pekerja”. Jumlah pendapatan mereka sekitar AS$21 bilion setahun. Namun, mereka juga memiliki sekitar AS$360 modal ‘mati’ – iaitu, modal yang tidak dapat dimanfaatkan secara berkesan kerana ia wujud dalam bayangan, tidak diperakui undang-undang.

Satu sudut pandang: Kadar itu secara kasar seratus kali lebih besar daripada nilai bantuan yang bakal diberikan Barat kepada Mesir tahun ini dari segi bantuan kewangan, ketenteraan dan pembangunan – lapan kali lebih tinggi daripada nilai semua pelaburan langsung asing di Mesir sejak Napoleon menakluk negara itu lebih 200 tahun lalu.

Sudah tentu, negara-negara Arab sekarang pun mempunyai undang-undang yang membenarkan aset dimanfaatkan atau diubah menjadi modal yang dapat dilaburkan dan disimpan. Tetapi prosedur untuk melakukan hal itu amat membebankan, khususnya untuk kalangan yang kurang pendidikan dan ‘kabel’. Bagi golongan miskin di banyak negara Arab, bertahun-tahun masa diperlukan untuk menyelesaikan perkara semudah mengesahkan geran hak milik tanah.

Dalam suatu persidangan di Tunisia, saya menyatakan kepada para pemimpin yang hadir, “Anda tidak mempunyai prasarana perundangan untuk membolehkan orang ramai masuk ke dalam sistem.”

“Anda tidak perlu beritahu kepada kami perkara ini,” kata salah seorang ahli perniagaan. “Kami sentiasa menyokong usahawan. Nabi kami mengusir para pedagang daripada kuil. Nabi kami seorang pedagang!”

Banyak kumpulan perniagaan Arab mahukan zaman pembaharuan perundangan yang baru. Dalam ucapannya di Kaherah yang banyak diperkatakan orang, Presiden Obama bercakap tentang komitmen mendalam Amerika terhadap “kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan yang saksama.” Tetapi AS belum memulakan agenda pembaharuan perundangan dan perlembagaan di dunia Arab. Jika AS teragak-agak, apatahlagi kuasa dunia lain yang lebih kecil daripadanya.

Washington seharusnya menyokong pemimpin Arab yang bukan saja menolak ekstremisme para jihadis tetapi juga mendengar seruan Bouazizi dan semua pemuda-pemudi lain yang telah mempertaruhkan nyawa mereka untuk membantah pencurian ke atas modal mereka. Bouazizi dan pemuda-pemudi lain sepertinya bukan orang pinggiran dalam drama rantau Arab. Mereka adalah pemeran utama.

Terlalu sering orang Barat melihat golongan miskin di dunia dengan mata tertutup daripada melihat hakikat di bawah. Hakikatnya, di Timur Tengah dan juga Afrika Utara, sekian banyak usahawan melakukan sedaya-upaya mereka, meredah rintangan, merangkak untuk naik ke kelas menengah. Itulah juga hakikatnya di rantau lain, tidak kira bangsa dan agama. Cita ekonomi mengatasi “jurang budaya” yang terlalu sering dihimbau untuk menghalalkan keengganan bertindak.

Negara dari China sampai ke Peru dan Botswana telah membuktikan kebelakangan ini bahawa golongan miskin mampu menyesuaikan diri dengan cepat dalam kerangka kerja peraturan moden untuk pemilikan dan modal. Petuanya mudah: Mulakan. Kita perlu ingat bahawa sepanjang sejarah, kapitalisme dibentuk oleh kalangan yang suatu masa dulu miskin.

Berdasarkan pengalaman langsung, saya boleh sebutkan bahawa para pemimpin pengganas amat berbeza daripada para pengikut mereka. Para pemimpin radikal yang pernah saya temui di Peru umumnya gemar membunuh, berdarah dingin, perancang taktik yang bercita-cita besar untuk merebut kerajaan. Sedangkan sebahagian besar kalangan yang bersimpati dengan mereka dan berpotensi menjadi rekrut sebenarnya lebih suka menjadi agen ekonomi untuk membentuk kehidupan lebih baik buat diri dan keluarga mereka.

Cara terbaik untuk mengakhiri keganasan kumpulan pengganas ialah memastikan seruan sumbang para pemimpin pengganas tidak dipedulikan orang ramai.

 

*Hernando de Soto adalah pengasas Institute for Liberty and Democracy di Lima, Peru, pengarang The Mystery of Capital dan hos dokumentari Unlikely Heroes of the Arab Spring.

 

Diterjemah oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi

 

 

Abdel Fattah al-Sisi Abimael Guzmán Amerika Barack Obama Bostwana China Ekonomi Fernando de Soto Leninis Marxis Mesir Mohamed Bouazizi Napoleon Peru politik Sendiro Luminoso Tunisia

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan