kissinger_major
Henry Kissinger dan buku terbarunya. © Juergen Frank / Penguin Press

Libya berada dalam perang saudara, tentera fundamentalis telah mengisytiharkan sebuah khilafah di seluruh Syria dan Iraq dan demokrasi muda di Afghanistan berada di ambang kelumpuhan. Masalah ini ditambah lagi ketegangan yang muncul kembali dengan Rusia dan hubungan dengan China terbahagi antara ikrar kerjasama dan tuduh-menuduh secara publik. Konsep orde yang menjadi tunjang era moden berada dalam krisis.

Pencarian orde dunia telah lama ditakrif secara eksklusif menggunakan konsep masyarakat Barat. Dalam dekad-dekad selepas Perang Dunia ke-2, Amerika syarikat – dikuatkan dengan ekonomi dan keyakinan sebuah negara bangsa– mula mengambil obor kepimpinan antarabangsa dan menambahkan dimensi baru padanya. Sebagai sebuah negara bangsa yang begitu jelas ditubuhkan atas idea pemerintahan yang bebas dan berperwakilan, Amerika Syarikat mengaitkan kebangkitan dirinya dengan penyebaran kebebasan dan demokrasi serta menerimanya sebagai unsur yang boleh mencapai keadilan dan keamanan yang berpanjangan.

Pandangan tradisional Eropah terhadap orde adalah manusia dan negara-negara secara semulajadinya berdaya bersaing; untuk mengekang berlakunya pertembungan matlamat yang berbeza, ia bergantung kepada keseimbangan kuasa dan juga sekumpulan negarawan yang cerah.

Pandangan Amerika lazimnya pula menganggap bahawa manusia secara nalurinya bertindak dengan munasabah dan cenderung terhadap kompromi yang aman dan masuk akal; oleh itu perluasan demokrasi menjadi matlamat menyeluruh untuk orde antarabangsa. Pasaran bebas akan meningkatkan keupayaan individu, memperkaya masyarakat dan menggantikan persaingan antarabangsa tradisional dengan saling-kebergantungan ekonomi.

Usaha untuk mewujudkan orde dunia ini membuahkan hasil dalam pelbagai cara. Sejumlah besar negara merdeka dan berdaulat menguasai kebanyakan daripada wilayah dunia. Penyebaran demokrasi dan pemerintahan berpenyertaan telah menjadi aspirasi bersama kalau pun belum lagi menjadi realiti sejagat; komunikasi global dan jaringan kewangan beroperasi dalam waktu nyata.

Tahun-tahun bermula dari 1948 hinggalah ke hujung abad ke-20 menandakan seketika sejarah manusia di mana seseorang boleh bercakap tentang orde dunia global baru bermula, terdiri daripada kombinasi idealisme Amerika dan konsep-konsep tradisional Eropah berkenaan pemerintahan dan keseimbangan kuasa. Namun wilayah dunia yang besar tidak pernah berkongsi atau hanya sekadar bersetuju dengan konsep Barat berkenaan orde itu. Kesangsian ini terserlah, sebagai contoh, dalam krisis di Ukraine dan Laut China Selatan. Orde yang terbina dan masyhur di Barat itu kini berada di persimpangan.

Pertama, sifat negara itu sendiri–unit asas yang rasmi dalam kehidupan antarabangsa–telah ditundukkan dengan pelbagai tekanan. Eropah telah merancang untuk melampaui negara dan mencipta dasar luar berlandaskan prinsip-prinsip kuasa lunak (soft power). Namun adalah meragukan sekiranya tuntutan keabsahan terpisah daripada konsep strategi dapat mempertahankan orde dunia. Dan Eropah belum lagi memberikan dirinya ciri-ciri negara yang akan mencetuskan kekosongan kuasa dari dalam dan ketidakseimbangan kuasa di sekeliling sempadannya. Pada waktu yang sama, sebahagian Timur Tengah terjerumus dalam kancah konflik sektarian dan etnik sesama sendiri; militan berasaskan agama dan kuasa di belakang mereka menceroboh sempadan dan kedaulatan dengan sengaja, menghasilkan fenomena negara-negara gagal yang tidak mengawal wilayah mereka sendiri.

Cabaran di Asia adalah berbeza dengan cabaran Eropah: prinsip keseimbangan kuasa digunakan tanpa ada kaitan dengan konsep kedaulatan yang dipersetujui, membawa beberapa ketidaksetujuan ke pinggir konfrontasi.

Pertembungan antara ekonomi antarabangsa dan institusi politik yang konon mentadbirnya telah melemahkan tujuan bersama yang diperlukan untuk orde dunia. Sistem ekonomi telah menjadi global, namun struktur politik dunia kekal mengikut negara-bangsa. Globalisasi ekonomi, pada asasnya, menafikan sempadan kebangsaan.  Dasar luar mengesahkannya, walaupun ia cuba untuk mendamaikan pertembungan matlamat kebangsaan atau ideal orde dunia.

Dinamika ini sejak beberapa dekad telah menghasilkan perkembangan ekonomi yang mapan berselang-seli dengan krisis kewangan berkala dengan kadar  kemelesetan yang meningkat: di Amerika Latin pada tahun 1980an, di Asia pada tahun 1997; di Rusia 1998; di Amerika Syarikat pada 2001 dan bermula semula 2007; di Eropah selepas 2010. Mereka yang mendapat laba mempunyai sedikit ketidaksetujuan dengan sistem ini.  Tetapi mereka yang rugi – seperti yang terperangkap dalam rekaan struktural yang salah, contohnya dalam kes Kesatuan Eropah bahagian selatan – mencari penawar dengan jalan keluar yang menafikan, atau sekurang-kurangnya menghalang, perjalanan sistem ekonomi global.

Oleh kerana itu orde antarabangsa menghadapi satu paradoks: kesejahteraannya bergantung kepada kejayaan globalisasi, namun prosesnya menghasilkan tindakbalas politik yang selalu bertentangan dengan aspirasinya.

Kegagalan ketiga orde dunia sekarang adalah ketiadaan mekanisme yang berkesan untuk kuasa-kuasa besar berunding dan mungkin bekerjasama dalam kebanyakan isu-isu penting. Ini mungkin dilihat sebagai satu kritikan yang agak pelik kerana wujud perlbagai forum multilateral yang sedia ada – lebih kerap berbanding tempoh lain dalam sejarah. Namun bentuk dan kekerapan mesyuarat-mesyuarat itu bertentangan dengan perancangan strategi jangka panjang. Proses ini menjadi paling baik pun hanyalah sebuah perbincangan isu-isu taktikal yang tertangguh dan lebih buruk menjadi persidangan bentuk baru sebagai sebuah acara “media sosial”. Struktur peraturan dan norma antarabangsa masakini, sekiranya ingin menjadi relevan, tidak boleh sekadar diikrarkan dengan deklarasi bersama; ianya mestilah dipupuk menjadi keyakinan bersama.

Akibat daripada kegagalan ini tidak akan menjadi perang besar antara negara (walaupun di sesetengah wilayah ianya masih mungkin berlaku) tetapi akan suatu perubahan yang mewujudkan lingkungan pengaruh dengan ciri-ciri struktur domestik dan bentuk-bentuk pentadbiran yang tertentu. Apabila ia berkembang setiap lingkungan itu akan terdorong untuk menguji kekuatannya terhadap entiti-entiti lain yang dianggapnya tidak sah. Perebutan antara wilayah boleh menjadi lebih melemahkan berbanding perebutan antara negara-negara.

Pencarian terhadap orde dunia pada hari ini memerlukan strategi yang jitu untuk mewujudkan konsep aturan di dalam pelbagai wilayah dan untuk mengaitkan satu aturan wilayah dengan yang lain. Matlamat-matlamat ini tidak semestinya dapat terjalin sendiri; kejayaan satu tindakan radikal mungkin membawa keamanan kepada sebuah wilayah tetapi meninggalkan ruang kacau-bilau di wilayah-wilayah lain. Penguasaan wilayah oleh sebuah negara secara ketenteraan, walaupun secara luarannya menampilkan satu bentuk kerteraturan tetapi bakal mencetuskan krisis kepada seluruh dunia.

Satu orde dunia negara-negara yang yang mengangkat martabat insan dan pemerintahan bersama dan berkerjasama di peringkat antarabangsa selaras dengan peraturan yang disepakati sepatutnya menjadi harapan dan inspirasi kita. Tetapi ikhtiar ke arah itu perlulah diteruskan melalui siri–siri tahap kemajuan ke arah itu perlu dikekalkan melalui satu siri peringkat perantaraan.

Untuk memainkan peranan yang bertanggungjawab dalam perubahan orde dunia abad ke-21, Amerika Syarikat mestilah bersedia untuk menjawab beberapa persoalan: Apakah yang kita cuba untuk halang, tidak kira bagaimana pun jadinya, dan sekiranya perlu, secara bersendirian? Apakah yang hendak kita capai, walaupun tidak disokong dengan mana-mana usaha multilateral? Apakah yang hendak kita capai, atau halangi, walau kita hanya disokong oleh sebuah pakatan? Apakah yang sepatutnya kita jangan masuk campur, walaupun ditekan kumpulan multilateral ataupun pakatan? Apakah jenis nilai yang kita hendak bawa? Dan berapa banyak daripada penggunaan nilai-nilai tersebut bergantung kepada keadaan?

Bagi Amerika Syarikat, ini akan memerlukan pemikiran pada dua peringkat seolah-olah bercanggah. Sambutan prinsip sejagat perlu dipasangkan dengan mengiktiraf realiti kawasan-kawasan lain ‘sejarah, budaya dan pandangan keselamatan mereka. Walaupun pengajaran dari dekad mencabar diperiksa, penegasan bersifat luar biasa Amerika mesti dikekalkan. Sejarah tidak menawarkan tempoh kepada negara-negara yang mengenepikan rasa identiti memihak kepada kursus yang seolah-olah kurang sukar. Tetapi ia juga tidak memberi jaminan kejayaan untuk sabitan yang paling tinggi jika tiada strategi geopolitik yang menyeluruh.

Bagi pihak Amerika Syarikat, ini akan memerlukan satu bentuk fikiran pada  dua tahap yang seolah-olahnya bercanggah. Untuk meraikan prinsip-prinsip sejagat memerlukan gandingan dengan mengiktiraf hakikat sejarah dan budaya wilayah lain dan pandangan mereka tentang keselamatan. Walaupun pengajaran dari dekad-dekad penuh cabaran dahulu itu diteliti, konsep ekseptionalisme Amerika harus dipertahankan. Sejarah tidak memberi tempoh bertenang kepada negara-negara yang mengenepikan rasa identiti demi memilih jalan yang kurang sukar. Namun tidak juga ia menjamin kejayaan kepada keyakinan yang paling tinggi sekiranya tiada strategi geopolitik yang menyeluruh.

 

Dr Kissinger berkhidmat sebagai penasihat keselamatan negara dan setiausaha negeri di bawah Presiden Nixon dan Ford. Diadaptasi dari buku beliau “Orde Dunia,” yang terbit 9 September oleh Penguin Press.

Diterjemah oleh Firdaus Isa