Poster Dolla Superstar
Poster Dollah Superstar

Ok semua: “berlakon.” Aku mulakan tulisan ini dengan menyarankan anda mendengar sekali salah satu lagu OST dari filem Dollah Superstar (seterusnya akan dikritik) bertajuk “Formula Popular Dollah Superstar” yang boleh dicapai menerusi laman maya terhangat, YouTube. Ianya percuma, apa lagi kalau anda dapat mencapai talian wifi di tempat-tempat yang menawarkannya secara bebas pakai.

Pada aku, membaca tulisan ini sambil mendengar lagunya akan membawa anda semua masuk ke dalam watak kebanyakan penonton filem Melayu yang pasti akan lebih mengutamakan hiburan dari fikiran.

Ya, aku lebih mendambakan anda terhibur dengan tulisanku dari terjebak dengan arus fikiranku yang tidak pernah kendur tentang peranan sebenar filem atau sinema terhadap kehidupan. Selalu aku tegaskan, pada rakan juga termasuk lain-lain karyawan, berulang-ulang kali bahawa kita tidak ditakdirkan masuk ke dalam dunia filem kalau sekadar mengulangi apa yang sudah ditukangi Hollywood.

Kita harus punya peranan yang lebih murni dengan membebaskan fikrah kita dari terjerembab ke dalam permainan dan tipu muslihat para pencatur bayangan pokok suci itu. Tengok, aku sudah berceramah lagi sedangkan bukan inilah hasrat penulisanku.

Baru beberapa hari lalu, aku pergi ke sinema menonton filem. Aku memilih untuk menonton cerita Dollah ini kerana aku perasan font tulisannya itu sendiri sudah meniru font bagi sebuah filem tersohor The Godfather. Walaupun aku yakin Dollah bukanlah cerita mafia seperti filem itu (kerana menerusi gambaran di poster filemnya mana mungkin Awie yang hanya berbaju T dan berseluar pendek dan Shahnaz Ahmad yang bergaya seperti pengacara program realiti itu boleh dikatakan mafia, apalagi kalau cuba membayangi Brando dan Pacino dalam The Godfather), hendak pula bunyi tajuknya saja sudah menggambarkan niat penceritanya yang ternyata kepingin sekali membuat kelakar.

Walaupun memang, Dollah masih tidak lari dari tujuannya menjadi sebuah cerita samseng kalau tidak paling bolehlah juga dikatakan antara yang terkelakar setakat ini. Paling jelas Dollah meskipun sebuah filem ringan, santai dan bersahaja seperti kebanyakan filem-filem Melayu yang ada sekarang ini, selain tidak nampak bodoh, Dollah juga tidak membodoh-bodohkan akal penontonnya seperti yang sering disogok sebelumnya. Itu yang aku suka.

Lalu meskipun aku sudah menjangka, Dollah bukanlah filem yang serius seperi The Godfather, aku beli juga tiket dan masuk juga menontonnya kerana aku fikir kalau tidak pun banyak mestilah ada juga paling kurang setitik (pun jadilah) imbasan atau percikan dari The Godfather sebab aku percaya ada pentunjuk dari font yang aku juga percaya disengajakan samanya.

Lagi aku percaya yang setiap penulis skrip dan pengarah filem akan punya filem idamannya. Di mana nanti apabila dia berpeluang menulis atau mengarah filem, mereka akan membikin filem berteraskan filem yang pernah menjadi idamannya itu (ada yang sampai bertahun-tahun lamanya baru berpeluang, ada yang sudah sampai meskipun pelik, tidak pernah sekali pun mengidam).

Hah, lain pulak bunyinya tak? Lantaklah itu kerana yang penting proses seperti itulah yang akan terus berlaku sehinggalah penulis dan pengarah filem tersebut matang lalu akhirnya menemukan sentuhan atau jalannya sendiri. Jika tidak sampai matang, akan begitulah saja yang akan terus dibuatnya sehinggalah bakatnya tumpul lalu undur atau terundur (dengan sendirinya). Maaf ya, banyak aku tengok penulis dan pengarah filem di Malaysia sudah jadi begini, tak perlulah diperincikan siapa. Bila aku mengamati filem, iaitu sebagai pengamat yang melihat dari teori dan sejarah, aku akan membicara dari mana sebuah filem itu tumbuh dan bagaimana sang pembikin itu menumbuhkannya.

Bila aku tengok Dollah, entah mengapa aku lebih nampak Alfie dari Kabir. Alfie itu ialah Alfie Palermo sang penulis dan Kabir itu ialah Kabir Bhatia sang pengarah. Itu nama yang aku lihat dalam kredit kerana kedua pengkarya ini tidak aku kenali pun secara peribadi. Berkata begitu, aku tidak juga berniat untuk menjatuhkan pengarahnya atau mengangkat penulisnya kerana aku berkata hanya berdasarkan perasaanku sahaja (berdasarkan penontonan yang pertama dan barangkali tidak akan menontonnya lagi).

Lagi pula aku melihat ada fikrah untuk memasukkan nilai-nilai baharu dalam filem-filem popular arus perdana menerusi karya Alfie, yang kutangkapi dengan secara sengaja mengajak dunia hiburan kita (khususnya filem) merenung dari mana sebenarnya kita datang dan bagaimana kemudian industrinya terjadi. Menurut dari catatan sejarah yang kemudiannya menjadi fantasi orang-orang filem di dalam filem-filem mereka, fakta mengatakan filem-filem Melayu itu sendiri bermula dengan ‘direction’ atau arahan dari pengarah-pengarah India yang dibawa masuk ke Tanah Melayu atau Malaya pada masa dulu.

Cuma masa itu, orang-orang Melayu (khususnya) tidak punya suara untuk menyatakan sikapnya yang jelas agar filem-filem Melayu itu sendiri tidak dihindustan-kan. Yang menariknya adalah cara atau bagaimana Alfie memfiksyenkannya (hendak memasukkan idea-ideanya ini ke dalam naratif), yang kemudian akan diarahkan pula oleh seorang pengarah filem yang sudah punya kesohoran atau kredibiliti seperti Kabir Bhatia. Sebab itulah ilmu pembikinan filem ini sangatlah diperlukan bagi merealisasikan impian untuk membawa perubahan, dalam hal ini secara halus atau tersirat.

Peri pentingnya seseorang pembikin merujuk kepada filem-filem penting terutama filem yang dirasakan sesuai dengan alam pemikiran orang Melayu dan penonton filem Malaysia umumnya tidaklah dinafikan. Memang adalah sangat bertepatan bagi Alfie, aku kira untuk mengambil The Godfather sebagai ajudannya kerana kesesuaian rentak dan semangat dari sebuah filem yang agak seimbang dari segi nilai seni dan komersialnya, yang pastinya sangat digemari oleh penonton-penonton filem yang suka berfikir dan sekaligus berhibur.

Hal-hal sebegini (mengambil filem-filem gengster tahun tujuh puluhan di Amerika sebagai rujukan) juga acapkali menjadi ikutan bagi pembikin filem yang lahir dari sekolah perfileman seperti Alfie. Juga, sangatlah sesuai ketegangan atau tension filemnya itu diringankan. Dalam hal ini ketawa adalah jalan yang paling layak.

Sejak dulu sampai sekarang penonton filem di Malaysia, khususnya orang-orang Melayu paling suka komedi mengatasi genre lain termasuk cinta. Hanya aku ingin ingatkan, terkadang ketawa saja tidak akan membawa kita ke mana-mana. Sebaliknya jika tidak dikawal ia akan melalut sampai ke laut.

P. Ramlee mengatasi semua orang dalam menggunakan cara komedia dan bersatira dan berparodi. Namun komedia atau satira atau parodi P. Ramlee akhirnya juga tidak ke mana-mana kerana hasil dari percikan pemikiran dan kebijakan “joke” di dalam filem-filemnya itu tidak dipandu atau ditangani oleh pengulas atau pengkritik filem di zamannya dengan cara yang mencerahkan akal penontonnya pada masa itu.

Mungkin saja kerana aku kata begitu pun berdasarkan rasa bahawa pada zaman itu tidak lahir lagi pengulas/pengkritik cerdik seperti yang boleh dibaca di laman-laman sesawang dan media sosial, yang secara tuntas mengungkap kembali kebenaran-kebenaran atau rahsia sebenar dari karya-karya hebatnya, khususnya filem-filem komedi P. Ramlee seniman agung sepanjang zaman itu di Jalan Ampas.

Pada akulah, masalah filem Malayu tidak juga akan kunjung selesai sekiranya semua pembikin mengambil pendekatan ini (parodi) yang diteladani dari P. Ramlee sehingga sekarang. Apa yang berlegar-legar itu akan terus berlegar-legar juga sebab formula yang sama juga digunakan untuk akhirnya sukses menjual sindiran. Persoalannnya untuk apa, kalau hari itu kita melihat ada wanita yang ditora-tora, hari ini ternampak lagi paha jatuh ke riba? What goes around, comes around kan, kata orang putih.

Oleh itu, aku sangat-sangat mengharapkan adanya karya-karya yang lebih genuin, segar, baharu dan bebas ditangani oleh orang-orang baharu dalam dunia perfileman Melayu selepas ini. Ia sangat mustahak kerana aku nampak arus perdana perfileman di Malaysia ini ada tendensi yang kuat membunuh bakat. Aku tidak faham kenapa jadi macam itu?

Pada aku bukan aku sahaja yang tidak faham, kawan-kawan aku juga banyak yang tidak faham. Paling teruk ada pihak-pihak tertentu yang langsung tidak tahu walaupun sepatutnya merekalah yang paling tahu. Aku minta maaf, aku tidak berniat hendak menjatuhkan sesiapa, tapi nampak tak kenapa Rahim Razali dan Aziz M. Osman pun tewas lalu akhirnya perlahan-lahan berundur dari kerusi pengarah.

Pada aku, aku rasa mereka sudah tak lalu hendak bikin benda yang sama lagi. Ia hanya berlegar-legar di sekitar wang, seks dan kepuasan. Siapa pun tidak akan berjaya dengan tiga benda jahanam ini jika sampai ia dituhankan. Fikirlah, fikirlah balik apa nawaitu sebenar dari gagasan murni filem Melayu itu sendiri maknanya apa?

Kadang-kadang aku cuba juga hendak fahami mengapa pengarah-pengarah filem di Malaysia ini, bila sudah bikin satu filem, mereka akan terus bikin filem yang lain selagi boleh sehingga kadang-kadang tidak mengambil kira tentang baik buruk filemnya sendiri lagi. Kenyataannya aku faham memang pahit kerana di lapangan pembikinan filem di Malaysia memang tidak banyak pilihan. Kalau tidak, yakni jika terlalu mendambakan kesempurnaan semuanya, akhirnya seseorang pembikin filem itu meskipun punya potensi tidak akan mengarah-mengarah (filem cereka komersial) seperti aku.

Lalu aku tidaklah pusing sangat mengapa Kabir Bhatia mahu mengarah Dollah Superstar meskipun sudah mencipta nama baik dalam Cinta. Ternyata kemudian, Dollah Superstar bukan filem bodoh yang tidak punya apa-apa visi selain ketawa. Pada aku “Formula Popular” dalam filem Dollah Superstar ini secara halus adalah membicarakan tentang bagaimana jalan mudah kebanyakan filem-filem di Malaysia ambil untuk mencipta sensasi dalam dunia seni. Hero jambu, eksploitasi wanita, wang, gengsterisme, Hollywood, hipokrit, seks, judi dan cemeti. Betul?

Lalu dijawab: “Dak Ah!!” Itu yang diajari Lan Pet Pet pada pelakon orang putih itu. Tidakkah itu semacam sindiran filem ini pada produser filem Melayu yang suka ambil mat saleh berlakon sebagai salah satu cara hendak jual filem? Atau kena ambil pelakon Hollywood baru filem akan nampak lebih ganas/gempak meskipun peranan yang akan dimainkannya tidak jelas atau cuma setepek. Yang penting janji glamour atau mesti lebih dari orang lain.

Jika benar maka jelas stereotaipnya, bahawa inilah fikiran kolot yang tidak punya cita-cita bangsa yang besar sebagaimana yang kelihatan dalam filem-filem dari negara lain dan mengapakah? Dalam filem, hal ini juga ditonjol secara tersirat menerusi babak antara Umie Aida yang mencabar Awie yang basah di bawah hujan sedangkan dia (Umie) berpayung. Umie menarik cermin mata hitam di muka Awie, ia dibaca mengeluarkan (membuang) kejahatan (hal yang negatif) Awie keluar dari dalam dirinya.

Kemudian timbul hal yang paling positif walaupun bagi seorang gengster apabila Awie (dalam cerita ini bernama Dollah Rimau) bertekad keluar dari kancah kemundurannya sebagai gengster meskipun bakal melalui tentangan dari dunia longkang yang sengaja diterjuninya itu, buatnya menanam impian menjadi pelakon atau adakah sekadar mimpi (jadi superstar)? Lalu, jadilah karya ini sangat sentimental (apabila sebelumnya garang) yang antara lain merupakan renungan Dollah, seorang gengster yang juga seorang peminat filem, yang secara sinis memberi pandangannya yang jujur tentang kelemahan filem-filem Melayu, khususnya filem-filem gengster, dunia ayahanda yang amat kerdil sebenarnya.

Ia sebuah parodi dunia filem Melayu itu sendiri terutama tentang kebanjiran filem-filem gengster mutakhir ini. Kalau permainan seperti wrestling yang satu ketika dulu pernah dianggap sukan itu juga sebenarnya hiburan, apa bezanya dengan filem-filem genre gengster di Malaysia ini? Tidakkah mereka (para pembikinnya) juga telah menjadikan filem itu sendiri hanya sebagai lapangan atau sekadar alat atau ruangan (gelanggang) yang lebih selamat untuk ketawa dan mentertawakan orang yang tengah bergocoh atau pihak yang kena taboh? Kerana itu memang sangat memalukan apabila cerita-cerita yang dipaparkan itu sendiri menunjukkan para pemain yang melakonkan watak penyangak itu sendiri sebenarnya buta tentang dunia sebenar penyangak itu apa?

Jadi filem ini, yang merupakan filem di dalam filem, di mana di dalam filemnya, Dollah bukan hanya mahu berlakon tetapi lebih dari itu dia telah pun mengarah sebuah filem yang bertajuk “Gengster Melayu Terakhir” setelah produksi asalnya gagal menyudahkan filem tersebut kerana dilanda masalah paling asas dalam menghasilkan sesebuah karya, iaitu asas ilmunya.

Dalam hal ini, ilmu bukan hanya bersandarkan formula atau teori yang buta, ia juga perlukan bakat dan pengalaman yang tinggi. Tidaklah aku juga harus berceramah panjang lagi tentang hal ini. Ia mudah, sangat mudah dan santai habis sebagai mana yang dituturkan Dollah (Awie) pada Shah Dazzle (Shahnaz Ahmad). Kata Dollah: Ko tengok (aku), ko tengok je apa aku buat, cara aku berjalan, pakai baju pagoda, seluar pendek. Ko tengok! Ini baru gengster!!!

Sekarang mainkan balik lagunya…

Abror Rivai, sedang menggarap lakon layar Cinta, Spiritual & Filem Digital. Di samping menulis percakapan tentang Sinema dan Intelektual.