Buku terbaru terbitan Obscura © Hafiz Hamzah
Buku terbaru terbitan Obscura © Hafiz Hamzah

Perbincangan dan kritik sastera di peringkat umum di Malaysia ketika ini terasa seperti biskut yang masuk angin. Seolah-olah ia terputus atau tidak lahir dari satu tradisi yang pernah ada sepanjang perjalanan sastera Melayu sejak dulu dan tak mampu membentuk semula dirinya untuk berhadapan dengan kehidupan di zaman yang lebih rumit dan rencam seperti hari ini.

Atau, orang mungkin tak pernah tahu seperti apa bentuknya proses itu – seperti yang berlangsung dalam dekad-dekad sebelum ini di dalam lanskap kesusasteraan kita – mungkin kerana sikap sambil lewa dan tak ambil peduli. Suasana yang ada kini ialah, seorang menerbitkan buku, dan seorang lain (dari lingkungan sama) akan memuji-muji melangit. Tak ada keupayaan untuk menawarkan pandangan kritis untuk membolehkan khalayak menanggapi sastera dengan rasa hormat.

Lihat saja percikan perbincangan yang kadang-kadang berlangsung di akhbar, majalah atau laman (anti) sosial seperti Facebook dan Twitter; seperti bahan jenaka, kalau pun tidak menjadi sesuatu yang amat menyedihkan. Apa betul kita tidak pernah ada tradisi (kalaupun yang sangat singkat) dalam kritikan sastera?

Dan, kritikan sastera yang dimaksudkan di sini bukanlah hanya merangkum hal-hal yang boleh disentuh atas maksud keperluan akademik atau dari kelompok itu semata-mata. Kerana sastera tidak lahir untuk sekadar berkabung di dalam pagar universiti atau institusi dan menjadi tugu di situ. Sastera sepatutnya meliar keluar. Kerana kritikan dari lingkungan ini pada asalnya juga tidak bertujuan mengajak khalayak untuk ikut memikir sama di dalam proses pembentukannya; ia sebaliknya dilakukan dengan maksud untuk mendapatkan segelung lagi ijazah buat calon-calon pasca-siswazah lapangan sastera.

Kelangsungan segala kritikan akademik sastera yang terhasil selepas itu hanya segelintir saja yang ambil kisah – sangat mungkin ia akan disambut oleh kalangan akademik juga. Sekurang-kurangnya inilah yang tercermin dalam budaya sastera di sini. Suka atau tidak, suara kelompok ini saja hampir tidak langsung kedengaran dengungnya di tengah-tangah masyarakat, apa lagi jika mahu diharapkan lanjutan perbincangannya di luar formaliti akademik. Tidak sepenuhnya salah juga jika kritikan sastera ala akademik ini dianggap seperti sebuah persepakatan kumpulan rahsia – yang berada jauh daripada arus masyarakat, yang hanya dicadangkan untuk sekadar mengekor.

Entah mengapa tak ada upaya untuk melempar pandangan sebegini ke tengah khalayak? Untuk berlaku adil, kita anggaplah memang ada kritik yang dilontarkan ke tengah lingkungan umum, tetapi mengapa ia tidak disambut dengan pelukan hangat? Apa mungkin memang ada angggapan bahawa hal-hal sebegitu hanya urusan segelintir yang terpilih?  Atau perkembangan ini sedang mencadangkan kepada kita bahawa khalayak hanya perlu menuruti tanpa perlu banyak tanya apa saja pandangan sekitar sastera yang disogokkan oleh sesebuah institusi, misalnya?

Di atas maksud inilah buku Dialog Dengan Sasterawan diterbitkan semula; untuk melihat semula keperluan kritikan sastera di dalam kancah yang pernah berlangsung dan disaksikan dulu. Sekurang-kurangnya dari satu sisi dan titik daripada ratusan tanggapan lain yang pernah lahir, dan sangat wajar untuk diketengahkan semula. Lebih penting, walaupun kebanyakan judul yang dibincangkan adalah judul-judul lama, ia tetap mempamerkan satu hal yang sangat berguna – tenaga fikir untuk menawarkan pandangan balas terhadap persekitaran sastera dan sekaligus menjadikannya satu cabang dan ruang yang aktif dan inklusif, untuk mempengaruhi dan dipengaruhi.

Ketika di dalam bilik kerja Kassim Ahmad di Kulim, Kedah pada 2013, selepas diam untuk beberapa ketika sewaktu berbual tentang kelesuan hasil kerja sastera ketika ini, beliau bertanyakan satu soalan yang menuntut jawapan segera; “Di mana pengkritik-pengkritik sastera hari ini?” Seperti yang sepatutnya, sesebuah hasil kerja sastera wajar diuji sebelum dipuji. Untuk itu, pengkritiklah (yang berpengetahuan, tidak kira dari kelompok mana) yang wajib memikul tanggungjawab untuk mengimbangi cara pandang terhadap sesebuah kerja sastera itu, dalam maksud untuk mengembangkan pemahaman orang tentang sastera dan latarnya.

Lebih penting daripada itu, tentulah usaha dan tanggungjawab untuk mengembalikan sastera Melayu ke tempat yang sepatutnya; ke tengah jiwa-jiwa manusia penutur bahasa Melayu. Juga, untuk mambawa perbincangan yang sudah beratus-ratus tahun berlangsung, tanpa ada apa-apa yang kukuh dan berada jauh sekali sebagai sebuah pertanyaan yang sudah selesai; apa itu sastera dan untuk apa ia ditulis?

 

Hafiz Hamzah, editor dan penerbit Obscura.

Tulisan ini adalah nota penerbit untuk terbitan semula esei-esei Kassim Ahmad yang dihimpunkan dalam buku bertajuk Dialog dengan Sasterawan