maximus_major

Penulisan sejarah sering dianggap sebagai satu bentuk penulisan serius dengan tema-tema yang dilihat sebahagian besar masyarakat sebagai membosankan dan hanya layak berada dalam tembok universiti.

Seringkali juga apabila berbicara tentang sejarah sahaja, perkara yang dibincangkan mesti politik. Adakah sejarah tidak boleh membincangkan soal lain. Ya! Sejarah boleh membincangkan soal lain dan boleh mengelak daripada menjadi subjek yang bakal mati kebosanan jika kita mencambahkan ruang yang ada khususnya dengan mencambahkan topik-topik dalam lingkup sosial untuk dikaji.

Isu kebudayaan dan kesenian merupakan tiga perkara yang selalu terlepas dari suluhan sejarah di peringkat yang formal. Banyak perkara boleh kita teroka di dalam penulisan sejarah mengenai kebudayaan dan kesenian. Melalui dua topik ini kita boleh merungkai persoalan politik, persoalan kaum, persoalan perpaduan, persoalan perkembangan manusia dan pelbagai lagi. Kebudayaan dan kesenian bukanlah satu-satunya cara melihat sejarah, tetapi kekuatan kedua-dua topik ini ialah keupayaan untuk memberikan pandangan berlainan di dalam kita melihat isu.

Misalnya kita dapat memahami bentuk-bentuk pemikiran masyarakat melalui bentuk seni yang wujud pada sesuatu era. Terlepas pandang di dalam aspek seni dan budaya bukanlah satu perkara baru, tetapi kita dapat melihat dengan jelas bagaimana buku-buku teks sejarah di sekolah tidak membincangkan seni dan budaya secara meluas dan terbuka, aspek seni dan budaya hanya dibincangkan secara sepintas lalu sahaja, sedangkan seni dan budaya ialah salah satu tonggak identiti nasional sesebuah negara.

Penulisan sejarah berkaitan seni dan budaya ini boleh melihat kepada beberapa aspek seperti seni persembahan tempatan yang mencakupi bentuk kesenian seperti wayang kulit dan mak yong. Seterusnya boleh juga dilihat kepada seni visual di Malaysia seperti perkembangan seni lukis, ukiran dan seni bina. Selain itu, kita juga boleh meneliti perkembangan seni filem dan seni muzik. Dua bentuk seni ini merupakan di antara yang terbesar dan mempunyai khalayak yang utama.

Sebelum ini seni muzik dan filem hanya dilihat dalam kerangka bidangnya sahaja, tidak dilihat di dalam kerangka pemikiran dan kaedah sejarah. Maka sudah tiba masa sejarah di Malaysia mula memandang kepada bidang seni dan budaya untuk kita dapat melihat sejarah Malaysia berubah wajah menjadi sejarah yang lebih universal dan mencakupi pelbagai bidang yang diminati masyarakat.

Di sini kita ambil contoh bidang perfileman di Malaysia. Sehingga kini, kajian akademik di dalam bidang sejarah berkaitan filem di Malaysia yang dihasilkan oleh sarjana tempatan dilihat terhad dan di antara buku yang ada hanyalah seperti karya Hatta Azad Khan yang diterbitkan pada 1997 bertajuk The Malay Cinema, buku terbitan 2006, Reclaiming Adat: Contemporary Malaysian Film and Literature oleh Gaik Cheng Koo, 120 Malay Movies oleh Amir Muhammad dan yang terbaru karya Hassan Muthalib, Malaysia Cinema in a Bottle.

Selain daripada masalah kekurangan bahan akademik yang diterbitkan untuk bacaan umum, kajian akademik dalam bidang sejarah perfileman di Malaysia juga berdepan kekangan dari segi mendapatkan sumber dan lapangan kajian yang bersesuaian di samping berdepan dengan kekurangan dokumentasi. Kekangan ini dimaksudkan di dalam konteks kajian perfileman. Jika kita mengkaji sejarah konvensional atau kajian sejarah sosial secara sesetengahnya, Arkib Negara boleh menjadi gedung penyelidikan untuk mendapatkan sumber pertama, tetapi keadaan ini agak sukar jika kita mahu membuat penyelidikan sejarah filem di Malaysia.

Malaysia sebenarnya ketinggalan dari sudut ini kerana kita hanya bergantung semata-mata kepada Arkib Negara untuk melambakkan segala sumber sejarah yang ada di sana. Negara-negara seperti Australia memiliki National Film and Sound Archive, Perancis boleh berbangga dengan Cinematheque Francaise, Jerman dengan Deutsches Filmarchiv, Itali pula memiliki muzium perfilemannya sendiri yang dikenali sebagai Museo Nazionale del Cinema dan New Zealand juga memiliki New Zealand Film Archive. Sudah tentu jika kita berbicara tentang filem, Amerika Syarikat wajib untuk tidak dilupakan dan negara Hollywood ini memiliki Academy Film Archive.

Contoh-contoh di atas ialah negara-negara maju yang memiliki keupayaan filem yang tinggi. Bagaimana dengan negara-negara Asia dan negara jiran kita? Ya! Mereka juga memiliki arkib perfileman mereka sendiri. Singapura juga menjadi pangkalan kepada Asian Film Archive yang menyimpan lebih 1,500 judul filem-filem dari Asia*. Korea Selatan juga memiliki Korean Film Archive dan yang terakhir Thai Film Archive yang menyimpan khazanah filem-filem Thailand.

Ini merupakan contoh bagaimana selain daripada kemahuan dan keperluan sarjana untuk menjalankan kajian sejarah sosial, masalah pengumpulan bahan juga menyumbang kepada masalah untuk mencambah ruang yang ada pada sejarah sosial. Kita tidak pasti mengapa arkib perfileman tidak pernah wujud di Malaysia. Kita bimbang dengan andaian filem hanya untuk hiburan di Malaysia dan bukan digunakan sebagai bahan akademik atau terlibat di dalam proses pembelajaran.

Filem wajar dilihat melangkaui faktor hiburan kerana filem ialah lambang seni dan budaya dan layak untuk dikaji sebagai satu subjek sejarah. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, filem ialah salah satu dimensi untuk kita melihat dunia dan melihat interaksi masyarakat. Melalui filem kita dapat mencetuskan pelbagai persoalan yang kemudiannya akan membuahkan kajian pemikiran yang bermakna.

Misalnya apabila kita menonton filem Musang Berjanggut, mengapa P. Ramlee begitu berani membawa imej Sultan menjadi kuda yang ditunggang oleh seorang perempuan cantik atau apabila kita menonton filem Mat Raja Kapur arahan Mat Sentol, kita akan terlintas bagaimana berani Mat Sentol memperolok segala macam pingat kurniaan yang wujud di alam realiti dan bagaimana Mat Sentol berani menyindir monarki dengan menonjolkan babak bagaimana seorang lelaki yang memandu kereta sport dibogelkan dan keretanya dirosakkan semata-mata kerana dia memotong tandu yang membawa Sultan?

Ini semua merupakan persoalan di dalam filem yang boleh diteliti dalam aspek sejarah. Kerana kita akan dapat mengetahui niat pembikin dengan mengaitkannya dengan latar masa dan keadaan yang wujud pada ketika itu. Ini merupakan di antara lompong dalam sejarah di Malaysia yang perlu diisi untuk mewujudkan sejarah yang menyeluruh, pelbagai dan mampu menarik minat ramai.

Selain daripada seni dan budaya satu lagi aspek yang sering terlepas dari pandangan sejarah di Malaysia ialah sukan. Kita sendiri tahu, sukan merupakan bidang terpenting yang diminati oleh seluruh rakyat Malaysia. Sukan juga memiliki pelbagai acara yang membuka kepada pelbagai ruang untuk kita melihatnya dari kaca mata sejarah. Namun, nampaknya perkara berkenaan tidak terjadi di Malaysia. Kajian akademik di dalam bidang sejarah untuk sukan amat sukar untuk kita dapati. Perkara ini perlu diselesaikan segera bagi memastikan kita dapat mencapai khalayak yang lebih ramai untuk menikmati hasil kajian sejarah.

Kita memiliki beberapa sukan yang mempunyai keistimewaan dan perhatian tinggi seperti badminton, hoki, bola sepak dan olahraga. Kajian terhadap perkara-perkara berkaitan perkembangan sukan-sukan ini di Malaysia di dalam bentuk kajian sejarah amat terhad dan sukar untuk kita temui. Di Barat terdapat beberapa kajian sejarah berkaitan sukan dan di antaranya seperti The Girl and the Game: A History of Women’s Sport in Canada tulisan Margaret Ann Hall, Sport: A Cultural History tulisan Richard Mandell, A People’s History of Sports in the United States tulisan David Zirin, French Rugby Football: A Cultural History oleh Philip Dine, Football: The First Hundred Years: The Untold Story oleh Andrian Harvey dan A Brief History of Badminton from 1870 to 1949 tulisan Betty Uber.

Menilai kepentingan sukan dari sudut sejarah merupakan satu asas yang perlu dibina di Malaysia. Sukan sering dilihat dari aspek sains semata-mata dan jika ada pun kajian sejarah ia dilakukan dalam keadaan yang tipikal di mana tumpuan hanya diberikan kepada tokoh sesuatu sukan berkenaan. Sejarawan Barat pula melihat sukan merentasi pelbagai keadaan. Ada yang mengaitkan sukan dengan falsafah, budaya, isu gender, politik dan pembangunan sosial.

Ini boleh dilakukan kerana perkembangan sukan di Malaysia sudah lama berlangsung dan pelbagai isu boleh dinilai dengan baik. Di antara isu yang boleh dibincangkan di dalam soal sejarah sukan di Malaysia ialah pengaruh monarki di dalam pembangunan sukan, rasuah bola sepak, badminton di Malaysia dan sebagainya.

Jadi adakah sejarah itu perlu ditulis oleh seorang sejarawan, ahli politik, tokoh terkenal, sarjana akademik atau pelajar-pelajar di universiti sahaja? Jika sejarah hanya boleh ditulis oleh golongan ini sahaja, maka perkembangan sejarah tidak akan meluas dan hasil diskusi juga hanya akan berlegar di tempat yang sama sahaja.

Masalah di Malaysia ialah penulisan sejarah secara akademik jarang dapat menembusi khalayak ramai. Banyak penulisan sejarah hanya dibincangkan secara serius di menara gading sahaja dan tidak dibawa keluar. Ini merupakan perkembangan yang tidak sihat. Sejarah ialah ilmu yang wajar dikongsikan dengan khalayak umum. Kita lihat sahaja pangkalan data JSTOR, di sana terdapat berpuluh-puluh ribu artikel berkaitan sejarah yang boleh dimuat turun, tetapi berapa ramai dalam kalangan orang awam yang mempunyai akses seperti yang dinikmati oleh mereka yang berada di universiti?

Untuk memastikan perkembangan sejarah itu pelbagai dan tema sejarah sosial itu dipertingkatkan, kita perlu menggalakkan lebih ramai mereka yang bukan dalam golongan sejarawan untuk menulis di dalam bidang yang mereka suka dan fahami. Di Malaysia terdapat beberapa buku hasil buah tangan penerbitan kendiri (indie publications) yang boleh diketengahkan sebagai satu percubaan untuk menulis sejarah sosial di dalam isu-isu yang sememangnya terpinggir di dalam kajian sejarah di Malaysia.

Pertama ialah berkenaan dengan isu sub-budaya (subculture) di Malaysia. Budaya punk misalnya amat sukar untuk dikesan asas kajiannya di universiti, sedangkan signifikan punk di Malaysia tetap ada dan mereka ialah sebahagian daripada warna yang wujud dalam masyarakat Malaysia. Disebabkan tiada kajian akademik berkenaan punk di Malaysia yang dibukukan, jadi untuk kita mengetahui tentang punk di Malaysia kita perlu membaca buku-buku yang dihasilkan oleh golongan ini sendiri ada dua buku yang boleh memberikan pandangan dan idea mengenai gerakan Punk di Malaysia pertama buku Punk Rock: Di Sebalik Fesyen & Muzik Bising yang diselenggarakan penerbitannya oleh dua pendokong punk, Dhani Ahmad dan Ahmad Nizamuddin Abdullah.

Buku ini merungkai sejarah punk dari kaca mata mereka yang pernah beraksi di gelanggang punk. Melalui buku ini kita dapat meneliti apa pandangan dan falsafah yang dipegang gerakan Punk di Malaysia, kita juga dapat menyelongkar dengan mudah bahawa punk di Malaysia bukan sekadar bingit dengan muzik dan penampilan fizikal tetapi ada falsafah yang terselit sama. Selongkar buku Goblog yang disifatkan di antara buku terawal tulisan golongan punk di Malaysia dan selaklah ratusan zine atau makalah dihasilkan secara sendiri oleh golongan punk untuk menyampaikan maklumat tentang masalah masyarakat. Di dalamnya kita akan mengerti punk bukan punk yang kita fahami secara tipikal melalui pandangan luaran.

Buku kedua juga ditulis oleh Ahmad Nizamuddin bertajuk Aksi Reaksi 2: Dokumentasi Dum Dum Tak. Buku ini membawa kita mengenali pengalaman yang dilalui oleh kumpulan Dum Dum Tak, salah sebuah kumpulan muzik punk rock yang ada di Malaysia (Ahmad Nizamuddin merupakan salah seorang ahlinya). Ini dua buku tentang sejarah sebenar, bukan buku kosong. Namun, adakah kita akan mengiktiraf buku ini sebagai buku sejarah?

Sebenarnya pengiktirafan itu amat perlu memandangkan kedua-dua buku ini merupakan di antara buku penting yang memaparkan mengenai sejarah yang tidak dibincangkan di Malaysia. Lupakan tentang gaya bahasa pasar serta aturan penulisan yang tidak akademik, yang penting isinya menjurus kepada matlamat untuk memaparkan bingkisan punk di Malaysia. Ahli akademik atau sejarawan wajar mendalami tema sebegini bagi melihat Malaysia dari pandangan yang berlainan.

Sudah tentu melihat Malaysia dari kaca mata seorang politikus amat berbeza dengan cara melihat Malaysia melalui kaca mata seorang punk. Jika ada ahli akademik yang sudah meneliti buku ini mungkin boleh membantu untuk membuat suntingan bahasa lebih standard tanpa mematikan hasrat asal buku ini bagi memastikan buku sebegini boleh dijadikan bahan akademik untuk rujukan para sarjana yang berminat tentang sub-budaya di Malaysia.

Selain daripada sub-budaya, di beberapa baris di atas ada disebut mengenai kekurangan penulisan sejarah sukan di Malaysia dan nampaknya sarjana sejarah juga kurang melihat hal ini sedangkan sukan merupakan sebahagian daripada sejarah sosial dan menjadi budaya popular di Malaysia. Satu lagi penerbitan kendiri dikenali sebagai Dubook Press pernah menerbitkan dua buku yang disifatkan sebagai cukup penting di dalam meneliti sejarah bola sepak di Malaysia. Buku pertama diterbitkan pada 2011 hasil tulisan seorang blogger, Lucius Maximus.

Buku berkenaan berjudul Cerita Malaysia Tidak ke Piala Dunia. Ini merupakan satu sudut menarik untuk melihat bola sepak Malaysia dan buku ini memiliki elemen sosial yang jelas. Buku ini membincangkan mengenai penglibatan dan kegagalan Malaysia untuk layak ke Piala Dunia sejak kelayakan Piala Dunia 1974 hingga ke Piala Dunia 2014. Fakta yang dikemukakan merupakan fakta yang jarang diketahui umum. Apa yang kurang pada buku ini cuma bibliografi atau sumber rujukannya sahaja, jika ditambah dengan sumber rujukan buku ini akan menjadi buku akademik untuk sejarah bola sepak di Malaysia. Gaya bahasa dan susunan perkataan juga amat cekap dan menunjukkan kematangan. Jika ada yang berminat untuk mengkaji tentang sejarah sukan khususnya sejarah bola sepak, buku ini amat dicadangkan untuk dibedah dengan lebih lanjut.

Buku kedua berjudul Cerita Bola Sepak Malaysia yang menghimpunkan kisah-kisah penuh fakta kejayaan setiap pasukan di dalam arena bola sepak Malaysia. Buku ini diselenggarakan oleh Lucius dan menghimpunkan 11 penulis yang mempunyai minat mendalam terhadap pasukan masing-masing. Seperti juga buku sebelumnya, buku ini juga jika dilengkapi dengan bibliografi akan menjadi buku akademik kerana kekuatan fakta yang dimilikinya.

Namun, sayang walaupun keempat-empat buku yang dinyatakan mempunyai elemen sejarah sosial yang kuat, tetapi ia tidak diangkat sebagai bentuk karya sejarah kerana ada yang menganggapnya sebagai tidak akademik. Sudah tentu tidak akademik kerana yang menghasilkannya hanya mereka yang berminat dengan subjek berkenaan bukan golongan pensyarah atau sarjana di universiti.

Karya sebegini dekat dengan pembaca kerana penulisannya mudah difahami oleh orang kebanyakan dan ini menjadikan sejarah dan ilmu itu dekat dengan orang ramai. Sejarawan boleh belajar sesuatu dalam keadaan ini. Menulis dengan bahasa santai tetapi masih mengekalkan elemen akademik. Jika keadaan ini berlaku, pasti karya sejarah akan lebih dekat dan mudah diterima ramai.

 

Muhammad Daniyal Kadir, peminat sejarah

* Angka yang dikeluarkan oleh laman web http://asianfilmarchive.org/