Di perkebumian empat orang kanak-kanak Palestin yang ditembak ketika bermain-main di pantai.
Di pengebumian empat orang kanak-kanak Palestin yang ditembak ketika bermain-main di pantai. © Mohammed Salem/Reuters

Hati saya remuk menyaksikan penderitaan rakyat Palestin dan juga ketidakpedulian rakyat Israel yang dizahirkan. Selama hidup, saya memperjuangkan Israel dan berbangga dengan sekian banyak pencapaiannya dalam bidang sains dan teknologi yang memanfaatkan dunia. Sepanjang hidup saya juga, saya menegaskan bahawa umat Yahudi memerlukan sebuah negara yang dapat melindungi mereka daripada semangat anti-semitik yang sentiasa mengancam umat ini sepanjang sejarah masyarakat Kristian dan Islam; sehinggakan saya sanggup menghantar anak tunggal saya untuk berkhidmat dengan Tentera Israel (dalam unit payung terjun atau tzanchanim). Saya juga menikmati tempoh waktu yang lama dan menyenangkan menuntut di Jerusalem dan merayakan Shabbat dalam kota yang setiap minggu menutup pasar-pasar yang sibuk itu selama 25 jam penuh.

Walaupun sebagai editor Tikkun saya menerbitkan rencana-rencana yang mencabar cerita rasmi tentang penubuhan Israel, mendedahkan bagaimana penubuhan negara ini telah menyebabkan puluhan ribu warga Palestin terusir pada tahun 1948 dan bagaimana kelompok-kelompok pengganas Yahudi di bawah kepimpinan Menachem Begin dan Yitzhak Shamir (kedua-dua mereka kemudiannya menjadi perdana menteri Israel) telah mencipta kegerunan yang menyebabkan ratusan ribu orang Palestin terpaksa lari menyelamatkan diri, namun saya sentiasa mengingatkan diri bahawa sifat kemanusiaan Yahudi yang lebih dominan dan benih-benih belas-kasih dalam Taurat akan mekar kembali setelah kedudukan Israel terjamin.

Keyakinan saya itu memudar sejak lapan tahun yang lalu apabila Israel, ketika berdepan dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang menolak kekerasan dan cuba mencari perdamaian, telah mengabaikan usaha damai yang diterajui oleh Arab Saudi. Padahal usaha damai itu berkemungkinan membawa pengiktirafan yang telah lama dinanti-nantikan oleh Israel di Timur Tengah dan mengakhiri perseteruan.

Israel sebaliknya enggan menghentikan kegiatan peluasan wilayah pendudukan di Tebing Barat dan mengenakan sekatan ekonomi yang memberi kesan ekonomi yang parah ke atas Gaza. Hamas, sekali pun mempunyai piagam kebencian untuk memusnahkan Israel, telah memutuskan untuk menerima realiti kewujudan Israel dan, walaupun mereka masih keberatan untuk mengakui “hak” Israel untuk wujud, telah bersetuju untuk berdamai dengan PA dan justeru itu sanggup membiarkan PA berunding dengan Israel.

Jangankan hendak merebut peluang baru untuk mencapai keamanan itu, kerajaan Israel malah memperalatkannya sebagai alasan untuk menggagalkan rundingan damai dan setelah itu secara licik membiarkan tiga remaja Israel diculik dan dibunuh (oleh anasir liar dalam Hamas yang juga mahu menjejaskan usaha damai dengan Israel yang sedang dijalankan oleh Hamas) untuk menghalalkan serangan rambang ke atas penduduk awam Tebing Barat, penangkapan ke atas ratusan warga yang bersimpati dengan Hamas, meningkatkan serangan dron ke atas penggerak operasi Hamas dalam Gaza.

Apabila Hamas bertindak balas dengan melepaskan roketnya (sebagai tindakan simbolik semata-mata kerana ia dijamin tidak berkesan untuk menembusi Iron Shield Israel) ke arah orang awam di Israel, kerajaan Netanyahu menggunakan tindak balas itu sebagai alasan untuk melancarkan serangan ganas ke atas Gaza.

Serangan ganas Israel akhirnya menerbitkan air mata dan meluluhkan hati saya. Tentara Israel mendakwa mereka hanya ingin memusnahkan terowong-terowong yang dapat digunakan untuk menyerang Israel. Padahal mereka melakukan jenayah yang pastinya dikutuk oleh dunia jika ia dilakukan di negara lain: mensasarkan orang awam secara sengaja (jenayah yang sama dilakukan Hamas selama beberapa tahun lampau sehingga menyebabkan ia dicap sebagai pertubuhan pengganas).

Israel memberi alasan bahawa Hamas menggunakan orang awam sebagai “perisai manusia” dan menyembunyikan peralatan perang dalam pangsapuri milik orang awam. Dengan alasan itu Israel telah membunuh lebih seribu orang awam dan mencederakan ribuan yang lain. Kisah yang disampaikan oleh saksi-saksi mata tentang kematian ratusan kanak-kanak akibat tindakan pemusnahan secara rambang oleh Israel, serangan ke atas sekolah-sekolah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan hospital awam, dan pemusnahan bekalan air dan elektrik Gaza yang membawa kepada kepialu dan wabak-wabak lain, selain menularkan kebuluran di kalangan sejuta setengah penduduk Gaza yang tidak mempunyai hubungan pun dengan Hamas. Semua ini menyingkap kepada dunia wajah Israel yang sedang cuba menyaingi rejim-rejim paling menindas dan ganas dalam dunia sekarang ini.

Dalam buku Embracing Israel/Palestine, saya berhujah bahawa Israel dan Palestin kedua-duanya adalah mangsa penyakit tekanan jiwa akibat trauma (PTSD). Saya mengasihani kedua-dua bangsa ini, khususnya saudara-saudara Yahudi saya yang telah menempuh banyak trauma yang menjejaskan generasi masa depan. Trauma yang telah ditempuh kedua-dua bangsa ini bagaimanapun tidak menghalalkan perilaku Israel atau Hamas, namun ia relevan bagi kalangan yang mencari jalan untuk menyembuh dan mengubah masyarakat.

Meski pun begitu, penyembuhan adalah mustahil, melainkan penderita-penderita PTSD terbabit sanggup berusaha untuk mengatasinya.

Pada titik inilah masyarakat Yahudi Amerika dan Yahudi di seluruh dunia telah melencong, iaitu dengan mengubah negara bangsa Israel menjadi “negara Yahudi” dan menjadikan Israel berhala yang dipuja, bukannya sebagai sebuah entiti politik seperti entiti politik yang lain, dengan segala macam kekuatan dan kelemahannya. Seolah-olah merasa kecewa kerana Tuhan tidak muncul menyelamatkan mereka daripada Holokaus, semakin banyak Yahudi meninggalkan agama belas kasih dan membela golongan tertindas seperti yang diperjuangkan oleh para nabi.

Mereka sebaliknya mula menyembah kekuasaan dan merayakan keupayaan Israel menjadi negara paling berkuasa dari segi ketenteraan di Timur Tengah. Jika seseorang Yahudi hari ini memasuki mana-mana sauma’ah di Amerika Syarikat atau negara lain dan berkata “Saya tidak beriman dengan Tuhan atau Taurat, dan saya tidak mematuhi ajaran agama,” sebahagian besar mereka tetap akan mengalu-alukan Yahudi tersebut ke dalam sauma’ah. Tapi kalau Yahudi itu mengatakan “Saya tidak menyokong negara Israel,” dia akan dicap sebagai “Yahudi murtad” atau anti-Semitik, dikeji dan dihalau. Seperti sindiran Harun terhadap patung lembu di padang pasir, “Inilah tuhan kamu, wahai bangsa Israel.”

Penyembahan terhadap negara menyebabkan orang Yahudi terpaksa mengubah agama Yahudi menjadi ajaran ultra-nasionalis membuta-tuli. Setiap tindakan negara Israel terhadap bangsa Palestin dilihat sebagai perintah Tuhan. Setiap Sabbath, Yahudi di sauma’ah seluruh dunia membawa doa selamat untuk kesejahteraan negara Israel dan mengecualikan sepupu mereka, iaitu bangsa Arab. Jika disarankan bahawa doa juga perlu diucapkan untuk kesejahteraan bangsa Palestin, saranan itu akan dianggap sebagai sesat dan bukti bahawa Yahudi yang menyarankan itu telah “murtad”.

Padahal agama Yahudi turun untuk mencabar pemujaan terhadap kuasa. Suatu waktu dulu kita adalah hamba, tidak punya kuasa, dan walaupun Taurat menyebut tentang Tuhan yang menggunakan keperkasaannya untuk membebaskan bangsa Israel daripada perhambaan bangsa Mesir, kitab suci itu pada masa sama menggesa, berulang-ulang kali, agar apabila umat Yahudi memasuki bumi Qana’an yang dijanjikan (bukan Palestin), mereka mesti “mencintai orang asing/yang Lain,” berpegang dengan hanya satu undang-undang yang sama untuk orang asing dan juga untuk peribumi, dan memberi amaran agar “jangan menindas orang asing/yang Lain.”

Ingatlah, Taurat mengingat kita bahawa “dulu engkau adalah orang asing/yang Lain di bumi Mesir” maka dengan itu “engkau mengenal hati budi orang asing.” Sumber-sumber agama Yahudi yang terkemudian malah menegaskan bahawa orang yang tidak berbelas-kasihan yang mendakwa diri sebagai Yahudi sepatutnya tidak dianggap sebagai Yahudi. Semangat kemurahan hati begitu menyatu dalam kesedaran Taurat sehinggakan apabila umat Yahudi diarahkan untuk membiarkan tanah tidak diusahakan selama setahun setiap tujuh tahun (Tahun Sabatikal), mereka mesti membiarkan tanaman yang tumbuh secara liar daripada tanaman sebelum itu dikongsi dengan orang Lain/orang asing.

Bukan hanya umat Yahudi menerima ajaran sebegini. Hakikatnya, sebahagian besar umat manusia sentiasa mendengar suara hati mereka yang memberitahu bahawa jalan yang paling menjamin dan selamat ialah mencintai yang lain dan menujukkan kemurahan hati. Suara hati ini yang membantah suara-suara yang membisikkan bahawa kedudukan sesuatu umat hanya akan terjamin jika mereka menguasai umat lain. Pergelutan antara suara ketakutan dan suara kecintaan, antara suara penguasaan dan suara belas-kasihan, empati dan kemurahan hati, telah berlangsung sepanjang sejarah dan membentuk debat politik semasa di seluruh dunia.

Memandangkan setiap seorang daripada kita mendengar kedua-dua suara tersebut, kita berbolak-balik antara kedua-duanya, lalu ia tampak pada dasar kemasyarakatan dan perilaku peribadi kita. Seiring peningkatan etos persaingan dan “aku dahulu” dalam pasaran kapitalis, seperti yang semakin tercermin pada budaya dan pandangan dunia semasa, semakin banyak orang menerapkan pandangan dunia yang berselubung ketakutan, penguasaan dan manipulasi ke atas yang lain ke dalam kehidupan peribadi, mengajar orang tentang rasional pasaran yang menetapkan bahawa manusia lain harus dilihat terutamanya dari segi bagaimana mereka dapat memenuhi keperluan kita sendiri dan sebagai alat untuk memenuhi keperluan kita sendiri, bukannya sebagai pihak yang berhak mendapat penjagaan dan penghormatan atas sifat mereka yang seadanya, bukan menurut apa yang boleh mereka lakukan untuk kita.

Etos ini telah melemahkan semangat persahabatan dan mencipta ketidakstabilan dalam kehidupan berkeluarga yang dimanipulasi oleh kelompok kanan (tema ini telah saya kembangkan sepenuhnya dalam buku saya, The Left Hand of God: Taking Back our Country from the Religious Right, yang saya terbitkan semasa menjadi juruterapi psikologi dan penyelidik utama bagi kajian NIMH tentang tekanan jiwa dan dinamika psikologi kehidupan harian dalam masyarakat Barat).

Tidak hairanlah umat Yahudi dan agama Yahudi mempamerkan dua aliran yang saling bertembungan ini dalam agama. Dalam keadaan lemah tidak mempunyai kuasa ketika selama 2,000 tahun umat Yahudi menjadi  kelompok minoriti tertindas dalam masyarakat Barat dan Islam, gambaran tentang Tuhan yang maha kuasa yang mampu mempertahankan umat Yahudi yang tertindas menjadi bahan psikologi yang ampuh untuk menghalang pembatinan kejahatan yang dikenakan ke atas mereka oleh budaya kelompok majoriti.

Namun kini, ketika umat Yahudi mempunyai kuasa ketenteraan di Israel serta kuasa ekonomi dan politik di AS, selain sedikit-sebanyak dalam masyarakat Barat yang lain, sebahagian orang mengharapkan tema cinta dan kemurahan hati, yang sentiasa menjadi suara utama walau pun dalam batin umat Yahudi yang ditindas, akan muncul sebagai tema yang dominan bagi agama Yahudi kurun ke-21.

Maka tidak hairanlah jika hati saya hancur luluh melihat wajah cinta dan belas-kasihan agama Yahudi dipinggirkan sebagai sesuatu yang “tidak realistik” oleh banyak saudara seagama dan rakan-rakan saya di kalangan rabbi. Bukankah pesan utama Taurat ialah bahawa dunia dipimpin oleh suatu unsur yang memungkinkan perubahan daripada “seadanya” kepada “yang mungkin dan seharusnya”? Bukankah tugas kita ialah menyampaikan kepada dunia bahawa tiada yang tetap, bahawa gunung sekali pun mampu meloncat seperti anak kambing dan bahawa laut boleh terbelah apabila keadilan beraja di dunia? Para rabbi dan institusi keagamaan gagal menyebarkan pesan penuh harapan ini.

Mereka sebaliknya menyebarkan agama Yahudi yang lebih berharap kepada tentera Israel berbanding kepada keupayaan manusia (termasuk bangsa Palestin) yang semuanya dicipta dalam imej Tuhan dan justeru itu berkeupayaan untuk berubah, untuk sekali lagi menjadi jelmaan cinta dan kemurahan hati. Mereka mencemuh kemungkinan yang kami di Tikkun dan Network of Spiritual Progressives sebarkan (bukan hanya di Timur Tengah, malah juga juga di AS), iaitu kemungkinan bahawa jika kita bertindak bersandarkan cinta dan kemurahan hati, gunung-gunung kemarahan dan kebencian yang beku (yang sebahagiannya terbentuk daripada perilaku kita sendiri) boleh menjadi cair dan jiwa manusia sekali lagi akan berpaling ke arah cinta dan keadilan untuk semua.

Di Amerika yang pada saat ini presidennya menyeru agar puluhan ribu anak pelarian dikembalikan ke negara yang dulunya mereka pertaruhkan nyawa untuk lari darinya; di Amerika yang enggan menyediakan penjagaan kesihatan untuk semua; Amerika yang hanya menjaga kepentingan 1 peratus rakyatnya yang terkaya sambil mengabaikan keperluan kelas menengahnya, gagasan-gagasan yang saya sebutkan di sini kedengaran sebagai satu utopia yang naif. Namun bagi agama Yahudi, iman terhadap Tuhan bererti kepercayaan bahawa rasa cinta dan keadilan mampu dan harus mengatasi, dan bahawa tugas kita ialah untuk menjelmakan pesan itu dalam masyarakat kita dan menyebarkannya ke seluruh dunia.

Agama Yahudi berwajah cinta, belas-kasihan, keadilan, dan keamanan inilah yang sedang dibunuh oleh negara Israel. Para penyembah Israel telah tergelincir ke jurang gelap keraguan – meragui kemungkinan bahawa dunia yang diseru oleh para nabi adalah dunia di mana negara-negaranya tidak saling mengangkat senjata dan tidak lagi belajar berperang; dunia yang setiap warganya hidup dalam aman. Benar, dunia itu belum lahir, namun menjadi tugas umat Yahudi untuk mengajar manusia bahawa dunia itu boleh diwujudkan, dan bahawa setiap langkah yang kita ambil sama ada menuju ke dunia itu atau berundur daripadanya. Para penyembah Israel sedang berundur dari dunia itu, menganggapnya sebagai sesuatu yang amat tidak mungkin, dan lalu menggelar perilaku mereka sebagai agama Yahudi dan Israel sebagai “negara Yahudi”.

Maka tidak hairanlah jika saya meratapi agama Yahudi berwajah cinta dan kesantunan, agama aman dan kemurahan yang dipinggirkan para penyembah Israel sebagai sebuah fantasi dan utopia. Kepada saudara-saudara saya seagama Yahudi, saya panjangkan jemputan ini: gunakan Tisha B’av (hari puasa untuk meratapi kemusnahan kehidupan Yahudi di masa silam, dan bermula pada malam Isnin 4 Ogos sehingga malam 5 Ogos) untuk meratapi agama Yahudi berwajah cinta dan kemurahan hati yang sedang disembelih oleh Israel dan para penyembahnya di seluruh dunia. Mereka ini tidak ubah seperti para penyembah berhala yang berpura-pura menjadi Yahudi tetapi sebenarnya telah berbaur ke dalam dunia kuasa, para penyembah berhala yang telah membantu memusnahkan dua umat Yahudi dan kuil-kuil kita di masa silam.

Mungkin kita perlu memperbaharui agama Yahudi dengan wajah yang membebaskan dan berdaya-ubah, berorientasikan cinta, di luar sauma’ah dan institusi tradisional, kerana dalam masyarakat Yahudi yang ada sekarang paling baik pun kita hanya mampu mengulangi kata-kata para pengungsi Yahudi Babylonia dalam Psalm 137, “Bagaimana mungkin kita menyanyikan lagu Kuasa Pengubah YHVH di bumi asing?” Marilah kita pada tahun ini mengubah Yom Kippur menjadi waktu membasuh dosa umat kita yang telah memberikan leluasa dan izin penuh untuk melakukan keganasan atas nama agama Yahudi dan umatnya (sekali pun sambil kita meraikan para Yahudi yang mempunyai keberanian untuk secara terbuka mengkritik Israel secara penuh kasih sayang tetapi tegas).

Buat sekutu kami dari kalangan bukan-Yahudi, ini rayuan kami: Jangan biarkan masyarakat Yahudi memperleceh kamu dengan tuduhan bahawa sebarang kritikan terhadap keganasan Israel terhadap bangsa Palestin membuktikan bahawa kamu adalah anti-Semitik. Jangan biarkan rasa bersalah yang kamu pikul akibat perbuatan leluhur kamu terhadap umat Yahudi membuatkan kamu berdiam diri melihat dasar-dasar negara Israel sekarang yang tidak bermoral.

Jika kamu hendak menjadi sahabat sejati umat Yahudi, berpihaklah kepada para Yahudi yang cuba mengembalikan Israel kepada nilai-nilainya yang tertinggi, menyedari penuh bahawa tiada masa depan untuk negara Israel yang dikelilingi oleh berbilion Muslim melainkan menerusi persahabatan dan kerjasama. Pakatan sementara di kalangan diktator ganas di Mesir, Arab Saudi, Jordan, dan kerajaan Arab yang lain yang menyokong Israel menentang Hamas akan runtuh, namun ingatan tentang penghinaan oleh negara Israel tidak akan luput.

Dasar-dasar semasa Israel akan membahayakan Yahudi di Timur Tengah dan seluruh dunia berdekad-dekad setelah bangsa Israel kembali sedar. Sahabat sejati tidak membiarkan sahabat mereka mengambil jalan kemusnahan, maka telah tiba masa untuk anda juga bersuara yang menyokong kalangan yang memperjuangkan keamanan dan keadilan dalam dunia Yahudi, iaitu kami yang tidak akan berdiam diri melihat agama Yahudi dimusnahkan oleh umatnya sendiri.

Rayuan di atas membawa saya kepada poin terakhir. Pemuda-pemudi Yahudi, seperti juga pemuda-pemudi bukan-Yahudi, semakin merasa terasing daripada Israel dan agama Yahudi apabila terlalu banyak Yahudi menganggap diri mereka sebagai tiang negara Yahudi. Mereka melihat Israel sebagai agama Yahudi dalam pelaksanaan, tanpa mengetahui bahawa dasar-dasarnya sama sekali bertentangan dengan pandangan dunia tradisional yang dianuti oleh sebahagian besar umat Yahudi selama ini.

Generasi anak muda ini yang ibu-bapa mereka mengakui diri sebagai Yahudi tetapi meraikan kuasa negara Israel sekarang dan tidak pernah tergerak untuk menegurnya ketika ia bertindak secara tidak bermoral, seperti yang dilakukan ke atas Gaza, akan berbondong-bondong meninggalkan agama Yahudi, menjadikannya wilayah yang hanya didiami oleh para penyembah Israel, dengan sikap mereka yang terus-terusan menolak Tuhan yang penyayang dan adil untuk memeluk Tuhan yang pendendam dan pembenci.  Saya takkan menyalahkan mereka kerana meninggalkan agama, namun saya berharap mereka tahu bahawa ada aliran Yahudi yang lain yang selama ini menjadi aliran utama sepanjang sejarah umat Yahudi, dan bahawa aliran ini memerlukan penglibatan giat mereka agar ia dapat ditegakkan semula sebagai penerusan tradisi Yahudi kurun ke-21.

Lebih daripada segalanya, saya berduka melihat penderitaan di atas muka bumi ini, melihat mangsa-mangsa keganasan Israel, melihat bangsa Palestin yang menjadi mangsa keganasan dan penindasan Israel, melihat mangsa perang yang dilancarkan Amerika dari Vietnam sampai ke Afghanistan dan Iraq, melihat perang menentang terorisme yang tidak berpenghujung, melihat mangsa sekian banyak pergelutan lagi di seluruh dunia, serta melihat mangsa tatanan kapitalis global yang menyebabkan 8,000-10,000 kanak-kanak di bawah umur 5 tahun mati setiap hari akibat kekurangan zat makanan atau penyakit berkaitan kekurangan zat makanan menurut PBB. Meski pun begitu, saya ingin menegaskan bahawa masih ada kemungkinan untuk lahir sebuah dunia yang berlainan, jika cukup banyak di kalangan kita yang percaya bahawa dunia itu mampu dilahirkan dan seterusnya berusaha ke arahnya.

 

Rabbi Michael Lerner adalah editor Tikkun Magazine, pengerusi Network of Spiritual Progressives dan rabbi di Beyt Tikkun Synagogue-Without Walls di San Francisco dan Berkeley, California.

Diterjemahkan oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi daripada rencana “Israel has broken my heart: I am a rabbi in mourning for a judaism being murdered by Israel” yang terbit di salon.com.