isis_major
Pejuang Isis

Ali, yang menggelarkan dirinya “Shiah agnostik”, tinggal di Baghdad. Karim di Sanjar, tanah gersang antara Mosul dan sempadan Syria, di bandar orang-orang Yazidis—penganut kepercayaan lama yang berkait dengan Zoroastrianisme. Ali dan Karim (yang hanya mahu menggunakan nama samaran) warganegara Iraq di umur-umur 30-an. Kedua-dua mereka berkerja untuk tentera darat Amerika Syarikat, di mana terdapat tentera negara itu di Iraq.

Daripada 2004 hingga 2008, Ali menjadi penterjemah kepada tentera yang meronda di kawasan kejiranan yang tegang, kemudian membantu dalam latihan ketenteraan pasukan keselamatan Iraq. Pada 2009, beliau menjadi wartawan sambilan dan penyelidik di beberapa buah NGO Barat di Baghdad, termasuk Human Rights Watch. Karim, seorang jurutera, memulakan kerjanya pada Mei 2003, selepas tentera Amerika memasuki Sinjar, menyelia projek pengairan dan pengubahsuaian sekolah di kawasan yang amat berbahaya untuk dimasuki tentera. Pada 2005, beliau meninggalkan tentera Amerika dan beralih kepada pasukan kebajikan Amerika di luar Mosul. Segelintir penduduk Iraq, seperti Ali dan Karim memberikan banyak alasan kepada kumpulan bersenjata untuk membunuh mereka.

Sejak beberapa tahun lalu, kedua lelaki itu diugut berulang kali—dengan panggilan telefon, dengan kehadiran orang yang tidak dikenali di depan pintu rumah, dengan kereta yang dipenuhi penembak. Pernah sekali, ketika dalam perjalanan di lebuh raya di luar Tal Afar, pemberontak melepaskan tembakan daripada AK-47 kepada Karim, yang hanya selamat kerana beliau memandu kereta yang lebih laju.

Mortar yang tak kamu dengar

Pada 2010 Ali terpaksa meninggalkan keluarganya dan bersembunyi, selepas Human Rights Watch mengeluarkan laporan berhubung penjara rahsia, dan jurucakap kerajaan mengisytiharkan bahawa seorang penyelidik Iraq yang melaporkan penipuan kepada organisasi itu.

Tetapi Ali dan Karim tinggal di Iraq lama selepas banyak orang dalam situasi mereka meninggalkan negara itu. Ali cuba mengambil sikap tidak kisah terhadap ancaman-ancaman itu. “Saya adalah orang yang percaya jika kamu mendengar bunyi mortar ianya sebenar sudah lepas berlalu,” katanya minggu lalu. “Saya bimbang tentang mortar yang kami tak dengar.” Beliau tetap berbangga dengan khidmatnya dengan tentera AS, dan bertugas sebagai penyelidik hak asasi manusia: “Saya mimpikan Iraq yang lebih baik.” Sepertinya juga, Karim melalui tahun-tahun terburuknya ketika perang saudara: “Saya selalu berkata, “Ini negaraku, aku jurutera, aku ada masa depan di sini.’”

Dua tahun lalu, Ali akhirnya berhenti bermimpi. Pada Mei 2012, beliau memohon visa khas pendatang ke AS—kategori yang diwujudkan Kongres pada 2008 untuk rakyat Iraq dan Afghanistan yang berkhidmat untuk kerajaan Amerika dan tentera ketika perang. Pada November 2012, permohonan Ali dikategorikan di bawah “pemprosesan pentadbiran”, lompong birokratik yang tidak memberikan sebarang penjelasan, dan kekal di situ.

ISIS, dalam 6 batu

Awal tahun ini, Karim juga memohon. Prosesnya terkenal perlahan dan sukar difahami, dengan ribuan slot visa untuk dipenuhi manakala ribuan lagi permohonan menunggu, wang dan harapan mereka menyurut dan mereka diberitahu untuk menunggu sama ada mempunyai harapan di Amerika atau tidak. Sehingga bulan lalu, Ali dan Karim masih menunggunya ketika pejuang militan Negara Islam Iraq dan Sham menyerang Mosil dan bandar-bandar lain di Iraq. Tentera yang dilatih Amerika, dengan bantuan Ali, tewas begitu saja.

ISIS menyembelih pekerja kerajaan dan anggota pasukan keselamatan, dan tiga rakan Karim beragama Yazidi juga dibunuh—duanya pengawal sempadan dan seorang lagi lelaki yang berada di penjara ketika militan itu tiba di Mosul. “ISIS melayan agama lain dengan dua cara—bunuh mereka atau tukarkan mereka menjadi Islam,” kata Karim. “Dia enggan menjadi Islam dan mereka membunuhnya.”

Karim kini terperangkap bersama keluarganya dan penganut-penganut Yazidi lain. Kota mereka, katanya pada saya, dipertahankan oleh penduduk tempatan yang bersenjata dan ratusan tentera Kurdish, dengan bekalan tenaga dan minyak serta makanan makin berkurangan; pejuang ISIS, yang berkedudukan enam batu daripada tempat itu, sudah menyerang beberapa kali.

Karim terfikir untuk membakar dokumen yang membuktikan khidmatnya kepada Amerika, malah, beliau menyembunyikannya dalam beg kecil yang mudah dicapainya dengan cepat jika perlu. “Menjadi Yazidi di Iraq sungguh berbahaya,” katanya. “Lebih berbahaya lagi jadi Yazidi yang bekerja untuk tentera AS.”

Mosul tumbang

Di Baghdad, situasi Ali lebih teruk. Dalam histeria selepas tumbangnya pasukan keselamatan Iraq di utara, tentera Syiah memasuki kota, membina pusat pemeriksaan, menjulang senjata api dan mengumandangkan muzik keagamaan. Di tengah-tengah mobilisasi besar-besaran itu, Ali menyempurnakan dua laporan Human Rights Watch yang memperincikan penyalahgunaan kuasa tentera Syiah terhadap banduan Sunni dan lain-lain.

Bimbangkan tindakan balas ekoran perkara itu, Ali berfikir untuk membawa anggota keluarganya keluar daripada kawasan kejiranan itu. “Mereka percaya apa yang mereka lalukan adalah perjuangan suci,” katanya. “Mereka tidak suka jika kamu katakan itu adalah jenayah.”

Ali dan Karim tabah melalui tahun-tahun yang mencengkam, tetapi Iraq tidak pernah begiru berbahaya kepada mereka sehinggalah sekarang ini. Tiada jalan keluar untuk mereka: laluan mereka ke Kurdistan dihalang oleh pasukan ISIS, negara jiran telah berhenti mengeluarkan visa kepada rakyat Iraq, dan kedutaan Amerika di Baghdad telah memindah keluar pegawai yang memberikan visa pelarian.

Oktober lalu, lima ratus dan tujuh warga Iraq tiba di Amerika dengan visa khas imigran; pada Jun, angkanya jatuh kepada 53, kurang hampir sepuluh kali ganda. Seramai 17,000 rakyat Iraq masih menanti perkembangan permohonan mereka; program itu akan berakhir pada September. Seramai 10,000 sudah memohon dalam kategori lebih luas “Warga Iraq US-affiliated”–terlalu banyak waktu menunggu untuk temubual awal yang kadangkala mengambil masa sehingga 18 bulan, sehinggalah kejatuhan Mosul memberhentikannya sama sekali.

Tergantung di langit

Becca Heller, pengarah Projek Bantuan Pelarian Iraq, berkata, “ISIS dengan pesatnya meningkatkan bahaya kepada sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan dengan AS, pada masa yang sama mengalihkan sumber kerajaan AS daripada membekalkan perlindungan kepada mereka ini. Kami menerima lebih seratus e-mel seminggu daripada orang ramai yang fikir mereka akan mati menjelang Jumaat.”
Tahun lalu, Kongres sendiri bosan dengan penangguhan itu, dan menyatakan bahawa kerajaan mesti memutuskan soal permohonan visa khas imigran dalam tempoh sembilan bulan. Ali sudah menunggu lebih daripada dua tahun, tanpa mengetahui mengapa. “Saya terperangkap antara langit dan planet bumi,” katanya. “Apa yang patut saya lakukan untuk yakinkan mereka saya dalam bahaya. Patutkah saya ditembak?”

Minggu ini, IRAP dan firma guaman antarabangsa Freshfields memfailkan saman di mahkamah persekutuan bagi pihak Ali, memohon hakim memaksa kerajaan bertindak dalam kes itu, atas alasan “penangguhan tidak munasabah”. Heller berkata, “Jika mereka tolak juga, saya mahu mereka lakukannya di hadapan hakim.”

Presiden Barack Obama telah menghantar ratusan penasihat ketenteraan Amerika bagi membantu tentera Iraq yang hilang arah ekoran asakan ISIS. Beliau juga mengisytiharkan perang Amerika di Iraq telah tamat, dan menzahirkan keraguan bahawa kuasa AS boleh menahan keganasan di pelbagai tempat dan pemerintahan buruk Iraq.  Tetapi pastinya Amerika mempunyai keupayaan menyelamatkan sahabat-sahabat Iraq mereka yang perangnya tak kunjung padam, sebelum ISIS atau pihak militan mencabut nyawa mereka terlebih dahulu.

Diterjemahkan oleh Jimadie Shah Othman daripada artikel George Packer yang terbit di majalah New Yorker. 

Amerika Syarikat Human Rights Watch Iraq ISIS New Yorker politik Timut Tengah

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan