Poster pilihanraya Modi dan seorang pengundi Muslim.
Seorang pengundi Muslim memasang poster Modi

Lewat bulan lepas saya membeli sebuah buku komik India di internet. Sudah lama saya tidak membeli satu pun buku komik sejak pertengahan tahun 80-an, apabila saya masih kecil dan akan berjalan ke kedai buku di tempat saya di Kashmir untuk membeli naskhah DC dan Marvel Comics, atau Amar Chitra Katha, satu siri berdasarkan kehidupan tokoh-tokoh besar kontemporari, sejarah dan mitos di India. Pembelian terbaru saya, “Bal Narendra” (” Narendra Muda”), dilukis dengan gaya Amar Chitra Katha.

Saya menyelak halaman muka surat komik itu dengan rasa ingin tahu. Buku ini bertujuan untuk memberitahu cerita dari zaman kanak-kanak Narendra Modi yang sejak sekian lama menjadi Ketua Menteri Gujarat, salah satu daripada negeri paling kaya di India, dan calon nasionalis Hindu untuk Perdana Menteri pada pilihan raya yang sedang berjalan. Kisah itu adalah sebahagian daripada usaha kempen bersungguh-sungguh Modi untuk menunjukkan dirinya sebagai pembawa tadbir urus yang baik, pertumbuhan ekonomi dan kecekapan.

Bal Narendra, anak seorang penjual teh di sebuah bandar kecil Gujarat, mempunyai banyak kebaikan: keberanian, kecerdasan, ketekunan, keadilan, belas kasihan. Dia menjual teh di pasar kampung untuk mendapat wang bagi mangsa banjir. Dalam kesetiaan kepada tradisi keagamaan kampungnya, dia berenang di tasik yang penuh dengan buaya dan memacak bendera di atas sebuah kuil di sebuah pulau. Apabila ada kaki buli di sekolahnya dahulu membuli murid-murid yang lemah dia akan mengenakan dakwat dari pennya di baju mereka sebagai tanda dan kemudian memberitahu guru besar.

Penerbit buku komik ini–boleh didapati secara eksklusif daripada Infibeam, penjual buku dalam talian seperti  Amazon yang dimiliki oleh usahawan Gujarati yang rapat dengan Modi–mahu kita percaya bahawa Bal Narendra yang sudah dewasa ini juga tetap gagah, pintar dan adil. Namun, rekod awam Modi memberikan gambaran dirinya sebagai seorang pemimpin yang tanpa apologetik bersifat memecah-belah dan kepuakan.

Di bawah pemerintahannya sebagai ketua menteri lebih daripada 1,000 orang, kebanyakan mereka orang Islam, telah dibunuh di seluruh Gujarat pada tahun 2002, apabila rusuhan meletus selepas 60 orang penganut Hindu meninggal dunia dalam kejadian kereta api terbakar di Godhra. Laporan Pemerhati Hak Asasi Manusia tahun itu menegaskan bahawa kerajaan negeri dan pegawai-pegawai polis tempatan bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai itu.

Modi jarang melawat kem-kem umat Islam yang terusir disebabkan keganasan atau memohon maaf atas kegagalan kerajaannya melindungi golongan minoriti. Sebaliknya, beliau telah menyifatkan pembunuhan balas umat Islam tahun itu sebagai hanyalah satu “reaksi”  terhadap satu “aksi,” iaitu atas kematian penumpang kereta api Hindu–dan beliau pernah berkata bahawa beliau merasa sedih terhadap mereka seperti mana seorang penumpang kereta yang secara tidak sengaja melanggar seekor anjing. Hanya satu perkara yang dikesalnya, dia pernah memberitahu seorang wartawan akhbar ini, adalah kegagalan untuk menguruskan pihak media.

Walaupun sebagai calon Perdana Menteri, Modi masih tidak meninggalkan cara kepuakannya itu. Begitu juga partinya, parti nasionalis Hindu Bharatiya Janata Party. Daripada 449 calon B.J.P. yang bertanding untuk kerusi di Dewan Rakyat Parlimen, kecuali lapan orang yang lain semuanya Hindu. Manifesto pilihan raya terkini parti itu adalah memperkenalkan semula cadangan untuk membina sebuah kuil untuk dewa Hindu Ram di tapak sebuah masjid zaman pertengahan di bandar utara Ayodhya, walaupun kemusnahan masjid itu oleh pelampau Hindu dan penyokong BJP pada tahun 1992 membawa kepada keganasan yang membunuh ribuan orang.

Amit Shah, seorang bekas menteri Gujarat dan pembantu Modi yang paling rapat, sedang menanti perbicaraan kerana membunuh tiga orang yang disyaki polis berkomplot untuk membunuh Modi. ( Shah memanggil dakwaan ini sebagai satu konspirasi politik.) Beliau pernah membuat ucapan menghasut sentimen anti-Muslim di kalangan pengundi Hindu, termasuk di Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk di India, walaupun merebaknya keganasan sektarian pada September lalu.

Masalahnya bukan sahaja tentang retorik. Berdasarkan bukti di Gujarat, di mana Modi telah menjadi Ketua Menteri sejak tahun 2001, kemenangan BJP dalam pilihan raya umum akan menambah lagi peminggiran dan menjejaskan 165 juta umat Islam India.

Ahmedabad, bandar terbesar di Gujarat, telah menjadi sebuah metropolis kaya dengan kira-kira enam juta orang dan tiga juta kenderaan persendirian. Kompleks pejabat, pangsapuri tinggi, pasar yang sibuk dan pusat membeli-belah telah menggantikan kampung-kampung orang miskin yang pernah tinggal di tanah itu. Bandar ini mempunyai sistem transit massa yang dipanggil Laluan Rakyat, dengan koridor dikhaskan untuk bas.

Tetapi kemegahan Ahmedabad terhenti di Juhapura, kawasan tempat tinggal di barat daya dan ghetto Muslim terbesar di bandar ini, dengan kira-kira 400,000 orang. Saya membonceng skuter kawan saya untuk melihat sekitar kawasan itu minggu lepas. Sepanjang jalan utama yang berdebu terdapat blok-blok pangsapuri dan pusat-pusat membeli-belah. Sebuah bangunan bertingkat memaparkan tulisan dalam papan tanda neon sebagai sebuah dewan komuniti; sebuah restoran dengan bangga menawarkan tempat makan berhawa dingin. Semakin dalam kita masuk ke dalam kawasan kejiranan itu semakin sempit jalan-jalannya, semakin teruk bangunan itu, semakin ramai yang menghuninya.

Sempadan kawasan itu tiba-tiba muncul. Tidak jauh di belakang kami, deretan rumah kecil satu-tingkat dengan cat yang mengelupas. Di depan, kawasan lapang seluas padang bola, kanak-kanak berkejaran satu sama lain, melompat di atas timbunan bata pecah.”Ini adalah Sempadannya,” kata kawan saya. Di luar padang itu dinding konkrit yang besar dengan kawat duri dan kamera pemantau. Di sebelah sana, kita dapat melihat deretan kemas blok pangsapuri kuning air dengan penghawa dingin yang dilekap di tingkap–perumahan untuk keluarga Hindu kelas menengah.

Enjin pertumbuhan ekonomi Modi nampaknya berhenti di Sempadan itu. Rangkaian basnya yang terkenal berakhir beberapa batu sebelum Juhapura. Laluan landasan kereta api metro yang dirancang juga berhenti jauh daripada kawasan kejiranan itu. Begitu juga dengan saluran paip gas di bandar ini, yang dikendalikan oleh sebuah syarikat yang dimiliki oleh seorang ahli perniagaan jutawan yang rapat dengan Modi.

“Matahari dibenarkan bersinar di Juhapura. Hujan dibenarkan turun di Juhapura. Angin dibenarkan bertiup ke Juhapura, “Asif Pathan, seorang penduduk berusia 41 tahun, berkata dengan sindiran. “Saya mendapat bil cukai air dan membayarnya, tetapi kami tidak mendapat bekalan air paip di sini.” Penduduk tempatan bergantung kepada air telaga yang digali, yang mengeluarkan air masin yang tidak sihat.

Pathan telah tinggal di Juhapura sejak tahun 1988, bapanya, seorang hakim daerah yang telah bersara, membeli sebuah rumah di sini dari seorang lelaki Hindu.”Bapa saya berkata, ‘Apabila ribut datang, kamu tidak mempunyai lebih daripada 10 minit lari,”‘ Pathan merujuk kepada ancaman keganasan kaum. Dalam tahun 1970-an dan awal 1980-an, Juhapura adalah kawasan kejiranan bercampur Hindu-Muslim, tetapi dengan rentetan pertembungan agama di Gujarat–pada tahun 1985, 1992 dan 2002–lebih ramai orang Islam mula pindah di sini, mencari keselamatan di kalangan orang seperti mereka. Prejudis melahirkan rusuhan, dan rusuhan memburukkan lagi prejudis, dan pertambahan penduduk Juhapura hampir dua kali ganda sejak 2002.

Selepas rusuhan tahun 2002, Pathan, seorang guru, mula mengajar kanak-kanak di Juhapura. Dia kemudian berhenti kerja dan dengan sokongan bapanya, dia membeli sebidang tanah yang luas dekat lebuh raya yang melalui Juhapura. Pada tahun 2008 dia memulakan sekolahnya sendiri. Kini, kira-kira 1,300 kanak-kanak di situ menghadiri kelas di di dalam bahasa Gujarati dan Inggeris di bilik darjah yang selesa. “Kami sebenarnya harus menolong diri kami sendiri,” kata Pathan.

Tetapi bantuan kendiri ada hadnya di Juhapura, dan juga di mana-mana pun. Sebahagian besar Narol, kawasan di pinggir selatan Ahmedabad, adalah tanah belukar terbiar yang dimiliki sebuah keluarga politik yang kaya. Selepas kerajaan Modi enggan membantu menempatkan semula mangsa-mangsa rusuhan 2002, beberapa pertubuhan sekular dan Islam bersama dengan pemaju Muslim kecil-kecilan mula merangka sesuatu. Mereka membeli tanah dan membina rumah kongsi. Kira-kira 120 rumah diberikan mengikut undian kepada orang Islam yang terusir dari Naroda Patia, di timur laut Ahmedabad. Kelompok ini dipanggil Warga Nagar, atau Warga Bandar, dan di mana sahaja anda berdiri di kawasan kejiranan buatan kendiri ini anda dapat lihat, setengah batu jauhnya, sebuah gunung berwarna perang yang besar: tempat pembuangan sampah terbesar di bandar Modi ini.

Apabila saya berjalan di sekitar Warga Nagar minggu lalu, gunung perang itu terbakar dan mengeluarkan asap kelabu yang tebal di bawah panas matahari petang. Angin menolak bau asap yang busuk ke arah kawasan rumah kongsi itu. Saya bergelut untuk bernafas dan hampir muntah.

“Tahun demi tahun saya tinggal di sini saya rasa semakin lemah,” kata Mohsin Syed, lelaki 25-tahun dari Naroda Patia yang kini bekerja sebagai tukang kayu di sebuah kilang berhampiran. “Saya tidak lagi dapat berlari seperti mana biasa. Saya tidak dapat makan seperti mana selalu.” Dia mengadu sakit pada sendi, dan katanya dia memerlukan pembedahan untuk batu karang, dan menambah,” Tempat ini, pencemaran ini, mengambil satu dekad dari kehidupan seseorang.”

Bapanya, Najeebudin Syed, seorang lelaki berbadan besar dengan janggut pendek, memberitahu saya bahawa banyak petisyen yang dihantarnya ke pihak berkuasa tempatan menerangkan keadaan hidup di kawasan itu diabaikan. “Sekali seminggu, mereka membawa sampah dari hospital Ahmedabad –kain pembalut, ubat-ubatan, pelbagai jenis sampah. Baunya begitu busuk dan menusuk, yang membuatkan kita dengan sekejap tahu ianya dari hospital, “katanya.

Ada hari-hari tertentu, bangkai binatang dibawa ke tapak buangan itu.

Petang itu, di bilik hotel saya, saya membaca cerita lain dari buku komik “Bal Narendra.” Budak itu berada di kem Kadet Kebangsaan–versi India untuk Eagle Scouts–apabila dia nampak seekor burung merpati di pokok tersangkut dengan tali layang-layang. Dengan mengetap mata pisau cukur di giginya, dia memanjat ke atas, memotong tali itu dan membebaskan burung yang cedera itu. Saya teringat air busuk Juhapura dan bangkai di atas gunung perang, dan tertanya-tanya bagaimana Perdana Menteri Narendra akan menggunakan mata pisau itu.

Basharat Peer adalah pengarang “Curfewed Night,” memoir konflik di Kashmir.

BJP menang besar dalam pilihanraya India Mei lalu. Modi dilantik sebagai Perdana Menteri dengan mandat yang besar yang tidak pernah diperolehi mana-mana Perdana Menteri India sejak 30 tahun yang lalu.~Editor JT

Artikel ini terbit di New York Times dan diterjemah dari bahasa Inggeris.

Amar Chitra Katha DC India Marvel Comics Narendra Modi

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan