patriarch_major

Barangkali The Autumn of The Patriarch bukanlah sebuah tajuk buku pengarangan Marquez yang dikenali ramai, lebih-lebih lagi apabila ia tersepit di celah dua gergasi ciptaan penulis magis realisme itu iaitu 100 Years of Solitude dan Love in the time of Cholera. Tetapi buku yang mengandungi sajak-sajak panjang dalam enam bahagian ini tetap hadir dengan kekuatannya yang tersendiri. Dengan tajuk asal  El otoño del patriarca, ia diterjemah ke dalam bahasa Inggeris dengan cemerlang oleh Gregory Rabassa.

Buku ini siap ditulis sekitar tahun 1975. Beliau dikatakan mengambil ilham daripada diktator-diktator sebenar dalam menyediakan watak tunjangnya. Ia termasuk Generalissimo Francisco Franco yang memeras Sepanyol dan Gustavo Rojas Pinilla dari tanah airnya sendiri di Columbia. Sajak-sajak panjang ini bercerita tentang “Kekuasaan Perseorangan”, di mana Marquez cuba menggambarkan kepada kita  apakah yang akan terjadi apabila kekuasaan – dalam erti politik – dipertanggungjawabkan di atas bahu seorang diktator angkatan tentera?

Membaca The Autumn of the Patriarch bukanlah mudah. Ayat-ayatnya panjang, berbelit-belit, dan kadang-kadang agak mengelirukan. Bahkan sesetengah ayat boleh jadi dua – tiga muka surat panjangnya. Menelaahnya memerlukan daya tumpuan yang tinggi. Ia sejenis buku yang harus dibaca ketika kita sedang mencicip kopi di tengah malam sambil menunggu kantuk – bukan pada waktu menunggu bas yang lambat tiba di perhentian mahupun bacaan santai semasa menunggu tiang lampu jalan raya bertukar dari merah ke hijau.

Membacanya setengah-setengah akan membuatkan kita sesat dan cemas dalam sajak cantik ini. Kita akan meraba-raba  kegelisahan kerana kita tidak akan tahu suara siapakah yang sedang bergema dalam kotak fikiran apabila monolog dan dialog melompat dari satu watak ke satu watak lain tanpa sebarang petunjuk nyata. Sekejap kita merintih sebagai rakyat jelata yang dicukai mahal, sekejap lagi pula kita jadi pembunuh upahan yang sentiasa ditemani seekor anjing besar yang buas, dan tanpa kita disedari, Marquez akan menghimpitkan kita ke dalam minda Tuan Jeneral yang jahat dan licik itu sebelum bertukar-tukar lagi.

Lalu, apakah yang menarik tentang cerita Patriarch ini, selain daripada bentuknya yang rumit tetapi indah?

Marquez mempersembahkan kepada kita seorang diktator yang begitu kejam dalam pemerintahannya. Dia dikatakan menguasai segalanya: daripada mengubah ketentuan kalendar negara, ke perkudaan badan-badan agama, ketakutan ahli-ahli tentera, awam, dan lain-lain yang langsung tidak terjangka minda seorang manusia. Sebagai contoh, dia memalsukan satu kejadian gerhana matahari secara besar-besaran hanya untuk memikat hati seorang gadis sunti, Manuela Sanchez, yang akhirnya tidak membalas cintanya. Dia mendirikan tugu-tugu besar berupa ibunya,  Bendicion Alvarado, di gereja dan di pusat pasar semata untuk menegaskan – aku anak seorang santos. Aku dilahirkan tanpa bapa dan secara ajaib mampu berkata-kata dalam usia semuda tiga tahun. Dia mengebom dan menenggelamkan anak-anak tak berdosa setelah penipuannya dalam loteri awam hampir terdedah kepada umum. Dia menghenyak penentang-penentang dengan begitu keras, sampaikan semuanya habis binasa sebelum mereka sempat menyedari apa-apa.

Salah satu babak yang paling mengesan adalah kematian orang kanan Tuan Jeneral, Jeneral  Rodrigo de Aguilar yang pada waktu yang sama ialah sahabat baik dan teman bermain dominonya. Apabila aku mendapatkan buku ini, aku sering tertanya apakah yang cuba disampaikan dengan kulit buku dengan termuatnya lukisan seorang askar terhidang di atas piring dengan sayur-sayuran terhias di sekelilingnya, dengan orang-orang bawahan mengangkat dulang itu dengan wajah bersusah payah (Ini cetakan versi Picador)? Adakah ini imej surreal semata? Adakah pereka kulit sengaja mahu mempermainkan tanggapan kita terhadap buku ini?

Soalan-soalan ini terus bermain di minda sepanjang pembacaan. Ia akhirnya terlerai apabila kita sampai di pertengahan cerita, di majlis makan malam panglima-panglima tentera angkatan tentera, apabila Tuan Jeneral mengesyaki ada pengkhianatan yang sedang berkembang dan akhirnya memutuskan untuk menghidangkan mayat sejuk  Jeneral Rodrigo de Aguillar di atas meja santapan sebagai amaran kepada ‘bakal’ pembelot-pembelot lain untuk tidak menikam belakangnya. Atau seperti yang sering dia ulangi – supaya anjing-anjing ini tidak menggigit tangan yang menyuapkan mereka makan. “Eat heartly, gentlemen,” pelawa Tuan Jeneral, berseloroh.

Barangkali menarik juga untuk kita ketengahkan pendapat Jose Andon. Professor bidang Persuratan dari Universiti Notre Dame ini berpendapat Marquez membungkus unsur ‘kembar’ (double) sebagai magis buku ini. Kata beliau, unsur ini penting sebagai pantulan yang menjumlahkan jiwa seseorang watak. Ia jejak-jejak yang timbul untuk kita susuri perasaan dan fikiran seorang pemerintah yang bernafsu kekejaman. Menyelak Patriarch, kita akan bertemu dua kembar Tuan Jeneral. Satu, Patricio Aragones. Dua, Saenz de la Barra. Kedua-dua kembar Tuan Jeneral kita memercikkan maksud yang berbeza – tetapi masih berpunca dari titik yang sama.

Sebagai contoh, berbeza dengan Saenz de la Barra, kembar pertama tadi mirip dengan Tuan Jeneral dari sudut badan. Lantas, bagaimana Tuan Jeneral menunggangi Patricio Aragones untuk kepentingan peribadi? Suatu hari, beliau mendengar seorang lelaki yang mirip dengannya menyamar menjadi dirinya untuk mengaut keuntungan. Tuan Jeneral memanggil lelaki ini menghadap. Tetapi dia tak dihukum. Sebaliknya Patricio Aragones dibawa ke kamar bedah, diubah beberapa bahagian tubuh, dan ditegukkan tupentin supaya mereka mirip secara seluruh. Kemudian, Aragones Patricio dipaksa menyarung but, uniform, dan memakai lencana-lencana keagungan pada dada. Dia dibenarkan masuk ke kamar-kamar rahsia dan menggauli perawan-perawan Tuan Jeneral yang jelita. Pendek kata, Tuan Jeneral mengarahkan Patricio Aragones untuk menyambung peniruan dan mengganti tempatnya. Patricio Aragones terus menjadi Tuan Jeneral.

Ini merunsingkan ahli-ahli istana tadi. Mereka jadi gelisah. Kini, beliau boleh berada di dua tempat serentak. Tak lama selepas itu, datang perancangan licik Tuan Jeneral. Dia ‘mematikan’ Patricio Aragones. Pengebumian dibuat, si palsu dikambus, dan Tuan Jeneral bersembunyi sebelum menunggu hari ketiga berkabung. Di tengah majlis kedukaan (konon) itulah beliau melompat secara tiba-tiba untuk memunculkan diri. Cuma kali ini sebagai lelaki yang kononnya ‘melawan fitrah alam’. Dia tidak akan mati-mati. Tuan Jeneral hidup lagi! Dirgahayu Tuan Jeneral! Dirgahayu!

Berbeza dengan si kembar yang mirip, Saenz de la Barra lebih menyerupai sifat-sifat ganas Tuan Jeneral yang terkandung dalam jiwanya. Beliau mahu pemberontak-pemberontak yang melepaskan anjing-anjing liar yang meratah daging Leticia Nazarano, isterinya, dan Emmanuel, anaknya, ditangkap dan diseksa dengan sekeras-keras seksaan. Untuk tujuan itu Saenz dela Barra diupah untuk memainkan peranan. Lelaki yang sentiasa berdamping dengan anjing besar itu – meskipun dalam kelembutan dan rupa kacaknya – menjalankan pembunuhan-pembunuhan dengan ngeri sekali.

Ribuan tahanan terbunuh di dalam bilik bawah tanah. Kebanyakannya terdiri daripada rakyat jelata yang tidak tahan dengan pemerintahan kuku besi. Hanya sesudah matlamat ini tercapai barulah Tuan Jeneral mengundurkan sokongannya dan menuduh Saenz de la Barra sebagai pengganas untuk meraih sokongan awam. Lantaran itu, kembar kedua Tuan Jeneral tadi juga mati dalam keadaan yang menyayat hati. Dia terus diingati semacam ini: “the sudden downfall and public death of José Ignacio Sáenz de la Barra whom God keep roasting on an open flame in the cauldrons of his deep hell.”

Di akhir-akhir buku, Marquez merakamkan kegelisahan dan keresahan yang menjerut Tuan Jeneral. Tiba-tiba kita akan rasa kasihan dengan si penjahat ini. Kita dapat lihat bagaimana beliau dengan rakus cuba merampas kasih sayang rakyat untuk ditumpukan terhadapnya – tetapi mereka tidak pernah memberi dengan rela. Manuela Sanchez juga begitu. Ibunya juga begitu. Malah dalam diam-diam ibunya berdoa supaya sebutir peluru menghinggap kepala anaknya yang degil itu. Sayang sekali tak termakbulkan.

Tetapi bukankah setiap diktator sentiasa dibatasi kuasa, yang akhirnya memenjarakan tubuhnya di dalam penjara? Begitulah kata Plato dalam The Republic. Tuan Jeneral kita kesepian. Dari waktu dia kecil sehingga menyandang jawatan tertinggi negara, beliau tidak pernah mendapatkan kasih sayang yang cukup. Beliau dihampakan dan diusir di mana-mana dia pergi sewaktu umurnya masih dalam jejak-jejak pagi. Dan barangkali sebab itu sekam dalam dadanya pun memberontak menjadi api. Lantas terbakarlah beliau denga negeri yang terasing dan miskin itu.

Agak menghairankan apabila Marquez menulis tentang kekejaman tirani, tetapi pada masa yang sama, menyokong penuh pemerintahan Fidel Casto ke atas Cuba. Bukankah Castro juga bertindak kejam terhadap orang-orangnya sendiri? Tetapi bagi beliau, mungkin lebih baik Fidel daripada Pinochet atau Franco. Lebih bermanfaat untuk ada pemimpin pelampau kiri berbanding pemimpin pelampau kanan – walaupun kita tahu kedua-duanya tidak elok sama sekali.

Tidak ramai yang akan menyukai The Patriarch. Pesan kawanku, ia sejenis buku yang harus dibaca dua kali. Dia tidak berbohong. Meskipun hanya bermuka surat 229 helai, penatnya seperti membaca buku yang dua kali ganda lebih panjang. Melelahkan, tetapi puas.  Gambaran-gambaran tentang kekuasaan politik dan kekejaman tirani begitu jelas; ia akan sentiasa mengusik dan menghantui jiwa kita sebagai pembaca. Ia sebuah karya polemik yang tidak akan luput dalam lipatan-lipatan sejarah.

Untuk Marquez (6 March 1927 – 17 April 2014), belasungkawa diucapkan. Semoga kau menemui kedamaian dan ketenangan di seberang sana.

 

Johan Radzi, mahasiswa undang-undang UiTM