Ai Weiwei
Ai Weiwei

Pada bulan lalu, di dua bandar berasingan, saya terlibat dalam acara yang berkaitan dengan penulisan semula sejarah seni kontemporari China. Di Shanghai, dua karya saya, “Najis” dan “Biji Bunga Matahari,” telah dimasukkan ke dalam pameran memperingati tahun ke-15 Anugerah Seni Kontemporari China. Satu setengah jam sebelum persembahan dibuka, pegawai kerajaan tempatan telah memadamkan nama saya daripada ditulis di dinding pameran itu dan melarang karya seni saya daripada dipamerkan. Beberapa minggu kemudian di Beijing, di bawah tekanan yang sama, Pusat Seni Kontemporari Ullens membuang nama saya daripada maklumat publisiti mengenai persembahan yang akan dianjurkan untuk memberi penghormatan kepada kawan saya Hans van Dijk, yang mana bersama beliau saya telah mengasaskan salah satu ruang seni eksperimen pertama di China. Saya mengambil keputusan untuk menarik keluar semua karya saya dari pameran itu sebagai protes.

Dalam kedua-dua kes itu, karya-karya berkenaan dianggap tidak kontroversi secara sendirinya. Tujuannya adalah untuk membuang apa-apa sahaja rujukan kepada saya dan karya saya untuk memastikan saya hilang daripada mata awam menjelang ulang tahun ke-25 pembunuhan beramai-ramai Tiananmen Square pada tahun 1989. Peguam dan rakan saya Pu Zhiqiang telah menderita lebih teruk: Beliau dan empat yang lain baru-baru ini ditahan kerana berbincang tentang Tiananmen–beliau terlibat sebagai salah seorang mahasiswa demonstran–dalam satu pertemuan.

Pu Zhiqiang adalah salah seorang daripada beberapa orang di negara ini yang memperjuangkan supaya tidak ada sejarah negara ini dipadamkan. Saya juga telah disekat bukan kerana kandungan kerja saya, tetapi kerana saya seorang yang menekankan tentang fakta, yang mahu pengakuan sejarah dan sentiasa menyuarakan kebimbangan tersebut di Internet. Ini semua adalah dosa-dosa di China hari ini– terutamanya sekarang, menjelang ulang tahun peristiwa Tiananmen.

Pelupaan China moden tidak bermula atau berakhir dengan Tiananmen. Malah sebelum musim panas tahun 1989 itu, berpuluh-puluh kejadian yang lebih gelap dan lebih kejam tersembunyi dalam sejarah China. Pemimpin hari ini tidak dapat mengakui ideologi yang didokong mereka sebelum 1949, yakni prinsip-prinsip yang telah membantu pihak Komunis mendapatkan kuasa daripada Kerajaan Nasionalis: mewujudkan masyarakat yang demokratik dan mematuhi undang-undang, mengakhiri sistem satu parti dan mempunyai sistem kehakiman yang bebas. Pada tahun 1989, pelajar-pelajar di Dataran Tiananmen menuntut perkara yang sama. Semenjak itu, perkara-perkara tersebut menjadi sesuatu yang tidak dapat disebut.

Semasa hayat Mao, dia memulakan berpuluh-puluh gerakan politik yang mana tidak ada satu pun diperiksa semula oleh parti dengan cara yang telus. Topik yang besar seperti Revolusi Kebudayaan dan Lompatan Agung tidak mempunyai pemeriksaan semula yang diterima semua. Oleh kerana tidak ada perbincangan tentang peristiwa-peristiwa ini, China masih tidak mempunyai pemahaman terhadap akibat yang diberikannya. Penapisan fakta telah memandulkan masyarakat, mengubah mereka menjadi makhluk yang rosak. tidak rasional dan tak bertujuan.

Di Barat, terdapat orang-orang yang berfikir bahawa kumpulan baru pemimpin entah bagaimana boleh membawa perubahan kepada China – bahawa “reformis” akhirnya boleh mengatasi “kumpulan garis keras” dalam parti. Namun ketika China telah mencapai kemajuan dalam pelbagai cara sejak tahun 1989, sistemnya tidak. Bagaimana ia mampu, apabila mereka yang mentadbir sekarang ini enggan menganalisis atau membincangkan moraliti keputusan yang lalu? Bagaimanakah kerajaan yang mengubah atau  memadamkan sepenuhnya  sejarah, dapat mengakui kelemahannya dan mengubah tindakan pada masa akan datang?

Kami rakyat China turut sama  bersalah . Walaupun masyarakat China telah melalui beberapa perubahan yang paling melampau dalam sejarah manusia dalam 25 tahun yang lalu, di sudut nilai, amat sedikit telah berubah. Kebanyakan kita terutama sekali prihatin dengan keperluan harian dan impian – pekerjaan, pendidikan, apartmen – dan tidak akan memberi banyak usaha atau pengorbanan untuk mencapai apa-apa lebih daripada itu.

China telah memilih untuk lupa, atau membenarkan kelupaan – satu sikap yang sukar difahami oleh Barat. Ini memberikan China satu cara untuk membebaskan dirinya daripada kritikan diri, dan juga beban moral yang lebih berat. Lebih penting, ia membebaskan China dari tanggungjawab atas tindakan dan penerimaan mereka.

Jika China telah berjaya melakukan keajaiban ekonomi sejak 1989, amnesia yang dikenakan pada diri sendiri ini juga satu bentuk keajaiban China. Pemikiran mereka tidak akan berubah sehingga rakyat China sendiri memahami bahawa kekurangan maklumat yang tepat mengenai masa lampau mereka sendiri merosakkan kesejahteraan mereka sama seperti udara yang tercemar atau rasuah.

Berapa lama China dapat terus berada jalan melupakan ini? Dengan Internet dan globalisasi mendedahkan kepada rakyat kebenaran yang jelas di tempat lain di dunia ini, negara ini sedang menghadapi krisis kredibiliti dalaman. Kehilangan kepercayaan dan asas moral yang sama antara individu dan negara adalah isu yang paling berbahaya yang dihadapi rejim hari ini. China tidak boleh bergerak ke hadapan melainkan ia pertama sekali berhadapan dengan masalah ini – bukannya mengekangnya seperti begitu banyak perkara lain dalam sejarah kita.

 

Ai Weiwei, seniman China.

 

Diterjemah Ikram Hamid dari bahasa Inggeris.