Drama hudud timbul lagi, dan seperti biasa, pelakon utamanya adalah kerajaan Negeri Kelantan melalui barisan exconya diketuai Dato Ahmad Yaacob selaku Menteri Besar. Cuma bezanya kali ini, drama ini turut menampilkan beberapa figur politik UMNO yang menjadi ‘protagonis’, seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Seri Jamil Khir Baharom yang memberi jaminan akan kesediaan kerajaan persekutuan untuk meluluskan rang undang-undang hudud tersebut sekiranya ia dibentang di parlimen.

Sama ada kenyataan beliau itu benar-benar menggambarkan keikhlasan politik UMNO atau sekadar wayang murahan, itu saya tidak pasti. Cuma saya yakin, rakyat sudah semakin cerdik dan boleh menilai tindak-tanduk UMNO sepanjang 21 tahun isu ini berlegar dalam kancah politik negara sejak tahun 1993.

Dalam membicarakan soal pelaksanaan undang-undang hudud dalam negara ini, kita perlu membicarakannya dari dua aspek; pertama dari segi teknikal merangkumi prosedur perlembagaan, pindaan dan penggubalan akta-akta berkaitan, persediaan logistik dan kakitangan pelaksanaan melibatkan polis, mahkamah dan sebagainya.

Manakala aspek kedua ialah isi kandungan undang-undang itu sendiri; kesesuaian mengikut konteks semasa, penerimaan dan pemahaman rakyat, sumber rujukan dalam penggubalan dan apakah ia benar-benar mampu menterjemahkan prinsip-prinsip ‘Maqasid Syariah’ (tujuan tertinggi syariat Islam) yang menekankan aspek keadilan dan kesejahteraan.

Hudud dan Sistem Undang-Undang Negara

Pertikaian mengenai isu hudud dari sudut perlembagaan sebenarnya tidaklah terlalu sukar untuk difahami walaupun bagi sesiapa yang tiada sijil atau latar belakang dalam pengajian undang-undang. Antara isu yang dibangkitkan ialah konflik yang mungkin akan timbul melibatkan Perkara 7 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa seseorang itu tidak boleh dibicarakan lebih daripada sekali di atas kesalahan yang sama.

Situasi ini tidak mustahil berlaku jika undang-undang hudud berjaya dilaksanakan memandangkan di sana sudah ada Akta Kanun Keseksaaan yang turut sama-sama memperincikan soal jenayah. Maka jika seorang pencuri telah dibicarakan di bawah Kanun Keseksaan, dia juga masih tertakluk kepada Enakmen Jenayah Syariah Kelantan yang turut memperuntukkan hukuman untuk kesalahan mencuri.

Selain itu, pelaksanaan undang-undang ini juga akan menimbulkan situasi ‘double standard’ dan ketidaksamaan terhadap rakyat memandangkan pimpinan PAS berulangkali menegaskan bahawa hudud hanya terpakai untuk orang Islam sahaja. Sekali lagi, timbul konflik dengan Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas menyatakan; Perkara 8(1) ‘Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang’ dan (2) ‘..tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama…’.

Jelasnya, undang-undang hudud ini telah membeza-bezakan hukuman berdasarkan pegangan agama sedangkan dalam konteks kehidupan bernegara, setiap rakyat sepatutnya tertakluk kepada undang-undang yang sama dan selaras.

Manakala dari segi isi kandungan dan peruntukan dalam rang undang-undang itu sendiri agak bermasalah dan tidak terlepas daripada kritikan. Profesor Muhammad Hashim Kamali umpamanya- seorang  pakar dalam bidang undang-undang Islam kelahiran Afghanistan dan pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia- telah menulis sebuah buku; Punishment in Islamic Law- An Enquiry Into The Hudud Bill of Kelantan dengan mengemukakan kritikan, cadangan dan penambahbaikan terhadap rang undang-undang tersebut.

Dalam buku tersebut, Hashim Kamali telah mengenengahkan beberapa persoalan dan pandangan alternatif terhadap beberapa isu yang menjadi pertikaian seperti  pembuktian had zina, kekeliruan mengenai kesalahan rogol dan zina, persoalan tentang sama ada murtad dihukum bunuh atau tidak dan keabsahan hukuman rejam terhadap  penzina yang telah berkahwin.

Sebahagian daripada persoalan-persoalan ini amat jarang dibincangkan oleh masyarakat awam, maka tidak menghairankan ia dianggap sebagai kata putus yang telah ditetapkan oleh Allah dan kita tiada lagi ruang untuk ijtihad-ijtihad baru.

Murtad: Dihukum Atau Tidak?

Ambil contoh kesalahan murtad umpamanya. Pandangan yang paling popular dalam kalangan masyarakat, malah kalangan pelajar jurusan agama sekalipun, hukuman bagi orang yang murtad dari agama Islam ialah hukuman bunuh. Namun, sebenarnya di sana terdapat perbincangan yang panjang dan perincian yang lebih jelas mengenai hukuman murtad ini.

Hashim Kamali sendiri, dalam buku yang sama, telah membezakan antara murtad (apostacy) dengan ‘blasphemy’ iaitu serangan dan penyinggungan terhadap sensitiviti penganut Islam. Pembezaan dan pembahagian ini langsung tidak disentuh dalam rang undang-undang tersebut. Perkara ini perlu diteliti memandangkan kita sedang membicarakan soal penentuan hukum bunuh dan melibatkan nyawa manusia, maka undang-undang yang diperuntukkan perlulah menyediakan definisi yang jelas tentang kesalahan tersebut.

Manakala Dr Taha Jabir Al-Alwani telah menulis sebuah buku khusus untuk membicarakan tentang permasalahan ini: Tiada Paksaan Dalam Agama (Laa Ikraaha Fiddin) yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Institut Kajian Dasar. Dalam buku tersebut, beliau telah mengemukakan pelbagai hujah dalam membicarakan persoalan seputar isu hukuman terhadap orang murtad ini. Antaranya beliau menyebut bahawa di dalam Al-Quran, terdapat dua belas ayat yang membicarakan berkenaan riddah tanpa disebut hukuman duniawi yang patut dikenakan terhadap pelaku murtad.

Ini menurut beliau, menimbulkan kemusykilan yang munasabah; mengapa hukuman-hukuman hudud yang lain seperti zina, mencuri dan ‘hirabah’ (merompak) disebut secara khusus dalam Quran, tapi tidak dalam kes murtad? Jika ianya disyariatkan, sudah pasti Allah akan menyebutkan secara jelas di dalam kitab-Nya.

Beliau turut menambah bahawa hampir dua ratus ayat Quran telah menegaskan  jaminan kebebasan beraqidah dan berkeyakinan daripada Allah sendiri, selain menjadikan hukuman terhadap mereka yang kafir dan murtad sebagai hak mutlah Allah di akhirat kelak. Bahkan apabila ditelusuri sirah Rasulullah, telah berlaku beberapa kejadian murtad di zaman baginda tanpa dihukum pelaku-pelaku murtad tersebut.  Adapun hadis yang biasa digunakan sebagai dalil oleh kelompok yang pro kepada hukuman murtad ini, iaitu:

(من بدل دينه فاقتلوه ( رواه البخاري
Barangsiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah ia! (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Hadis ini walaupun diriwayatkan oleh Imam Bukhari, namun sebenarnya apabila para ulama silam dan kontemporari meneliti hadis ini, terbukti sanad perawi (rantaian penyampai hadis) adalah lemah kerana terdapat seorang perawi tabi’in yang bernama Ikrimah, yang dipertikaikan kredibilitinya oleh sekalian para ulama seperti Said bin Jubair, Said bin Musayyab, Ibnu Sirin dan Ibnu Umar. Bahkan Ibnu as-Solaah, pakar dalam ilmu musthalah hadith telah mengkritik Imam Bukhari kerana menerima pakai hadith yang diriwayatkan oleh Ikrimah ini.

Selain itu, pandangan yang menyatakan murtad tanpa disertai tindakan pemberontakan terhadap negara dan komuniti yang mengkucar-kacirkan kehidupan bermasyarakat turut disokong oleh ramai cendekiawan Muslim kontemporari seperti Dr Tariq Ramadan- tokoh pemikir Muslim Eropah yang juga cucu kepada Asy-Syahid Hassan al-Banna, Syeikh Rashid Ghannouchi- pemimpin Parti An-Nahdhah di Tunisia, Dr Subhi Soleh- ulama kelahiran Lubnan, Dr Muhammad Salim al-‘Ewa- ulama Mesir yang turut bertanding dalam pilihanraya presiden yang lepas, Dr Ahmad ar-Raysouni- pakar Maqasid Syariah kontemporari dari Maghribi, Syeikh Muhammad Abu Zahrah- bekas ahli akademi penyelidikan Islam di Universiti al-Azhar,  Almarhum Syeikh Mahmud Syaltut, mantan Syeikhul Azhar dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Beberapa tokoh Muslim dari pelbagai latar belakang turut mendokong pendapat ini dan telah menyatakannya secara terbuka, termasuklah Dr Mohammed Morsi, Presiden rakyat Mesir yang sah dan Dr Tariq al-Suwaidan, pemimpin Ikhwanul Muslimin di Kuwait. Jauh sebelum itu, telah dinaqalkan beberapa riwayat daripada para ulama’ salafussoleh yang menyatakan bahawa tidak wajibnya menerapkan hukuman riddah(murtad), antaranya Saidina Umar al’Khattab, Sufyan al-Tsauri dan Ibrahim an-Nakha’ie. Maka berdasarkan sekian banyak ulama yang berpandangan demikian, maka pandangan bahawa hukuman bunuh terhadap orang murtad secara mutlak adalah ijmak (konsensus atau sepakat), tertolak dan boleh dianggap tidak tepat.

Kerelevenan Hukuman Rejam Terhadap Penzina

Satu lagi isu hangat yang dibincangkan dalam kerangka hudud ialah hukuman rejam sampai mati terhadap penzina. Pandangan ini adalah pandangan popular yang tersebar dalam kalangan muslim, sehingga amat jarang sekali pandangan yang berbeza dikemukan oleh mana-mana sarjana, baik silam mahupun kontemporari.

Dalam isu ini, Al-Fadhil Ustaz Wan Ji Wan Hussain telah mengupas dengan sangat baik dalam artikelnya ‘ Wacana Rang Undang-Undang Hudud Kelantan: Hukuman Rejam’. Antara hujah yang beliau gunakan ialah dalil bagi hukuman rejam ini hanya sabit melalui hadis-hadis yang bersifat ‘aahad’ ( diriwayatkan oleh perawi yang sedikit jumlahnya, walaupun tetap dianggap sahih), dan Quran pula tidak pernah menyebut mengenainya.

Bahkan Quran secara umum telah menyatakan bahawa hukuman rejam- tanpa mengkhususkan sama ada penzina itu telah berkahwin (muhsan) atau belum (ghairu muhsan)- adalah sebatan sebanyak 100 kali rotan. Maka berdasarkan ayat ini, Syeikh Muhammad Abu Zahrah telah membuat kesimpulan, bahawa hukuman rejam yang dilaksanakan di zaman awal Islam itu, sebenarnya adalah termasuk dalam kategori Syar’u Man Qablana, iaitu syariat agama terdahulu (Yahudi) dan telah dimansukhkan oleh ayat Quran Surah An-Nur ayat 2:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِئَةَ جَلْدَةٍ
Penzina wanita dan penzina lelaki, hendaklah kamu sebat mereka dengan 100 kali sebatan

Selain itu, dalam mazhab Hanafi, hadis ahad- dalam konteks ini ialah hadis-hadis mengenai rejam- tidak boleh mengkhususkan umum ayat Quran yang melarang daripada menngambil nyawa seseorang. Oleh kerana memelihara nyawa itu penting, maka hanya dalil-dalil yang bersifat mutawatir sahaja yang diterima untuk menyabitkan hukuman bunuh seperti Qisas dan Muharabah (pemberontakan bersenjata).

Selain itu, salah satu kaedah fiqh ( القواعد الفقهية) ada menyebutkan:

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح
Yang bermaksud, mencegah keburukan itu adalah lebih diutamakan berbanding mencapai atau membawa kebaikan

Dalam zaman sekarang, hukuman rejam dianggap sebagai hukuman yang sangat kejam, primitif dan tidak berperikemanusiaan (walaupun hukuman mati menggunakan kerusi eletrik juga tidak kurang meyeksakan), dan media-media Barat sering memaparkan imej-imej yang memburuk-burukkan syariat Islam. Maka amatlah wajar bagi kita untuk sekurang-kurangnya- jika masih berkeras juga mahu melaksanakan hukuman rejam- supaya menangguhkannya terlebih dahulu sehingga kesalahfahaman dan salah tanggapan  mengenainya benar-benar terlerai. Satu lagi kaedah fiqh yang penting dalam membicarakan soal politik Islam (Siyasah Syar’iyyah) juga ialah:

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة
Tindakan pemerintah itu mestilah tertakluk kepada kemaslahatan rakyat

( Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, Dr Abdul Karim Zaidan)

Masih banyak lagi sebenarnya isu-isu dan percanggahan yang meliputi rang undang-undang ini. Penulis cuma menyebut sebahagian daripadanya sahaja sekadar untuk menyatakan bahawa hudud ini, meski didakwa hukum Tuhan, penggubalannya tetap daripada hasil tangan manusia dan tidak terlepas daripada sebarang kesalahan, kritikan, cadangan dan penambahbaikan.

Saya secara peribadi tiada masalah dengan undang-undang hudud ini, kerana jika rakyat Kelantan sudah bersepakat untuk melaksanakannya, kita tidak berhak untuk menghalang. Cuma satu persoalan yang wajar difikirkan adalah, mengapa rang undang-undang ini dikemukakan di kala masih banyak lagi masalah asasi berkaitan ketidakadilan masih berlaku. Adakah tindakan ini hanya gimik politik untuk mengalih isu (red herring)?

 

Luqman Tarmizi, mahasiswa Tahun 1, Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, Universiti Sains Islam Malaysia.

Abdul Hadi Awang Ahmad ar-Raysouni- Ahmad Yaacob Hassan al Banna Ibrahim an-Nakha’ie Muhammad Abu Zahrah Muhammad Salim al-‘Ewa Rashid Ghannouchi Subhi Soleh Sufyan al-Tsauri Syeikh Mahmud Syaltut Tariq al-Suwaidan Umar al’Khattab Wan Ji Wan Hussain

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan