mandela_major
Saya masih ingat tahun lalu semasa di Jerman menghadiri kursus mengenai Perubahan Iklim, berkenalan dengan dua orang peserta dari Afrika Selatan. Seorang daripadanya ialah ahli parlimen. Sejak mula, ada sesuatu yang bermain di fikirannya apabila mengetahui saya berasal dari Malaysia. Ini didiamkannya selama beberapa hari sebelum kami berpeluang berbual lebih panjang.

Beliau ingin tahu lebih lanjut mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diamalkan di Malaysia. Sebagai pendokong idealisme pasaran terbuka, beliau tahu tentu saya faham mengapa dasar demikian merbahaya. Sebab sebenar beliau bertanyakan persoalan tersebut kerana ada usaha besar di Afrika Selatan untuk melaksanakan dasar ekonomi berasaskan DEB.

Saya tidak tahu secara pasti bagaimana idea DEB boleh sampai ke Afrika Selatan. Berkemungkinan besar ia berlaku kerana hubungan Dr. Mahathir dan Mandela. Atau, saya fikir, kerana rekod penurunan kadar kemiskinan di Malaysia sejak pelaksanaan DEB yang diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai antara yang paling menakjubkan.

Sejarah Malaysia dan Afrika Selatan mungkin tidak sepenuhnya sama kecuali ada rasa ‘tertinggal’ dalam kalangan kelompok majoriti kaum peribumi atas faktor-faktor yang sebenarnya lebih rumit daripada apa yang sering digambarkan di pelbagai medium.

Dulu, sebelum Merdeka dan pembentukan Malaysia, negeri-negeri terbahagi kepada beberapa kategori – Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Negeri-Negeri Selat dan juga Borneo (Sabah dan Sarawak). Ketua bagi negeri-negeri ini berbeza. Ada yang diketuai oleh seorang Raja, ada yang dipimpin oleh Residen British. Ini berbeza dengan Afrika Selatan yang ditadbir oleh minoriti kaum kulit putih.

Konflik sentiasa ada di kedua-dua negara. Pelbagai bentuk dan pelbagai pendekatan perjuangan serta  cara menanganinya. Persamaan ketara, pada pengamatan saya, ialah garis kaum yang dipakai dalam memajukan pandangan politik, ekonomi dan sosial.

Ini perlu diberi lebih perhatian. Sementara kita menyelesaikan sesuatu perkara, jangan pula masalah lain turut sama dimulakan.

Di sinilah beberapa pengalaman dalam perjuangan Mandela penting untuk kita jadikan iktibar.

Sebenarnya, perjuangan Mandela pada awalnya tidak lebih daripada perjuangan anti-kolonial yang juga berlaku di banyak tempat, termasuk Malaysia. Sebagai seorang lulusan dalam bidang undang-undang, tidak hairanlah Mandela tampil sebagai antara pemimpin utama gerakan anti-kolonial. Beberapa kali, beliau ditangkap tetapi tidak berjaya disabitkan bersalah, kecuali sekali di mana beliau telah dipenjara selama lima tahun atas tuduhan ke luar negara.

Selepas pembebasannya, kepimpinannya semakin diterima. Memang, dalam sejarah, bagi mereka yang berjuang, penjara sebenarnya adalah ‘universiti’ dan bebas daripadanya bererti ‘menerima ijazah’. Sebab itu, pemerintah kuku besi, atau yang berkecenderungan demikian, akan memilih untuk sama ada membunuh atau mengenakan hukuman tahanan seumur hidup, atau sekurang-kurangnya sehingga seorang tahanan sudah terlalu tua atau serik.

Perjuangan anti-apartheid diteruskan. Meskipun ia disuarakan secara aman melalui siri perhimpunan, sebaran risalah atau ceramah, layanan jarang sekali baik. Kemuncaknya ialah apabila 69 orang mati dan 180 orang direkodkan tercedera apabila polis melepaskan tembakan semasa mereka berhimpun untuk membantah undang-undang yang mensyaratkan kaum kulit hitam membawa pas kebenaran untuk mereka bergerak dalam negara (paspot dalaman).

Sejak itu, penentangan tidak lagi percaya kepada cara aman dan ia menjadi sebahagian hujah Mandela semasa Perbicaraan Rivonia pada tahun 1962 semasa membuat kenyataan dari kandang tertuduh. Ia sekurang-kurangnya berhasil mengalih hukuman mati kepada penjara seumur hidup.

Dalam ucapannya yang mahsyur itu, Mandela mengisahkan tentang perjuangan membela negaranya di mana adalah sesuatu yang terhormat bagi dirinya untuk sama menyumbang kepada perjuangan kebebasan. Beliau menegaskan meningkatnya penentangan secara kekerasan sebenarnya lahir daripada renungan mendalam terhadap penindasan yang berlaku sejak sekian lama, bukan kerana keseronokan memilih cara demikian.

Ia, menurut Mandela, adalah kesan daripada dasar pemerintah dan kekangan terhadap suara-suara bantahan yang sah atas nama undang-undang. Perjuangan yang dibuat secara aman selama puluhan tahun adalah bukti bahawa yang terus menekan sebenarnya ialah dasar-dasar pemerintah yang tertutup dan sikap keras pemerintah dalam melayani bantahan.

Mandela kemudiannya dihantar ke Pulau Robben. Hukuman terhadap beliau dan beberapa pimpinan lain tidak mematikan penentangan anti-apartheid secara kekerasan, sebaliknya ia kian meningkat. Cuma kali ini tidak ada tokoh yang cukup kuat untuk menghentikannya. Malah, isteri Mandela sendiri berada di barisan hadapan mempromosi keganasan ini. Afrika Selatan kucar-kacir.

Situasi dalam negara dan desakan luar negara telah memaksa presiden baru Afrika Selatan, F. W. de Klerk mempertimbangkan pembebasan Mandela dan rakan-rakannya. Ini berlaku selepas 27 tahun! Ia juga boleh dianggap sebagai nasib baik memandangkan de Klerk sendiri, berasaskan keyakinan peribadi sebagai penganut Kristian, percaya bahawa ia adalah keputusan yang cocok dengan keyakinannya. Cuma, yang menjadi kebimbangan ramai penasihatnya, proses balas dendam mungkin berlaku sekiranya pembebasan dibuat.

Mereka juga bernasib baik. Selepas rundingan dibuat, Mandela menunjukkan ketetapannya memegang prinsip keamanan. Sebagaimana beliau menolak penindasan kaum kulit putih kepada kaum kulit hitam, begitulah juga beliau menolak penindasan kaum kulit hitam kepada kaum kulit putih.

Ini sebenarnya tidak mudah. Mandela bukan sahaja diberi label pengkhianat oleh pengikut yang pernah menyanjungnya. Malah, beliau terpaksa membuat keputusan sukar untuk berpisah dengan isterinya.

Selepas meyakinkan majoriti rakyat akan perubahan yang ingin dibawanya, beliau telah berjaya dipilih melalui pilihan raya bebas yang pertama bagi Afrika Selatan di mana kaum kulit hitam turut dibenarkan mengundi. Segera, selepas membentuk kabinetnya, beliau memastikan pentadbirannya mencerminkan semangat muhibah pelbagai kaum.

Beliau menghabiskan banyak masa untuk meyakinkan rakyat Afrika Selatan bahawa mereka dan negara itu boleh mencapai yang lebih banyak dan lebih baik jika bekerjasama. Menurutnya, “jika kamu mahu mencapai keamanan dengan musuh, kamu mesti bekerjasama dengannya. Nanti kamu akan menjadi rakan.” Baginya, tidak ada sesiapa yang dilahirkan untuk membenci pihak lain kerana warna kulit atau latar belakang dan kepercayaan mereka. Manusia, menurutnya, belajar membenci dan jika mereka boleh belajar membenci, bererti mereka boleh diajar untuk mempunyai rasa cinta atau kasih sayang yang lebih dekat dengan jiwa manusia.

Komitmen Mandela tentulah berbeza dengan sesetengah pemimpin yang percaya perbezaan kaum dan agama adalah peluang yang boleh dimanipulasi untuk mereka berkuasa dan kekal berkuasa. Tambahan pula, pengaruh yang ada digunakan untuk terlibat dalam organisasi yang tidak kering membawa mesej kebencian antara kaum.

Pengalaman Mandela ini mengingatkan saya kepada ucapan Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia pada tahun 1993: “Adalah menyedihkan ketika dunia tangkas mengecil menjadi perkampungan global, kita  menyaksikan kemunculan semula kebencian kaum dan agama yang buruk. Pada masa lalu, agama dan nasionalisme telah menjadi daya pembebasan yang hebat untuk kemerdekaan negara dan menentang dominasi manusia terhadap manusia lain. Kini sebaliknya, agama telah dimanipulasi oleh ahli-ahli politik yang tidak berprinsip, mereka yang bankrap idea, berkembang dengan cara menghidupkan ketegangan dan memanipulasi sentimen keagamaan.

Mandela mungkin telah pergi meninggalkan kita semua pada awal Disember tahun lalu tetapi beliau telah meninggalkan banyak perkara yang boleh dijadikan iktibar oleh kita semua.

Mandela mengingatkan bahawa untuk kita mencapai kebebasan bukanlah bermaksud melepaskan diri daripada belenggu yang merantai kita, tetapi untuk hidup dengan cara menghormati dan meningkatkan kebebasan pihak lain.

Tidak hairanlah, sepanjang hidupnya, beliau diberikan 250 pingat penghormatan dan dinamakan sebagai penerima Anugerah Nobel Keamanan pada tahun 1993.

Saya percaya, dalam krisis hubungan kaum dan agama di Malaysia, pengalaman dan pendirian Mandela sedikit sebanyak boleh kita teladani bersama.

 

Amin Ahmad ialah Pengarah Pengasas, Institute for Leadership and Development Studies (LEAD) (www.lead.my)