mandela_major

Pada hari Khamis yang lalu (tanggal 6 Disember 2013), dunia telah dikejutkan dengan kematian seorang lagi pejuang kebebasan dan simbol perpaduan – kali ini dari Afrika Selatan. Nelson Mandela, dengan senyumannya yang ikhlas dan kata-katanya yang bisa membelah hati-hati bagi siapa yang mendengar syarahannya, akhirnya tewas dalam pergelutannya dengan pelbagai penyakit, jangkitan paru-paru terutamanya. Ajalnya tamat pada usia 95.

Lelaki yang meringkuk di penjara kekuasaan selama 27 tahun, yang dipukul keras dan dikerah kerja, adalah satu keajaiban bagi negara yang bergolak itu. Dari sebuah negara yang dirantai tiang-tiang apartheid, Mandela, atau Madiba (panggilan terhadap suku etnik yang dari mana dia datang), memimpin mereka menuju ke sebuah negara demokrasi dengan rencam kaum yang berbagai.

Agak mengejutkan, ya, tentang bagaimana lelaki yang muncul dari penjara setelah bertahun-tahun lamanya ini langsung memaafkan musuh-musuhnya. Dengan suara yakin dia bilang “Setelah aku keluar dari pintu menuju ke pembebabasan, aku tahu sekiranya aku masih tidak meninggalkan kekecewaan dan kebencian di belakang, aku akan masih terkurung di penjara.”

Nelson Mandela dikatakan menggemari puisi. Dari filem ‘Invictus’ yang diangkat daripada buku ‘As playing the Enemy’ oleh John Carlin, kita akan dapati Mandela (yang dilakonkan dengan cemerlang oleh Morgan Freeman) mendapat semangat kental sesudah membaca puisi ‘Invictus’ karya William Ernest Henley sepanjang beliau terkurung di penjara.

Puisi ini amat bermakna bagi beliau. Ia melembutkan jiwanya, memperkukuhkan pegangannya, menguatkan jati dirinya, sehingga apabila beliau keluar dari penjara, beliau seolah-olah seperti dilahirkan semula dengan kekuatan yang baru.

Puisi  ini pada asalnya tidak bertajuk. Sementara kita tahu puisi ini pernah diterbitkan dalam Book of Verses (1875), ia akhirnya diberikan tajuk oleh editor Arthur Quiller-Couch apabila puisi itu turut dimuatkan sekali ke dalam The Oxford Book of English Verse. Tajuk puisi itu – Invictus – memercikkan makna “tak tertunduk” dalam bahasa latin.

Beikut adalah terjemahan puisi itu ke dalam bahasa Melayu.

 

Invictus

Di malam yang menyelubungiku
Hitam seperti lubang antara kutub ke kutub
Aku bersyukur kepada mana-mana dewa
Untuk jiwaku yang tak tertaklukkan.

Dalam perangkap keadaan yang mengurung
Aku tidak mengenyit atau meraung
Di bawah peluang yang menghentak keras
Kepalaku berdarah, tapi tidak pernah menunduk.

Merentasi tempat penuh kemurkaan dan air mata
Bayang-bayang ngeri menghantui
Tetapi kejahatan bertahun
Menemui,dan bakal menemuiku, tidak gentar.

Tidak kisah akan sulitnya pintu gerbang,
Akan hukuman di dalam skrol
Aku adalah tuan bagi takdirku;
Aku adalah nakhoda bagi jiwaku.

 

William Ernest Henley