Mindgame, 2011 oleh Haslin Ismail
Mindgame, 2011 oleh Haslin Ismail

Segalanya bermula apabila aku tertinggal telefon bimbit kamu yang aku pinjam di studio lukisan Haslin dua minggu lepas. Jangan ditanya bagaimana aku boleh tertinggal telefon bimbit itu. Tapi itulah takdir yang Tuhan telah tetapkan padaku, supaya aku dapat ceritakan kisah ini pada kamu, dan supaya kamu tahu tentang nasib telefon bimbit kamu.

Kamu kenalkan si Haslin itu? Pelukis fantasi grotesk yang melukis makhluk-makhluk aneh yang kelihatan seperti makhluk daripada watak cerita Tim Burton. Ya, seperti watak Jack Skellington dalam Nightmare Before Christmas, yang kurus keding melidi seperti kurang makan, atau tidak makan itu.

Dan ada juga lukisannya tentang makhluk seperti dalam anime-anime karya Murakami. Oh, bukan Murakami, tapi Miyazaki. Murakami itu novelis kegemaran kamu, aku tahu. Selalu juga aku keliru dengan nama-nama orang Jepun ini.

Tapi maaf ya sahabat, novel Murakami telah cuba ulangkali aku habiskan, tetapi tidak pernah berjaya. Mungkin kerana novel itu membosankan, atau mungkin juga kerana aku membacanya daripada ebook. Ah, tapi itu cerita lain pula.

Kamu tahu bukan karya-karya Hayao Miyazaki ini? Makhluk dalam lukisan Haslin itu mungkin serupa yang di dalam Spirited Away. Atau mungkin juga Puteri Mononoke. Entah apa tajuk, aku sudah lupa. Ala. Kau pernah tonton Spirited Away? Kisahnya seperti karya hebat Alice in Wonderland, tapi bagi aku yang ini lagi sedih. Dan hebatnya Spirited Away sehingga pernah menangi Oskar. Oskar Hollywood itu. Ah, balik nanti aku ceritakan.

Jadi aku terpaksa berpatah balik ke studio Haslin. Padahal aku sudah dalam sepuluh minit perjalanan. Sepatutnya aku turut saja pepatah orang-orang lama, jangan berpatah balik apabila sudah dalam perjalanan. Pesanan orang-orang tua banyak hikmah rupanya. Baru aku tahu. (Tetapi bab punggung kena bisul kalau duduk di atas bantal itu belum aku percaya sepenuhnya lagi. Dan kamu jangan tanya kenapa.)

Tapi kamu tahu kan aku, aku sangat amanah dalam kes pinjam-meminjam ini. Tuhan marah. Lebih lagi kalau barang itu barang kamu.

Jadi aku berpatah balik ke studio Haslin. Naik ke rumah kedai tiga tingkat itu. Di sebelah bangunan masjid biru. Studionya di tingkat 2. Tingkat bawahnya kedai runcit yang berbau agak hapak.

Aku dapati pintu studio tidak berkunci. Aku tidak hairan sangat kenapa tidak berkunci, kerana dalam keadaan studio yang semak-kelamkabut begitu, aku kira tidak ada siapa pun yang ingin jenguk masuk ke dalam. Tambah pula, studio itu berwajah suwer dan tidak punya apa pun barang berharga. Kecuali lukisan-lukisan Haslin yang jika disimpan lama, akan tambah bernilai. Seperti lukisan Van Gogh yang terakam gambar bunga Matahari itu. Kau tahu berapa harga lukisan Van Gogh itu selepas seratus tahun kemudian? $82 juta! Dolar tau, bukan ringgit! Ah, tapi apa pencuri barangan tahu tentang lukisan, kan?

Aku memandang sekeliling. Mencari di mana tempat terakhir aku tinggalkan telefon bimbit kamu.

Tiba-tiba aku terdengar bunyi daripada kamar yang berkunci di sebelah kanan studio. Ah, rasa curiga itu tibatiba menjengah dan menyelinap jiwa dan perlahan-lahan aku menuju ke kamar itu.

Dari celah-celah pintu aku mengintai.

Dan keadaan yang kulihat itu sungguh melampaui realiti, atau sureal, seperti sebuah filem anime yang hidup bukan setakat di layar. Bukan seperti filem Tim Burton atau Miyazaki. Dan segala teori separasedar Jung kau itu tidak akan dapat terpakai. Aku nyata, aku ada, dan aku sedar sepenuhnya, ketika itu.

Makhluk-makhluk aneh keluar satu persatu daripada lukisan Haslin dan merangkak (kerana badan yang kurus melidi penuh tulang-tulang yang terlihat, tak dapat dipastikan sama ada makhluk-makhluk itu merangkak atau berjalan) menuju ke kanvas putih besar yang terletak di tengah-tengah bilik.

Apa yang kuceritakan ini pasti tak akan kamu percaya. Tetapi makhluk-mahluk ini menari pada rentak yang sangat perlahan, sangat sangat berjeda, seperti dalam pukauan. Mereka seolah-olah melakukan suatu upacara ritual keagamaan. Bukan seperti ratib Ayah Pin yang kamu lihat di Youtube minggu lepas, tapi lebih kepada ratib orang asli Amerika yang sedang kelilingi unggun api, dengan iringan muzik latar gendang dipalu.

Tetapi yang ini sedikit berbeza. Tidak dapat aku dengar muzik latarnya. Tidak ada pula unggun api. Tetapi itulah yang dilakukan mereka, beratib menari dalam rentak yang perlahan dan berjeda.

Menari. Pada rentak yang sangat perlahan.

Dan tiba-tiba salah seorang (seekor?) makhluk itu mengambil berus lukisan, merendam seketika ke dalam tin cat dan mula memalit cat pada kanvas yang putih kosong dan besar itu.

Diikuti dengan yang seorang lagi. Dan satu demi satu makhluk ini melukis pada kanvas yang kosong itu, dengan palitan catan yang berbeza.

Ya. Pada saat itu aku sedar bahawa sebenarnya lukisan-lukisan Haslin ini dilukis oleh makhluk-makhluk tersebut. (Ini bukti bahawa aku bukan separa sedar.)

Dan selepas itu aku tidak tahu apa yang berlaku kerana sedar-sedar aku sudah berada dalam kereta memecut pulang. (Ini pula barulah bukti bahawa aku sedang ketidaktahuan.)

Kalau kamu tak percaya kataku, kau jenguklah ke pameran solo Haslin yang berlangsung sekarang ini.

Dan kau perhatikan dengan teliti, dengan dekat, dengan rapat makhluk-makhluk pada lukisan Haslin itu.

Dan pada suatu ruang saat yang kau beruntung, kau dapat lihat mata makhluk ini akan mengerdip. Pada kamu.

Ya. Pergilah! Saksikan sendiri benar atau tidak cerita aku ini.

Dan sebab itu jugalah, sehingga sekarang telefon bimbit kamu itu tidak dapat aku pulangkan. Takut aku mahu ke studio Haslin lagi. Minta maaf!

 

 

Cerpen ini diubahsuai daripada deraf cerpen yang ditulis pada tahun 2009, sempena pameran lukisan solo pertama Haslin Ismail yang bertajuk Exorsismus Pesona: Tingkap-tingkap Fantasi Haslin Ismail yang telah diadakan pada 15 Mei sehingga 30 Mei 2009 di Galeri RA Fine Art, Kuala Lumpur.