mesir_major_ogos13
Dalam bayang-bayang

Hampir tiga tahun telah berlalu sejak 25 Januari, 2011, dan senario politik di Mesir telah melalui beberapa perubahan yang drastik. Namun ada beberapa perkara yang masih tidak berubah, antaranya adalah salah bacaan yang berterusan yang dilakukan oleh Ikhwanul Muslimin dan pilihan-pilihan silap yang dibuat oleh mereka merosakkan revolusi dan matlamatnya.

Salah satu bacaan salah secara strateginya adalah keputusan mereka untuk bertanding jawatan presiden selepas menang majoriti di Parlimen, dengan itu meletakkan seluruh beban tanggungjawab ke atas bahu mereka–yang mana mereka tidak mampu untuk kendalikan–dan menyudutkan diri mereka dalam satu situasi krisis ekonomi dan keadaan revolusi yang tidak menentu.

Mereka kemudian sama ada akan sentiasa mencipta musuh-musuh baru ataupun merombak infrastruktur demokratik. Musuh pertama mereka, malangnya sebelum itu pernah menjadi sekutunya adalah pergerakan sekular yang menerajui revolusi.

Di samping berpakat dengan Majlis Tertinggi Tentera (SCAF) untuk membuat pindaan perlembagaan pada Mac 2011, Morsi mengeluarkan  dekri yang meletakkannya dan dekrinya itu melampaui undang-undang, perlembagaan dan bahkan kehakiman; dan dia juga melantik seorang pendakwa raya yang berfungsi lebih sebagai pendakwaraya peribadi.

Kesan daripada tindakan itu,  Ikhwan Muslimin berjaya menyatukan hampir setiap organisasi politik di Mesir untuk menentangnya. Mereka menghantar “tentera awam” untuk menyuraikan perhimpunan di pintu kediaman presiden dan melakukan penyeksaaan terhadap penentang mereka–sebahagian daripadanya adalah rakan-rakan mereka sebelum ini–dan untuk banyak pihak ini menjadi titik putus untuk tidak lagi berkerjasama dengan Ikhwan.

Mereka kemudiannya menyerang media, mewujudkan satu lagi musuh yang menimbulkan kemarahan media terhadap ancaman Ikhwan itu. Ini membuatkan pihak media melancarkan kempen media yang besar menentang Ikhwanul Muslimin.

Tidak lama selepas itu, mereka menyerang badan kehakiman, dan cuba untuk menguasai sepenuhnya dengan memecat sekitar 3,000 orang hakim senior dan melantik 3,000 yang lebih muda daripada kalangan mereka sendiri. Jelas sekali, ini tidak berjaya dan tidak mengejutkan ia mencipta musuh yang baru lagi.

Sepanjang enam bulan pertama 2013, aktivis politik, media dan badan kehakiman melancarkan kempen untuk menyalakan penentangan terhadap Ikhwanul Muslimin, yang mengendalikan institusi ekonomi dan kerajaan yang boleh digambarkan sebagai satu kegagalan. Ini membawa kepada jumlah kehadiran yang besar di jalanan pada 30 Jun.

Tetapi berlaku lagi salah perhitungan , Morsi tidak melakukan referendum atau pilihan raya presiden awal, tetapi tetap berdegil meneruskan jawatannya. Ambang kejatuhan Ikhwanul Muslimin adalah ketara sekali pada ketika itu.

Ikhwan Muslimin meneruskan hari ini dengan salah bacaan mereka, mereka menyangka boleh kembali berkuasa dan menjatuhkan kerajaan sekarang melalui demonstrasi dan menyokong serangan pengganas terhadap tentera dan pasukan polis – atau sekurang-kurangnya tidak mengutuknya – serta mewujudkan ketidakstabilan di jalanan dan ekonomi.

Sejak bermulanya revolusi, sifirnya adalah dua mengalahkan satu. Apabila Ikhwanul Muslimin bergabung dengan pergerakan sekular, mereka menumbangkan rejim mantan Presiden Hosni Mubarak. Apabila Ikhwanul Muslimin bekerjasama dengan SCAF, mereka menewaskan pergerakan sekular yang mahukan halatuju perubahan.

Hari ini pergerakan sekular berkerjasama dengan SCAF menentang Ikhwan. Dengan sokongan orang ramai yang tidak pernah berlaku sebelum ini, perkara ini tidak akan berubah dengan mudah atau dalam jangka masa yang dekat.

Terdapat lima faktor yang menunjukkan bahawa gabungan ini akan berterusan.

Pertama, terdapat penggunaan senjata oleh segelintir Ikhwan, yang telah dirakam kamera dan disiarkan di televisyen. Insiden ini telah membuka pintu bagi SCAF untuk membanteras Ikhwan dengan sokongan penuh rakyat dan hanya sedikit  kritikan kecil daripada aktivis politik.

Faktor kedua ialah tiada langsung kepercayaan terhadap Ikhwanul Muslimin. Pergerakan dan parti-parti sekular yang telah memberikan kepercayaan kepada mereka telah dikhianati berulang kali. Dengan begitu sedikit yang bersimpati, tidak ada sesiapa yang bersedia untuk mempercayai mereka lagi dan bersama-sama mereka menghadapi gabungan yang ada sekarang.

Faktor ketiga – yang mengejutkan saya – ialah orang-orang di jalanan mengkritik kerajaan sekarang dan General Abdel Fattah al-Sisi kerana mereka “tidak cukup tegas” terhadap Ikhwan, yang membolehkan mereka untuk menunjuk perasaan dan melakukan kekecohan yang menggugat ekonomi. Ikhwan Muslimin menjadi semakin kurang popular. Orang menyalahkan mereka kerana mencetuskan ketidakstabilan dan memburukkan lagi ekonomi. Manakala para aktivis dan parti-parti politik menyalahkan tindakan mereka itu kerana membuka pintu kepada kembalinya negara polis.

Faktor keempat ialah jelas melemahnya keupayaan Ikhwanul Muslimin untuk menggembleng penyokongnya. Kehadiran pada hari perbicaraan Morsi ini begitu sedikit sehinggakan stesen televisyen pro-Ikhwan terpaksa melenyapkan audio dari demonstrasi ketika itu.

Faktor terakhir adalah perubahan ketara dalam posisi antarabangsa terhadap gabungan sekarang ini, hala tujunya dan tempoh interim secara keseluruhannya. Beberapa hari lalu, United Kingdom menyambung kembali 24 lesen eksport senjata yang telah digantung pada bulan Julai selepas kejatuhan Morsi itu.

Satu-satunya perkara yang secara drastik akan mengubah keadaan semasa ialah jika SCAF mengabaikan halatuju yang telah dipersetujui, tidak mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil pada masa yang ditetapkan, cuba dengan serius mengekang kebebasan atau menaikkan seorang calon presiden dengan latar belakang tentera. Setakat ini, majlis itu kelihatan cukup bijak untuk mengelakkan kesilapan ini.

Ikhwan Muslimin  perlu menyingkirkan kepimpinan yang telah membawanya kepada populariti yang paling rendah dalam tempoh 80 tahun ini. Kumpulan ini sebagaimana yang telah dikenali sejak sekian lama pasti akan dihapuskan, tetapi ia masih boleh cuba untuk terus hidup sebagai sebuah parti politik dan bukan sebagai sebuah organisasi rahsia.

Generasi muda mesti menyemak semula doktrin, praktis dan matlamat strategiknya, dan menyedari bahawa satu-satunya cara untuk hidup adalah dengan membuang impian hegemoni itu. Mereka perlu melepaskan strategi yang angkuh dan ingin-menang-semua, dan menghentikan siri salah perhitungan selama tiga tahun lamanya.

 

 

Diterjemah oleh Ikram Hamid daripada tulisan yang terbit di al-monitor.com pada 7 November 2013.